Isnin, Oktober 19, 2009

AHLI UMNO KENA BERUBAH JUGA


Pindaan Perlembagaan Umno, khususnya berkaitan menentukan pucuk pimpinan tidak akan memberi sebarang makna sekiranya ahli Umno itu sendiri tidak mahu berubah dan berusaha memartabatkan parti lebih dari kepentingan diri sendiri.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata semua pihak perlu berubah dari peringkat atas hinggalah ke bawah dalam usaha mengembalikan keyakinan penuh rakyat kepada parti yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu.

"Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah jangan memfitnah sesama sendiri, mengadu-domba, sikap terburu-buru mendapatkan jawatan, mudah merajuk apabila tidak dapat hajat dan cita-cita dan sikap dengki serta iri-hati.

"Jika sikap demikian masih berada di hati dan sanubari ahli Umno, maka perubahan perlembagaan yang dibuat pada Perhimpunan Agung yang berakhir semalam tidak memberi makna.

"Ahli Umno perlu berani dan mengutamakan kepentingan parti jika mahukan Umno terus unggul dan perkasa sepertimana yang ditegaskan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan pelancaran Kopi Jenama Tongkat Ali "Perwira" Persatuan Bekas Tentera Daerah Temerloh di Temerloh.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan anggota Parlimen Temerloh berkata setiap ahli Umno seharusnya berani berkorban kepentingan diri jika mahukan Umno terus berdaya saing dan menjuarai rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Presiden parti berharap perubahan yang dilakukan itu akan dapat menyakinkan rakyat bahawa hanya parti Umno yang mampu membela nasib mereka dan sekaligus apabila ianya tersemat di hati rakyat maka tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan padu kepada Umno," katanya.

Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh mahukan pemimpin di peringkat cawangan bersedia menjalankan kempen menambah ahli dan mendaftar sebagai pemilih mulai sekarang.

"Ini sangat penting kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya ke-13 dan kita tidak boleh menunggu kerana masa berlalu terlalu pantas," katanya.

Ahad, Oktober 18, 2009

UMNO UNTUK ORANG TUA?


Jumaat lalu, hari terakhir perhimpunan agung UMNO, saya dijemput oleh seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman ke majlis jamuan tengah hari anjuran Badan perhubungan UMNO terengganu di hotel Seri pacific. Jamuan hari itu ditaja oleh Menteri besar, Datuk Ahmad said. Dua hari sebelum itu di tempat yang sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad shabery Cheek dan sehari sebelum itu, Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menaja makan tengah hari.


Sebagai ahli UMNO di salah sebuah cawangan di Kemaman, saya menerima undangan itu. Ketika saya sampai saya terjumpa bekas calon ketua pemuda UMNO Kemaman, kamaruddin ali yang jadi G7 dari Kemaman tahun ini. Saya nampak ramai yang hadir termasuk ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar, ahli parlimen Kuala nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim.


Oleh kerana saya keseorangan, maka saya pulang awal. Rupa-rupanya Kamaruddin beritahu kehadiran saya kepada seorang rakan saya yang juga bekas ahli jawatankuasa uMNO bahagian kemaman. Bukan main marahnya dia kepada saya. dia kata saya pelahap makan free sedangkan saya diundang makan. Kalau tidak diundang, saya tak pergi ke Seri Pacific itu. Dia marahi saya kerana saya tak pergi temuinya di The Mall. Buat apa saya pergi temui dia. Bukan saya nak jumpanya. Dia nak jumpa saya. Sepatutnya dia datanglah ke pejabat saya di Batu Caves.


Petang itu saya lepak di bilik di hotel Legend yang diduduki oleh ahli jawatankuasa UMNO bahagian Kemaman. Jam 6 kami ke PWTC duduk di bilik Kementerian belia dan Sukan. Tidak lama kemudian menteri Belia, Ahmad Shabey Cheek tiba. Dia terkejut melihat saya berada di situ. Sudah lama saya tidak menemuinya. Kami dulu sama-sama belajar di UM. Beliau adalah Presiden Persatuan mahsiswa Universiti Malaya (PMUM) manakala Husham Musa (kini Timbalan menteri Besar kelantan) selaku Exco PMUM adalah Ketua Editor Majalah Varsiti manakala saya adalah salah seorang editor majalah tersebut.


Tahun lepas saya berkempen untuk Mat Dalam Awang untuk menentang shabery tetapi Mat Dalam tak dapat kuota yang cukup untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian kemaman. Sejak itu dia marah kepada saya. masa dia masuk UMNO dari Semangat 46, saya berkempen untuknya bertanding jawatan ketua pemuda menentang ahli parlimen, Dr. Ramli Taib sehingga Menteri besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad marahi saya. Ahmad said selalu sebut orang pertama menemuinya(masa itu Ahmad said adalah ketua pemuda) supaya jawatan ketua pemuda UMNO kemaman diberi kepada Shabery adalah saya.


Shabery tak tanya pun saya dari media mana bila saya interbiunya mengenai pindaan perlembagaan.


katanya, "Najib telah membuka perisai. maknanya semua orang sudah tidak ada perlindungan lagi dalam pertandingan bahagian dan majlis tertinggi yang akan datang".


Dalam facebook, Shabery kata Ahmad jais paling dapat sambutan di majlis jamuan UMNO pada malam sebelumnya.


"Ini menunjukkan orang muda tidak minati UMNO. Bila Ahmad Jais menyamyi, dia dapat sambutan gemuruh kerana majoriti hadirin adalah orang tua. Orang tua sahaja yang minati UMNO," Shabery buat kesimpulan dari komen facebooknya itu.


Malam itu Kamal Harun ajak saya tidur di biliknya, 2415. Semalam hari Deepavali, sedang kami breakfast di Seri Pacific dengan Hambali Latif, datang Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.


Ucapannya sebagai wakil terengganu di perhimpunan UMNO kelmarin agak bernas kerana dia tak mahu calon payung terjun dalam pilihanraya umum akan datang. Bekas ADUN Sura, Ahmad kamal Abdullah adalah contoh calon payung terjun yang tidak ada sokongan akar umbi. Bila Kamal tidak bertanding, yang dihantar tetap calon payung terjun menyebabkan DUN Sura kalah di tangan calon PAS pada pilihanraya umum 2008.


Pok Li sempat tengok baju linen kuning yang saya pakai. Baju itu disponsornya pada tahun 2006 dahulu ketika saya bekerja dengan akhbar Terengganu Bestari. Dah tiga tahun Pak Li sponsor baju itu, tetapi baju linen tetap gah untuk dipakai. Pok Li sempat bertanya di mana saya bekerja sekarang kerana dia tahu akhbar WATAN sudah ditutup.


Saya sempat menginterbiunya untuk majalah Business Kini. Berbual dengan Pok Li memang tidak menjemukan kerana dia memang banyak idea. Cuma nasibnya kurang baik kerana jadi ahli parlimen Dungun sepenggal sahaja.


Jumaat, Oktober 16, 2009

UMNO DIMINTA TUBUH YAYASAN


Umno diminta menubuhkan sebuah yayasan dikenali Yayasan Umno bagi memberi bantuan kewangan kepada anggotanya untuk tujuan pendidikan dan kesihatan.

Semasa membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini, wakil Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya berkata walaupun kini terdapat banyak yayasan di negara ini tetapi kesemuanya adalah atas nama individu atau kumpulan tertentu dan tidak beroperasi dengan nama Umno.

“Kita mahu yayasan yang berjenama Umno supaya parti kita kekal relevan, barulah kewujudan Umno akan sampai ke bawah dan tetap diterima oleh rakyat.

"Selama ini kita telah berkhidmat kepada orang yang susah dengan cukup baik, tetapi rupa-rupanya orang kita sendiri kita lupa. Sebab itu kita perlukan sebuah yayasan untuk membantu ahli-ahli Umno sendiri,”katanya.

Beliau berkata dengan cara itu, Umno dapat mengagihkan nikmat sampai ke bawah, dan secara tidak langsung akan menyentuh hati rakyat.

Shabudin turut mencadangkan agar Umno mendekati agamawan, dan jika sekiranya perlu, mewujudkan Dewan Ulama Umno bagi menjawab isu-isu tertentu.

Pada masa ini, katanya, apabila timbul isu, agensi rasmi agama mengambil jalan selamat dan tidak menolong untuk menjawab. Beliau juga berharap Umno memanfaatkan sepenuhnya media alternatif yang ada dan meramaikan blogger bagi menangkis dan menghapuskan doktrin kebencian yang ditimbulkan oleh pembangkang terhadap Umno.

PEMUDA UMNO IKTIRAF PERANAN BLOG


Atas kesedaran mengenai pengaruh internet dalam masyarakat, Pemuda Umno menggariskan "kemenangan perang saraf dalam dunia siber" sebagai penanda aras pencapaian bagi sayap parti Umno itu.

Langkah itu dilihat sejajar dengan senario politik semasa yang mana platform siber digunakan untuk melancarkan "perang saraf" melalui blog atau web portal online.

Ia juga senjata ampuh membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu.

"Ini satu kemajuan jika Pemuda Umno mengiktiraf pengaruh dan peranan media baru," kata pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah kepada Bernama ketika mengulas usaha Pemuda itu.

Langkah itu merupakan satu daripada lima penanda aras digariskan kepimpinan Pemuda Umno semasa perhimpunan agung Pemuda Umno hari ini bagi menarik sokongan pengundi selain menambah keanggotaan, mendaftarkan anggotanya sebagai pengundi, menjalin hubungan strategik dan menambah sokongan pengundi kepada BN.

Generasi muda dikatakan cenderung kepada media baru untuk sumber maklumat.

"Ini cabaran kita, menerangkan kepada generasi muda untuk membezakan antara fitnah dan fakta yang ditaburkan di alam siber ini," kata Ketua Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh.

Khairun berkata pengiktirafan terhadap peranan media baru dalam senario politik negara itu menunjukkan Umno mahu melakukan perubahan ke arah politik "engagement".

"Apa yang penting bukan serang tapi terang (penjelasan)," katanya.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 lepas, pengundi muda dikatakan terpengaruh dengan maklumat yang tersebar luas dalam dunia siber yang menyaksikan buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiganya di 222 kerusi Parlimen.

Dalam penggunaan media baru sebagai alat komunikasi efektif, seorang sarjana komunikasi berkata parti kerajaan agak terkebelakang berbanding parti pembangkang.

"Ini kerana media baru adalah medium utama bagi pembangkang sejak 1999 berbanding BN yang mempunyai media arus perdana," kata pensyarah komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ishak Abdul Hamid.

Yang pasti, penjelasan isu-isu semasa dalam dunia siber amat penting.

Ini berdasarkan hakikat terdapat lebih 16 juta pengguna Internet di negara ini berbanding 10.9 juta pengundi (pada pilihan raya umum ke-12 lepas) yang mempunyai kuasa menentukan masa depan negara.

Kira-kira 1.8 juta pengundi baru dijangka mengambil bahagian pada PRU-13 akan datang.

Khamis, Oktober 15, 2009

G4 TAK MINAT MASUK DEWAN PERSIDANGAN


Semalam hari kedua persidangan UMNO di mana satu hari pemuda, wanita dan puteri bersidang. Yang menariknya ketua ketiga-tiga sayap ini orang baru dan inilah kali pertama mereka menyampaikan ucapan sulung sebagai ketua pemuda, ketua puteri dan ketua wanita.

Khairy Jamaluddin menunjukkan kehebatannya dalam pidato sulungnya. Begitu juga Datuk Rosnah Abdul Rashid dan Datuk Seri Shahrizat Jalil. Dua tahun lagi kepimpinan mereka akan diuji lagi oleh para perwakilan. Dapatkah mereka bertiga mengekalkan jawatan mereka dua tahun lagi? Itu bergantung kepada sejauh mana mereka mengemudi ketiga-tiga sayap UMNO itu.

Orang masih tidak ramai seperti dahulu. Adakah kerana persidangan kali ini tiada pertandingan maka orang kurang datang ke PWTC? Yang peliknya ramai perwakilan G4 pemuda, puteri dan wanita berada di luar dewan daripada dalam dewan. Masa nak jadi G4 bukan main mereka berkempen. Sanggup habis duit. Bila dah menang, tak masuk dalam dewan pula membahaskan usul dan sebagainya. Saya pun hairan kenapa berebut jadi G4 jika tak masuk dewan mendengar perbahasan?

Inilah mentaliti G4 yang berjuang bukan untuk kepentingan bangsa tetapi untuk kepentingan diri. Bila dapat jadi G4 lebih mudah nak jumpa Khairy, Rosnah dan Shahrizat. Peduli apa pada bangsa kerana yang penting dapat projek dengan Rosnah dan Shahrizat sebagai menteri dan timbalan menteri. Walaupun Khairy bukan menteri, sekurang-kurangnya Khairy boleh tolong keluarkan surat sokongan walaupun sudah tentu tidak semestinya menteri meluluskan surat sokongan itu.

Kita akan tengok pada hari ini adakah orang lebih ramai dari semalam kerana hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Presiden UMNO. Saya bersama Baha sempat juga ke PWTC menemui beberapa orangkawan termasuk Ramli MY, kawan lama di Warta Parlimen Kepala Batas. Ramli dapat jadi G7 dari UMNO Bahagian Wangsa Maju.Kami turut temui Pegawai Penyelidik Kanan di pejabat MB Terengganu, Hambali Latif yang menyambut harijadinya yang ke 55 hari ini. Selamat hari jadi Hambali. Yang peliknya Eman JR buat tak kenal Hambali bila terserempak di Pan Pacific. Ada apa-apa ke Eman?

Rabu, Oktober 14, 2009

TIDAK RAMAI SEPERTI DAHULU


Semalam hari pertama persidangan UMNO. Sebelah pagi para perwakilan pemuda, wanita dan puteri mendaftar diri manakala di sebelah petang para perwakilan mendengar taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebelah malam pula Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan serentak persidangan pemuda, wanita dan puteri.

Saya teringat pada perhimpunan agung UMNO pada tahun 1997. Ketika itu saya adalah perwakilan pemuda Kemaman bersama Ahmad Said (kini Menteri Besar) dan Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (kini Setiausaha Politik Menteri Besar). Saya dipilih mewakili 30 pemuda untuk mengikuti perhimpunan agung UMNO selama tiga hari pada keesokannya. Itulah kenangan paling manis dalam hidup saya dapat jadi perwakilan dalam persidangan pemuda dan perhimpunan agung UMNO sekaligus.

Saya seperti biasa turut pergi ke PWTC. Bersama seorang kawan, Burhanuddin Tan Sri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baha kami pergi ke PWTC pada jam 4.00 petang. Semalam tak ramai orang yang ada di PWTC. Begitu mudah kami lalu ikut gerai-gerai yang banyak di dalam PWTC itu. Ia tidak sama di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Presiden UMNO dahulu. Kalau dahulu dari hari pertama lagi kita nak masuk ke PWTC susah kerana ramai sangat orang tetapi semalam begitu mudah masuk ke sana. Apakah makna semuanya ini?Adakah kerana semalam hari pertama atau orang sudah tidak minat lagi menghadiri perhimpunan agung UMNO lagi?

Selepas itu kami ke tingkat empat di The Mall.Kami jumpa Pak Lah, seorang jurugambar bebas. Dahulu orang panggilnya Mat Blue kerana dia suka tayang blue filem kepada kawan-kawannya di Chow Kit. Dia pernah ditangkap polis kerana menayangkan blue filem. Sejak itu dia dipanggil Mat Blue. Kelebihan Pak Lah semua orang politik dia kenal. Bila suruh buat appointment untuk dapatkan iklan, susah pula.Kalau kenal orrang, tak perlu pergi ke ofis. Terus dapat call handphone orang politik yang didakwanya kenal. Itulah kelebihan Mat Blue. Semua orang dia kenal.

Selepas itu kami ke tingkat bawah jumpa Kisfi Zainal, bekas ahli jawatankuasa pemuda UMNO Bahagian Kemaman. Di hadapan meja kami kelihatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Sabri Alwi atau Mat Kerak dan Naib Ketuanya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. Wan Hisham adalah bekas Exco Kerajaan Terengganu dan abang kepada Datuk Wan Farid Wan salleh, Ketua UMNO Bahagian yang kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu tahun lepas.

Mat Kerak ni memang kaya sekarang tapi kuat tipu orang. Nak tahu kisah dia tipu orang Cina, subkontraktor yang buat projek sekolahnya, kena tanya bekas Naib Ketua UMNO bahagian Kemaman, Md Rahim Husin. Saya pun pernah kena tipu masa pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Saya sms Wan Farid minta sponsor bilik untuk WATAN sepanjang pilihanraya kecil tersebut.

Wan Farid suruh saya hubungi Mat Kerak.Bila saya hubungi Mat Kerak, dia kata bilik sudah habis. Dia suruh saya cari rumah sewa. Saya dapat sebuah rumah di Durian Burung kepunyaan dua pupu saya, Mohd.Kamal Mohd. Shah dengan harga RM3,000. Mat Kerak suruh saya runding dengan Kamal supaya turunkan harga hingga RM2,800.Kamal setuju.Pada hari penamaan calon, wartawan kami, aruah Jalil Yusuf pergi temui Mat Kerak untuk ambil duit.Dia kata dia tak terima pun arahan dari Wan farid. Saya sms Wan Farid, Wan Farid tak jawab. Saya call Wan Farid, Wan Farid tak angkat pasal nak tahu mengenai sewa rumah itu.Begitu juga saya sms Mat Kerak,Mat Kerak tak jawab. Saya call Mat Kerak, Mat Kerak tak angkat handphonenya. Ada juga penipu macam Mat Kerak.

Saya dapat tahu Mat Kerak dan Wan Hisham ambil semua bilik di hotel Primula dan jual pula bilik itu dengan harga yang lebih mahal kepada sesiapa yang mahu menginap di situ sepanjang pilihanraya kecil tersebut.Patutlah Wan Farid kalah dalam pilihanraya itu gara-gara tindakan timbalan dan ketua bahagiannya yang merosakkan nama baik beliau.

Semalam hari pertama persidangan, Muhyiddin menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Timbalan Presiden UMNO merasmikan persidangan serentak tiga sayapUMNO tersebut. Hari ini pemuda, wanita dan puteri bersidang. Sudah tentu ucapan sulung Khairy, Shahrizat dan Rosnah akan menjadi tumpuan para perwakilan.




SHAHRIZAT BAKAL PRESIDEN UMNO?


Kaum wanita sememangnya wajar diberi peluang menerajui parti-parti politik di negara ini kerana sifat semulajadi mereka yang sentiasa amanah dan bersungguh-sungguh ketika bekerja, kata Pengerusi Yayasan Suara Wanita Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail.

Beliau berkata, kaum wanita berpotensi menjadi pemimpin baik dalam parti politik kerana memiliki banyak kelebihan berbanding lelaki.

Menurutnya, antara kelebihan wanita mereka sentiasa melakukan kerja sepenuh hati apabila diamanahkan dan jarang sekali terlibat dalam gejala rasuah.

“Saya menyokong penuh gesaan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu parti-parti politik di negara ini ditunjangi wanita dalam menghayati polisi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pengalaman saya selama 40 tahun dalam politik mendapati wanita berpotensi menjadi pemimpin yang baik kerana memiliki sifat kesungguhan, penyabar dan cekal menghadapi cabaran,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat bahawa sudah tiba masanya bagi parti-parti politik di negara ini ditunjangi oleh kaum wanita dalam menghayati polisi kerajaan BN.

Shahrizat memberitahu, perspektif golongan wanita mesti dibawa ke dalam parti induk UMNO dan urusan kerajaan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia masih lagi masyarakat yang ‘patriarchal’ iaitu mengutamakan golongan lelaki berbanding wanita.

Ini kerana, katanya, walaupun jumlah keseluruhan keahlian Wanita UMNO sebanyak 1.35 juta orang, namun di peringkat cawangan dan bahagian mungkin tidak ada penyertaan golongan wanita.

Mengulas lanjut Zaleha yang juga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat berkata, kekurangan wanita memegang jawatan penting dalam parti politik mengakibatkan ketidakseimbangan dalam kepimpinan di negara ini.

“Sekarang ini, kepimpinan dalam parti-parti politik sama ada BN atau pembangkang di negara ini jelas tidak seimbang.

“Ini kerana jumlah pemimpin wanita menerajui parti politik amat sedikit berbanding lelaki sedangkan mereka merupakan ahli yang paling ramai dalam parti,” katanya.

Zaleha mencadangkan agar setiap parti politik menyediakan sekurang-kurangnya 30 peratus kuota bagi jawatan dalam parti kepada wanita.

Beliau berkata, lebih ramai wanita perlu dilantik menjadi ketua cawangan dan bahagian parti serta menteri dalam kerajaan.

Tambahnya, pemimpin wanita mampu menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan kerana 52 peratus daripada pengundi di negara ini merupakan kaum hawa.

Selasa, Oktober 13, 2009

PR ISA MEMANG HEBAT


Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr. Tan Seng Giaw mengakui faktor keperibadian calon menyebabkan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, semalam.

Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, semua pengundi berbilang kaum di Bagan Pinang telah mengenali calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai pemimpin yang mesra rakyat.

Tambahan pula, katanya, sebagai bekas Menteri Besar selama 22 tahun, sudah tentu Mohd. Isa telah banyak membantu pengundi di kawasan berkenaan.

''Dia boleh bergaul dengan semua kaum, orangnya amat mesra, itu memang kita tahu tapi dalam pilihan raya walaupun dia mesra kita mesti lawan, kalau tak lawan tak boleh.

''Dalam politik banyak perkara mesti dipertimbangkan, salah satunya keperibadian. Dia bersekolah di situ, membesar di situ, siapa yang tak kenal dia?," katanya sewaktu dihubungi semalam.

Seng Giaw berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar yang sekadar mendapat 2,578 undi berbanding Mohd. Isa sebanyak 8,013 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Seng Giaw berkata, status Bagan Pinang sebagai kubu kuat BN turut membantu kemenangan Mohd. Isa.

Katanya, dalam pilihan raya umum yang lalu, walaupun tiga kawasan DUN dalam Parlimen Teluk Kemang dimenangi pakatan pembangkang, Bagan Pinang dan Linggi tetap berjaya dipertahankan BN.

Mengenai lebih 4,000 undi pos tentera pula, Seng Giaw berkata, beliau enggan membuat tuduhan mengenai kewujudan sebarang unsur penipuan.

Namun katanya, di mana-mana negara sekalipun undi tentera akan berpihak kepada kerajaan kecuali bagi angkatan tentera yang memberontak.

SELAMAT KEMBALI


Tiga hari saya tidak berada di Kuala Lumpur menyebabkan blog ini tidak dapat diupdatekan. Pada hari Sabtu lalu saya ikuti rombongan santai selebriti-media ke Sutera Beach Resort, Merang, Terengganu.

Program tiga hari dua malam itu adalah anjuran Anita Production yang mempromosi lima artis baru. Dua artis M. Nasir iaitu Ocham dan Zenn, adik kepada penyanyi popular, Shidee. Manakala dua orang lagi dua beradik, Zoufi dan Zwen dari Serendah dan seorang lagi artis wanita, Jocye Saayan.

Kami sampai jam 5.30 petang di Sutera Beach Resort dengan bas persiaran yang ditaja oleh Discovery Global Sdn. Bhd. Tuanpunya syarikat bas itu, Richard Moo dan Irwan Lee turut bersama dalam rombongan kami seramai 40 orang yang disertai oleh artis, media dan staf Anita Production.

Malam itu hotel mengadakan rumah terbuka sempena hari raya aidilfitri. Majlis itu yang diserikan oleh nyanyian lima artis baru turut dihadiri oleh Tengku Temenggong, Tengku Badrul dan isteri. Majlis itu amat meriah kerana hotel mengundanghampir 200 orang hadirin termasuk Ketua Polis Daerah Setiu.

Pada hari ahad, kami ke Pulau Bidong snorkeling dan diving. Hanya orang yang ada lesen diving sahaja dibenarkan diving.Oleh kerana bot terhad, maka 16 orang sahaja yang pergi ke Pulau Bidong.

Petang media sibuk menemubual Pengurus Besar hotel, Malizan yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan. Beliau memulakan kariernya ketika berusia 16 tahun di hotel Cashuarina Ipoh sebagai waiter. Beliau telah membuktikan bidang perhotelan merupakan industri yang cerah kepada orang bawahan sepertinya yang boleh meningkat dari waiter hinggalah ke pengurus besar.

Hotel ini juga menyediakan spa di mana jari-jari lembut Raja Jamilah sempat mengurut model kami, Zenn sampai tertidur. Zenn jadi model kami untuk shooting majalah kami.

Lima artis baru turut ditemubual oleh wartawan Sukses, Business Kini, Libur,Maskulin dan Sinar Harian. Krew Muzik-Muzik TV3 dan Diva TV1 turut sama membuat liputan majlis tersebut.

Petang itu kami bermain bola sepak pantai lawan staf hotel. Kami kalah teruk begitu juga pasukan netball kalah di mana oleh kerana pasukan kami kekurangan pemain wanita, terpaksalah pemain lelaki turut main netball.

Pada malamnya majlis lebih santai di mana kami mendengar lagu-lagu dendangan residen artis, Adi Putra yang menghiburkan para pelancong dari Jerman, Itali dan England. Saya turut diundang menyanyi sebuah lagu Biar Bulan Tanpa Bicara di mana inilah kali kedua saya menyanyi secara terbuka tanpa karaoke. Kali pertama di KL International Hotel tiga bulan lepas menyanyi di coffee house dengan lagu yang sama.

Hari terakhir, semalam kami check out pada jam 12 tenghari dan sebelum pulang kami singgah di Kedai Payang. Jam 4.30 petang kami bertolak balik ke Kuala Lumpur dan tiba di destinasi,Pandan Indan pada jam 12.30 malam. Terimakasih Anita Production yang sudi mengundang kami ke majlis santai bersama selebriti media ini. Setelah begitu lama sibuk dengan tugas,maka sekali sekala bersantai di Merang memang menyeronokkan.

Jangan lupa tonton tv1 pada jam 1.45 tengahari ini Diva buat liputan majlis santai selebriti-media anjuran Anita Production ini.

Sabtu, Oktober 10, 2009

JANGAN ULANGI KESILAPAN LALU


Pengundi di Bagan Pinang diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu apabila mereka memilih pemimpin pembangkang sebagai anggota Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya umum lepas, yang ternyata tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata penduduk di Bagan Pinang perlu bijak membuat pertimbangan dalam membuat keputusan pada pilihan raya kecil itu Ahad ini agar mereka tidak menyesal di kemudian hari.

"Kita jangan terlalu ikut perasaan hingga kita buat kesilapan, dulu masa pilihan raya umum 2008, ramai yang tak sokong (Datuk S.) Sothinathan (calon BN Parlimen Teluk Kemang), kata calon kita tak bagus, tapi akhirnya dapat Datuk Kamarul (Baharin Abbas) (calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)), sekarang langsung jadi wakil rakyat bunian...hilang, dan ini pengajaran kepada kita semua.

"Pada 11 haribulan ni jangan buat silap lagi... cukuplah sorang wakil rakyat bunian ni," katanya selepas menerima 80 borang keanggotaan anggota PKR Teluk Kemang yang menyertai Umno di Bagan Pinang.

Katanya keputusan penyokong parti pembangkang itu adalah langkah bijak sekaligus membuktikan bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang boleh diharapkan untuk masa depan negara.

Mohd Isa yakin bahawa lebih ramai pengikut PKR akan mengambil langkah menyertai BN selepas ini, bukan sahaja di kawasan Teluk Kemang malah di kawasan lain kerana kepercayaan penyokong pembangkang terhadap pimpinan dan parti itu kian terhakis.

Mengulas mengenai hari-hari terakhir kempen sebelum hari pengundian Ahad ini, beliau yang merupakan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata jentera parti sehingga ke saat ini telah menjalankan tugas dengan baik dan meyakinkan beliau untuk mempertahankan kerusi di kubu kuat BN itu.

Ditanya pemberita, adakah majoriti undi kali ini dapat mengatasi keputusan pilihan raya sebelum ini, beliau berkata :"saya tak kira lagi...beribu-ribu".

Mohd Isa berkata matlamat utama BN adalah untuk memenangi pilihan raya kecil itu manakala matlamat kedua adalah untuk menambah majoriti yang diraih sebelum ini, bagaimanapun beliau sedar, pihak pembangkang pasti hendak mengurangkan jumlah itu.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas, kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Jumaat, Oktober 09, 2009

LAJIM CADANG ORANG BARU KENA TUNGGU TIGA TAHUN



Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Lajim Ukin mencadangkan supaya anggota yang baru menyertai parti itu tidak menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam parti selagi keanggotaannya belum mencukupi tiga tahun.

Beliau berkata selain bertujuan melindungi kemuliaan taraf jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota (MT), langkah itu bertujuan memberikan kefahaman kepada anggota baru mengenai perjuangan parti.



"Kita memikirkan tentang keutuhan parti supaya tidak tercemar dan harus difahami oleh anggota parti. Tujuannya bukan untuk menghalang (seseorang anggota) daripada bertanding tapi asalkan dia mengikut syarat yang ada yang ditetapkan parti.



"Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) tak nak ada lagi sekatan. Benarkan sahaja orang bertanding, tidak ada kuota, tidak ada syarat. Tetapi kita memikirkan kalau itulah yang akan berlaku, maka esok saya masuk Umno, saya boleh lawan apa juga jawatan. Janganlah hari ini masuk, esok terus bertanding," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini pada Jumaat.



Selain itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabah berkata pada pandangannya, untuk bertanding sebarang jawatan tertinggi contohnya Presiden dan Timbalan Presiden, seseorang itu mestilah menjadi anggota MT selama dua penggal untuk jawatan Presiden dan satu penggal untuk jawatan Timbalan Presiden.



"Implikasi yang akan terjadi dalam kelonggaran ini ialah pertama, orang bukan serius bertanding tetapi hanya memerlukan (jawatan) sahaja atau pun sengaja nak ikut bertanding. Jadi, kita tak nak itu (berlaku). Sekurang-kurangnya anggota itu perlulah menjadi anggota (Umno) selama tiga tahun," katanya.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pindaan perlembagaan Umno dan kenyataan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya diadakan satu syarat baru bagi memastikan jawatan tertinggi dalam Umno berada di tahap yang dihormati selepas ketiadaan sistem pencalonan atau kuota.



Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berpendapat cadangan itu bukan bertujuan menyekat mana-mana anggota parti daripada bertanding.



"Kita setuju supaya Presiden dan Timbalan Presiden (dipertandingkan)... tetapi bagi sedikit syarat supaya tidak sewenang-wenangnya orang Umno yang telah menjadi anggota bertanding jawatan Presiden. Untuk bertanding itu dia ada hak tetapi kelayakan untuk bertanding Presiden dan Timbalan Presiden itu mungkin belum sampai.



"Orang yang baru kena belajar cara kepimpinan, kena belajar tentang perjuangan sebenar, belajar bagaimana kita sama-sama boleh menyumbang kepada arah kekuatan parti.



"Bukan masuk parti terus pegang jawatan. Kita tidak akan dapat anggota yang berkualiti dan komited dalam perjuangan dan bukan (tujuan) kita (untuk) halang dia jadi calon," katanya.



Ditanya sama ada cadangan pindaan itu, yang turut menambah jumlah perwakilan seramai 2,500 ke Perhimpunan Agung Umno mampu menghapuskan politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik, Lajim berkata jika pindaan baru itu dihayati oleh segenap anggota parti, maka ia dapat menghapuskan politik wang.


"Sistem (yang ada) sekarang ini baik, tapi anggota-anggota parti yang tak ikut sistem ini, tak laksanakan sistem ini dan tak menghayati peraturan Umno. Sepatutnya tak ada masalah kalau ahli parti tidak menerima rasuah, tak minta rasuah, tak beri rasuah dan ia tidak akan berlaku.



"Sistem baru yang akan diperkenalkan ini boleh menyebabkan berlaku rasuah jika anggota Umno tidak sedar dan insaf bahawa perbuatan rasuah adalah salah. Harapan kita supaya orang yang ada wang, yang ada dana ini, jangan buat supaya kita boleh memilih pemimpin yang berwibawa, berkualiti dan bijak," katanya yang juga Anggota Parlimen Beaufort.



Penetapan "Hari Pemilihan Umno" dan menghapuskan sistem kuota adalah antara cadangan yang terkandung dalam draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan Perlembagaan Umno.Perhimpunan Agung Umno 2009 akan diadakan dari 13 Okt hingga 16 Okt ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

SMS KETUA PEMUDA PAS CETUSKAN KETEGANGAN


Penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan untuk melancarkan jihad terhadap UMNO boleh mencetuskan ketegangan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, penyebaran SMS seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan suasana bahaya.

Malah Razali turut menafikan sekeras-kerasnya insiden serangan menggunakan pedang Samurai seperti yang didakwa Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub.

Beliau turut meminta mangsa yang cedera sekiranya betul untuk bersemuka dengannya.

"Beritahu saya dan saya sendiri akan bersemuka dengan mangsa. Saya lakukan ini atas dasar tanggungjawab. Kalau saya nafikan pun mereka boleh kata macam-macam.

"Kalau betul beliau cedera, datang berjumpa dengan saya bagaimanapun setakat ini saya tidak menerima laporan polis mengenainya," katanya pada sidang akhbar di Bagan Pinang semalam.

Razali turut mengesahkan, beliau telah dihubungi oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bagi membincangkan perkara itu dan meminta kedua-dua parti yang bertanding supaya tidak mencetuskan keadaan yang boleh huru-hara.

Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan semua jentera pilihan raya terutamanya jentera Pemuda UMNO mempertingkatkan disiplin dan berkempen secara berhemah.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan itu juga memperlihatkan pemimpin Pemuda Pas yang dilihat gemar untuk mencemarkan kempen pilihan raya selain tidak berdisiplin ketika berkempen.

"Ini bukan budaya kita hendak bergaduh dan mengisytiharkan perang. Saya telah memberitahu kepada pemimpin Pas supaya mengawal disiplin ahli-ahli mereka.

"Mana boleh dalam pilihan raya ini kita melancarkan perang sedemikian sedangkan kita adalah saudara seagama. Saya anggap perkara seperti ini tidak sepatutnya timbul," katanya.

Khamis, Oktober 08, 2009

4,602 PENGUNDI POS BUANG UNDI HARI INI


Para pengundi Pos bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang membuang undi hari ini di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (Pusasda) dan Ibu Pejabat polis Daerah Port Dickson di sini bermula pukul 8 pagi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebanyak 4,602 undi pos telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut iaitu membabitkan 4,571 anggota tentera dan 31 anggota polis.

''Kita membuat keputusan untuk membuka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kem-kem ini. Kalau terlalu banyak susah hendak dikawal.

''Sehubungan ini kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok," katanya selepas meninjau proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri ejen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson semalam.

Wan Ahmad berkata, untuk proses undi pos esok hanya seorang wakil calon dibenarkan masuk bagi memantau proses pembuangan undi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan ejen calon boleh memantau keseluruhan proses tanpa halangan.

Menjawab satu soalan beliau berkata, keputusan sama ada pembuangan undi pos akan dibuat dalam masa sehari atau dua hari bergantung kepada keadaan.

''Untuk undi pos ini juga tarikh terakhir untuk dipulangkan kepada SPR ialah pada 11 Oktober sebelum pukul 5 petang. Ini adalah khas untuk anggota tentera yang menjadi pengundi tetapi berada di luar Port Dickson," katanya.

Ujar beliau, sekiranya undi pos lewat diterima oleh SPR dalam tempoh masa yang ditetapkan ia akan dimasukkan ke dalam peti lain dan ia tidak akan dikira.

Rabu, Oktober 07, 2009

SYARAT BARU UNTUK TANDING


Satu syarat baru akan dibuat bagi memastikan jawatan tertinggi di dalam Umno berada di tahap yang dihormati selepas ketiadaan sistem pencalonan, kata Naib Presidennya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak bimbang dengan penghapusan sistem kuota itu cuma parti tidak mahu membuka peluang yang terlalu luas sehinggakan institusi jawatan itu boleh dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Kita tak nak, seorang yang bukan ahli Umno, besok mendaftar dan kerana tidak ada pencalonan, hari ini jadi ahli Umno besok bertanding Presiden, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Usul dan Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan untuk perhimpunan agung Umno yang akan datang di Bagan Pinang semalam.

Hishammuddin berkata mesyuarat itu membincangkan pengenalan satu syarat minimum untuk anggota-anggota baru dan ia akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas semasa Perhimpunan Agung itu nanti.

"Kita nak kemaskini sedikit kerana ada pandangan di bawah bahawa kita tidak mahu membenarkan sesiapa sahaja menawarkan diri dan pada bila-bila masa sampai, baru jadi ahli boleh mencabar jawatan-jawatan yang tertinggi dalam parti," katanya.

Katanya, ini semua merupakan petanda kepada tindakan awal untuk bergerak ke arah transformasi dan usaha serius untuk membawa perubahan mengikut kehendak ramai berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lepas.

Mengenai mesyuarat hari ini, Hishammuddin memberitahu, di antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai usul ucapan dasar Presiden parti dan pada tahun ini tidak ada usul lain lagi yang akan dibawa.

"Perkara kedua adalah berhubungkait dengan pindaan perlembagaan di mana kita telah pun bersetuju dan apa yang kita hendak bawa merupakan satu perkara yang begitu bersejarah, ianya mestilah mudah untuk semua fahami," katanya.

Selasa, Oktober 06, 2009

ROSNAH YANG MESRA RAKYAT


Kalau tidak silap saya, ini adalah penggal kedua Datuk Rosnah Haji Abd Rashid Shirlin menjadi ahli parlimen Papar. Kali pertama pada tahun 2004, tetapi beliau adalah ahli parlimen biasa. Ketika itu beliau menang tanpa bertanding sebagai naib ketua pergerakan puteri UMNO Malaysia pada tahun 2004.


Pada pilihanraya umum 2008, beliau sekali lagi diberi peluang bertanding di parlimen Papar. Selepas rombakan kebinet 2008, beliau kekal sebagai ahli parlimen biasa. Pada Mac lalu, beliau menang dalam pertandingan ketua puteri UMNO dalam pertandingan enam penjuru. Rosnah mengalahkan lima calon lain iaitu Shahaniza, Ida Rahayu, Bibi Sharliza. Ismalina Ismail dan Saarah.


Setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang baru April lalu, sebagai Ketua Puteri UMNO, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. Beliau mencatat sejarah kerana menjadi naib ketua puteri pertama yang menang dalam pertandingan ketua puteri. Bekas ketua puteri, Datuk Noraini Ahmad naik pangkat tanpa sebarang pertandingan pada tahun 2004.


Beliau juga pemimpin Sabah pertama yang dipilih menerajui sayap penting dalam UMNO iaitu pergerakan puteri UMNO. Saya tidak berpeluang menemubual beliau sejak beliau menjadi ahli parlimen pada tahun 2004. Jadi saya tak biasa dengan beliau.


Pada hari ini kali pertama saya menjejak kaki beliau di Putrajaya. Pada Februari lalu ketika bertugas dengan WATAN, WATAN turut menyiarkan wawancara penuh dengan beliau tetapi saya tidak dapat hadir sebaliknya menghantar wartawan kanan, Shahilan M. Alias untuk mewawancaranya.


Beliau adalah seorang timbalan menteri yang mudah ditemui. Saya hantar sms kepadanya minggu lepas untuk menemuinya. Dia suruh saya datang hari ini di antara jam 10 hingga 11 pagi atau dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang.


PRnya memang hebat. Bila pembantunya memberitahusaya bekas editor WATAN sdah sampai, beliau keluar dari biliknya me6yambut saya di ruang tamu. Saya teruja melihat sikap mesranya itu sedangkan beliau tak perlu keluar kerana gilirann saya untuk menemuinya masih lambat lagi.


Bila giliran saya tiba 30 minit kemudian, saya pun mewawancaranya untuk majalah Business Kini sambil minta tolongnya untuk mendapatkan iklan kempen sihat yang ada di kementeriannya seperti iklan tak nak merokok. Beliau dengan mudah merekomen permohonan kami kepada Tan Sri Ismail Merican, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan. Jika semua timbalan menteri bersikap begini mudah ditemui rakyat dan mesra rakyat saya percaya rakyat akan hormati kerajaan BN yang tidak mempunyai pemimpin yang sombong.


Malah setiausaha sulit kananya, Sharifah Nazira Syed Basir Ahmad, seorang PTD turut melayani kami dengan mesra sewaktu menunggu surat sokongan daripadanya siap disediakan. Tahniah Rosnah!

PELIKNYA POLITIK


Sudah lama Tan Sri Isa Samad jadi wakil rakyat di Teluk Kemang dan sudah lama beliau jadi Menteri Besar Negeri Sembilan tetapi soal dia bukan anak Negeri Sembilan masih ditimbulkan oleh pembangkang.Isa memang dilahirkan di Melaka tetapi beliau dibesarkan di Bagan Pinang.

Itulah politik. Politik memang pelik. Soal Isa bukan anak Negeri Sembilan tidak perlu ditimbulkan kerana beliau sudah lama membesar di Bagan Pinang.Calon PAS walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan tetapi dia tidak pernah kenal para penduduk Bagan Pinang.

Faktor calon tempatan bakal memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober depan.


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN bukan sahaja berpeluang menang tetapi mampu memperolehi majoriti yang banyak.

"Semasa lawatan saya ke sana (Bagan Pinang) jelas menunjukkan penduduk di kawasan itu menyenangi calon BN," katanya kepada pemberita pada jamuan sempena Aidilfitri di Bagan Pinang semalam.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya BN terpaksa memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata tidak wujud isu sama ada BN terdesak atau tidak memilih Isa, apa yang penting calon berkenaan disukai ramai dan perlu di beri peluang.

Mengenai dakwaan pembangkang, Isa bukan dilahirkan di sana sebaliknya hanya dibesarkan di Bagan Pinang, Ismail Sabri berkata itu lagi bagus kerana calon akan lebih memahami keadaan dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Isnin, Oktober 05, 2009

ISA TAK KAN TERIMA JAWATAN EXCO


Insya Allah pada malam Ahad depan, Tan Sri Isa Samad akan diumumkan sebagai ADUN Bagan Pinang yang baru. Inilah kali pertama beliau bertanding di kampungnya sendiri sejak menjadi ahli politik pada tahun 1978.

Keyakinan Isa menang berdasarkan undi pos sebanyak 4,000 lebih. Kecuali semua pengundi pos gila, barulah PAS menang kerana 4,000 pengundi pos pangkah PAS semua. Seperti kata Menteri Besar, Mohamad Hassan, tidak semestinya undi pos pangkah BN, memang betul tetapi majoritinya akan mengundi BN. Jadi Isa akan jadi wakil rakyat undi pos seperti Datuk Zulhasnan Rafique yang menang di parlimen Setiawangsa kerana undi pos.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mohamad Hassan enggan mengulas sama ada akan melantik Isa sebagai Exco Kerajaan Negeri jika beliau menang.

Sebagai bekas Menteri Besar dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, masakan Isa mahu menerima jawatan Exco kerana ia merendahkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin veteran. Beliau adalah bekas naib presiden UMNO. Masakan dia mahu terima jawatan yang rendah kecuali dia dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2012.

Soal bekas menteri jadi Exco bukan perkara luar biasa. Bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Dr Yusof Noor (1990-1995) pernah jadi Exco Kerajaan negeri Terengganu (1995-1999). Jadi kalau Isa terima jawatan Exco tidak salah kerana sudah ada contoh yang boleh diteladaninya.

Kemenangan Isa sudah tentu menggugat beberapa orang ahli politik seperti Mohamad Hassan yang mungkin bimbang Isa akan merampas kerusi Menteri Besar dari tangannya. Apatah lagi Mohamad Hassan dikaitkan dengan Pak Lah maka Najib memerlukan Menteri Besar baru pada tahun 2012.

Kemenangan Isa juga bakal menggugat Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.Pada tahun 2004, Isa menang besar mengatasi undi Muhyiddin dalam pertandingan Naib Presiden UMNO. Jika beliau tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang, sudah tentu Isa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan adalah pencabar kuat Muhyiddin bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO Mac lalu.

Isa lebih baik PRnya daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kalah di tangan Muhyiddin setelah Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam dilarang bertanding.

Dalam pertandingan Mac lalu, Isa kalah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO kerana beliau bukan lagi seorang menteri kerana perwakilan memilih tiga orang menteri sebagai naib presiden UMNO iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi;Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal.

PAS KENA MAIN DENGAN ANWAR IBRAHIM


Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyerahkan isu mengenai siapa yang layak memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman.

"Saya tidak mahu komen apa-apa, ia diserahkan kepada Exco yang bertanggungjawab. Lebih baik tanya Mansor," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah pembinaan Tokong Guan Im Po Mo Gong di Jalan Raja Uda di Pulau Pinang semalam.

Isu jawatan YDP MAINPP hangat diperkatakan berikutan pendedahan surat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan melantik bekas pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria.

Bagaimanapun, kerajaan negeri gabungan parti pembangkang menjanjikan jawatan itu kepada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, sebagai memancing undi sekiranya beliau memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu .

Surat perkenan itu telah diterima kerajaan negeri pada pertengahan Ogos lepas iaitu sebelum pilihan raya kecil itu diadakan tetapi pucuk pimpinan tidak mengumumkannya kepada orang ramai.

Pendedahan surat perkenan itu dibuat oleh Yang Dipertua MAIPP ketika ini, Shabudin Yahaya semalam. Shabudin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Itu yang peliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berangan jadi Perdana Menteri menjanjikan benda yang bukan dalam bidangnya sedangkan beliau tahu bahawa kuasa melantik Yang Dipertua MAIPP adalah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.

Menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir Anwar mengumumkan jika calon PAS, Salleh Man menang, beliau akan dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP. Oleh kerana calon PAS sudah kena main maka Lim Guan Eng perlulah melantik Salleh Man sebagai Exco. Gantikanlah seorang Exco dari DAP. Ramai sangat China jadi Exco, Guan Eng. Jika anda berjiwa besar lucut seorang DAP jadi Exco digantikan oleh PAS, baru orang Melayu Pulau Pinang tabik kepada anda.

Ahad, Oktober 04, 2009

MB NAFI RETAK DENGAN ISA


Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau merupakan antara orang pertama yang mencadangkan supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertanding di Bagan Pinang.

Sambil menafikan tuduhan pihak pembangkang kononnya berlaku keretakan hubungan antara beliau dan Mohd Isa, Mohamad berkata perkara itu sengaja diada-adakan pembangkang sebagai modal politik semata-mata.

"Saya yang suruh dia, ramai yang saksi masa di hospital lagi, masa jenazah Allahyarham (Azman) ada lagi dalam wad, saya cakap, Tan Sri (Isa) bersiap untuk bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Persatuan Penduduk, Nazir Masjid, Pengurusan Kuil, Tokong dan Gereja Serta Badan Bukan Kerajaan sekitar Port Dickson di Bagan Pinang hari ini.

Mohamad berkata pada ketika itu Mohd Isa tidak memberi sebarang jawapan kepadanya sebaliknya meminta untuk berfikir terlebih dahulu mengenai permintaan itu.

Bagaimanapun, demi untuk memantapkan Barisan Nasional (BN), Mohd Isa menerima permintaan itu dan sanggup berkorban kerana rakyat di Bagan Pinang amat memerlukan khidmat beliau.

Mohamad yang turut ditanya mengenai pendekatan agresif parti lawan kali ini sehingga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk pada hari penamaan calon semalam, berkata budaya samseng sudah menular dalam parti pembangkang.

Menurutnya, insiden ganas dan liar seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan beliau berharap penyokong parti pembangkang tidak akan bertindak keterlaluan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Pada pilihan raya kecil 11 Okt ini, BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa, 59, sebagai calonnya dan beliau ditentang Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, 45.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN Bagan Pinang Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Azman, yang mewakili BN, menang kerusi DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

KU NAN NAFI KELUAR SURAT


Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan supaya memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon BN pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kononnya ditandatangani beliau, adalah dipalsukan oleh pihak pembangkang.

Perbuatan itu merupakan taktik kotor terbaru pihak pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan antara Ibu Pejabat UMNO, ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dengan badan perhubungan negeri dan Umno bahagian Teluk Kemang khususnya, katanya.

Antara kandungan surat palsu itu, yang kini dimuatkan di laman web Umno-Online dituliskan seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Tengku Adnan memberitahu Bernama bahawa surat berunsur fitnah itu kini sudah diedarkan secara meluas di sekitar kawasan Bagan Pinang dalam usaha untuk memecah belahkan Umno yang dilihat begitu utuh di Bagan Pinang.

"Saya tidak pernah mengeluarkan surat itu, itu satu pembohongan, ia surat yang telah dipalsukan oleh pihak pembangkang untuk memecah belahkan Umno khususnya di Bagan Pinang. Ini adalah taktik kotor parti lawan yang terdesak untuk memecah kubu kuat Umno," jelasnya.

Katanya beliau menyedari mengenai surat palsu itu setelah diberitahu pekerja parti yang meninjau aktiviti pembangkang di Bagan Pinang.

"Saya diberitahu tadi oleh pekerja parti, mereka jumpa surat yang diedarkan di kawasan itu (Bagan Pinang), mereka tanya kepada saya adakah itu surat betul, saya jawab saya tak pernah keluarkan surat itu, tanda tangan itu palsu," katanya.

Katanya beliau meminta agar jentera parti memantau perkara itu dan kalau ia berlarutan dan terus dijadikan modal politik parti pembangkang, beliau bercadang untuk melaporkan kepada polis.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Okt ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, dari BN pada 4 Sept lalu.