Selasa, November 01, 2016

TAK BOLEH BIARKAN DANA ASING

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Campur tangan kuasa asing terhadap pembiayaan dana parti politik di negara ini tidak boleh dibiarkan agar kedaulatan negara tidak terancam, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.


Beliau berkata isu berkenaan amat serius kerana pemberian dana asing kepada organasisi tempatan boleh menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan negara.

"Kalau dibiarkan berlaku tanpa 'check', bukan saja ada campur tangan asing terhadap politik dalam negara, tetapi ada 'elemen of subversion' sama ada dana itu datang secara sah dan tidak.

"Ini adalah satu daripada sebab kenapa UMNO dan Barisan Nasional mahukan ada satu undang-undang. Masalahnya sekarang kalau benar-benar ia berlaku, apakah ada undang-undang untuk mengawalnya?" katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Biro Penerangan UMNO di sini hari ini.

Annuar mengulas laporan media semalam mengenai sebuah badan asing dipengerusikan jutawan George Soros didakwa membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Annuar menegaskan kes seumpama ini memperkuatkan lagi keperluan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia dana politik, walaupun terdapat bantahan daripada pihak pembangkang.

Dalam pada itu beliau berkata UMNO setakat ini belum lagi membincangkan isu anggota Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, juga bekas Menteri Kewangan II, yang dikatakan mendedahkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Sejak Husni berucap di Parlimen, saya ada jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam pelbagai hal, tiada pula PM bangkit.

"Saya ada jumpa setiausaha agung (UMNO)(Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) tak ada pun setiausaha bangkit. Saya ada jumpa kawan-kawan jawatankuasa biro politik pun tiada dibangkit. Tetapi esok lusa saya tak tahu," katanya.

Sesi merekod keterangan Ahmad Husni (berhubung ucapannya di Parlimen) di Bukit Aman yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguh ke minggu depan.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menyerahkan dokumen sulit sebanyak 24 muka surat, kepada pihak polis, dikatakan mengandungi bukti penglibatan John Pang dan George Soros yang didakwa membiayai dana kumpulan Bersih.

Presiden JMM Datuk Azwanddin (ulang: Azwanddin) Hamzah berkata sumbangan kewangan kepada Bersih dibuat menerusi Open Society Foundation (OSF) yang diterajui Soros.

Pang merupakan seorang daripada ahli lembaga OSF.

Azwanddin bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Azwanddin berkata JMM memperolehi dokumen rahsia berkenaan daripada beberapa pihak dari dalam dan luar negara.

Katanya, JMM juga akan menyerahkan memorandum kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) esok bagi menyiasat beberapa pemimpin pembangkang termasuk Bersih yang diragui kekayaan mereka.

Sementara itu, anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Ibdilillah (ulang: Ibdilillah) Ishak turut membuat laporan polis mengenai perkara yang sama.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 31, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OKTOBER 2016

Berita asli dari Kemaman telah menjuarai rating tertinggi bagi bulan oktober 2016 iaitu NADMA sabotaj TPM? yang menerima 323 hits.Ini diikuti dengan berita Penang Front Party yang mendapat hit dua hari berturut-turut.






Nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapat rating yang tinggi sebanyak dua kali iaitu NADMA sabotaj TPM? dan Mengenang Zahid Hamidi 20 tahun yang lalu. 10 berita tertinggi bagi bulan Oktober adalah seperti berkut:-

1. NADMA sabotaj TPM? ( 24 Oktober)
2. Dua menteri tiada pendirian tetap (26 Oktober)
3.Mengenang Zahid Hamidi 20 tahun yang lalu (15 Oktober)\
4. Tak salah jadi penasihat kata Zahidi (12 Oktober)
5. PAS akan gabung dengan BN? (5 Oktober)
6. PAS akan kerjasama dengan Parti Bersatu yang tolak RUU355? (3 Oktober)
7. PFP akan ganti Gerakan dan MCA di Pulau Pinang (11 Oktober)
8. Taja Gegar Vaganza mampu, bayar GST tak mampu (13 Oktober)
9.Rating tertinggi bagi bulan September 2016 (1 Oktober)
10.Umno Terengganu nafi keluarkan senarai calon (8 oktober)

Ahad, Oktober 30, 2016

BILL GATES DERMA RM356 BILION KEPADA GOLONGAN MISKIN



NEW YORK:  Tiga anak jutawan Microsoft, Bill Gates bangga dengan keputusan bapa mereka yang tidak menyerahkan harta berjumlah AS$85.52 bilion (RM356.16 bilion) untuk diwarisi tetapi sebaliknya didermakan semuanya kepada golo­ngan miskin.


Gates, 60, yang mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berkata, semua anaknya memahami dan me­nyokong keputusan itu.

“Wang ini adalah untuk membantu mereka yang miskin. Anak-­anak saya tahu dan bangga malah mereka turut melihat kerja-kerja kebajikan yang dilakukan,’’ katanya.

Menurut laporan Mail Online, Gates tidak meninggalkan kemewahan kepada mereka sebaliknya memberi pendidikan yang terbaik supaya mereka boleh memulakan karier masing-masing.

“Walaupun begitu, mereka tidak akan menjadi miskin. Mereka tetap mempunyai sokongan kewangan bagi tujuan keselamatan,’’ katanya.

Gates yang menceritakan ke­hidupan peribadinya kepada ran­cangan televisyen, This Morning turut menegaskan, beliau tidak mahu memberi kemewahan me­lampau kepada anak-anaknya ke­rana ia akan membawa ke­pincangan dalam perkara yang mereka lakukan, sebaliknya mereka perlu mencipta hala tuju sendiri.

Tiga anak Gates iaitu, Jennifer, 20, Rory, 17 dan Phoebe, 14 merupakan hasil perkahwinannya dengan Melinda, 52.

Jennifer kini belajar dalam tahun dua di Universiti Stanford, California yang mana Gates turut menderma sebanyak AS$6.11 juta (RM25.45 juta) bagi pembinaan bangunan sains komputer atas nama beliau.

Jennifer juga seorang penunggang kuda yang hebat dan sering menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.

Rory dan Phoebe masih bersekolah dan tinggal bersama-sama Gates di Seattle, Washington.

Gates hanya mewariskan sebahagian kecil harta kepada anak-anaknya, manakala selebihnya akan didermakan kepada badan kebajikan miliknya, Yayasan Bill dan Melinda Gates yang membiayai projek-projek pendidikan dan kesihatan di seluruh dunia.

Sabtu, Oktober 29, 2016

HAJI HADI MENEMUI DR SALLEH BINCANG ISU SEMASA



Langkah yang diambil oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya  memang wajar diberi pujian. Walaupun beliau adalah pemimpin parti pembangkang tetapi beliau sanggup merendah diri menemui menteri Umno.

Melestari budaya politik matang dan sejahtera, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS terus memacu perjuangan ini merentas pelbagai sempadan dan tembok yang melingkar dalam usaha mengarusperdanakan perjuangan dan penyelesaian Islam*yang diperjuangkan oleh PAS.

Minggu lepas menyaksikan satu lagi siri pendekatan yang mempertemukan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Menteri Komunikasi dan Multi MediaMalaysia, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said di pejabatnya Angkasapuri.

Mengiringi Datuk Seri Tuan Guru ialah Naib Presiden PAS ,Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam pertemuan tersebut melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Datuk Seri Tuan Guru yang juga di atas sifatnya sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa telah memberi penglibatan untuk sama - sama mencari jalan mengatasi isu penculikan di perairan Sabah dan menegaskan perlunya satu penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam merungkai isu tersebut.

Subjek penting dalam pertemuan itu juga ialah saranan Datuk Seri Tuan Guru kepada pihak berkuasa kementerian agar dapat mewujudkan inisiatif kerjasama pemberitaan dikalangan negara serantau terutama untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutaakhir ini termasuklah mendepani keganasan media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka.

Datuk Seri Tuan Guru turut menarik perhatian agar isu menangani media sosial dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang di muat naik ke dunia siber itu.

Justeru itu, Datuk Seri Tuan Guru turut menegaskan betapa keganasan dan pelampau media ini sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat dalam negara kita.

Kunjungan ini turut mempamerkan pendekatan PAS sebagai Pembangkang Konstruktif (Pembangkang Yang Membina). Bertemu dan memberi pandangan, kritikan serta membantu untuk sama - sama ambil tanggungjawab bagi merungkai masaalah semasa yang membelenggu negara dan rakyat.

MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN BAHASA MELAYU


Oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)



“Pemimpin Melayu juga, jangan begitu cepat mencurah air daripada tempayan, kerana mendengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat, yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan.

“Justeru, memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa,” Begitulah antara titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Apa yang dititahkan oleh Sultan Nazrin merupakan satu saranan yang perlu diberikan perhatian yang serius agar bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsan yang semestinya menjadi kebangaan seluruh rakyat Malaysia.Dan dalam kita mengejar arus pembangunan dan pemodenan, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh masyarakat Malaysia iaitu untuk  terus mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan .

Pada suatu ketika  dahulu, ketika Kerajaan Melayu Melaka terkenal di serata dunia, bahasa Melayu juga telah dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan  bahasa undang-undang serta ketatanegaraan.Manakala elemen kesusateraaan bahasa Melayu yang tinggi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling unggul di rantau ini.

Namun ini adalah senario beratus-ratus tahun dahulu. Kini tidak salah jika ada pihak yang beranggapan bahawa Bahasa Melayu tidak  lagi berfungsi dengan sebaik-baiknya untuk  dijadikan sebagai bahasa tamadun. Mungkin kenyataan ini dianggap keterlaluan tetapi pada masa yang sama kemungkinan itu boleh berlaku jika kita membiarkan bahasa Melayu terus tenggelam di bawah arus kemajuan dan pemodenan.

Lihat sahaja ibu bapa hari ini yang terus mendidik anak-anak  sejak dari kecil lagi supaya pandai berbahasa Inggeris. Tidak ada salahnya usaha ini. Bahkan ianya merupakan satu usaha yang baik.Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris  yang baik, maka pastinya akan membuka peluang yang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan.Namun apa yang menyedihkan ialah apabila bahasa Melayu dianaktirikan oleh sebilangan masyarakat kita sendiri termasuklah mereka yang berbangsa Melayu.Mungkin ada yang beranggapan masyarakat akan lebih memandang tinggi pada mereka yang fasih dalam bahasa Inggeris.

Penulis bernasib baik kerana pernah berbual kosong  dengan pakar bahasa Melayu dan Inggeris ,Adibah Amin tentang isu bahasa Melayu ini. Daripada pengalaman yang Adibah lalui, beliau ada menceritakan bagaimana orang kita lebih suka menggunakan alasan “kalau gunakan Bahasa Inggeris senang sikit dan lagi sedap bunyinya , tapi kalau gunakan bahasa Melayu, janggal sungguh bunyinya” apabila kehilangan idea untuk berkarya dalam bahasa Melayu.

Dalam hal ini Adibah pernah memberikan nasihat supaya kita rajin sedikit mencari ayat dalam bahasa Melayu yang boleh menandingi mahupun lebih baik daripada bahasa asing.Orang kita lebih suka mengambil jalan mudah dan menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak cukup hebat.Rasanya tidak perlu diingatkan bahawa Bahasa Melayu ini kaya dengan perbendaharaan dan kiasannya. Kehalusan bahasa Melayu mampu meruntun  jiwa mereka yang mendengarnya. Manakala sindirannya pula sukar untuk ditandingi oleh bahasa asing yang lain.

Penulis juga pernah membaca temuramah Dr Lim Swee Tin dengan sebuah akhbar tempatan tentang isu bahasa Melayu. Lim Swee Tin, merupakan penyair, penulis dan pakar bahasa Melayu yang hebat dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award 2000,iaitu satu penghargaan tertinggi dalam bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.

Dan ada juga di antara karya –karya beliau dalam bahasa Melayu yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, serta beberapa lagi bahasa dunia yang lain.Kejayaan beliau membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah milik semua bangsa di Malaysia. Bahasa Kebangsaan inilah yang akan merapatkan lagi perhubungan dan keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Sebagaimana maklum, bulan Oktober ialah ialah bulan bahasa Kebangsaan. Difahamkan juga banyak program yang telah dirancang dan telah dilaksanakan untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini. Janganlah program yang telah diatur ini hanya bersemarak pada bulan Oktober sahaja dan kemudian terus menyepi sehingga tahun depan. Bahasa Melayu pernah merasai zaman gemilangnya dan terpulang kepada kita semua untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bahasa Melayu di rantau ini.   








Khamis, Oktober 27, 2016

HUSNI TANYA. HUSNI SUDAH JAWAB



KUALA LUMPUR 26 Okt. – Persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebahagiannya telah dijawab sendiri oleh bekas Menteri Kewangan II pada Februari tahun lalu.



Annuar Musa


Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika itu Ahmad Husni menjelaskan ‘1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan’.

Bagaimanapun kata Annuar, biarpun telah dijawab sendiri Ahmad Husni tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungja­wab, segala persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tambun itu akan diperjelaskan kembali.

“Tiada fakta baharu yang Ahmad Husni kemukakan. Malah persoalan lain yang beliau lontarkan adalah bersifat kebimbangannya di atas andaian pihak tertentu dan beliau ingin tahu apakah langkah yang akan diambil kerajaan se­ki­ranya ia menjadi kenyataan.

“Oleh yang demikian, saya percaya kerajaan akan mengambil perhatian terhadap ucapan dan soalan tersebut. Saya yakin kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi penjelasan kepada soalan yang dibangkitkan itu,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Annuar, beliau mengikuti dengan teliti setiap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahmad Husni sewaktu berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Katanya, pandangan Ahmad Husni tersebut wajar dihormati kerana bekas Menteri Kewangan II itu hanya menjalankan tanggungjawabnya selaku ahli Parlimen dan bertindak pula membangkitkan perkara berkenaan di tempat yang betul iaitu Parlimen.

“Kita harus ambil dari sudut positif setiap perkara yang diutarakan. Isu 1MDB sememangnya sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan dan pelbagai langkah memperbaiki kelemahan sedang giat dilakukan pihak berwajib,” jelasnya.

Rabu, Oktober 26, 2016

DUA MENTERI TIADA PENDIRIAN TETAP

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Dua bekas menteri yang membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada persidangan Dewan Rakyat kali ini disifatkan sebagai individu yang tidak berpendirian tetap.

Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, semasa memegang jawatan menteri, tidak pernah membantah, sebaliknya bersetuju dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

"Soal rasionalisasi 1MDB diputuskan oleh kabinet dan ketika itu Shafie menjadi menteri yang bersetuju kepada pelan itu... tapi kenapa masa itu tiada bantahan," katanya.

Isnin, Oktober 24, 2016

SYARIKAT LISTED TAJA GERAKAN MENGGULINGKAN KERAJAAN

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Beberapa syarikat senarai awam antara syarikat yang dikenal pasti terlibat menaja gerakan mengguling kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau menyifatkan syarikat berkenaan sebagai hipokrit kerana pada masa sama menagih kontrak kerajaan.

"Ada antara syarikat terlibat adalah syarikat senarai awam. Tak salah hendak taja siapa sahaja tetapi jangan rayu atau minta kontrak dengan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah LIFE@WORK anjuran Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) di sini semalam.

NADMA SABOTAJ TPM?


KEMAMAN 23 Okt. - Peristiwa yang berlaku pada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional di sini amat memalukan.

Adakah penganjur majlis, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sengaja sabotaj TPM? Nasib baik ia berlaku selepas majlis perasmian. Jika ia berlaku sebelum majlis perasmian, sudah tentu ia lebih memalukan TPM.

NADMA selaku penganjur kena bertanggungjawab sepenuhnya apa yang berlaku kepada TPM walaupun ia dianggap sebagai di luar jangka. Dah tahu musim hujan kenapa penganjur tidak membuang air yang bertakung di atas khemah? Air yang bertakung di atas khemah itu tiba tiba terjatuh ke atas TPM sehingga habis basah kuyup baju TPM. Ia sudah tentu memeranjatkan semua pihak apatah lagi body guard TPM yang menjaga keselamatan TPM.

Oleh itu pada masa akan datang pastikan sebelum majlis bermula, penganjur hendaklah membuang air yang bertakung di atas kanopi terlebih dahulu untuk mengelakkan peristiwa seperti ini berulang.

Yang peliknya NADMA telah melakukan dua kesilapan besar. Yang pertama memalukan TPM dan yang kedua memalukan MB Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman apabila kain rentang yang siap tidak ada gambar MB sebaliknya gambar TPM, gambar Shahidan Kassim dan Ahmad Shabery Cheek.

Setelah ditegur baru dibuat kain rentang baru, tetapi yang tergantung di tepi jalan masih gambar TPM, Shahidan dan Ahmad Shabery tanpa gambar Razif seolah olah NADMA tidak menghormati MB Terengganu.

Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak termasuk rakyat menjadikan kesiapsiagaan menghadapi bencana sebagai satu budaya serta ‘darah daging’ bagi memastikan amalan itu berterusan untuk manfaat bersama.


Timbalan Perdana Menteri ber­kata, koordinasi pelbagai pihak termasuk peringkat kementerian, jabatan atau agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela dan masyarakat dalam mendepani masa kritikal akibat bencana.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Ben­cana negara memberitahu, ber­tepatan dengan pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional di sini hari ini, ia diharap memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai betapa pentingnya persiapan seumpama itu dijadikan satu budaya dalam kehidupan.

“Kita lakukan usaha ini (kesiapsiagaan) menjadi satu budaya, ertinya kita harus mendarah dagingkan mereka yang sering jadi mangsa banjir atau bencana lain.

“Ini supaya kita tahu apabila ada maklumat dalam media secara automatik menjadi budaya agar keluarga yang menjadi mang­sa banjir cepat berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­nyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional 2016 di Kemaman Waterfront di sini semalam.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Insdustri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Exco Kerajaan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain pelbagai jabatan, agensi serta NGO berkenaan, penyelarasan kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana juga perlu membabitkan pertubuhan politik untuk sama-sama membantu mangsa bencana dengan lebih efektif.

Menurut Ahmad Zahid, sekiranya amalan kebersamaan itu dipraktik dan diteruskan, ia dapat membantu mengurangkan risiko bagi mereka yang ditimpa musibah itu.

Beliau juga menarik perhatian, pada masa ini kerajaan sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi kemungkinan berlaku bencana khususnya banjir di seluruh negara.

“Kita sudah siap sedia 100 peratus bagi menghadapi banjir dengan fokus diberi kepada negeri-negeri yang teruk dilanda banjir,” ujarnya sambil menambah bahawa kerajaan mempunyai peruntukan yang cukup untuk pembelian aset pengurusan bencana.

Beliau bagaimanapun me­ngakui, pada masa ini terdapat segelintir masyarakat khususnya yang sering terlibat dengan banjir masih kurang kesedaran dalam memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menghadapi bencana itu.

Sabtu, Oktober 22, 2016

PEMBANGKANG ANGGAP DEWAN RAKYAT MACAM SARKAS

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Tindakan beberapa Anggota Parlimen (MP) pembangkang keluar daripada Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 sedang berlangsung semalam menunjukkan pihak pembangkang mahu melayan Dewan Rakyat seperti sarkas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pembentangan bajet tahunan di Dewan Rakyat adalah merupakan urusan yang serius.

"Ini adalah peluang bagi MP pembangkang untuk mengambil bahagian dalam Bajet dan mengemukakan idea mereka kepada Dewan Rakyat jika mereka merasa mempunyai sebarang idea.

"Ia cukup buruk yang pembangkang tidak mempunyai kabinet bayangan dan Menteri Kewangan bayangan," katanya dalam posting blog terbaharu beliau di (http://sskeruak.blogspot.my/).

Dalam tindakan itu beberapa Anggota Parlimen pembangkang mengangkat poster dan bertindak keluar Dewan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang membentangkan Bajet 2017.

Mereka yang terdiri daripada Anggota Parlimen daripada Pakatan Harapan yang mengandungi parti PKR, DAP dan Amanah berbuat demikian ketika Najib yang juga Menteri Kewangan mula menyebut sesetengah pihak mendakwa Bajet 2017 sebagai sandiwara.

Salleh menegaskan sebaliknya untuk melihat bagaimana Anggota Parlimen pembangkang boleh menyumbang sesetengah idea, mereka bertindak keluar Dewan dan menunjuk perasaan.

"Tahap kematangan Anggota Parlimen pembangkang jatuh pada tahap paling rendah. Perlukah segala-segalanya dijadikan demonstrasi menunjuk perasaan.

"Sebaliknya dengan berjalan keluar pada pertengahan pembentangan bajet, mereka setidak-tidaknya tunggu selepas ia berakhir dan berbahas mengenai bajet terlebih dahulu," tambah beliau.

-- BERNAMA

SHAHRIZAT KESAL TINDAKAN MELULU PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Tindakan majoriti anggota Parlimen pembangkang keluar daripada Dewan Rakyat ketika pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, membuktikan mereka tidak menghormati persidangan dewan.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu amat kecewa dan kesal dengan tindakan melulu sebahagian besar anggota Parlimen pembangkang itu sebelum pembentangan Bajet 2017 selesai.

"Tindakan mereka menolak bajet yang belum pun dibahaskan bukan sahaja menunjukkan mereka kurang pengetahuan mengenai proses di Parlimen malah tidak menghormati perjalanan sidang Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan semalam.

Khamis, Oktober 20, 2016

TERENGGANU MAHU ADAKAN LALUAN KHAS UNTUK WANITA

KUALA TERENGGANU, 20 Okt (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan mengkaji mengadakan laluan berasingan bagi lelaki dan wanita di jabatan kerajaan di negeri itu untuk memudahkan kaum wanita berurusan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu adalah satu daripada pembaharuan kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan agenda Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

"Ini (laluan berasingan) sangat bagus untuk memberi kemudahan kepada wanita. Kita akan buat dua laluan terutama di pejabat kerajaan yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Rabu, Oktober 19, 2016

TIDAK BENAR SATU DARIPADA EMPAT RAKYAT TERENGGANU SAKIT MENTAL

KUALA TERENGGANU, 18 Okt (Bernama) -- Berita yang diviralkan kononnya satu daripada setiap empat rakyat Terengganu mengalami sakit mental adalah tidak benar, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata jumlah tersebut sebenarnya merujuk kepada masalah kesihatan mental seperti kerunsingan dan tekanan.

"Ini adalah dua perkara yang berbeza di mana sakit mental ialah gila dan mereka yang menghidapinya perlu mengambil ubat manakala masalah kesihatan mental pula biasa dihadapi ramai orang," katanya.

Selasa, Oktober 18, 2016

JOHOR TAKKAN BUBAR DEWAN UNDANGAN NEGERI SEBELUM PRU14

KOTA TINGGI, 18 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pilihan raya negeri tidak akan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pembangkang kononnya pilihan raya negeri bakal diadakan di Johor.

Katanya Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah menyatakan pendirian jelas kerajaan negeri bahawa ia akan menyelaraskan pilihan rayanya dengan negeri negeri lain di Semenanjung.



"Di dalam hal ini, dari segi pentadbiran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak akan menggunakan peruntukan di luar jangkaan (untuk mengadakan pilihan raya negeri)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hab Kemahiran Johor di Kolej Yayasan Pelajaran Johor di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata penjelasan Mohamed Khaled menunjukkan objektif kerajaan negeri Johor adalah selaras dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau mengulas kenyataan DAP Johor bahawa ia sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri, walaupun Mohd Khaled telah menyangkal dakwaan pilihan raya negeri akan diadakan di Johor.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata BN tidak meminggirkan mana-mana kawasan yang Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak diwakilinya.

"Namun, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri BN dan kerajaan Persekutuan haruslah dinilai dengan sebaik-baiknya oleh pengundi di kawasan itu khususnya pengundi kali pertama," kata Ahmad Zahid.

Menurutnya rakyat boleh melihat bahawa tiada pembangunan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang diwakili Anggota Parlimen atau ADUN pembangkang.

-- BERNAMA

JMM SERU RAKYAT MALAYSIA TIDAK TERTIPU DENGAN EZAM

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak tertipu dengan Ezam Mohd Nor  yang menggunakan "Hisbah Centre for Reform"  untuk mengaut kepentingan peribadi.

Menurut Presidennya, Azwanddin Hamzah, rakyat perlu mengingati sejarah Ezam yang menjilat ludahnya sendiri di dalam perkara rasuah.

"Sekiranya Ezan ingin menjadi hero di dalam isu rasuah, inilah peluang terbaik beliau bersemuka dengan Dr Mahathir tentang semua isu rasuah yang dibangkitkan sebelum ini seperti bagaimana anak anak bekas Perdana Menteri itu menjadi kaya raya dalam masa yang singkat," kata beliau dalam satu kenyataan.

Azwanddin menambah dahulu Ezam menyerang Dr Mahathir dengan mengatakan beliau adalah perosak dan pengkhianat bangsa Melayu.

"Tetapi kini beliau menyertai Bersatu yang mana Dr Mahathor adalah penasihatnya," katanya.

Katanya, Ezam pandai mempopularkan diri dengan menubuhkan Gerakan dan Anti Korupsi (GERAK)  tetapi akhirnya GERAK mati tetapi Ezam yang dapat keuntungan peribadi dengan menyertai BN.

Kini beliau menggunakan Hisbah Centre for Reform untuk menyertai Bersatu pula.


"Sepatutnya beliau bertanya kepada Muhyiddin benarkan kes Muhyiddin yang mengganggu perkahwinan  Datuk Nika Ghee Siew yee dengan Hakim Datuk Stanley Clement Augustine?" soal beliau.

Katanya lagi, Ezam sepatutnya bertanya bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanakah menantu Muhyiddin memperolehi kekayaan yang menakjubkan mencecah berbilion ringgit?




Ahad, Oktober 16, 2016

LIM GUAN ENG KELIRUKAN RAKYAT PULAU PINANG

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng cuba mengelirukan rakyat berhubung jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata kenyataan Lim bahawa pakatan pembangkang berjaya meletakkan Pulau Pinang di kedudukan pertama daripada tercorot pada zaman pentadbiran BN dalam kadar pertumbuhan KDNK per kapita negeri pada tahun 2014 hingga 2015, adalah mengelirukan.

"Jangan kelirukan orang, jangan temberang. Satu kita kena faham apa itu KDNK per kapita dan definisi KDNK. KDNK ialah cara yang paling baik untuk mengukur ataupun petunjuk kepada perkembangan ekonomi bagi sesuatu negara atau wilayah.


"Ia meliputi semua yang dihasilkan oleh orang ramai dan syarikat dalam negara berkenaan. KDNK per kapita pula ialah menggunakan angka KDNK itu dibahagikan dengan jumlah penduduk.

"Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata KDNK per kapita Pulau Pinang pada tahun 2006 hingga 2007 di bawah pentadbiran BN berada pada kedudukan 11, manakala pada tahun 2008 hingga 2014 sepanjang kerajaan DAP memerintah berada di tangga terbawah iaitu pada kedudukan 15," katanya pada sidang akhbar di sini.

Semalam, Lim dalam kenyataannya berkata sepanjang lapan tahun kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah telah berjaya mengubah Pulau Pinang daripada negeri tercorot di bawah pentadbiran BN pada tahun 2006 hingga 2007, kepada kedudukan pertama dalam kadar pertumbuhan KDNK per kapita bagi tahun 2014 hingga 2015.

Teng berkata pertumbuhan KDNK Pulau Pinang mencatatkan prestasi terbaik kebanyakannya pada zaman pemerintahan BN sehingga melebihi purata negara dan pencapaian tertinggi adalah pada tahun 1994 iaitu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 14.1 peratus.

Beliau berkata pencapaian itu berikutan BN mempunyai perancangan yang lengkap dan sempurna termasuk menghasilkan Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang 1 dan 2 untuk merancang pertumbuhan ekonomi negeri itu dari tahun 1992 hingga 2007.

"KDNK Pulau Pinang jelas menunjukkan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan ia menurun dan lebih teruk daripada purata pertumbuhan negara," katanya.

-- BERNAMA

DUA PENYAMUN DITEMBAK MATI DI MIRI

MIRI, 16 Okt (Bernama) -- Polis menembak mati dua lelaki warganegara asing yang dipercayai terlibat dalam 16 kes samun pelbagai barangan bernilai lebih RM200,000 sepanjang tahun lepas dan 2016 dalam satu serbuan pada pukul 1 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata semasa serbuan di sebuah rumah kosong di Luak Bay, kedua-dua suspek dipercayai berumur 30-an telah menyerang polis dengan parang dan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senapang buatan sendiri ke arah polis.

"Identiti kedua-dua suspek tidak dapat disahkan kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian tapi kita percaya mereka warganegara asing," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Sabtu, Oktober 15, 2016

MENGENANG ZAHID HAMIDI 20 TAHUN YANG LALU



PADA 9 Oktober - 20 tahun yang lalu - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (ketika itu Datuk Ahmad Zahid Hamidi) menumpaskan empat calon yang lain untuk muncul sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang ke-11. Beliau berusia 44 tahun ketika itu.

Ia adalah satu pertandingan yang sangat bersejarah kerana disifatkan sebagai yang paling sengit dalam pergerakan itu selepas Anwar Ibrahim menentang Datuk Suhaimi Kamaruddin pada tahun 1982.

Apatah lagi belum pernah pertandingan jawatan ketua menyaksikan pertarungan lima penjuru.

Penyandang jawatan ketika itu adalah Tan Sri Rahim Tamby Chik. Rahim menjadi ketua pemuda Umno yang ke-10 pada tahun 1993 yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara beliau dengan Tan Sri Isa Abdul Samad setelah Tan Sri Syed Hamid Albar menarik diri dua hari sebelum tarikh pertandingan.


Rahim memperolehi 264 undi manakala Isa 220 undi - menang dengan hanya kelebihan 44 undi walaupun Isa cuma memperolehi 10 pencalonan dari bahagian.

Bagaimanapun, kepimpinan Rahim tidak bertahan lama. Lebih kurang setahun selepas kemenangannya, beliau terpaksa melepaskan jawatannya ekoran isu peribadi serta dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Jawatannya itu dipangku oleh Naib Ketua Pemuda, Datuk Nazri Tan Sri Aziz. Selepas 14 bulan memangku jawatan ketua, Nazri akhirnya membuat kejutan dengan mengumumkan yang beliau berhasrat untuk menyerahkan kembali jawatan tersebut kepada Rahim selepas Jabatan Peguam Negara menegaskan tiada kes ke atas Rahim.

Majlis Tertinggi dalam mesyuaratnya pada 16 Januari 1996 membenarkan jawatan ketua pemuda disandang semula oleh Rahim.

Rahim yang kembali menerajui semula Pergerakan Pemuda Umno Malaysia selepas berehat panjang telah mengumumkan yang beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semula jawatan bagi pergerakan itu pada Oktober 1996.

Bagaimanapun ketika beliau membuat pengumuman tersebut, Ketua Penerangannya, Ahmad Zahid Hamidi telahpun membulatkan hati inilah masa yang sesuai beliau menawarkan khidmat dan kepimpinannya kepada Pemuda.

Tetapi Zahid bukan satu-satunya pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua sebaliknya, calon 1993, Isa Abdul Samad turut serta dalam gelanggang dengan kepercayaan sokongan padu yang diperolehinya pada 1993 membuka ruang kepadanya untuk menawarkan diri buat kali yang kedua.

Selain Isa, Datuk Seri Annuar Musa yang pada 1993 enggan dicalonkan untuk jawatan ketua setelah Isa, Syed Hamid dan Rahim menerima sokongan padu daripada bahagian-bahagian kali ini turut ingin mencuba nasib.

Pencabar kelima adalah seorang ahli biasa Umno yang bernama Abdul Rahman Salleh. Beliau kini telah meninggal dunia.

Oleh kerana pertandingan 1996 menjadi tahun pertama tiadanya pencalonan dibuat untuk mana-mana calon, serta arahan larangan berkempen oleh Majlis Tertinggi, umum pada asasnya sukar membuat andaian siapakah yang lebih berpengaruh dan kuat.



Bagaimanapun di peringkat bawah dan akar umbi, jentera masing-masing bergerak secara senyap dan tidak ketara namun aktif. Dengan Pemuda hanya diwakili oleh kurang lebih 500 perwakilan sahaja ke Perhimpunan Agung, pertemuan dengan dua perwakilan dari setiap bahagian tidaklah sesukar mana.

Dan untuk pertama kalinya dalam sejarah pertandingan Pemuda, kebanyakkan ketua Pemuda Bahagian 'tidak terdaya' untuk menentukan sama ada dua perwakilannya lagi akan mengundi mengikut kehendaknya.

Zaman ini adalah zaman telefon bimbit khususnya dari jenama Motorola baru memasuki era pengenalan dan menguasai pasaran. Menerusi telefon bimbit inilah kempen sebenarnya berjalan dan ketua Pemuda Bahagian 'sukar' mengawal pergerakan anak buahnya yang menjadi perwakilan kerana mereka boleh dihubungi di mana sahaja oleh wakil-wakil calon lain untuk 'bertanya khabar' dan 'memeriksa kecenderungan'.

Pada dasarnya memang tiada kempen tetapi ada 'panggilan mesra' antara perwakilan serta 'criss-crossing' untuk minum-minum kopi dan teh tarik bagi bertukar-tukar pandangan dan pendapat siapakah yang lebih layak dinobatkan sebagai ketua Pemuda Umno yang ke-11.

Semuanya layak belaka. Masing-masing mempunyai karisma dan bakat kepimpinan yang tersendiri. Bagaimanapun pada 9 Oktober 1996 iaitu hari Persidangan Pemuda, apabila keputusan diumumkan, Zahid muncul sebagai pemenang dengan memperolehi 199 undi, diikuti oleh Annuar yang mendapat 135 undi, Rahim (103), Isa (72) dan Rahman (1).

Untuk kerusi naib ketua pula, tokoh muda dan anak kepada bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang pertama Kapten Hussein Onn (1947-50) iaitu Datuk Hishammuddin Hussein muncul pemenang menewaskan Datuk Fatah Iskandar dari Selangor.

Kemenangan Zahid dilihat sebagai keputusan Pemuda untuk menyerahkan kembali jawatan ketua kepada pemimpin dari kalangan mereka sendiri. Dalam ertikata yang lain, Pemuda mahu mereka dipimpin oleh seseorang yang telah melalui proses perkilangan dan perkaderan Pemuda, memahami kehendak dan aspirasi mereka.



Ahmad Zahid (dua dari kanan) selaku Ketua Pemuda Umno mengiringi calon BN, Kamaruddin Mohd Nor (tengah) pada pilihan raya kecil DUN Pasir Putih pada 1997. Turut hadir Pengerusi BN Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Sepuluh hari selepas kemenangannya, Zahid telah membuat pembaharuan dengan mengantikan biro-biro dengan nama baru iaitu 'Majlis'. Beliau telah membentuk 22 majlis kesemuanya.

Tegas Zahid, penubuhan majlis itu merupakan sebahagian daripada proses meramaikan penglibatan barisan Exco menjadi pemimpin dengan memimpin potfolio mereka sendiri di samping melatih dan menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin masa depan dan membentuk pasukan jawatankuasa yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Pemuda dari peringkat bahagian.

Belum pernah dalam sejarah Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, setiap anggota exconya diberi potfolio yang tersendiri.

Zahid percaya, proses perkaderan Pemuda harus berteraskan kepada kepimpinan di semua peringkat dan ini hanya boleh dicapai dengan membuka peluang yang lebih luas kepada semua untuk membuktikan daya kepimpinan mereka.

Pemuda itu sendiri adalah 'kilang' melatih dan melahirkan pemimpin masa depan parti, beliau percaya.

Zahid juga telah melantik bekas setiausaha politik Syed Hamid Albar, Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penolong Setiausaha, Mokhzani Mahathir sebagai Penolong Bendahari, Datuk Fatah Iskandar, Ketua Penerangan yang baru dan Radin Mokhtar Yusof sebagai Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Lima anggota Exco tambahan yang dilantik ialah Nordin Md Noor (Pulau Pinang), Jamal Nasir Rasdi (Perak), Dr Abdul Rahim Md Ghouse (Pulau Pinang), Abdul Rahin Datuk Haji Mohd Said (Terengganu) dan Abdul Kadir Daud (Melaka).

Zahid turut memperkenalkan penubuhan Majlis Briged Putra yang akan mengadakan program menarik minat anak muda lepasan sekolah untuk menyertai kegiatan parti.



Berikut adalah sususan potfolio Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di bawah kepimpinan Zahid bagi tahun 1996-1999:

> Majlis Ehwal Antarabangsa: Datuk Hishamuddin Tun Hussein

> Majlis Perkhidmatan Penerangan: Datuk Fatah Iskandar

> Majlis Ehwal Agama: Ruslan Kassim

> Majlis Pendidikan: Mohd Khaled Nordin

> Majlis Sukan: Jema Khan Datuk Majid

> Majlis Ehwal Pengguna: Abdul Aziz Sheikh Fadzil

> Majlis Tindakan Sosial: Soohaimi A. Rahman

> Majlis Perumahan Rakyat: Mohamad Supardi Mohd Nor

> Majlis Pembangunan Luar Bandar: Abdul Fatah Abdullah

> Majlis Pengurusan Latihan: Abdul Wahab Din

> Majlis Tindakan Alam Sekitar: Azizan Yaakob

> Majlis Perkhidmatan Setinggan: Abdul Azim Mohd Zabidi

> Majlis Sains dan Teknologi: Zein Isma Ismail

> Majlis Integrasi dan Perpaduan Nasional: Zulkifli Mohd Alwi

> Majlis Siswazah: Dr Zaiyadi Awang Noh

> Majlis Pembangunan Bandar: Nur Jazlan Mohamed

> Majlis Kebudayaan dan Kesenian: Samlih Juaisin

> Majlis Pembangunan Usahawan: Nordin Md Noor

> Majlis Ehwal Tenaga Kerja: Jamal Nasir Rasdi

> Majlis Ekonomi: Dr Abdul Rahim Md Ghouse

> Majlis Pembangunan Belia: Abdul Rahin Datuk Haji Mohd Said

> Majlis Briged Putra: Abdul Kadir Daud

Kini setelah berusia 62 tahun, Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri (sejak 28 Julai 2015) yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang politik termasuklah melalui proses perkaderan politik menerusi kilang Pemuda (sebagai Ketua Pemuda Bahagian - 1984, Ketua Penerangan - 1990-96 dan Ketua Pemuda Malaysia - 1996-99), Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh sejak 1995, ahli Majlis Tertinggi (2000-2007) dan sebagai Naib Presiden (2008-sekarang) serta menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti.

(dipetik dari http://www.mstar.com.my/kolumnis/2016/10/11/imbas-9-okt/ pada 11 Oktober 2016)

BAKAL YANG DIPERTUAN AGONG BERJIWA RAKYAT



KOTA BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja semalam bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri ini.

Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Tengku Muhammad Faris Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' ketika bertemu dengan rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985 dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di negeri ini sebagai 'baju gumbang', serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda.

Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12 Dis 2011, turut mencetuskan idea Program Walkathon D'Raja Kelantan sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.



Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menandatangani plak pada majlis perasmian dan pengurniaan kunci rumah kepada penghuni Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenarah, Bukit Awang Mei lepas (Gambar Fail)


Menerusi Program Walkathon D'Raja Kelantan itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 km di sekitar bandar Kota Bharu.

Sepanjang laluan, terdapat beberapa 'checkpoint' yang mempersembahkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, paluan kertuk dan rebana ubi.

Pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun berkenaan selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta.

Program tersebut adalah program amal anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi bagi mendekatkan baginda dengan rakyat, menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan pelancongan Kelantan.

Baginda turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam di negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap Ramadan sejak 2011.

Program tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.

Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.

Malah, kedua-dua program tersebut - Walkathon D'Raja Kelantan dan Qiam With Me - dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.

Di sebalik populariti baginda sebagai Sultan Kelantan yang sering mendapat liputan meluas pengamal media di negeri itu, kerap kali dalam diam dan tanpa pengetahuan media, baginda berkenan menjengah kehidupan penduduk yang memerlukan pembelaan.

Malah, pernah tersebar sekeping gambar di media sosial baginda membuat rondaan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada masa lapang gemar membaca buku, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak dan menembak.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 32.

-- BERNAMA

Khamis, Oktober 13, 2016

TAJA GEGAR VAGANZA MAMPU, BAYAR GST TAK MAMPU

IPOH, 13 Okt (Bernama) -- Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman,45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim
Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan penyata GST dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini.

Ahli perniagaan itu didakwa atas 16 pertuduhan gagal membayar cukai GST di bawah Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 16 lagi pertuduhan adalah atas kegagalannya mengemukakan penyata GST dan dia didakwa mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai. Sebutan semula kes ialah pada 15 Nov.

Terdahulu, Farah Ezlin memohon wang jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan dan mengemukakan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah kerana kesalahan yang dilakukan Vida adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.

"Kepentingan awam perlu melebihi daripada kepentingan peribadi kerana tertuduh tidak membayar cukai dan ia sekali gus akan memberi kesan kepada negara kerana ia melibatkan hasil negara," katanya.

Sementara itu, Khairilazwar memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan kerana tertuduh seorang ahli perniagaan yang mempunyai 40 cawangan serta 200 pekerja.

"Sekiranya tertuduh tidak dapat dijamin, pasti ia akan menjejaskan keseluruhan pentadbiran 200 pekerja kerana tertuduh merupakan pemilik tunggal syarikat itu," katanya.

Dalam pada itu, Murtazadi berkata jaminan ke atas tertuduh tidak boleh terlalu tinggi dan melampau sehingga menyusahkannya, manakala jumlah jaminan juga tidak boleh terlalu rendah seolah-olah menampakkan kesalahan itu remeh.

"Jaminan mesti setimpal antara kepentingan awam dan tertuduh. Kita juga perlu mengambil kira status pekerja dan kesusahan yang dialami tertuduh kerana kes ini akan memberi impak kepada keluarga dan pekerja di outletnya.

"Dalam masa yang sama mahkamah tidak boleh pejam mata kerana tertuduh berdepan dengan 32 pertuduhan dan ia merupakan kesalahan yang perlu diberi perhatian lebih serius oleh mahkamah," katanya.

Vida yang memakai jubah berwarna hitam dan bertudung merah hati, tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh kira-kira pukul 9 pagi, manakala prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 2 petang.

-- BERNAMA