Rabu, Ogos 19, 2009

PAS TAK ADA MODAL


PAS nampaknya tidak ada modal lain dengan mencabar pemimpin UMNO berdebat dengan pemimpinnya.


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat mengenai isu pembatalan lesen guaman sivil calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya keci Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman.


Salahuddin memberi tempoh 24 jam kepada naib presiden Umno itu untuk memberikan jawapan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran itu.


"Malam ini saya cabar untuk berdebat satu lawan satu dengan Zahid. Saya nak dedahkan tentang calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu," katanya pada ceramah di Permatang Tok Kandu di sini, malam tadi.


Beliau mendakwa Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, tidak teliti dalam pemilihan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu.Lesen guaman Rohaizat dibatal berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.


Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa PAS tidak perlu mempertikai pemilihan calon BN, Salahuddin berkata: "Ini menjadi masalah kepada penduduk di Permatang Pasir kerana jika calon ini menang ia akan mewakili mereka," katanya.


Pada pilihan raya kecil itu, Rohaizat, 38, yang merupakan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, berdepan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Salleh Man, 52.Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai lepas kerana sakit jantung.

AHLI UMNO TERENGGANU KEMBALI BERSATU


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein gembira kerana kepimpinan UMNO serta ahlinya di negeri ini kembali bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dan pemerhatiannya, kesemua pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini ' bertaut kembali'.

Menurut beliau, selepas mengetuai UMNO di Terengganu banyak usaha dan program jangka panjang dan pendek dilakukan yang menampakkan hasil positif dan menyakinkan.

''Maklum balas yang diterima kini begitu baik sekali dan usaha-usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

''Bagaimanapun, saya sekali lagi merayu kepada semua pemimpin dan ahli agar tampil ke depan secara bersama dan sudah tiba masanya kita ke depan dalam 'mengganyang' setiap cubaan jahat parti lawan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di pejabat UMNO Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Semua pemimpin UMNO negeri termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat selama dua jam itu.

Hishammuddin menambah, untuk mengerakkan UMNO di Terengganu, pendekatan dilakukan dengan cara muhasabah bagi memastikan transisi kepimpinan berjalan lancar.

Katanya, isu kepimpinan dilihat perkara penting dalam Perhubungan UMNO negeri bagi melahirkan pemimpin pelapis yang benar-benar berwibawa membawa UMNO dengan semangat dan kesedaran.

''Lupakan peristiwa lalu, muhasabah diri, melihat kelemahan dan tidak lagi menuding jari kepada sesiapa sebaliknya melihat dalam diri sendiri dengan penuh keinsafan.

''Masanya telah tiba untuk sesama kita kembali bersatu hati dengan penuh jiwa raga sambil mengukuhkan barisan dan hala tuju baru,'' katanya.

Katanya, beliau yakin UMNO Terengganu masih cukup terpelihara dan boleh diperkukuhkan sekali gus menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi isu saman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menambah, UMNO Terengganu tetap berada di barisan hadapan dalam menghadapi isu itu kerana ia menyentuh pucuk pimpinan tertinggi parti.

''Kami seratus peratus di belakang Timbalan Presiden parti tanpa berbelah bagi.
''Begitu juga dalam pelbagai isu semasa lain, UMNO Terengganu akan menentang habis-habisan usaha pelbagai pihak termasuk tindakan menodai kesucian perlembagaan negara," katanya.

Selasa, Ogos 18, 2009

ORANG PAS PUN TAK MASUK SYURGA


Heboh satu negara bila Nik Aziz kata orang UMNO tak masuk syurga. Hari ini beliau nafikannya kerana dia kata dia tak kata kepada ahli UMNO cuma kata kepada orang Islam yang asingkan agama dari pegangan hidupnya. Jadi siapa yang putarbelit kenyataan Nik Aziz? Adakah wartawan yang putarbelit atau Nik Aziz sendiri buat penafian setelah diberi fatwa oleh Mufti Perak bahawa syurga bukan ditentukan oleh manusia.


Susah apa dengan kenyataan Nik Aziz. Orang UMNO boleh jawab juga orang PAS pun tak masuk syurga kalau dia hidup bukan cara Islam. Islam suruh bertegur sapa di antara umat Islam tetapi ada orang PAS tak tegur orang UMNO lebih dari tiga hari. Layakkah orang PAS macam ini masuk syurga? Orang PAS pulau kenduri orang UMNO. Layakkah orang PAS macam ini masuk syurga?


Baru-baru ini Nik Aziz sudah beri lesen kepada orang DAP hina Islam kerana katanya orang DAP itu tak faham Islam. Sepatutnya Nik Aziz pertahankan Islam dari dihina oleh orang DAP. Biarlah rakyat menilai sendiri kenyataan Nik Aziz itu. Biarlah semua pemimpin DAP yang anti Islam pi permatang pasir hina Islam, nak tengok boleh menang tak PAS di Permatang Pasir pada 25 Ogos ini. Di bawah ini diperturunkan semula berita Nik Aziz yang kata orang UMNO tak masuk syurga walaupun telah dinafikannya hari ini untuk makluman kita semua.


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.


Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.


"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini semalam selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Pengundian ialah pada 25 Ogos ini.

PADAN MUKA UNDI PAKATAN RAKYAT


''Kami tidak akan undi pakatan pembangkang lagi.'' Itu adalah luahan perasaan marah penduduk Islam di Seksyen 23 di Shah Alam semalam setelah kecewa dengan keputusan kerajaan negeri membina kuil berhampiran kawasan kediaman mereka.


Menurut penduduk, keputusan itu tidak wajar kerana majoriti penduduk kawasan itu beragama Islam manakala penganut Hindu hanya berjumlah 40 orang.


Tegas mereka, sekiranya kerajaan negeri berkeras untuk membina kuil di tanah seluas 0.2 hektar itu, ia jelas menunjukkan pimpinan pakatan pembangkang tidak peka dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam di kawasan itu.


Berikutan itu, penduduk menyerahkan memorandum membantah pembinaan kuil itu ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang terletak berhampiran tapak kuil itu.


Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Persatuan Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf kepada Pegawai Khas kepada Rodziah, Naim Yusri.


Ketika ditemui selepas itu, Ahmad Mahyuddin berkata, keputusan kerajaan negeri itu jelas bertentangan dengan janji pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu yang kononnya akan menghormati sensitiviti semua kaum dan agama dalam dasar pentadbiran mereka.


Jelasnya, penduduk kesal dengan keputusan itu kerana pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memutuskan tiada sebarang pembinaan dilakukan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu.


Malah, cadangan pembinaan kuil itu telah dipindahkan ke Seksyen 22 yang mempunyai ramai penganut Hindu selaras dengan keputusan kerajaan negeri ketika itu.


''Kita bertegas tidak mahu kuil Hindu dibina di kawasan ini kerana tidak kena pada tempatnya. Malah ketika keputusan pembinaan kuil ini dibuat, kerajaan negeri tidak mengadakan perbincangan dengan penduduk terlebih dahulu,'' ujarnya.


Ahmad Mahyuddin turut menyalahkan Rodziah serta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kerana bersikap seolah-olah 'tutup mata' dan membiarkan sahaja keputusan kerajaan negeri itu sedangkan mereka boleh memberi pandangan dalam isu itu.


Malah jelasnya, kedua-dua pemimpin itu gagal memberikan sebarang jawapan atau tindakan walaupun surat bantahan telah dikemukakan kepada mereka pada 26 Mei lalu.


Sebaliknya, Exco kerajaan negeri, Xavier Jayakumar telah mengumumkan pembinaan kuil di kawasan itu yang disiarkan oleh akhbar pada 11 Ogos lalu.


Seorang lagi wakil penduduk, Ramzi Abdul Rahman, 40, pula memberitahu, bantahan penduduk dibuat berasaskan kepada masalah dan kehendak majoriti penduduk di kawasan itu, bukannya didorong oleh mana-mana parti politik termasuk BN.


Beliau meminta kerajaan negeri tidak terus menuduh tindakan penduduk itu bermotifkan politik dan dipengaruhi mana-mana parti.


''Bantahan ini datang dari hati penduduk. Kita tidak mahu kerajaan negeri berikan alasan politik dalam hal ini tetapi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.


''Kita tidak ada niat untuk bersifat perkauman atau menghalang kaum lain mengamalkan agama mereka, tetapi kita mahu mereka turut menghormati umat Islam di kawasan ini,'' ujarnya.

Isnin, Ogos 17, 2009

UMNO TERENGGANU SUDAH PULIH?


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno Terengganu kini berpecah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.


Sebaliknya, Hishammuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan serta semangat anggota Umno negeri itu ketika ini begitu tinggi.


"Sejak kebelakangan ini, ada tuduhan daripada pihak-pihak tertentu bahawa Umno Terengganu berpecah, pemimpin-pemimpin bertelagah dan bersengketa."Tuduhan itu tidak berasas kerana Umno masih lagi mendapat tempat bagi membela bangsa Melayu," katanya semasa melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.


Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.


Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun mengakui bahawa sebelum ini wujud persengketaan di kalangan pemimpin Umno Terengganu namun perselisihan faham itu telah diselesaikan.


Katanya bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ketua-ketua Bahagian Umno di negeri itu, supaya mereka kembali memperkukuhkan parti.


"Malah di peringkat akar umbi, mereka mahu melihat Umno Terengganu kembali bersatu dan utuh. Maka, pemimpin-pemimpin Umno perlu rapatkan barisan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum (ke-13) akan datang," katanya.


Dalam pada itu, beliau mahu anggota Umno Terengganu terus bersatu dan menunjukkan semangat luar biasa bagi memastikan parti itu terus relevan dalam membela nasib bangsa Melayu.


"Inilah harapan saya selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Oleh itu, mulai hari ini saya mengarahkan Umno Terengganu supaya bangkit dengan semangat dan kesedaran yang luar biasa (untuk memenangi hati rakyat)," katanya.

ROHAIZAT SEDIA JAWAB TUDUHAN


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sudah bersedia menghadapi pihak pembangkang sepanjang tempoh berkempen bermula hari ini.


Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah menjangka akan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan bersifat peribadi tetapi menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi ekoran kesediaannya bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.


''Saya sudah bersedia untuk menghadapi tuduhan (pembangkang) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen), saya akan menjawab apabila tiba masanya.


''Bagaimanapun, pada masa ini, saya serahkan kepada Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menjelaskannya. Satu kenyataan mengenai perkara ini akan dikeluarkan beliau petang ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini kelmarin.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa beliau disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam Malaysia.


Rohaizat bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hafarizam untuk menjelaskannya.


Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan peluang BN di Permatang Pasir, Rohaizat berkata, '' Saya tidak fikir begitu."


Tambahnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah dan menganggapnya sebagai satu isu lama yang sudah selesai dan tiada kaitan dengannya.


''Saya memang seorang peguam, tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu," kata Rohaizat sambil menambah, beliau sedar isu yang cuba hendak dibangkitkan oleh Pas itu.


Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rohaizat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calon BN yang bakal dicabar Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52 tahun.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

PERTANDINGAN DUA PENJURU DI PERMATANG PASIR


Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Permatang Pasir 25 Ogos ini melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.


BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, manakala calon Pas ialah Mohd Salleh Man Mat Aji, 52, atau lebih dikenali sebagai Salleh Man, yang merupakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.


Selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Jalan Berapit di sini hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya berkata sebanyak 15 bantahan diterima daripada kedua-dua pihak yang bertanding tetapi kesemuanya ditolak.


Pencalonan Rohaizat, seorang ahli perniagaan dan muka baru dalam pilihan raya, dicadangkan oleh Abdul Majid Othman dan disokong Ng Tong Hye.Anak kelahiran Mengkuang Titi itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di sekitar kawasan Penanti dan Permatang Pauh.


Calon Pas, Salleh Man, dilahirkan di Kepala Batas dan pernah mewakili parti itu sebanyak enam kali pada pilihan raya bermula tahun 1986 sehingga pilihan raya umum 2008 lalu tetapi tewas dalam kesemuanya.Pencalonan beliau dicadangkan oleh Mahdi Abdullah dan disokong Shamsul Kamal Md Shafie.


Hasrat seorang pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak kesampaian setelah beliau tiba lewat di pusat penamaan calon.Kamarul Ramizu, 42, yang telah membeli borang pencalonan dari Pejabat Pilihan Raya negeri Jumaat lepas, bagaimanapun berkata beliau tidak kecewa dengan insiden yang berlaku.


"Saya terlambat kerana kesesakan lalulintas dan sebaik sahaja saya masuk ke dalam , dewan itu dah tutup," katanya.


Kerusi Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 31 Julai akibat serangan jantung.


Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan itu selama tiga penggal sejak 1999, memperoleh 11,004 undi mengalahkan Ahmad Sahar Shuib dari BN dengan majoriti 5,433 undi.


Permatang Pasir mempunyai 20,290 pemilih berdaftar termasuk seorang pengundi pos, dan daripada jumlah itu, 72.34 peratus adalah pengundi Melayu, 25.86 peratus Cina, 1.64 peratus India dan keturunan lain 0.16 peratus.

Sabtu, Ogos 15, 2009

SALLEH MAN CALON PAS


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh.


Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.


Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos.


Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.


Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.


Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.


Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan.


Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk �Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu� di Permatang Pasir.
Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim. Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu

Jumaat, Ogos 14, 2009

RUMAH PEMILIK WATAN MUNGKIN DISITA


Pemilik akhbar WATAN, Wan Bahador Wan Ismail atau Baha Azuwan akan dipanggil ke Jabatan Tenaga Manusia Bangi pada 20 Ogos ini berikutan aduan pekerja-pekerja akhbar tersebut kononnya beliau tidak membayar gaji selama lima bulan.



Menurut jurucakap jabatan tersebut, jika Baha tidak datang ke pejabat ini, beliau akan dikenakan waran tangkap kerana beliau sudah mengengkari panggilan pertama ke pejabat itu baru-baru ini.



Sehingga ini empat orang bekas pekerja akhbar WATAN telah membuat tuntutan di pejabat itu yang berjumlah hampir RM50 ribu. Ramai lagi yang belum buat tuntutan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.



Akhbar WATAN telah diterbitkan semula oleh Naluri Teratai Sdn. Bhd. mulai 15 Ogos tahun lepas dan ia dihentikan penerbitannya pada bulan April lalu. Sebelum ini ia dimiliki oleh Kumpulan Krangkraf dan Kumpulan Krangkraf telah menjualnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada tahun 1992.



Akhbar itu sudah tidak diterbitkan selama 13 tahun dan Baha yang rapat dengan Tengku Adnan telah menjaya mengambilalih penerbitan akhbar tersebut yang sudah lama mati permit penerbitannya.



Menurut jurucakap jabatan itu, jika Baha enggan membayar tunggakan gaji para pekerjanya, mungkin jabatan itu tidak ada pilihan selain menyita rumahnya di Selayang.



Baha dikaitkan dengan Tengku Adnan kerana sudah tiga kali beliau menolong Baha. Pertama, Tengku Adnan sebagai ahli lembaga pengarah Hyundai telah memberi dealership kereta Hyundai di Selayang. Kali kedua Tengku Adnan sebagai Menteri pelancongan telah memberi syarikat Baha, Dalamasa Sdn Bhd menjadi operator teksi eksekutif Pempena anak syarikat Tourism Malaysia dan kali ketiga, Tengku Adnan memberikan Baha akhbar WATAN.



Tiga kali tengku Adnan menolong Baha tetapi ketiga-tiga perniagaan Baha lingkup.

ROHAIZAT CALON BN


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.


Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam petang ini.
Nama Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru ini.


Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.


Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.


Salah satu yang disebut-sebut mungkin dipilih mewakili PAS kali ini ialah Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.


Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.


Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh.

SHAH RUKH KHAN RAI ALI RUSTAM


Superstar Bollywood Datuk Shah Rukh Khan telah meraikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Mumbai Isnin lalu.


"Saya makan malam di rumahnya. Beliau hidang masakan India terbaik termasuk briyani and thosai. Boleh saya katakan, masakan Malaysia kurang 20 peratus sedap daripada masakan asli India," kata Mohd Ali kepada Bernama semasa berkunjung ke Hyderabad.


Mohd Ali dan ahli rombongan kecilnya berada kira-kira dua jam di rumah besar Shah Rukh di Banjara Hills di Mumbai.


Beliau berkata Shah Rukh turut bersetuju untuk melakukan satu atau dua penggambaran filem untuk filem terbarunya bertajuk Happy New Year di Melaka lewat tahun ini.Filem ini diarah sendiri Shah Rukh dan isterinya Gauri Khan.


Shah Rukh Khan menerima gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka akhir tahun lalu.Semasa di sini, Shah Rukh dan Mohd Ali juga berbincang untuk menubuhkan studio filem di Melaka bagi membangunkan bakat untuk industri filem Malaysia.


"Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan dan pengeluaran filem. Beliau telah memberi persetujuan, kita berharap beliau dapat memberi syarahan dan berkongsi pengetahuan dengan kita," kata Mohd Ali.


Dua filem Shah Rukh "One Two Ka Four" dan "Don" dibuat penggambaran di Melaka.

Khamis, Ogos 13, 2009

ASRI RABANI DAN DHARMALA N.S MENINGGAL


Semalam negara kehilangan sasterawan Dharmala N.S, hari ini negara kehilangan seorang penyanyi nasyid terkenal, Asri Ibrahim pula.

Penyanyi utama Kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi ini telah rebah sebelum beliau memulakan persembahan pada pelancaran program Syahadah musim kelima di Angkasapuri di sini.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Pantai selepas tidak sedarkan diri. Sementara itu
sasterawan dan budayawan tanah air, Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Dharmala NS, 62, meninggal dunia di Hospital Selayang semalam akibat serangan sakit jantung.

Menurut isterinya, Adiah Mat Lana, 54, suaminya meninggal dunia pada pukul 8.41 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Selayang pada Selasa lalu setelah mengadu sakit dada.

''Arwah baru sahaja selesai bersahur kerana berniat untuk berpuasa sunat,'' jelasnya.

Anak lelaki Allahyarham, Idham Khalil, 27, pula berkata, dia tidak menyangka yang bapanya ketika itu diserang sakit jantung.
''Setelah mendapati sakit dadanya itu tidak hilang, kami mengambil keputusan untuk menghantar arwah ke Hospital Selayang.

''Di Hospital Selayang beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) sehingga menghembuskan nafas terakhir pagi ini,'' katanya.

Tambah Idham lagi, malam sebelum mengadu sakit dada itu, ayahnya tidak boleh tidur malah sempat mengemaskini blog peribadinya.

''Malam itu arwah kelihatan bertenaga malah sempat mengemas kini blognya sehingga pukul 4 pagi sebelum bersahur bersama ahli keluarga,'' tambahnya ketika ditemui di Masjid Sri Gombak di sini.

Selepas dimandikan di Masjid Sri Gombak, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bachang Mantin, Petaling di Jelebu, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Turut menziarahi jenazah di Masjid Sri Gombak ialah wakil kepada Undang Luak Rembau, Kamaruzzaman Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta Ahli Jawatankuasa Pena, Dr. Ibrahim Ghaffar.

Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam penulisan novel, cerpen, sajak serta penulisan skrip drama televisyen dan filem.

Saya mengenali Dharmala pada tahun 1976 ketika beliau berceramah dalam satu kursus penulisan di Seremban. Ketika itu saya belajar di tingkatan lima di MRSM Seremban. Kami pernah bekerja sebumbung di WATAN pada tahun 1988. Ketika itu saya adalah Penolong Editor akhbar WATAN dan beliau adalah sub editor akhbar yang sama.

Beliau pernah bekerja dengan ahli parlimen DAP dan satu-satunya Melayu yang menyertai DAP. Tetapi akhirnya beliau meninggalkan parti itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.




UMNO AKAN PECAT AHLI SABOTAJ PARTI


UMNO akan memecat mana-mana pemimpin atau ahlinya yang mensabotaj jentera parti dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.


Sehubungan itu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memantau secara serius perjalanan jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu dan tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan kepada parti.


Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menegaskan, mana-mana ahli UMNO di Permatang Pauh atau di mana-mana tempat di Pulau Pinang yang mensabotaj parti dalam pilihan raya akan dipecat dalam tempoh 60 hari.


''Saya tidak main-main dalam hal ini dan saya harap semua faham mesej ini," katanya pada sidang akhbar sebelum mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua peti undi BN untuk Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir di Permatang Pauh semalam.


Ahmad Zahid berkata, perpaduan parti perlu menjadi keutamaan dan segala persengketaan terutamanya yang bersifat peribadi perlu diketepikan bagi memastikan jentera parti betul-betul mantap.


Katanya, semua pemimpin sama ada yang sudah lama atau baru mesti mempamerkan kesungguhan dan diberi peranan masing-masing bagi melicinkan jentera pilihan raya.


''Kita perlu ingat, sebelum kita hendak mempengaruhi pengundi lain, kita mesti mempengaruhi ahli-ahli UMNO terlebih dahulu," katanya.

PENDAKWA SPRM TIDAK CEKAP?


Nampaknya banyak kes SPRM yang dibawa ke mahkamah kalah sejak akhir-akhir ini. Kes Datuk Ramli Yusof, bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia tersungkur bila peguamnya, Datuk Muhammad Shafee berjaya membuktikan bahawa Ramli tidak bersalah.


Semalam Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Tanah dan Koperasi terlepas. Kalau begini gayanya orang besar yang didakwa oleh SPRM terlepas, maknanya orang tidak akan hormati SPRM lagi. Sebaliknya bila orang kecil didakwa di mahkamah, tersangkut pula.


Oleh itu Pesuruhjaya PSRM, Datuk Ahmad Said Hamdan perlu melihat hal ini secara serius. Kalau perlu semua pendakwa SPRM hendaklah dilatih supaya semua kes yang dibawa ke mahkamah biarlah tersangkut supaya orang segan dan gerun kepada SPRM.


Sejak kebelakangan ini SPRM begitu serius menyiasat sebarang aduan. Yang peliknya orang ramai pertikai bila asyik menyiasat wakil rakyat pembangkang sedangkan aduan terhadap wakil rakyat BN tidak disiasat. Orang ramai mula menyamakan SPRM dengan BPR yang tiada taring dan jadi alat kepada BN. Bila ADUN Kemasik, Ir Rosli ditahan SPRM, Datuk Seri Najib berkata ia bukti SPRM bukan alat kepada BN. Jika Ir Rosli ambil peguam terkenal seperti Datuk Muhammad Shafee, saya yakin beliau akan terlepas juga.


Oleh itu sebelum mendakwa seseorang SPRM kena pastikan mereka punya kekuatan untuk menangi kes. Jika tidak, buang masa saja bawa kes itu ke mahkamah. Kita harap SPRM tidak jadi seperti BPR yang hilang wibawanya. Kita lihat dulu kes Datuk Dr. jeffrey Kitingan. Bila dia bersama PBS dan merancang membawa Sabah keluar dari Malaysia, beliau didakwa oleh BPR ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah. Sebaliknya bila dia menyertai parti komponen BN dan dilantik timbalan menteri, kesnya ditarik balik. Kini beliau bersama PKR dan kesnya sudah selamat. Jadi di mana letaknya kewibawaan BPR? Oleh itu SPRM jangan jadi seperti BPR yang membuat pendakwaan terpilih.

Rabu, Ogos 12, 2009

NASIB KASITAH DIKETAHUI HARI INI


Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada hari ini sama ada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam perlu mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan rasuah dan penipuan.


Hakim Suraya Othman dijadual menyampaikan keputusannya sebelah pagi.Pada 12 Feb 2004, Kasitah, 61, juga bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB), didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi SLDB untuk kepentingan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga tersebut kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd.


Dia juga didakwa menipu SLDB dengan tidak mengumumkan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan PPB untuk disenaraikan pada Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE), kini Bursa Malaysia.


Sejumlah 31 saksi pendakwa telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu sejak ia pertama kali didengar pada awal 2007.Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Tan Sri Joseph Kurup dan bekas Ketua Pegawai Operasi CIMB Bank Berhad Tan Sri Munir Majid.

Selasa, Ogos 11, 2009

MUHYIDDIN OKEY


‘‘Saya okey, tiada masalah dan tidak terkejut,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menceritakan pengalaman apabila helikopter yang dinaikinya terpaksa melakukan pendaratan tidak dijadual di Tuaran semalam.


Helikopter Nuri yang membawa Timbalan Perdana Menteri dan 14 yang lain melakukan pendaratan tidak dijadual di Impian Jadi Resort, Tuaran akibat cuaca buruk.


Muhyiddin dalam perjalanan dari Kudat ke Kota Kinabalu untuk merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang.


‘‘Saya lega kita ada juruterbang yang bagus yang merasakan adalah tidak wajar untuk meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu kerana cuaca buruk.


‘‘Jadi kita mendarat di Tuaran. Tiada perkara pelik berlaku. Dia (juruterbang) telah melakukan perkara yang betul,” katanya pada sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini selepas mengakhiri lawatan sehari ke Sabah.


Kelewatan akibat cuaca buruk itu memaksa Timbalan Perdana Menteri membatalkan rancangan merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang.


Kejadian yang menimpa Muhyiddin ini mengingatkan saya ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Anwar ke Perlis dengan helikopter Nuri dan helikopter yang sama dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur terhempas selepas menghantar Anwar.


Oleh itu orang politik berhati-hatilah menaiki helikopter Nuri.

TIONG DERMA RM10 JUTA


Dua puluh empat jam selepas satu laporan polis dibuat terhadap syarikat pemaju Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pegawai tingginya membuat satu pendedahan yang mengejutkan.


Ketua Pegawai Eksekutif KDSB Tiong King Sing - yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN - mendakwa beliau telah 'menderma' RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu.


Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.


Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000bagi perkhidmatan tersebut.


Bercakap kepada Malaysiakini, Tiong mendakwa beliau telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit selepas diminta berbuat demikian oleh Ong.Wang tersebut dibayar secara tunai dalam tiga peringkat sewaktu pertemuan dengan presiden MCA itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

APA MALANGNYA ORANG PERMATANG PAUH


Baru satu tahun lima bulan pilihan raya umum 2008 berlalu tetapi di kawasan parlimen Permatang Pauh, pengundinya berpeluang menghadapi pilihan raya kecil sebanyak tiga kali dalam tempoh 17 bulan. Ia adalah satu rekod yang pertama kali dalam sejarah satu kawasan parlimen.




Selepas Dr. Wan Azizah menangi kerusi Permatang Pauh pada 8 Mac tahun lalu dengan majoriti 13,398 undi mengalahkan Pirdaus Haji Ismail dari BN, beliau letakkan jawatan untuk beri laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim aktif semula dalam politik.




Maka pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan pada 26 Ogos 2008 selepas lima bulan pilihan raya umum. Anwar menang dengan majoriti yang lebih besar dari majoriti yang diperolehi isterinya. Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi manakala calon BN, Arif Shah Omar Shah dapat 15,524 undi, lebih kecil dari undi yang dipungut oleh Pirdaus, 16, 950 undi. Anwar dapat peningkatan undi sebanyak 31,195 undi berbanding dengan isterinya yang dapat 30,348 undi.




Kemenangan besar Anwar menandakan Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR. Sebab itu apabila ADUN Penanti, Mohamad Fairus meletakkan jawatan atas sebab-sebab peribadi pada 16 April lalu, BN tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei lalu.




BN tidak bertanding atas alasan pilihanraya kecil itu diadakan bukan kerana mengisi kekosongan akibat kematian wakil rakyat. Maka BN rasakan ia adalah satu pembaziran. Maka calon PKR, Dr. Mansor Othman menang dengan majoriti 5558 undi lebih besar dari majoriti Mohamad Fairus yang dapat majoriti 2219 undi mengalahkan calon BN, Jalil Abdul majid.




Dr. Mansor yang dapat 6052 undi mengalahkan tiga calon Bebas, Aminah Abdullah yang dapat 392 undi, Nai Khan Ari yang dapat 494 undi dan Kamarul Ramizu idris yang dapat 56 undi. Undi yang dipungut Dr. Mansor sebanyak 6052 undi bagaimanapun lebih rendah dari undi yang dipungut oleh Mohamad Fairus pada tahun lalu sebanyak 7,346 undi.




Sekali lagi pilihanraya kecil terpaksa diadakan di kawasan parlimen Permatang Pauh apabila wakil rakyat tunggal PAS, ADUN Permatang Pasir, Mohd. Hamdan Abdullah meninggal dunia pada bulan lepas.




SPR telah menetapkan hari pembuangan undi pada 25 Ogos ini. Pada tahun lepas, Hamdan menang dengan majoriti 5433 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5571 undi. Hamdan dapat 11,004 undi.




PAS akan mempertahankan kerusi Permatang Pasir dan BN akan bertanding kerana ia diadakan akibat kematian wakil rakyat. Oleh itu BN akan berhempas pulas untuk merampas kerusi PAS ini.




Sudah dua pilihanmraya kecil diadakan di dalam kawasan parlimen Permatang Pauh di DUN Penanti dan DUN Permatang Pasir. Kita harap selepas ini tidak ada pula pilihanraya kecil di satu lagi DUN dalam Permatang pauh, DUN Seberang jaya yanmg dimenangi calon BN, Raja Arif Shah selepas ini. Jika tidak, para pengundi dalam parlimen Permatang pauh kena keluar mengundi lagi.


Pilihan raya kecil ini amat menarik kerana ia adalah satu ujian kepada Pengerusi baru Badan perhubungan UMNO Pulau Pinang, Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Isnin, Ogos 10, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU


Saya ucapkan selamat pengantin baru kepada rakan saya, Fairus binti Zabidi, 46 tahun, dengan pasangannya Zakaria, 39 tahun,pada hari Sabtu, 8 Ogos lalu di Ipoh, Perak. Ini adalah pernikahan Fairus yang ketiga manakala yang kedua bagi Zakaria.




Saya mendapat tahu berita itu semalam dari rakan-rakan Zakaria yang main snuker dengannya. Semoga pernikahan ini kekal ke anak cucu. Kali terakhir Fairus menghubungi saya pada malam Jumaat, 7 Ogos lalu tetapi dia tidak pula memberitahu saya akan menamatkan zaman jandanya pada keesokan harinya.




Suami pertamanya, Idrus telah meninggal dunia 10 tahun lalu. Manakala dia bercerai dengan suami keduanya, Abdul Rahman pada bulan November 2008. Selamat pengantin baru buat kalian berdua.

SPEAKER PAKATAN ADIL


Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo pada Isnin diarah keluar daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana keengganannya menarik balik perkataan "perompak" terhadap Barisan Nasional (BN).


"Saya minta Yang Berhormat Datuk Keramat untuk tarik balik perkataan itu atau saya terpaksa arahkan keluar dewan," kata Speaker Datuk Abdul Halim Hussain.Speaker mengarahkan Jagdeep keluar dewan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari berikutan Adun Datuk Keramat itu enggan berbuat demikian kerana mendakwa beliau tidak merujuk kepada kepada mana-mana individu yang berada dalam dewan.


Kekecohan berlaku ketika Jagdeep bangun untuk mendapatkan penjelasan daripada Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy berhubung isu Kampung Buah Pala.


"Kerajaan negeri dahulu merompak Kampung Buah Pala dan "dia" berada di sini," katanya.


Ketua pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Jagdeep itu meminta Abdul Halim mengarahkan Jagdeep untuk menarik balik kenyataannya.Jagdeep akhirnya akur dengan arahan Speaker dan meminta Abdul Halim menyatakan tempoh hukuman terhadapnya itu.


"Tempohnya sampai tengah hari ini," kata Abdul Halim.Tindakan Speaker mengarahkan Jagdeep keluar dewan itu menyebabkan R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) tidak berpuas hati dan meminta Speaker mengarahkan Azhar keluar dewan sehingga menimbulkan pertikaman lidah antara kedua-dua wakil rakyat itu


."Saya tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi, kalau tidak Yang berhormat pun keluar dewan juga," kata Speaker.