Isnin, Julai 29, 2013

KUALA NERUS: RAZIF CABAR NASIR?

KUALA NERUS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Razif Abdul Rahman (gambar) dijangka mencabar Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus September ini. Razif merupakan ADUN BN tunggal yang menang pada pilihanraya umum lalu manakala tiga DUN lagi, Tepoh, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu dimenangi PAS. Sesuai dengan kedudukan sebagai Exco Kerajaan Negeri, sudah sampai masanya bagi Razif mengambilalih jawatan Ketua Umno Bahagian. Pada tahun 2008, Nasir yang juga ahli parlimen Kuala Nerus ditentang oleh bekas ahli parlimen, Che Azmi Abdul Rahman yang juga abang kepada Razif. Nasir menang dalam pertandingan tersebut. Tetapi dengan kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu, maka kedudukannya mungkin tidak selamat lagi. Pada 5 Mei lalu, beliau kalah 610 undi kepada calon PAS, Mohd Khairudin Aman Razali. Khairudin mendapat 33,861 undi manakala Nasir mendapat 33,251 undi. Sepatutnya pada pilihanraya umum 2008, Nasir bertanding di DUN Seberang Takir untuk dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. Sultan Mizan dikatakan mahu Nasir jadi Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh. Bila Idris mengetahui berita ini dari Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi maka Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri telah memindahkan Nasir dari bertanding di kerusi DUN ke kerusi parlimen Kuala Nerus. Impian Nasir untuk menjadi Menteri Besar berkecai. Maka Sultan Terengganu tiada pilihan lain. Baginda terpaksa menerima nama Datuk Seri Ahmad said sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Idris. Menjelang pilihanraya umum lalu, nama Nasir disebut lagi sebagai pengganti Ahmad Said. Tetapi sekali lagi beliau dipilih sebagai calon parlimen yang memadamkan hasratnya untuk menjadi Menteri Besar Terengganu. Nasir ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Bukan sahaja tak dapat jadi Menteri Besar apabila dipilih bertanding di kerusi parlimen Kuala Nerus, sebaliknya kalah pula dan tak dapat jadi ahli parlimen. Orang yang sepatutnya menggantikan Nasir sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus ialah timbalannya, Datuk Rahin Mohd. Said. Tetapi Rahin yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri kalah dalam pilihanraya umum di DUN Teluk Pasu. Rahin kalah 109 undi kepada calon PAS, Ridzuan Hashim. Ridzuan mendapat 9,098 undi manakala Rahin mendapat 8,989 undi. Oleh itu para perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus perlu berani buat transformasi dengan memilih ketua yang baru, Razif yang kini ada jawatan dalam kerajaan negeri. Tidak ada makna Ketua Bahagian diketuai oleh orang yang tidak ada jawatan. Sudah sampai masanya bagi Nasir memberi laluan kepada Razif merancang pembangunan di Kuala Nerus. Tambahan pula Kuala Nerus baru sahaja dinaikkan taraf menjadi daerah yang baru. Takdirnya berlaku pertandingan tiga penjuru antara Nasir-Rahim-Razif, sudah tentu perwakilan memilih calon yang boleh beri kemudahan kepada mereka. Inilah kelebihan Razif yang menjadi Exco Kerajaan Negeri buat penggal kedua.