Jumaat, November 07, 2008

CHERAS BANTAH PEKAN, KEPALA BATAS BERKECUALI


Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak berhak mengecualikan Bahagian Kepala Batas dan Pekan daripada membuat pencalonan untuk pemilihan parti pada Mac depan.


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, pengecualian itu menyebabkan hak ahli yang terkandung dalam perlembagaan parti telah dinafikan.


"Memang calon yang menerima sokongan daripada dua bahagian tersebut boleh mendakwa mereka adalah calon pilihan namun kedudukan mereka akan ditentukan oleh undi perwakilan.


"Ia juga berpotensi menutup peluang calon untuk melepasi kuota kelayakan, mungkin terdapat calon-calon yang kurang satu atau dua pencalonan berikutan pengecualian kepada bahagian itu," katanya.


Akhbar semalam menyiarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa MT telah memberi pengecualian kepada Bahagian Kepala Batas yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pekan yang diketuai Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada membuat pencalonan.