Selasa, Ogos 06, 2013

PECAH UNDI TAK TIMBUL

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Umno Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah (gambar) berkata soal pecah undi tidak timbul jika dua calon dari Sabah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 5 Oktober ini. Katanya, perwakilan memilih Naib Presiden bukan kerana soal kenegerian tetapi kerana kelayakan mereka. “Malah perwakilan Umno pernah memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Naib Presiden Umno pada tahun 1987 sedangkan mereka dari negeri yang sama, Pulau Pinang,” kata beliau kepada FMT ketika mengulas desas-desus Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Said Keruak akan menyertai pertandingan Naib Presiden Umno. Semalam FMT menyiarkan kemungkinan Salleh yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah akan turut bertanding jawatan tersebut yang memungkinkan perpecahan undi dari Sabah. Datuk Seri Shafie Afdal merupakan pemimpin Sabah yang pertama memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2009 selepas Umno bertapak di Sabah pada tahun 1991. Sehingga ini, dua calon Naib Presiden, Shafie Afdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan mereka akan mempertahankan jawatan manakala Datuk Seri Hishamudin Husein belum lagi mengesahkannya. “Jika Shafie dan Salleh bertanding, ia tidak akan memecahkan undi dari Sabah,” kata beliau. Rizalman yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan berkata perwakilan menilai pemimpin yang layak jadi Naib Presiden Umno berdasarkan ketokohan mereka dan bukannya kerana soal kenegerian. “Kalau dua calon dari Sabah ini layak duduk di situ, tidak mustahil mereka menang kerana perwakilan bijak membuat keputusan,” katanya lagi. (dipetik dari freemalaysiatoday.com) Sehingga ini Salleh tidak dapat dihubungi untuk pengesahan sama ada beliau akan merebut kerusi Naib Presiden Umno itu atau tidak.