Isnin, September 29, 2008

MELAWAT SEMULA MUAR


Kali terakhir saya berkunjung ke Muar ialah pada tahun 2005 bersama bekas isteri saya, Rozalin Arshad. Kami ketika itu bertemu dengan seorang kawan, Khairul yang tinggal di Muar. Khairul masuk satu jenis Multi Level Marketing (MLM) yang mana jika wangnya dilabur sekian banyak dalam masa enam bulan dapat hasil yang lumayan.

Saya sudah lupa nama MLM itu yang macam Up-trend tetapi tidak fokus kepada jualan produk sebaliknya fokus kepada pelaburan ala skim piramid. Bekas isteri saya baru terima RM150 ribu dari refinance rumahnya. Maka saya cadangkan kepadanya supaya melabur dalam skim itu tetapi akhirnya dia tidak yakin dengan penjelasan Khairul. Dia tak jadi melabur. Saya pun sudah tiga tahun lost contact dengan Khairul, Nombor handphonenya sudah hilang walaupun saya tahu dia masih bekerja dengan Public Bank Muar.

Sudah tiga tahun saya tidak menjejakkan kaki ke bandar tua itu yang pernah menjadi ibu negeri Johor. Malah daerah Muar juga melahirkan ramai Menteri Besar Johor antaranya Tan Sri Othman Saad. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ghani Othman.

Pada 11 September lalu, Datuk Kamal Amir, boss lama saya di Karangkraf ajak saya mengikuti program Tengku Razaleigh Hamzah ke sana. Sekarang Kamal bekerja dengan Ku Li dan beliau yakin Ku Li akan menjadi Presiden UMNO pada Disember ini.

Kami bertolak jam 2.30 petang dari pejabat Ku Li di Langgak Golf. Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman yang jadi tuan rumah majlis Ku Li petang itu suka memandu sendiri Range Rovernya dari Kuala Lumpur ke Muar.

Anak bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Ghafar, Datuk Tamrin ikut sama serta bekas Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mustafa Mohd. Yassin yang pernah saya kenalinya di Sabah dahulu. Ketika itu beliau adalah Pengarah KEMAS Sabah manakala saya adalah wakil akhbar Watan di Sabah.

Ku Li yang sampai jam 6.45 petang di rumah tamu arwah Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Tun Sulaiman Ninam Shah disambut oleh kami semua. Beberapa pemberita tempatan turut hadir termasuk Hamdan Raja Abdullah dari The Star yang pernah menjadi stringer Watan dahulu.

Ku Li tetap ceria seperti dahulu. Semangatnya tidak pernah hilang walaupun hasratnya untuk menjadi Presiden UMNO tidak pernah kesampaian. Petang itu Ku Li memberi sumbangan kepada anak-anak yatim di Masjid Muar.

Hampir 500 orang yang hadiri majlis berbuka puasa petang itu. Sambutan di luar dugaan. Kadar Shah selaku tuan rumah puas hati dengan sambutan orang ramai.Agak unik bila sampai waktu berbuka puasa, masjid membunyikan siren selama lima minit. Siren itu boleh didengar dalam lingkungan 5 km dari bandar Muar. Sewaktu makan malam saya sempat meninjau pandangan orang Muar yang rata-rata marah kepada UMNO kerana menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail. Kita tentu masih ingat Ku Li mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Muar. Malah ketika Ku Li menerajui Semangat 46, aruah Cikgu Kahar pernah dipilih ADUN Parit Bakar yang merupakan wakil rakyat tunggal Semangat 46 di Johor.

Ramainya orang datang berbuka puasa sehingga solat maghrib, isyak dan solat sunat terawih penuh dengan saf. Kami yang solat terawih lapan rakaat terpaksa menunggu Ku Li yang menghabiskan terawihnya 20 rakaat.

Tepat jam 10.45 kami sudah sampai di bilik gerakan Kadar di belakang rumah arwah Sulaiman Ninam Shah. Malam itu Ku Li menemui jenteranya dari seluruh Johor yang akan mempastikan Ku Li mendapat sekurang-kurangnya 19 pencalonan dari Johor untuk bertanding jawatan Presiden UMNO Disember ini. Walaupun majlis berakhir hampir jam 1 pagi, tidak nampak tanda penat di wajah Ku Li. Beliau tetap seperti dahulu tersenyum melayan para penyokongnya dari Muar.

Kami bertolak balik pada jam 1.30 pagi ke Kuala Lumpur. Sesungguhnya lawatan semula ke Muar walaupun untuk beberapa jam sahaja amat mengesankan.


(untuk keterangan lanjut, sila dapatkan Watan keluaran 06/08, 28 September - 4 Oktober 2008)