Ahad, September 06, 2015

JANGAN DOUBLE STANDARD PEMBANGKANG

 Tindakan Kerajaan PKR Selangor menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) menjadikan isu paling panas di negeri itu berikutan syarikat bernilai RM2 tersebut didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Azmin Ali
Sebuah portal be­­ri­­ta baru-baru ini mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM1 DEIG itu didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Sela­ngor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminuddin.

Menurut portal tersebut, pe­gangan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI Se­langor.

Sebelum itu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini beberapa ADUN termasuk daripada DAP mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekaligus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seolah-olah tidak menghiraukan keputusan DUN Selangor yang meluluskan usul agar kerajaan negeri meneliti semula penubuhan DEIG.
Sebaliknya, beliau tetap mempertahankan langkah mewujudkan syarikat tersebut dan tindakan menggunakan dua individu bagi mendaftarkan DEIG sebelum di­serahkan kepada MBI Selangor.
Sambil menyatakan proses tersebut sebagai amalan biasa dalam pembentukan syarikat, beliau menjelaskan, kedua-dua individu terbabit berperanan dalam saham promoter yang dibenarkan dalam undang-undang.
“Kedua-dua individu ini adalah pemegang saham untuk membuka syarikat (DEIG),” katanya.
Mohamed Azmin memberitahu, walaupun kedua-dua individu berkenaan terlibat pada peringkat awal penubuhan syarikat itu, namun kini MBI Selangor memiliki­nya dengan pegangan 100 peratus sejak Julai lalu.
“DEIG masih belum lagi beroperasi dan dijangka (berope­rasi) pada tahun depan. Ketika ini syarikat sedang menjalankan penelitian undang-undang untuk memperkemaskan soal tadbir urus selain menyediakan penyata kewangan kepada kerajaan ne­geri,” katanya.

Sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 18 Ogos lalu kecoh seketika apabila bekas Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan negeri mewujudkan satu entiti baharu bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikatnya iaitu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).
Kekecohan bermula selepas Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan terhadap soalan tambahan Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai peranan DEIG yang bertanggungjawab dalam proses penggabungan pelaburan 12 anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini bagi mengelakkan pertindihan aktiviti.
Mohamed Azmin sebelum itu ketika menjawab soalan lisan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) memberitahu, DEIG ditubuhkan selepas MBI dilihat gagal mencapai nilai pelaburan mampan selain bertujuan mengurangkan risiko kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Abdul Khalid (Bebas-Pelabuhan Klang) mempertikaikan kewujudan DEIG yang didakwa ditubuhkan tanpa sebarang enakmen dan tidak mempunyai kelulusan DUN.
Abdul Khalid berkata, keadaan itu membuatkan DUN tidak dapat memantau dan mengetahui mengenai aktiviti yang dijalankan oleh DEIG yang disifatkan sebagai orang tengah.
“Adakah tatacara (penubuhan DEIG) ini dikira dengan baik? Walaupun entiti itu di bawah MBI, jika syarikat ini menandatangani perjanjian atau mengadakan usaha sama, risiko pelaburan itu tidak akan hilang dan akan kembali semula kepada MBI dan kerajaan negeri?" katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid yang ditemui di lobi DUN berkata, penubuhan DEIG akan menyebabkan masalah urus tadbir dan ketidaktelusan dalam hal kewangan serta pelaburan kerajaan negeri kerana entiti tersebut bebas audit.
“Sebagai contoh, Menteri Besar membangkitkan soal hutang dan pembayaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), namun semua itu kita boleh bincang di dewan tapi bila ada sebuah syarikat bawah MBI, ia akan mengurangkan ketelusan.
“Ini disebabkan DEIG bukan ditubuhkan di bawah Enakmen MBI 1994 dan diletakkan di bawah syarikat, ia tidak dapat dibincangkan dalam dewan,” katanya.
Yang menjadi masalah sekarang, kenapa pemimpin BN tidak selongkar isu DEIG. Hanya beberapa pemimpin yang menggunakan isu ini untuk hentam pembangkang. Sepatutnya apabila pemimpin pembangkang menghentam 1MDB, pemimpin BN hentam pembangkang dengan isu DEIG. Kalau tak ada fakta, lantik think tank untuk buat research mencari bahan tentang DEIG.

Naib Presiden UMNO,Hishammuddin  Hussein ketika menggesa kerajaan PKR memberi penjelasan tentang DEIG berkata, penjelasan itu perlu kerana melibatkan soal prinsip tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan.
Menurutnya, keraguan dan kebimbangan berhubung penubuhan DEIG timbul kerana entiti baharu itu dipertanggungjawabkan menguruskan aset Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai berbilion ringgit tetapi laporan kewangannya tidak boleh diaudit dan cara semak dan imbang ke atasnya tidak diperjelaskan kepada orang ramai.
“Hari ini giliran DEIG, sekiranya ada perkara tidak kena dan memerlukan penjelasan berhubung urus tadbir korporat, mereka perlu jelaskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam baru-baru ini.

 Hishammuddin ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan pula meminta pengamal media terutama media sosial bersikap adil dalam memberikan liputan berhubung isu DEIG sama seperti mereka lakukan terhadap 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menurut beliau, seperti mana mereka memberikan tumpuan terhadap isu 1MDB, perkara sama perlu dilakukan media dalam talian terhadap penubuhan DEIG di Selangor.
“Apa bezanya apa yang berlaku di Selangor sekarang ini, kini giliran mereka (kerajaan PKR Se­langor) untuk menjawab. Kenapa tumpu kepada kita sahaja,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyelar tindakan PKR yang didakwa tidak bersikap telus berhubung Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang ditubuhkan bagi mengambil alih peranan Menteri Besar Incorporated (MBI) menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pembangkang hanya tahu menuding jari menuduh kononnya kerajaan Persekutuan tidak telus dan cuba menyembunyikan perkara sebenar terutama berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebaliknya mereka yang melakukan tindakan sedemikian.
"Nampak seolah-olah ada 'udang di sebalik batu' sebab dia (Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali) hanya buat penjelasan apabila pendedahan dibuat. Kalau pendedahan tak dibuat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor saya tak tahu beliau akan jelaskan ataupun tidak.
"Bagi kita (isu) 1MDB kita jelas. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata kita boleh siasat... siapa-siapa pun boleh siasat. Kita hantar kepada Parlimen, kita hantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Kita telus sebab tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan," katanya.
Tentu ada sebab kenapa wakil rakyat DAP yang menjadi tulang belakang kerajaan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan penubuhan DEIG. Oleh itu ini adalah peluang terbaik bagi pemimpin Umno menghentam penubuhan DEIG.

 Yang lucunya Azmin berkata DEIG belum beroperasi, tetapi kenapa DEIG sudah bayar zakat perniagaan. Yang peliknya kenapa dua pemimpin pembangkang, Rafizi Ramli dan Tony Pua yang bising tentang 1MDB membisu seribu bahasa tentang DEIG. Jangan double standard, Rafizi dan Tony Pua. Bila isu kena batang hidung sendiri, senyap membisu.


Sabtu, September 05, 2015

MALAYSIAKINI TIADA SEMANGAT PATRIOTIK?

Saya hairan macam mana portal berita utama di negara ini seperti Malaysiakini boleh menyiarkan berita menteri Singapura menghentam Malaysia? Adakah editor Malaysiakini tidak ada semangat patriotik sehingga sanggup menyiarkan berita seperti itu di saat-saat Malaysia baru sahaja menyambut hari kemerdekaan yang ke 58.

Apakah motif Malaysiakini menyiarkan berita menteri Singapura menghentam negara sendiri? Kalau hendak lariskan portal anda, masakan berita menghentam negara anda pun sanggup anda siarkan kecuali anda ada motif mahu menghancurkan negara sendiri.

Malaysiakini melaporkan Menteri Sumber Manusia Singapura Lim Swee Say mencetuskan kontroversi selepas berucap bahawa beliau berasa beruntung menjadi rakyat republik itu.
Dalam ucapan kempennya semalam, wakil Parti Tindakan Rakyat (PAM) untuk Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pantai Timur berkata beliau “beruntung tidak menjadi warga China atau Malaysia”.
Beliau juga mengenang kembali kedatangannya bapanya ke Singapura daripada tanah besar China.
“Kemudian bapa saya kenal emak saya, mereka berkahwin dan dapat enam anak.
“Jadi tahun ini kita sambut SG50 (ulang tahun ke-50 Singapura) dan saya fikir, jika bapa saya tidak naik bot ke Singapura, saya mungkin sekarang rakyat negara China,” tambahnya.
Lim juga percaya bahawa pemisahan Singapura dan Malaysia pada 1965 memberi keuntungan.
Jika tidak, katanya, rakyat negara itu sudah tentu sekarang sebahagian rakyat Malaysia.
“Kemudian pada 1965 Singapura dan Malaysia berpisah, kerana (perdana menteri pertama) Encik Lee Kuan Yew mahukan sebuah bangsa tidak mengira bahasa atau kaum – semuanya sama,” katanya.
Beliau juga berkata tidak boleh tinggal di Malaysia kerana ia “milik orang Melayu”.
“Jadi kita tiada pilihan, kita hanya boleh berpisah.
“Jadi saya fikir jika kita tidak berpisah pada 1965, hari ini kamu dan saya akan jadi rakyat Malaysia, heng (beruntung) ah,” katanya.
Ucapan itu dimuat naik dalam Facebook saluran 8 televisyen MediaCorp negara itu.
Pihak yang tidak selesa dengan tindakan itu menuntut beliau meminta maaf. Mengulas ucapan Lim Swee Say, teruk sangatkah Malaysia yang didakwanya negara ini milik orang Melayu.

Adakah kaum Cina di negara ini didera oleh kerajaan Malaysia? Siapa orang paling kaya di Malaysia? Adakah orang Melayu atau orang Cina? Kalau benar Malaysia adalah milik orang Melayu, kenapa kontraktor Melayu yang dapat projek tetapi subkontraktor Cina yang kaya.
Siapa yang terdera rakyat Cina di Malaysia atau rakyat Singapura yang majoritinya kaum Cina? Kononnya rakyat Singapura berdisiplin tetapi bila masuk negara ini, mereka memandu melebihi had laju.
Peraturan ketat di Singapura tidak berjaya melahirkan rakyat Singapura yang berdisiplin kerana di negara ini mereka bebas melanggar peraturan yang dikenakan di negara mereka.
Nampak sangat Lim tidak tahu keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia kerana dia seorang yang rasis. Mujur ada kerajaan milik orang Melayu yang sanggup membenarkan rakyat Cina di negara ini buka sekolah vernakular sedangkan Singapura menghapuskan sekolah Cina.
Sehingga ini belum ada menteri Malaysia yang berani menyanggah kenyataan Menteri Sumber Manusia Singapura itu. Jika ada menteri Malaysia buat kenyataan mempertahankan Malaysia, adakah Malaysiakini sanggup memberi keutamaan kepada berita ini. Jika tidak, memang benar anda ada motif mahu menghancurkan negara sendiri.



Jumaat, September 04, 2015

NAZRI TAK PAYAH SIBUK JADI MENTERI DALAM NEGERI

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,Nazri Abdul Aziz tak payah sibuk menjadi Menteri Dalam Negeri dengan menggesa polis supaya tidak membazirkan masa memanggil dan soal siasat  Dr Mahathir Mohamad kerana menyertai himpunan BERSIH 4.
"Jangan buang masa kamu. Tiada keperluan memanggil beliau kecuali jika beliau melakukan kesalahan" kata Nazri dalam sidang medianya di Kuala Lumpur petang semalam.
Nazri berkata bekas perdana menteri itu tidak pergi ke demonstrasi untuk melontar bom, memecahkan pintu atau tingkap, jadi tiada masalah beliau menyertai protes.
MP Padang Rengas itu menggesa pihak yang menyatakan Dr Mahathir menyertai perhimpunan itu salah, sebaliknya menukarkan pandangan bahawa tokoh itu hadir bagi mempromosikan kerajaan dan menunjukkan ia satu pentadbiran yang menjaga warga emas.
Hujung minggu lalu, Dr Mahathir bersama isterinya Tun Dr Hasmah Mohamad Ali mengejutkan pelabagai pihak kerana menyertai demonstrasi BERSIH 4 yang berlangsung di Dataran Merdeka selama 34 jam.
Inilah kelemahan Umno kerana menteri bercakap tidak sehati sejiwa. Maka ada menteri yang kesal dengan tindakan Dr Mahathir dan ada pula menteri yang marahi polis menyiasat Dr Mahathir.
Sepatutnya Nazri tak perlu campur urusan kementerian lain. Jagalah kementerian anda sendiri. Biar Dr Zahid Hamidi menjawab soalan ini. Ini yang susahnya menteri lain lebih senduk dari sudu.
Sementara itu Bernama melaporkan  Dr Mahathir Mohamad akan tetap dipanggil dan disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka di sini, hujung minggu lepas.

Ketua Polis Negara,  Khalid Abu Bakar berkata bekas perdana menteri itu akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana beliau mendakwa ada ketua UMNO bahagian menerima rasuah.

Bagaimanapun, katanya Dr Mahathir belum lagi dimaklumkan mengenai siasatan itu.

"Saya sendiri akan maklumkan kepada beliau (Tun Mahathir) untuk ambil keterangan beliau dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan rakam percakapan beliau dan perlu siasat kerana kita sudah menerima laporan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran berkaitan Teknologi Keselamatan Asia Tenggara (IFSEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir akan dipanggil untuk siasatan namun status beliau sebagai seorang negarawan akan tetap dihormati dengan menjalankan soal siasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan.

Dua hari lalu, Khalid berkata polis akan memanggil Dr Mahathir untuk diambil keterangan berhubung kenyataan yang dibuat di perhimpunan Bersih 4 itu.

Khamis, September 03, 2015

TUJUH ORANG CINA BUTA DIPERLUKAN SEGERA

Sesiapa yang menganggur di Kelantan sekarang boleh memohon jawatan cina buta kerana perkahwinan tujuh  bekas pemimpin PAS disahkan terbubar akibat  lafaz baiah dengan PAS.

 Ketua Hakim Syarie Kelantan,  Daud Muhammad  mengesahkan perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dengan isterinya gugur talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.

Pada masa sama, beliau berkata, perkahwinan itu tidak boleh dirujuk semula melainkan isteri kepada wakil rakyat tersebut berkahwin dengan mana-mana individu dan bercerai.

“Kalau tengok kandungan dalam bai’ah Kelantan, sah jatuh talak tiga (perkahwinan Mohd. Hatta). Kedua-dua pasangan itu juga tidak boleh lagi tinggal bersama kerana bukan lagi suami isteri.

“Bagi membolehkan pasangan itu rujuk, bekas isteri kepada wakil rakyat tersebut perlu berkahwin dengan sesiapa, bercerai dan baharulah boleh berkahwin semula dengan Mohd. Hatta,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi ahli parti itu sebaik sahaja mereka dilaporkan berada dalam barisan kepemimpinan Parti Pekerja.

Mohd. Hatta yang pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga merupakan satu-satunya wakil rakyat negeri ini yang terlibat dalam senarai itu.

Dalam bai’ah ter­­sebut, setiap wakil rakyat Pas di ne­geri ini yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri ini sejak 2004.

Pada masa sama, Mufti Kelantan,  Mohamad Shukri Mohamad turut menasihatkan mana-mana wakil rakyat yang melanggar ba’iah tersebut supaya merujuk status perkahwinan di Mahkamah Syariah berikutan terdapat bai’ah cerai talak tiga yang dilafazkan mereka sebelum ini.

Sementara itu, Daud berkata, setakat ini Mohd. Hatta masih belum mendaftar mengenai status perkahwinan ter­­sebut di Mahkamah Syariah.

“Mohd. Hatta masih belum datang merujuk mengenai status perkahwinannya di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Mursyidul Am Pas,  Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar menyeru kepada Mohd. Hatta supaya segera merujuk kepada Mahkamah Syariah mengenai status perkahwinannya.

Katanya, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dengan jelas telah melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya dengan menyertai parti lain tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

“Kita telah membuat keputusan dan menghantar surat berserta lampiran bai'ah yang pernah dilafazkannya kepada Mohd. Hatta.

“Dari segi hukum, lafaz taklik talak tiga telah terjatuh dan itu pandangan yang diberikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan,” katanya.

Namun demikian Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli menafikan dakwaan banyak pihak termasuk daripada Menteri Besar, Ahmad Yakob bahawa perkahwinannya terbubar dengan talak tiga kerana melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya sebelum menjadi calon Pas pada pilihan raya umum yang lalu.

Mohd. Hatta
Memetik laporan sebuah portal propembangkang di sini hari ini, Mohd. Hatta berkata, dakwaan tersebut tidak betul sama sekali, bagaimanapun beliau enggan memberi penjelasan lanjut.

“Tak betul semua tu. Dah banyak penulisan orang mengenai perkara itu (bai’ah). Biarlah, saya tak nak komen apa-apa,” katanya.

Pada masa sama, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas itu menempelak Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas kerana mencampuri urusan keluarganya.

“Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun. Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya,” katanya.

Nampak sangat pemimpin PAS main-main dalam soal baiah ini. Kalau dah ikrar seperti itu, memang secara automatik perkahwinan mereka terbubar.

Justru itu jika Mohd Hatta mahu menikahi semula bininya maka beliau kena upah orang harapannya untuk menjadi cina buta. Kalau orang itu tidak mahu ceraikan janda Mohd Hatta, maka melepaslah Mohd Hatta. jadi orang harapannya itu kena ceraikan janda Dr Mohd Hatta selepas meniduri jandanya itu. Siapa yang mahu jadi cina buta, hubungi segera Dr Mohd Hatta.

JANGAN PILIH KASIH, NAJIB

Bangganya kita melihat PM, Najib  Razak  turun padang untuk melihat sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk di Perumahan Awam Seri Labuan, Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur semalam.

Menurut perdana menteri, tinjauan terhadap keadaan persekitaran di kawasan perumahan awam itu dibuat setelah pihaknya menerima laporan mengenai beberapa isu di kawasan itu.

"Setelah meninjau keadaan sekeliling dan masalah yang dihadapi, saya mahu beberapa perkara dilaksanakan," katanya dalam catatan terbaru di blognya, NajibRazak.com.

Menurut Najib, beliau mengarahkan kelengkapan awam di Madrasah Al-Aula seperti pendingin hawa, kipas siling serta sistem paip dan saliran diganti atau diperbaiki dengan kadar segera.

Beberapa unit pendingin hawa di Madrasah Al-Aula juga akan ditambah untuk keselesaan jemaah, katanya.

"Lantai gelanggang futsal serta jaring di keliling gelanggang dan tiang gol diperbaiki atau diganti, mengecat kembali Sekolah Rendah Agama Al-Farabi manakala perabot seperti kerusi dan meja pelajar di Sekolah Rendah Agama Al-Farabi diganti baharu selain pendingin hawa dipasang.

"Insya-Allah, semua ini akan membolehkan penduduk dan anak-anak kecil di Perumahan Awam Seri Labuan, Bandar Tun Razak hidup dalam keadaan lebih selesa," tambah beliau.

Kalau benar PM berjiwa rakyat, kita harap selepas ini Najib tidak pilih kasih kerana perumahan yang dilawati itu adalah terletak dalam cawangan Umno yang diketuai rakan karibnya sendiri, Zaharin Mohd Yasin. Sepatutnya beliau turun padang ke kawasan yang beliau tidak kenal siapa ketua cawangan Umno di situ. Baru ahli Umno tabik kepada Najib kerana presiden Umno turun padang secara mengejut tanpa memberitahu pegawai DBKL.

Najib sepatutnya mencontohi Saidina Umar Alkhatab yang meninjau keadaan rakyat di waktu malam tanpa membawa pegawainya dan rakyat sendiri tidak tahu bahawa yang memikul gandum itu adalah seorang khalifah sendiri.


Siapa yang tidak kenal dengan Zaharin bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu. Selepas bermasalah dengan ketua bahagian, Zaharin menjadi setiausaha kerja BN Bandar Tun Razak pula.

BN Bandar Tun Razak merupakan pejabat parlimen BN yang paing hebat di Malaysia kerana memiliki bangunan sendiri. Itu kerana inisiatif Zaharin yang menjadi Setiausaha Kerja BN yang mencari dana daripada PM selaku Pengerusi BN Malaysia.

Orang tak hairan kalau pejabat BN Bandar Tun Razak dapat hidup kerana keakraban Najib dengan Zaharin. Najib yang membantu dana pejabat tersebut. Mereka berkawan sejak Najib menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1978 lagi. Walaupun Zaharin bukan Exco pemuda Umno Malaysia tetapi beliau adalah ahli jawatankuasa biro buruh dan antarabangsa pemuda Umno Malaysia.

Sebut nama Zaharin, ketua bahagian mana yang tidak kenal Zaharin. Semua ahli parlimen kenal Zaharin. Semua menteri kenal zaharin. kalau orang politik itu tidak kenal Zaharin, itu bermakna orang politik itu masih berhingus dalam politik.

Surat sokongan Zaharin kepada Datuk Bandar memang laku. kalau rakyat nak minta rumah flet DBKL dengan Datuk Bandar, surat sokongannya laku asalkan pemohon itu adalah pengundi dalam parlimen bandar Tun razak. Zaharin tolong semua orang tidak kira orang itu orang melayu, cina atau India.

Sepatutnya sudah lama beliau dilantik senator mewakili Wilayah persekutuan. Beliau bekerja untuk rakyat dan tidak ada kepentingan peribadi. kalau beliau mahu kaya, sudah lama beliau jadi jutawan kerana semua menteri adalah kawan beliau. tetapi beliau selalu beritahu saya, "Zabidi, umur aku dah 63 tahun tapi aku tak ada penyakit kronik kerana aku tidak makan rasuah, tidak curi hak orang".

Itulah kelebihan Zaharin orang yang berani memaki menteri secara terbuka dan juga melalui Facebooknya. Beliau sudah biasa dipukul. Sebagai pejuang rakyat beliau tidak gentar dipukul kerana beliau tahu perjuangannya demi bangsa, agama dan negara tanpa memikirkan kepentingan peribadinya.

Rabu, September 02, 2015

SELEPAS ANINA, PECATLAH MAHATHIR

Semalam ahli wanita Umno Langkawi, Anina Saaduddin yang mengatakan Presiden Umno, Najib Razak kuat kencingkan ahli Umno dipecat dari parti kerana menyaman Najib ke mahkamah atas isu derma RM2.6 billion.

Dalam surat pemecatan yang sedang viral di media sosial semalam, beliau dipecat daripada parti mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa hal parti ke mahkamah.
.Surat yang dihantar ke Bahagian Umno Langkawi itu ditandatangani setiausaha agung Umno  Tengku Adnan Tengku Mansor..
Anina pada Jumaat lepas memfailkan saman terhadap Najib meminta beliau bertanggungjawab atas kronologi peristiwa yang melibatkan aliran wang RM2.6 bilion yang berakhir dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.
Terdahulu, Anina pada mesyuarat agung tahunan bahagian Langkawi dalam sebuah video yang tersebar melepaskan kemarahannya terhadap Najib, menggunakan perkataan kesat, mendakwa perdana menteri itu berbohong dengan mengakui semua 3 juta ahli Umno menyokong beliau.
Selepas Anina, Umno patut memecat bekas presidennya pula, Dr Mahathir Mohamad yang menyertai perhimpunan haram Bersih 4 Sabtu dan Ahad lepas.
Yang peliknya di zaman beliau jadi PM, rakyat tidak boleh berhimpun secara haram tetapi di zaman najib, beliau yang pernah jadi Menteri Dalam Negeri kata boleh pulak.
Satu lagi asas yang kukuh bagi Umno memecat Dr Mahathir ialah beliau menyokong usaha pembangkang untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Najib di parlimen.
 Dr Mahathir Mohamad semalam memohon ahli Parlimen Umno dan komponen Barisan Nasional (BN) lain untuk menyokong undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Menulis di blog popularnya, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu sekali lagi mengingatkan wakil rakyat BN yang sekiranya usul undi tersebut berjaya dan Najib disingkirkan, ia tidak bermakna kerajaan BN turut digulingkan.
"BN tidak akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti," katanya.
Dr Mahathir berkata selagi Najib berkuasa, selagi itulah negara akan terus dilanda masalah.
Katanya, ekonomi akan terus merosot, nilai ringgit dan saham jatuh, kos sara hidup meningkat akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hutang negara bertimbun dan tidak dapat dibayar, pengangguran bertambah serta berbilion duit rakyat disalahgunakan.
"Inilah nasib yang menunggu Malaysia kerana Najib," beliau memberi amaran.
Dr Mahathir menulis selepas membuat kemunculan sebanyak 2 kali di perhimpunan Bersih 4, iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu.
Beliau pada Ahad mengakui mendengar khabar yang beberapa ahli Parlimen Umno sedang merancang membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Najib di Dewan Rakyat, bagaimanapun beliau tidak tahu identiti mereka.
Katanya, Najib tidak akan meletak jawatan. Oleh itu, justeru ahli Parlimen Umno harus menyokong undi tidak percaya itu supaya Najib dapat diturunkan.
"Ahli Parlimen Umno yang setia kepada parti perlu sokong undi tidak percaya. Lepas itu kerajaan Najib akan jatuh," tulisnya.
Ini bukti yang kukuh untuk memecat Dr Mahathir dari Umno. Tunggu apa lagi Najib. Ini adalah peluang terbaik bagi Umno menyingkirkan pengkhianat parti seperti Dr Mahathir.





Selasa, September 01, 2015

BANGANGNYA KETUA MENTERI MELAKA

Dalam suasana bekas presiden umno, dr mahathir mohamad memalukan umno dengan menyertai perhimpunan haram bersih 4, ketua menteri melaka, idris haron berkata sebarang tindakan kepada bekas pm itu akan mengeruhkan suasana.

Nampak sangat idris haron ini bangang. Sepatutnya beliau mempertahankan umno dan kesal dengan tindakan dr mahathir itu. Sebaliknya kenyataan ahli majlis tertinggi umno itu seolah olah merestui tindakan dr mahathir.

Baru baru ini beliau merasmikan persidangan perwakilan umno bahagian wangsa maju dan majoriti perwakilan tertidur ketika beliau berucap kerana tidak pandai meyakinkan rakyat menjawab isu isu semasa. Kalau idris gagal menjelaskan isu semasa macam mana rakyat hendak faham isu isu 1mdb dan sebagainya.

Sebagai pemimpin umno sepatutnya beliau sehati sejiwa dengan presiden umno. Sungguh malang orang melaka berketuamenterikan idris haron.

Di melaka beliau gagal menawan hati rakyat seperti yang dibuat bekas ketua menteri, ali rustam. Di zaman ali jam 3 pagi rakyat dapat jumpa ketua menteri di kediaman rasmi sebaliknya di zaman idris sudah jadi ketua menteri jam 8 hingga 5 petang.

Sungguh malang rakyat melaka sekarang. Kalau pm masih simpan orang seperti idris, saya tak tahu apa yang berlaku kepada umno melaka. Tak sangka ada juga ketua menteri yang pro dr mahathir.

Isnin, Ogos 31, 2015

RESOLUSI PERTAHAN UMNO DI JANDA BAIK

Inisiatif penulis buku terkenal, Syed Husin Alattas atau Pak Habib mengumpulkan penulis buku politik di kediamannya di Janda Baik, Pahang wajar diberi pujian. Oleh kerana perhimpunan Bersih 4 sedang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur maka ramai penulis buku politik yang tidak dapat hadir.

Sayuti Omar yang juga setiausaha Kelab Penulis Buku Politik dan Shahbuddin Husin pengkritik tegar Najib Razak tidak hadir kerana menghadiri perhimpunan Bersih 4. Mujur mereka berdua  tidak datang kerana jika mereka datang, sudah tentu mereka tidak setuju dengan resolusi yang dicapai di Janda Baik petang ini mempertahankan Umno demi kepentingan bangsa Melayu.

Kata Pak Habib, penulis perlu mempertahankan Umno setelah melihat majoriti bukan Melayu yang menghadiri perhimpunan Bersih 4  mahu menumbangkan kerajaan Melayu. Umno bukannya lahir di istana Johor tetapi  lahir di kampungnya di Wadi Hana, Johor Baru dan diangkat ke istana menjadikan Umno sebagai wadah yang banyak berjasa kepada orang Melayu.

Menurut Pak habib yang sudah menghasilkan 67 buah buku, majlis itu juga mengumpulkan blogger muda dan berharap mereka dapat menghasilkan buku. Seorang blogger terkenal Azmi Ibrahim berhasrat untuk menghasilkan buku juga selepas ini.

Dorongan yang diberikan oleh Pak Habib membuatkan Azmi bercadang mengikut jejak langkah Pak Habib. Selain Pak Habib, yang pernah menulis buku politik yang hadir petang tadi ialah Musli Oli dan saya sendiri.

Musli telah menulis 14 buah buku mengakui pernah jadi stringer akhbar Watan ketika saya bertugas sebagai wakil akhbar Watan di Sabah dari tahun 1989-1991. beliau merupakan seorang penulis buku politik yang berjaya dari Sabah.

Manakala saya telah menulis 10 buah buku iaitu Sempatkah Ghafar Jadi PM (1992), Dilema Yusof Noor (1993), Wan Mokhtar: Pemimpin Empat Zaman (1994), Hulu Terengganu Menuju Keemasan (1996), Antara Najib, Muhammad dan Muhyiddin: Pak Lah Pilih Siapa (2003), Kenapa Pak Lah Pilih Najib (2004), Sentuhan Pak Lah (2004), Politik Wang:Isa Jadi Mangsa (2005), Toyol Untuk Disewa (2014) dan Era Transformasi Kg Ayer Molek (2014).

Setelah berhenti dari Free Malaysia Today (FMT) pada Julai 2014, saya menumpukan sepenuh masa menulis isu semasa dalam blog saya www.catatanzabidi.blogspot.com yang saya update posting setiap hari. Sebagai blogger politik, pembaca saya tidak ramai sekitar 500 orang setiap hari. Blog saya tidak sepopular blog Shahbudin Husin yang merupakan wartawan saya ketika di akhbar Watan dahulu.

Saya berkongsi pengalaman dengan blogger muda yang hadir di majlis itu bahawa  saya pernah dimaki oleh Ketua Pemuda Umno Marang, Rahman Bakar yang marahi saya menulis buku Dilema Yusof Noor. Selepas itu kami jadi kawan baik. Dr Yusof Noor yang saya temui di majlis open house Ibrahim Ali baru-baru ini masih ingat dengan buku tersebut.

Ada yang mahu menjadi calon BN dalam PRU 2004 membawa ke sana sini buku saya yang menyebut namanya sebagai calon parlimen. Sampai naik loyeng buku itu dalam poket seluarnya. Pendek kata sebagai penulis buku politik, saya menjadi tempat rujukan bakal calon. Ketika bertugas sebagai editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas (yang mana PM, Pak Lah adalah penaungnya) dua pupu saya, arwah Othman Awang setiap hari call saya, tanya lekat tak namanya sebagai calon BN Wakaf Mempelam pada PRU 2008. Seronoknya beliau bila parti memilihnya sebagai calon.

Ketika saya menjadi editor Bahasa Melayu di FMT, saya dicari oleh orang Ahmad Said kerana banyak tulisan saya dalam FMT menyebabkan Ahmad Said jatuh dari jawatan MB Terengganu. Saya tidak berani balik kampung kerana orang Ahmad Said mahu memukul saya.Itulah pengalaman pahit manis sebagai wartawan, penulis buku politik dan blogger politik.

Pak Habib merupakan idola saya. Ketika saya berhenti bekerja sebagai penolong pengarah FELCRA pada tahun 1986, saya menjual bukunya MUSA DERHAKA. Ketika saya turun dari tangga pejabat Pak Habib di Jalan Medan Tuanku ketika itu, Shahidan Kasim yang bekerja sebagai PTD di Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah naik tangga untuk menemui Pak habib. Saya rapat dengan Shahidan ketika itu kerana sering terlibat sebagai urusetia kursus yang dijalankan oleh kementerian yang beliau kendalikannya. Pada tahun 1986, beliau dipilih menjadi calon parlimen BN di Arau, Perlis.

Selepas berhenti bekerja dengan FELCRA, terpengaruh dengan buku Pak Habib, saya tanam semangat untuk menulis buku politik juga dan saya berazam  mahu jadi terkenal seperti Pak Habib. Tapi saya bukan penulis yang hebat seperti Pak habib, Pengalaman menerbitkan buku sendiri amat menyeksakan. Hantar buku ke kedai mamak, tiga bulan kemudian bila nak kutip duit buku, kedai sudah ditutup kerana taukehnya sudah balik ke India ketika menjual buku Politik Wang: Isa Jadi Mangsa?  di Teluk Kemang.

Saya terharu dengan sikap Pak habib yang sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Kerteh melancarkan buku saya Antara Najib, Muhammad dan Muhyiddin: Pak Lah Pilih Siapa? pada tahun 2002 di sebuah hotel di Kerteh, Kemaman. beliau tidak mahu menerima duit minyak saya beri. Saya kagum dengan cara beliau menonjolkan penulis baharu seperti saya.

Seperti kata saya tadi, pengalaman menerbitkan buku sendiri amat menyeksakan. Sebab itu saya tidak menulis buku selama sembilan tahun. Tahun lepas saya muncul dengan buku Toyol Untuk Disewa. Buku ini amat laku di pasaran kerana rupanya orang melayu lebih suka baca buku misteri daripada buku politik. Melihat kehebatan Pak habib menulis 67 buah buku, saya rasa tahun ini akan kembali menulis buku politik sementara menunggu siapnya autobiografi saya DARI WARTAWAN KE JUTAWAN pada tahun hadapan.

Seperti kata Pak habib, bukan senang mahu menjadi penulis buku. Bila saya mati sekurang-kurangnya ada tercatat dalam sejarah bahawa saya pernah menulis 10 buah buku dalam hidup saya. Malah buku saya Wan Mokhtar: Pemimpin Empat Zaman dijadikan bahan rujukan pelajar UKM membuat latihan ilmiah.

Pak habib, Sayuti Omar, Musli Oli, Shahbudin Husin dan saya semakin tua, maka generasi muda yang hadiri majlis pak habib di Janda baik petang tadi yang wajar meneruskan perjuangan menulis buku-buku politik di masa akan datang. Mereka adalah blogger politik. Mulakan dengan langkah pertama membukukan tulisan-tulisan dalam blog sendiri.Langkah ini pun dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad dan Kadir jasin.Maka kalian, blogger muda, wajar menerima cabaran Pak habib untuk menulis buku sekurang-kurang sebuah pada tahun ini.







Ahad, Ogos 30, 2015

MAHATHIR SUDAH NYANYUK?

Ribuan peserta Bersih 4 seronok apabila bekas PM, Dr Mahathir Mohamad turut muncul di perhimpunan Bersih 4 selama 10 minit sambil berkata, teruskan, teruskan manakala isterinya pula berkata, ini kuasa rakyat.

Ahli parlimen Batu, Tian Chua yang terserempak dengan Dr Mahathir sempat mengiringi Dr Mahathir berkata terima kasih datang tetapi meminta peserta  Bersih 4 tidak lupa apa yang beliau buat di masa lalu.

Dr Mahathir ini seorang yang hipokrit. Dahulu rakyat berhimpun pada tahun 1998 selepas Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan TPM. Ada beliau sokong perhimpunan rakyat itu? Sebaliknya beliau tahan Anwar di bawah ISA.  Kalau Dr mahathir masih PM sekarang, adakah beliau sokong Bersih 4? Najib tidak benarkan mereka berhimpun tetapi mereka tetap berhimpun? Ada kerajaan tangkap mereka? Jadi siapa yang kuku besi, Dr Mahathir atau najib?kalau 90 peratus cina yang sertai Bersih 4 berada di Singapura, lagi teruk kerajaan Singapura kerjakan mereka.

Dikatakan majoriti peserta Bersih 4 kali ini ialah orang Cina 90 peratus, manakala Melayu 10 peratus apabila PAS tidak sebulu dengan DAP. Peserta Bersih 3 adalah terdiri 50 peratus Melayu, 50 peratus Cina.

Apakah makna semuanya ini? Najib harus berterima kasih kepada PAS yang melarikan diri dari Pakatan Rakyat menyebabkan  90 peratus peserta Bersih 4 terdiri dari pengundi DAP. Apakah makna semuanya ini? Ini bermakna orang melayu bimbang dengan senario yang ada seperti kata bekas menteri penerangan, Zainuddin Maidin.

Kebetulan saya menaiki LRT dari Bandar Tasik Selatan ke Titiwangsa pada jam 3 petang semalam kerana ada temujanji dengan seorang Dato di Hotel Vistana. Saya sedih kerana dalam LRT itu semuanya orang Cina yang memakai t shirt kuning termasuk kanak-kanak.

Saya bayangkan 20 tahun lagi jika DAP memerintah negara, apa akan jadi kepada anak cucu cicit kita. Kita asyik berbalah sesama sendiri. tak cukup dengan Umno, kita ada PAS. Tak cukup dengan Umno,, kita ada PKR. Tak cukup dengan PAS, kita ada GHB. Mujur Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak GHB yang menggunakan nama Parti Progresif Islam kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lalu meluluskan parti yang menggunakan nama Islam seolah-olah masuk PAS sudah masuk Islam.

Kita asyik berbalah sesama sendiri akhirnya DAP yang menang seperti kata bekas MB Terengganu, Ahmad Said, DAP memerlukan dua PRU lagi untuk memerintah negara. Ketika itu apa akan jadi kepada orang Melayu? jadi sepatutnya kita insaf apabila 90 peratus orang Cina yang menyertai Bersih 4 menuntut najib meletakkan jawatan, maka ia mencabar bangsa Melayu.

Peserta Bersih 4 mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Dr Mahathir selama 10 minit yang berkata jika bangsat itu tidak ada, orang Melayu tidak akan bangsat. Begitu sekali marah Dr Mahathir kepada Najib sambil berkata bangsat kepada Najib. Takkan ahli majlis tertinggi Umno membisu apabila Dr Mahathir kata Najib bangsat? Ini satu penghinaan yang besar kepada Presiden Umno.

Justru itu mesyuarat ahli majlis tertinggi Umno pada 9 September ini sewajarnya MKT mencadangkan pemecatan Dr Mahathir dari ahli Umno kerana beliau turut serta dalam Bersih 4. Pada tahun 1969, kita marah kepada Tunku Abdul Rahman memecat Dr Mahathir dari Umno. Sebenarnya apa yang Tunku buat memang tindakan yang betul demi menyelamatkan Umno.

Lihat apa yang Dr Mahathir buat selepas beliau tidak jadi PM? beliau ganggu pentadbiran Pak lah sehingga BN gagal mendapat majoriti dua pertiga. Kini beliau ganggu pentadbiran Najib sehingga ramai yang meramalkan Najib adalah PM BN yang terakhir.

Nak tunggu apa lagi? pecat sahaja Dr Mahathir dari Umno. takkan Umno nak simpan lagi pengkhianat seperti Dr mahathir. Beliau berterima kasih kepada Razak Hussein yang menaikkannya dalam politik sehingga dapat jadi PM. Maka beliau naikkan pula anak Razak sehingga najib jadi PM.

 Kenapa Dr Mahathir marahi Najib? Ia kerana najib tidak menyokong Mukhriz bertanding jawatan Najib Presiden Umno pada tahun 2013. Kenapa perlu sokongan najib? Jika anda kuat, bertandinglah sendiri tanpa sokongan sesiapa. Dahulu Dr mahathir ,menang naib presiden Umno pada tahun 1975, kerana Razak menyebut tiga nama dalam ucapannya, Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir menyebabkan perwakilan memilih mereka bertiga sebagai naib presiden Umno.

Dr mahathir sebenarnya sudah nyanyuk. Dahulu beliau kata Tunku nyanyuk, sekarang giliran dia pula nyanyuk. Zaman dia jadi PM, rakyat buat perhimpunan beliau marah. beliau guna ISA tetapi zaman najib, rakyat buat perhimpunan beliau sokong pula. Tidakkan ini dikatakan nyanyuk?

Jika Umno tidak mahu dilanda dengan penyakit nyanyuk, maka nyahkanlah Dr Mahathir yang nyanyuk dari Umno. Siapa ahli majlis tertinggi Umno yang berani mencadangkan pemecatan Dr mahathir dari Umno pada 9 September ini? Kita mempertahankan najib bukan kerana dia bernama najib tetapi kerana mempertahankan maruah Presiden Umno.

Di saat saat pembangkang menyerang Umno, ahli Umno mesti bersatu mempertahankan najib sekalipun kita tahu Najib banyak panau dan kurapnya. Lihat orang PKR. Mereka tahu Anwar Ibrahim bersalah tetapi mereka tetap mempertahankan Anwar. Semangat seperti orang PKR ini yang sewajarnya ada di kalangan ahli Umno.






Sabtu, Ogos 29, 2015

WARKAH BUAT ANAK BANGSA, PEMANGKIN REVOLUSI NEGARA

oleh NURAFIDAH SHAHBUDIN
bekas felo perdana kepada bekas TPM, Muhyiddin  Yasin dan sekarang berada di University of Queensland, Australia
(dipetik dari 1Malaysia.com)
Ke hadapan generasi muda,
Wahai anak bangsa, engkaulah masa depan negara. Surat ini ikhlas daripada pemudi yang mencintai tanah airnya. Sekadar peringatan untukmu di masa hadapan; juga sebagai peringatan padaku agar terus berkobar semangatku berjuang demi Malaysia. Kemelut yang melanda pada masaku, mungkin akan terus diingati sehingga ke generasimu.
Wahai anak muda, 58 tahun dahulu kita telah mencapai kemerdekaan. Aku bukanlah generasi yang melalui fasa itu. Namun, jiwa merdeka itu tetap kurasai sebagai seorang warganegara. Mungkin jika kita kembali ke masa lampau, erti kemerdekaan pada kita adalah bebas daripada cengkaman penjajah. Suatu kebanggaan apabila akhirnya pemerintahan dipulangkan kepada empunya. Itu kisah 58 tahun yang dahulu. Kini, jika kau tanya padaku, apakah erti kemerdekaan bagimu, inilah jawapanku. Erti kemerdekaan bagiku adalah apabila kita bersatu hati, jiwa dan raga, membebaskan kita dari rantaian benci dan perkauman yang memecah-belahkan kita rakyat Malaysia, serta melemahkan negara. Tahun ke-58 kemerdekaan ini, pelbagai tragedi telah menimpa tanah air tercinta. Aku tidak sedikit pun malu untuk mengaku bahawa airmataku tumpah saban hari memikirkan nasib negara. Apatah lagi melihat perpaduan semakin goyah dek diapikan dengan pelbagai isu-isu sensitif yang berleluasa di media sosial dan media massa. Anak muda, aku faham api di jiwa mudamu yang mahukan perubahan. Aku juga sepertimu dikala ini. Darah mudaku bangkit mengharapkan perubahan demi kebaikan negara. Namun, aku tersedar bahawa aku terlepas suatu perkara penting dalam menjana perubahan.
Ubah!” “Tukar!” “Revolusi!”
Ya, aku faham laungan-laungan itu. Perkataan yang mudah tetapi memberi gambaran tentang harapan kita terhadap negara. Akan tetapi, sedarkah kita wahai anak muda, perubahan itu bermula daripada diri sendiri? Untuk kita mengubah dunia, kita haruslah bermula daripada unit paling hampir dengan kita iaitu diri kita sendiri. Konsep perubahan inilah yang menjadi intipati kepada pembinaan negara yang maju jaya. Namun kita selalu alpa. Yang kita pandang dan fokuskan ialah perubahan yang besar sahaja. Makanya, tepuk dada tanya selera. Pokok pangkalnya, kita. Adakah mampu kita membawa revolusi dan perubahan kepada tanah air jika diri kita masih ditakuk lama? Persoalan ini perlu kita jawab dengan telus dan penuh refleksi diri.
Anak muda, perubahan itu tidak mustahil. Jangan engkau berputus harapan kepada negara. Mungkin ada terpalit dihatimu untuk meninggalkan negara setelah krisis yang melanda. Kurayu padamu anak muda, jangan tinggalkan negara. Kitalah pemangkin di masa hadapan. Kitalah penyelamat tanah air tercinta. Jangan kau biarkan negara terus nazak dilanda duka. Perubahan mengambil masa. Sabarlah serta teruskan usaha untuk bangkit dan terus melangkah ke hadapan. Walaupun perit, haruslah kau sabar dan tidak mengaku kalah. Ingatlah akan pepatah, “biar berputih tulang, jangan kita berputih mata”. Teruslah cakna akan perkara yang berlaku di negara kita. Tuntutlah ilmu dan berusaha mencari formula untuk memulihkan tanah air agar terus berkembang pesat sehingga Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Aku juga sepertimu, mahukan perubahan. Namun ingat, kita harus mengubah dengan cara yang intelektual dan berhemah tanpa menimbulkan konflik yang akan memburukkan imej negara serta mencetuskan huru-hara.
Janganlah engkau lari daripada masalah. Jika bukan kita, siapa lagi yang mampu mempertahankan kemerdekaan ini? Kuseru semua agar terus bersatu hati dalam meneruskan perjuangan ini. Janganlah merugikan diri dengan berbalah sesama sendiri.
                                                                                          Nukilan ikhlas daripada,
             Seorang insan pencinta tanah air.