Memaparkan catatan dengan label debat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label debat. Papar semua catatan

Selasa, Mac 21, 2017

TAK JADI DEBAT MAHATHIR-NAZRI



IPOH 21 Mac - Polis menolak permohonan penganjur untuk mengadakan perdebatan antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar pada Sabtu ini.


Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd. Haq telah menerima permohonan daripada seorang wakil penganjur dari Kumpulan Media Karangkraf pada pukul 3 petang semalam.

Menurutnya, setelah dikaji sebab-sebab perhimpunan tersebut diadakan selain mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai, permohonan itu telah ditolak.


Katanya, permohonan penganjur ditolak ekoran kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan seperti mana yang dinyatakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Selain itu, tempat perhimpunan yang dipilih di MRSM Sultan Azlan Shah adalah kawasan sekolah dan ia merupakan tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012).

“Penolakan itu juga kerana Jadual Ketiga APA 2012 secara jelas menyatakan perhimpunan atau dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan,” katanya di sini semalam.


Menurut beliau, sebab lain penolakan itu berikutan pihak polis telah menerima bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis yang dibuat orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan.

Katanya, laporan itu dibuat kerana mereka bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga dan ini merupakan bantahan dari orang-orang yang berkepentingan dalam APA 2012.

“Penolakan itu telah dimaklumkan kepada pihak penganjur semalam dan keputusan secara bertulis berhubung perkara itu akan diserahkan hari ini.

“Pihak polis mengalu-mengalukan semua pihak supaya akur kepada arahan Ketua Polis Daerah ini dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya ia diteruskan,” ujar beliau. -


Jumaat, Oktober 11, 2013

IRWAN AMBAK CADANGKAN DEBAT CALON KETUA PEMUDA

PETALING JAYA: Calon Ketua Pemuda, Irwan Ambak Khalid Izhar mencadangkan supaya Pemuda Umno mengadakan majlis debat di antara kelima-lima calon Ketua Pemuda sebelum 12 Oktober ini. Katanya, melalui debat ini, 70,000 orang perwakilan dapat menilai siapa yang layak menjadi Ketua Pemuda. “Jika kelima-lima calon ini diberi peluang berdebat, perwakilan dapat memilih Ketua Pemuda yang terbaik,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di pejabat FMT hari ini. Irwan Ambak yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Setiawangsa, adalah di antara empat calon yang mencabar penyandang Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda selain daripada Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Abdul Karim Ali dalam pemilihan Umno nanti. Beliau yang juga anak saudara Toh Puan Endon Mahmud (isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berkata hasratnya menentang Khairy yang juga suami sepupunya, Nori Abdullah adalah untuk meneruskan agenda pemuda. Ayahnya, Khalid Izhar adalah adik kepada Endon. Irwan mengatakan bahawa pendiriannya untuk bertanding bagi jawatan itu telah mendapat restu dan sokongan akar umbi. Menghormati “Sebenarnya, saya telah pun memberitahu Khairy Jamaluddin seawal Julai yang saya ingin bertanding pada pemilihan kali ini kerana saya menghormati dia sebagai Ketua Pemuda yang sedia ada. Pada masa itu, dia berkata terima kasih dan harapkan satu pertandingan yang sihat. Lantas, saya keluarkan satu‘public statement’ di blog sebelum mana-mana calon lain tampil ke hadapan seperti Akhramsyah, Syed Rosli dan Abdul Karim,” katanya. Menurutnya, sistem kewangan sedunia yang bertunjangkan Dolar Amerika Syarikat bakal mengundang risiko pada jangka masa panjang. “Dalam konteks global, sistem kewangan sedunia bertunjangkan US Dollar dan sekiranya anda lihat analisis dari pakar ekonomi, terdapat masalah besar yang melanda sistem kewangan sedunia yang berpaksikan kepada ‘World Reserve Currency US Dollar’,” jelasnya. Malah, yang menjadi persoalan kepada Irwan adalah, apakah langkah yang diambil kepimpinan negara untuk mengatasi masalah ini, sekiranya sistem kewangan Malaysia yang bergantung kepada Dolar Amerika Syarikat, gagal. Jelasnya, agenda ini wajar dilihat penting selaras dengan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia. “Apabila saya memikirkan fungsi UMNO sebagai parti tulang belakang memerintah Malaysia, saya lihat tiada pemimpin pun yang memikirkan mengenai kepentingan jangka panjang bagi negara dan masyarakat umum dari segi sistem kewangan kita. Itu tawaran saya untuk mengetuai Ketua Pemuda,” katanya. Kabur Beliau yang merupakan junior Akramsyah Sanusi di MRSM Balik Pulau berkata sehingga kini idea pembaharuan kepada organisasi pergerakan pemuda semakin kabur kerana laungan yang dikitar semula. “Secara amnya, saya lihat tiada banyak perbezaan dari segi pentadbiran atau pembaharuan yang dibawa kepada pemuda, dari zaman dahulu hingga sekarang. Kalau saya boleh kata, fungsi pemuda sebagai pembawa idea atau pembaharuan bernas itu, semakin kabur dan semakin tidak kelihatan. “Jadi, sekiranya pemimpin pemuda hanya melaungkan atau mengulang semula apa yang pemimpin negara katakan, maka tidak memberi kesan dan tiada sumbangan berdaya maju kepada negara. Saya tidak merasakan bahawa tak terdapat apa-apa impak yang memberi manfaat pada hala tuju Pemuda UMNO masa depan,” tegasnya ketika ditanya mengenai perubahan zaman kepimpinan pemuda. Dengan slogan “Pemuda Berkat, Masyarakat Rahmat’, Irwan Ambak berkata, syariah Islam menekankan perjuangan yang membawa kebenaran kepada masyarakat bagi mendapatkan kerahmatan dari Allah dan keberkatan dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin.

Selasa, Januari 13, 2009

JANGAN LAYAN DEBAT ROYALTI MINYAK


Pengarah kempen PAS bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Wan Mutalib Embong telah mencabar UMNO berdebat dengan PAS mengenai isu royalti minyak. Katanya, UMNO turunkan peguam terbaik untuk berdebat dengannya yang juga seorang peguam.


Bagi saya, UMNO tak perlu layan cabaran Wan Mutalib ini. Buang masa saja. Tak perlu panggil peguam mahu lawan Wan Mutalib yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu. Menteri Besar, Ahmad Said sendiri sanggup berdebat dengan beliau kerana rahsia Wan Mutalib sepanjang jadi Exco dari tahun 1999-2004 banyak ada di tangan Ahmad Said.


Tak payah cakap banyaklah Wan Mutalib. Semua orang tahu semasa awak jadi Exco, banyak tanah kerajaan negeri diberi kepada koperasi milik orang PAS. Bila BN menang dan nak ambil balik tanah itu, kerajaan kena bayar pampasan berkali ganda kepada koperasi tersebut di mana ketika kerajaan PAS menawarkannya dengan harga yang murah. Berapa juta koperasi itu untung.


Nasib baik awak tak jadi calon PAS dalam pilihan raya kecil ini. Kalau tidak habis rahsia awak didedah oleh Ahmad Said. Sepatutnya PAS syukur kerana desakan Ahmad Said, kerajaan pusat setuju kembalikan semula royalti minyak kepada kerajaan negeri walaupun desakan itu dibuat dalam media yang menyinggung perasaan Perdana Menteri, Pak Lah.


Ahmad Said berani walaupun Pak Lah melenting apabila ditanya komennya oleh media. Perjuangan Ahmad Said sudah berjaya. Jadi kenapa perlu diadakan debat lagi. Cukuplah Wan Mutalib. Dah tak ada modal lain ke?

Rabu, Oktober 29, 2008

WALAUPUN KALAH BERDEBAT, TAPI SHABERY SOKONG


Walaupun Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kalah berdebat dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini, tetapi beliau menyokong diadakan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO sebagaimana dicadangkan oleh beberapa pemimpin parti itu kebelakangan ini.


Beliau berkata, pendekatan tersebut akan membolehkan orang ramai menilai personaliti calon, tahap kebijaksanaan, kekuatan dan paling penting, kewibawaan.


“Debat mungkin tidak memberikan gambaran secara menyeluruh tetapi orang ramai pasti ingin tahu perancangan dan program yang ditawarkan oleh calon-calon dalam berdepan dengan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar tani anjuran Majlis Daerah Kapit, Sarawak semalam.


Ahmad Shabery berkata, debat membolehkan pengundi melihat kredibiliti dan kebolehan seseorang calon dalam menangani sesuatu perkara.


Beliau berkata, ia juga membolehkan pengundi melihat idea dan kredibiliti seseorang calon meskipun kepetahan mereka tidak menggambarkan segala-galanya.


“Dengan berdebat, setiap pengundi tahu untuk menilai kekuatan dan kebolehan seseorang calon. Ia merupakan cara bagi mengelakkan berlakunya politik wang yang mungkin wujud semasa pemilihan parti nanti,’’ katanya.


Tentu kita masih ingat bagaimana majoriti rakyat Malaysia melihat Shabery kalah di tangan ketua pembangkang. Beliau bukan sahaja tidak menjawab soalan dalam debat itu malah menyerang peribadi Anwar Ibrahim. Majoriti rakyat kecewa melihat prestasi debatnya. Malah dalam blognya sendiri, http://www.notashabery.com/ ramai pengunjung mengutuknya di atas kegagalan berdebat sampai berbuih mulutnya.


Dari segi pidato memanglah Shabery hebat tetapi tanya sajalah orang Kemaman betapa susahnya mahu jumpa ahli parlimen mereka yang jarang balik kawasan. Mereka masih ingat betapa mudahnya bertemu dengan Datuk Ismail Said sewaktu beliau menjadi ahli parlimen Kemaman selama empat penggal dahulu (1978-1995).


Walaupun Ismail orang luar tetapi beliau mesra dengan orang kampung. Sampai sekarang bila dia balik Kemaman dia menerima layanan dari orang Kemaman.

Selasa, Oktober 28, 2008

KENAPA TAKUT PADA DEBAT?


UMNO sudah berusia 62 tahun. Jadi agak lucu bila seorang menteri berkata belum sampai masanya lagi untuk menjadikan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO.
Mustapha Mohamad atau Tok Pa yang terkenal dengan jolokan menteri lima minit tidak setuju diadakan debat di antara calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti Mac depan.

Hairan juga bagaimana seorang pemimpin yang hebat macam Tok Pa tidak suka dengan cadangan berdebat kerana katanya ahli UMNO belum matang lagi. Dah 62 tahun umur UMNO, sampai bila nak matang? Tunggu UMNO berusia 100 tahun?

Lain pula dengan Dr. Rais Yatim yang meminta UMNO menyediakan satu platform khas bagi membolehkan calon-calon yang bertanding mengemukakan visi dan misi mereka kepada para perwakilan. Jika platform ini atau debat diadakan, ia tak perlu disiarkan secara langsung di tv kerana bimbang ia dimanupulasi oleh pembangkang seperti kata Tok Pa.

Dengan adanya platform ini sekurang-kurangnya perwakilan dapat menilai pemimpin mana yang wajar dipilih oleh mereka. Oleh itu kenapa harus takut kepada debat? Sampai masanya bagi para perwakilan UMNO menerima debat ini sebagai wadah kepada calon-calon untuk mengemukakan visi dan misi mereka.