Khamis, Oktober 04, 2012

BERI KEUTAMAAN KEPADA ANAK TEMPATAN

Pengerusi Perkasa Daerah Kemaman, Zulkifli Ngah berpendapat sudah sampai masanya bagi DUN Air Putih, Kemaman diberi semula kepada anak tempatan. Menurut beliau, kali pertama dan terakhir ADUN tersebut diwakili anak tempatan dari tahun 1986 hingga 1999 (Haji Harun Hassan) selama tiga penggal. Pada tahun 1999, kerusi itu ditandingi anak Kijal, Dr Ramli Taib tetapi tewas kepada calon PAS, Haji Ismail Harun. Pada tahun 2004, anak Chukai, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dipilih sebagai calon BN Air Putih dan menang tapi digugurkan pada pilihanraya umum 2008 yang ditandingi anak Chukai juga, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar. Wan Hakim menang dan prestasinya dikatakan kurang disenangi pengundi tua. Sebaliknya beliau berjaya menambat golongan muda dengan berbasikal masuk kampung menemui rakyat. Pada pilihanraya umum akan datang Wan Hakim dikatakan akan dicalonkan di DUN Chukai kawasan lama ayahandanya, Wan Mokhtar yang juga bekas Menteri Besar Terengganu. Zulkifi berpendapat jika Wan Hakim dipindahkan ke DUN Chukai, sudah sampai masanya bagi pucuk pimpinan memilih anak tempatan sebagai calon BN. Di antara nama-nama yang disebut ialah Zulkifli Sulong, Tuan Kecil Tuan Tengah dan Jantan Mohamad. Manakala orang luar yang turut popular ialah Wan Ahmad Nizam, Rosli Ahmad dan Wan Hakim selaku penyandang jawatan. "Hanya anak tempatan yang memahami kehendak rakyat Air Putih," tegas Zulkifli Ngah lagi.