Ahad, September 30, 2012
BILA PENGARAH FILEM JAHIL
UNTUK Tiga Hari menjadi filem kesebelas arahan Afdlin Shauki yang ditayangkan di pawagam. Kali terakhir ialah filem komedi kerjasama Thailand, Berani Punya Budak pada April lalu.
Lazimnya kita dipertontonkan dengan filem-filem ilham Afdlin sendiri, antaranya Buli (2004), Papadom (2009) dan Misteri Jalan Lama (2011). Namun kali ini dia menggalas cabaran yang berbeza apabila mengerjakan naskhah adaptasi novel popular.
Astro Shaw dan Tarantella Pictures sekali lagi merintis penghasilan filem-filem dari novel selepas Legenda Budak Setan (2010) tulisan asal Ahadiat Akashah dan Ombak Rindu (2011) nukilan Fauziah Ashari.
Untuk Tiga Hari adalah sebuah lagi karya Ahadiat tetapi Afdlin bertindak sebagai penulis lakon layar untuk menyesuaikannya dengan bahasa filem dan durasi dua jam. Justeru, nuansa sentimental dan tragikal seperti dalam novel barangkali berubah apabila diambil alih oleh Afdlin.
Affin dan Ujie yang sudah bercinta selama 15 tahun terpaksa berkahwin dengan jodoh pilihan keluarga masing-masing. Lebih-lebih lagi bagi Affin yang mana hidupnya ditentukan ibu sejak kecil.
Demi memuaskan hati keluarga, Affin memutuskan agar mengikut apa saja yang dirancang tetapi dengan syarat. Mereka harus bercerai dengan pasangan masing-masing selepas tiga hari bernikah. Affin yakin dapat mengahwini Ujie selepas itu kerana sekurang-kurangnya telah menunaikan hasrat ibu.
Menolak kontroversi yang sedang tercetus (pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran diminta rujuk status perkahwinan kerana dialog dalam filem ini), saya berasakan Untuk Tiga Hari mempunyai premis yang menarik. Manusia cuba mempermain-mainkan jodoh milik Tuhan dan menerima implikasinya.
Saya tidak berkesempatan membaca novelnya tetapi di tangan Afdlin, Untuk Tiga Hari menjadi sebuah filem yang mempunyai sisi komedi yang kuat meskipun berdepan subjek yang berat. Afdlin mengekalkan ciri-ciri lazimnya menerusi style skrip yang bersahaja, mengimbangi antara drama dan humor.
Afdlin menjadikan filem ini seperti satu kursus perkahwinan apabila babak pembukaan, penutup dan beberapa babak di pertengahan menampilkan seorang ustaz yang sedang berceramah tentang hukum-hakam berumah tangga.
Kerana sifat novel yang tebal, Afdlin meletakkan beberapa adegan imbas kembali untuk menceritakan latar belakang dan sejarah watak-watak penting. Afdlin tahu cara yang sesuai untuk menyusun perjalanan cerita agar setiap plot dirungkai dengan jelas dan penonton tidak akan tertanya-tanya.
Filem ini bermula dengan satu keterujaan. Penonton seronok menyaksikan bagaimana Affin dan Ujie bertarung melawan ketentuan akibat berpegang pada janji serta bagaimana mereka saling mengelak untuk disentuh pasangan masing-masing dan saling membalas mesej di telefon secara sembunyi.
Menginjak ke pertengahan, saya merasakan momentum keseronokan itu mula berkurangan kerana isi yang mendatar. Peristiwa hari kedua dirasakan terlalu panjang, ditarik semata-mata untuk memenuhi masa.
Ketika ini, penonton sudah dapat menangkap idea yang ingin disampaikan dan apa yang ingin diketahui seterusnya ialah jadi atau tidak Affin dan Ujie bercerai dengan pasangan masing-masing.
Afdlin cuba memenuhi ruang di tengah-tengah dengan komedi tetapi dirasakan sedikit draggy.
Begitupun, graf cerita kembali memuncak menjelang ke penghujung. Affin berdepan tekanan apabila mengetahui rahsia ibunya, tentang Ujie yang berubah fikiran, juga kesilapan Affin apabila menjatuhkan talak tiga terhadap isterinya.
Keserasian di antara Vanidah dan Afdlin sebagai suami isteri pernah disaksikan menerusi filem Sepi (2008) arahan Kabir Bhatia. Mempunyai julat emosi tinggi rendah yang sama, keberkesanan lakonan terhasil secara semulajadi.
Sebaliknya berlaku pada lakonan Rashidi dan Ayu Raudhah yang dirasakan agak terasing. Saya tidak pasti sama ada ia disengajakan kerana tuntutan karakter atau pasangan pelakon yang tersalah padanan.
Menyentuh tentang pemilihan pelakon, saya tidak mahu menidakkan bakat Zizan Nin dan Dira Abu Bakar. Umum tahu mereka berkebolehan. Cuma saya merasakan Zizan terlalu berusia untuk melunaskan watak Affin semasa remaja. Begitu juga dengan Dira yang dilihat matang untuk karakter gadis 17 tahun.
Di sebalik kelemahan-kelemahan kecil itu, Untuk Tiga Hari masih mempunyai weight dan kejituan sebagai sebuah filem.
Ulasan saya, perkara cerai tak boleh dimain-main. Bila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegurnya maka Vanida dan Rashidi kena rujuk ke pejabat agama sama ada mereka ada lafaz cerai dalam filem itu.
Ini bermakna pengarah filem jahil tentang hukum-hakam. Sebelum buat filem perkara ini hendaklah dirujuk kepada pakar agama supaya filem ini tidak menimbulkan kontroversi.
Biarpun menyelitkan beberapa elemen Hindustan dan Hollywood (contoh jenaka Affin yang mudah sakit pinggang, juga romantika suami Ujie yang tiba-tiba menyanyi secara acapella), filem ini masih sebuah drama serius yang mengajak penonton berfikir tentang takdir dan ketentuan.