Isnin, Julai 29, 2013

DUNGUN: PERTEMBUNGAN DUA ROSLI?

Kedudukan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan tergugat berikutan kekalahannya dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu. Beliau tewas kepada calon PAS, Ustaz Wan Hassan Mohd Rosli dengan majoriti 3,942 undi bagi kerusi parlimen Dungun. Wan Hassan mendapat 35,348 undi manakala Rosli mendapat 31,406 undi. Pada tahun 2004, beliau menang kerusi tersebut mengalahkan calon PAS, Datuk Mustapha Ali. Pada tahun 2008, beliau tidak dipilih sebagai calon BN. Tempat beliau digantikan oleh Matludi Jusoh. Ramai hairan bagaimana Rosli yang juga Pengarah Strategi BN Terengganu boleh kalah dalam pilihanraya. Adakah pengundi menolak beliau kerana beliau ada kes ketika menjadi Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM)? Dalam pemilihan Umno pada tahun 2008, walaupun Rosli bukan ahli parlimen tetapi beliau berjaya mengalahkan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun. Beliau beregu dengan ADUN Rantau Abang, Datuk Zaabar Mat Adib yang menentang ahli parlimen Dungun, Matludi bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu. Zaabar menang dalam pertandingan berakit itu. Siapa yang layak menentang Rosli bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun? Adakah ADUN Bukit Besi, Roslee Daud yang juga Setiausaha Umno Bahagian? Beliau merupakan calon BN tunggal di Dungun yang menang setelah tiga calon DUN lain tewas termasuk Zaabar di Rantau Abang.Beranikah Roslee yang kini menjadi Exco Kerajaan negeri mencabar Rosli? Jika beliau berani, beliau akan mengulangi sejarah Setiausaha Umno Bahagian Marang, Datuk Yahya Khatib yang menentang Ketua Umno Bahagiannya, Datuk Rahman Bakar pada tahun 2008. Yahya merupakan Exco Kerajaan Negeri ketika itu manakala Rahman tidak dipilih sebagai calon. Yahya menang besar kerana perwakilan memilih Yahya yang ada jawatan sedangkan Rahman bukan lagi ahli parlimen Marang. Umno Bahagian Dungun memerlukan perubahan. Maka Roslee Daud wajar menyusun strategi untuk menyingkirkan dominasi Rosli di Dungun. Jika beliau tidak berani, maka beliau perlu bergabung tenaga dengan bekas ADUN Bukit Besi, Din Adam untuk mencabar Rosli buat pusingan kedua. Kekayaan melampau Rosli dengan memiliki banyak kereta mewah bernombor 56 menyebabkan rakyat meluat dengan beliau. Sebab itu beliau kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu. Para pengundi telah menghukum Rosli pada 5 Mei lalu. Maka tibalah pula para perwakilan Umno Bahagian Dungun untuk menghukum Rosli pada pemilihan tahun ini.