Jumaat, November 07, 2008

SEKAT MENYEKAT PERKARA LUMRAH


Nampaknya calon timbalan presiden, Muhammad Muhd. Taib dan calon naib ketua wanita, Azalina Othman kena beri bukti kepada UMNO bahawa mereka disekat oleh ketua bahagian untuk mendapatkan pencalonan.


Soal sekat menyekat bukanlah soal baru. Soal biasa dalam politik. Jika Muhammad hubungi ketua bahagian di Melaka, sudah tentu ketua bahagian itu tidak berani kerana pengerusi perhubungan UMNO Melaka ialah Ali Rustam yang mahu mencabar Muhammad dan Muhyiddin.



Hal yang sama dialami di Selangor yang mana mungkin ketua bahagian di negeri itu takut mencalonkan Ali kerana Muhammad adalah pengerusi perhubungan UMNO negeri. Di Johor sentiment kenegerian terhadap Muhyiddin mesti tebal. Jadi sukarlah Muhammad dan Ali mendapat pencalonan dari Johor kecuali Kota Tinggi dan Johor bahru yang tidak mencalonkan Muhyiddin.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta pemimpin yang mendakwa diri mereka disekat daripada dicalonkan supaya tidak hanya bercakap sebaliknya mengemukakan bukti.


Beliau berkata, mereka yang terbabit perlu memaklumkan kepada ibu pejabat perkara itu dengan menyertakan bersama fakta bagi membolehkan siasatan rasmi dilakukan.


‘‘Jangan setakat cakap saja. Dakwa ada sekat (pencalonan) sana, ada sekat sini. Kalau nak bercakap (tentang dakwaan disekat) biar ada fakta.


‘‘Sebab itu kalau betul, sila tampil buat laporan, biar ibu pejabat bertindak menyiasat. Kita ada saluran untuk bertindak,’’ katanya semalam.


Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden semalam mendakwa terdapat cubaan menyekat pencalonannya bagi memastikan beliau tidak layak bertanding pada pemilihan Mac depan.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mendakwa hasil maklumat yang diterimanya, kumpulan terbabit bergerak aktif pada minggu-minggu terakhir persidangan perwakilan bahagian sekarang termasuk menyebarkan cerita kononnya beliau akan menarik diri daripada pertandingan tersebut.


Selain Muhammad, kelmarin, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said juga mendakwa terdapat usaha di peringkat bahagian untuk menyekat pencalonan beliau bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.


Ditanya sama ada terdapat laporan dibuat kepada ibu pejabat berhubung perbuatan menyekat pencalonan, Tengku Adnan berkata, setakat ini belum ada.