Selasa, Ogos 06, 2013

KENAPA PERLU ADA PAKATAN?

Kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa beliau dan dua lagi rakan naib presiden akan bekerjasama rapat bagi mendepani cabaran pada pemilihan parti itu akan datang menimbulkan tanda-tanya. Hal demikian itu timbul selepas beliau dan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan hasrat untuk mempertahankan jawatan itu dalam Umno. Kenapa tiga orang calon naib Presiden Umno ini perlu ada pakatan seolah-olah menyekat calon lain mahu bertanding.Sehingga kini dua orang bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam dijangka turut bertanding. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak dijangka bertanding juga jika Pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman tidak berminat. Kenyataan Hishamuddin ini.seolah-olah memberi indikasi bahawa tiga calon ini direstui Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jika ia benar, ia adalah tidak sihat kepada Umno yang tidak beri kebebasan kepada 146,000 perwakilan memilih Naib Presiden menurut selera mereka. Kenapa kita mahu kembali kepada pemilihan 1975? Ketika itu Tun Razak menyebut tiga nama, Tun Ghafar Baba, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai naib presiden dalam ucapan perasmian perhimpunan agung Umno yang menyebabkan perwakilan marah. Kenapa Hishamuddin tak berani bertarung secara sendirian? Kenapa perlu berpakat dengan Zahid dan Shafie? Adakah kerana beliau sepupu Najib yang seolah-olah Najib merestui mereka bertiga terus kekal sebagai Naib Presiden Umno? Najib sepatutnya membuat kenyataan supaya calon-calon yang bertanding tidak menjaja namanya untuk meraih undi. Bagi saya, pertandingan ini biarlah terbuka kepada semua. Perwakilan hendaklah diberi peluang memilih tokoh terbaik sebagai Naib Presiden Umno dan bukannya menang kerana pasukan. Oleh itu jangan buat pakatan seperti pasukan wawasan pada tahun 1993- Najib, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang berjaya menyingkirkan dua penyandang jawatan, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid.