Memaparkan catatan dengan label shamsul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label shamsul. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 25, 2014

SHAMSUL DAN RAFIZI NAIB PRESIDEN BARU PKR

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Akhirnya, proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung dengan pelbagai masalah sejak April, menyaksikan keputusan barisan baharu kepimpinan mengekalkan status quo pemimpin utamanya. Keputusan yang diumumkan pada 21 Ogos lepas menyaksikan Mohamed Azmin Ali menang mudah sebagai timbalan presiden selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tersingkir daripada persaingan, ekoran pemecatannya daripada PKR pada 9 Ogos. Abdul Khalid dipecat kerana mengingkari keputusan parti yang mencalonkan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Menurut pemerhati politik, kemelut politik di Selangor dilihat memberi kelebihan bagi Mohamed Azmin untuk mengekalkan jawatan itu sekurang-kurangnya bagi tiga tahun lagi sementalah pencabarnya, Setiausaha Agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilihat bukanlah lawan sebenar kepada Pengerusi PKR Selangor itu. Mohamed Azmin bergandingan semula buat kali kedua dengan Dr Wan Azizah, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, menang tanpa bertanding jawatan nombor satu parti pada pemilihan baharu pucuk pimpinan PKR bagi penggal 2014-2017. PENGEKALAN MOHAMED AZMIN DIJANGKA Penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata kemenangan Mohamed Azmin adalah sesuatu yang telah dijangka memandangkan beliau merupakan pemimpin yang paling mendapat sokongan dalam PKR. Katanya kemenangan Mohamed Azmin, yang juga Anggota Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa, itu dilihat sebagai tonggak kepada Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi PKR. "Ini ditambah pula kemenangan ADUN Seri Setia iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan) yang merupakan orang kuat Mohamed Azmin dan ini sudah tentu hanya untuk memperkuatkan lagi sokongan kepada Anwar. "Dalam pemilihan PKR kali ini yang boleh saya sifatkan paling lama untuk mendapatkan keputusan berbanding parti-parti politik yang lain, saya melihat tidak banyak pembaharuan dalam barisan kepimpinan dan keputusannya tidak lagi mengejutkan sebab terlalu lama masa yang diambil untuk mengeluarkan keputusan pemilihan," katanya kepada Bernama di sini. Mohamed Azmin dan Saifuddin menyertai PKR pada 1999 manakala Abdul Khalid pada 2007. Pemilihan bermula pada 26 April lepas dan pengumuman rasmi barisan kepimpinan baharu hanya diumumkan 21 Ogos lepas selepas pelbagai masalah timbul ketika pemilihan seperti pergaduhan, proses pengundian tidak telus, kewujudan pengundi hantu dan undi melebihi jumlah anggota yang keluar mengundi. Hal berkenaan menjadikan PKR sebagai parti yang melakukan proses pemilihan dan pengumuman barisan kepimpinan baharu paling lama. Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Shah Alam selama tiga selepas keputusan diumumkan pula hambar dan tidak mendapat sambutan anggota parti. DUA MUKA BAHARU NAIB PRESIDEN Turut menarik perhatian ialah jawatan naib presiden yang menyaksikan seorang penyandangnya 'tersungkur' iaitu Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh. Dua muka baharu mengisi jawatan nombor tiga tertinggi parti iaitu Anggota Parlimen Bukit Katil dan Pandan Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Rafizi Ramli. Persoalannya, sejauh mana ketokohan Rafizi dan Shamsul Iskandar mampu 'mencuri' undi anggota PKR untuk meraih jawatan naib presiden? Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu itu berpandangan, kedua-dua mereka setakat ini belum lagi memperlihatkan ketokohan masing-masing secara maksimum, namun dilihat sebagai 'ayam sabung' kepada PKR. "Ini kerana anggota melihat kepada siri demi siri pendedahan yang dibuat oleh Rafizi manakala Shamsul Iskandar pula dilihat sebagai 'hero' kerana telah mengalahkan pemimpin kanan Umno iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Parlimen Bukit Katil. "Ini mungkin antara faktor penarik yang dinilai anggota untuk memilih mereka sebagai naib presiden yang baharu," kata Che Hamdan. FUZIAH TERSUNGKUR Pemilihan kali ini menyaksikan Fuziah yang menjadi naib presiden PKR sejak 2010 kecundang dalam persaingan 14 penjuru. Che Hamdan berkata meskipun berjaya menarik perhatian umum dengan membangkitkan isu seperti Lynas, tetapi ia langsung tidak memberi nilai tambah kepada Fuziah untuk meraih sokongan anggota untuk kekal di jawatan itu. Selain itu, katanya kemenangan anak sulung Anwar, Nurul Izzah dan sekutunya Tian Chua sudah pun dijangka lebih awal lagi. "Kedudukan Nurul Izzah tidak akan tergugat selagi Anwar berada di dalam parti dan kemenangan beliau hanya disebabkan adanya pengaruh keluarga di dalam parti manakala Tian Chua pula menang untuk mewakili kumpulan aktivis yang ada dalam PKR," katanya. Jawatan naib presiden yang memperuntukkan secara keseluruhannya tujuh kerusi, empat kerusi diisi oleh mereka yang dipilih menerusi proses pemilihan manakala tiga lagi adalah secara lantikan oleh presiden parti. Sebelum ini, selain Nurul Izzah dan Tian Chua, Fuziah Salleh dan Datuk Dr Mansor Othman adalah naib presiden PKR yang lepas. Dr Mansor bagaimana pun tidak mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini. Bagi jawatan Ketua Wanita, ia masih disandang oleh Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin. -- BERNAMA

Isnin, Oktober 25, 2010

SHAMSUL TERPERANJAT DINOBATKAN PENGARAH TERBAIK


Shamsul Yusof terperanjat apabila dinobatkan sebagai pengarah filem terbaik melalui filem arahan keduanya, Evolusi KL Drift 2. Beliau mengalahkan Mamat Khalid yang diramalkan oleh media sebagai pemenang melalui filem Estet.

Shamsul yang juga anak pengarah filem, Datuk Yusof Haslam baru dua kali mengarahkan filem.Sudah tentu kemenangannya amat memeranjatkan semua pihak.

Filem Magika yang sarat dengan elemen cerita-cerita rakyat menepati ramalan peminat filem tempatan apabila diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini malam ini.

Mohd. Shamsul Yusof pula muncul Pengarah Terbaik menerusi filem arahannya, Evolusi KL Drift 2.

Magika arahan pertama Edry Abdul Halim menggondol hadiah berupa trofi dan wang tunai RM50,000, manakala Shamsul menerima trofi serta wang tunai RM20,000.

Hadiah bagi anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sambil diiringi Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim.

Pada majlis itu, kategori Filem Pendek Terbaik dimenangi oleh Project Genex, Filem Animasi Terbaik (Buas), Filem Dokumentari Terbaik (Suatu Ketika Laskar Senoi), Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abdul Halim-Magika), Penyunting Terbaik (Mohd. Shamsul Yusof/Hisham Jupri-Evolusi KL Drift 2), Cerita Asal Terbaik (Ahadiat Akashah-Lagenda Budak Setan), Lakon Layar Terbaik (Jumaatun Azmi-Haq) dan Sinematografi Terbaik (Raja Mukhriz Raja Ahmad-Niyang Rapik).

Pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik diungguli Lisa Surihani menerusi filem Lagenda Budak Setan, manakala Pelakon Lelaki Terbaik milik Bront Palarae menerusi filem Belukar.

Turut disampaikan ialah empat Anugerah Khas FFM23 iaitu Penggiat Belakang Tabir yang dimenangi oleh Johari Ibrahim, Pelakon Veteran Wanita (Datuk Sarimah Ahmad), Pelakon Veteran Lelaki (Tamam Idris) dan Filem Box-Office (Adnan Sempit) yang mencatat kutipan tiket RM7.6 juta.

Sementara itu, FFM23 yang dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) turut menyediakan empat Anugerah Khas Juri yang dimenangi oleh filem Cinta Ais Kacang, Woohoo, Estet dan Mualaf.

Juri FFM23 bagi kategori Filem Cereka diketuai oleh Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin dengan dibantu oleh Panchacharam P. Nalliah, Dr. Naim Ahmad, Kamarudin Abu dan Akmal Abdullah.