Selasa, Oktober 28, 2008

KENAPA TAKUT PADA DEBAT?


UMNO sudah berusia 62 tahun. Jadi agak lucu bila seorang menteri berkata belum sampai masanya lagi untuk menjadikan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO.
Mustapha Mohamad atau Tok Pa yang terkenal dengan jolokan menteri lima minit tidak setuju diadakan debat di antara calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti Mac depan.

Hairan juga bagaimana seorang pemimpin yang hebat macam Tok Pa tidak suka dengan cadangan berdebat kerana katanya ahli UMNO belum matang lagi. Dah 62 tahun umur UMNO, sampai bila nak matang? Tunggu UMNO berusia 100 tahun?

Lain pula dengan Dr. Rais Yatim yang meminta UMNO menyediakan satu platform khas bagi membolehkan calon-calon yang bertanding mengemukakan visi dan misi mereka kepada para perwakilan. Jika platform ini atau debat diadakan, ia tak perlu disiarkan secara langsung di tv kerana bimbang ia dimanupulasi oleh pembangkang seperti kata Tok Pa.

Dengan adanya platform ini sekurang-kurangnya perwakilan dapat menilai pemimpin mana yang wajar dipilih oleh mereka. Oleh itu kenapa harus takut kepada debat? Sampai masanya bagi para perwakilan UMNO menerima debat ini sebagai wadah kepada calon-calon untuk mengemukakan visi dan misi mereka.