Memaparkan catatan dengan label shafie. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label shafie. Papar semua catatan

Selasa, Julai 25, 2017

NAIB PRESIDEN UMNO: SIAPA GANTI ZAHID DAN SHAFIE?

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan bahagian Umno baru sahaja bermula di seluruh negara sambil bahagian masing masing mengadakan majlis rumah terbuka aidilfitri. Tahun ini semua ahli majlis tertinggi Umno bebas merasmikan mana mana bahagian kerana tahun ini tiada pemilihan di peringkat bahagian  dan pusat.

Peluang merasmikan persidangan bahagian digunakan oleh semua pemimpin Umno untuk berkempen merebut semua jawatan yang akan diadakan pada tahun hadapan. Sudah tentu jawatan nombor tiga parti menjadi tumpuan umum kerana seperti biasa jawatan presiden dan timbalan presiden menang tanpa bertanding.


Sekarang ada dua jawatan naib presiden Umno kosong iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno dan Shafie Apdal yang keluar dari Umno.

Pada pemilihan 2018, yang pastinya Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menang selesa kerana beliau adalah penyandang jawatan buat penggal ketiga. Manakala dua kerusi yang kosong dijangka menjadi rebutan empat orang menteri.

Setelah menjadi ketua pemuda Umno selama dua penggal, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dijangka menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno. Beliau agak ambitious untuk menjadi PM Malaysia di masa hadapan maka kekosongan yang ditinggalkan Dr Zahid dijangka diisi oleh KJ.

Seperti juga Dr Zahid dan Hishammuddin sebagai bekas ketua pemuda, maka peluang untuk KJ menjadi naib presiden Umno melalui tiket ketua pemuda agak cerah. Manakala kerusi yang ditinggalkan oleh Shafie Apdal dari Sabah dijangka diisi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan atau Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Rahman lebih senior dari Dr Salleh sebagai menteri tetapi Rahman selaku bekas setiausaha pemuda sudah tentu tidak mahu undi pemuda berpecah memandangkan bossnya, KJ turut bertanding. Jika Rahman bertanding maka peluang KJ untuk menang agak tipis maka Rahman terpaksa berkorban demi bossnya, KJ.

Maka Dr Salleh akan menjadi calon tunggal dari Sabah yang menawarkan diri sebagai naib presiden Umno. Jika Rahman dan Dr Salleh bertanding maka peluang orang Sabah untuk menang agak tipis maka Rahman bukan sahaja akan beri laluan kepada KJ malah kepada Dr Salleh menjadi calon tunggal dari Sabah. Laluan Rahman ini akan memudahkan kemenangan Salleh yang mendapat undi yang solid dari Sabah.

Kali terakhir Bendahari Umno menang naib presiden Umno pada 40 tahun lalu apabila Tengku Razaleigh Hamzah menang di tempat pertama diikuti oleh Tun Ghafar Baba dan Tun Musa Hitam pada tahun 1978.

Ada orang berpendapat bahawa Dr Salleh tidak perlu tanding naib presiden Umno kerana beliau sudah menjadi Bendahari Umno tetapi jika beliau tidak tanding maka rugi tiada orang Sabah yang menjadi naib presiden Umno walaupun tiga kerusi itu bebas ditandingi oleh sesiapa.

Bendahari Umno selepas Ku Li iaitu Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Husni Hanazlah tidak bercita cita tinggi tetapi Dr Salleh nampaknya berminat meninjau sokongan dari seluruh negara dengan menerima undangan merasmikan persidangan bahagian tidak seperti mantan Bendahari yang tidak berminat merasmikan persidangan bahagian. Tinjauan ini perlu sama ada beliau boleh menggantikan tempat Shapie Apdal pada tahun hadapan.





Dua orang lagi calon yang dikatakan berminat menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Mampukah Mahdzir meneruskan tradisi bekas menteri pelajaran memenangi jawatan naib presiden Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Sama samalah kita tunggu pemilihan 2018.

Selasa, Disember 08, 2015

SHAFIE KENA MAIN

Kesian Shafie Apdal kena main dengan grup Muhyiddin Yasin. Ingatkan bila sokong Munyiddin, dapat jadi timbalan presiden Umno tetapi rupanya kekal menjadi naib presiden Umno. Sebaliknya menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir yang akan bertanding jawatan timbalan presiden mewakili team 5M menentang team Najib Razak dalam pemilihan Umno pada tahun 2018.

Semalam tersebar kononnya team 5M yang diketuai Muhyiddin Yasin akan mencabar jawatan presiden Umno menentang Najib Razak tetapi Mukhriz yang akan menentang Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan timbalan presiden Umno.

Bagi jawatan naib presiden pula, Mohd Khaled Nordin, Mohd Shafie Afdal dan Mat Said dari team 5M akan menentang Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Mahdzir Khalid dari team Najib.

Sepatutnya Shafie yang sudah dua penggal menjadi naib presiden Umno yang wajar menentang Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan timbalan presiden Umno. Ini baru nampak team 5M serius mahu mengangkat rakyat Sabah sebagai TPM seperti janji Dr Mahathir ketika merasmikan Umno masuk ke Sabah pada tahun 1991 bahawa suatu hari nanti rakyat sabah akan menjadi PM Malaysia melalui Umno.

Shafie sudah dua penggal menjadi naib presiden Umno dan berpengalaman luas sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, menteri kebudayaan, kesenian dan warisan, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah sewajarlah diangkat menjadi TPM sebaliknya Mukhriz yang tidak ada pengalaman dalam kabinet diberi tempat. Mentang mentanglah beliau anak bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Mukhriz tidak pernah menang jawatan ketua pemuda, malah kalah bertanding jawatan naib presiden Umno pada tahun 2018 sepatutnya merebut kerusi naib presiden. Walauypun Mohd Khale Norden sudah mnafikan terlibat dalam team 5M tetapi beliau perlu berada dalam team 5M untuk menguasai undi dari negeri Johor. Manakala bekas MB Terengganu, Mat Said diberi penghormaqtan untuk bertanding naib presiden Umno kerana beliau dari awal terlibat dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang akhirnya ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Harapan beliau untuk menang agak sukar kerana beliau tidak pernah bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno. Beliau hanya dilantik malah di zaman Rahim Thamby Chik ketua pemuda pun, beliau dilantik exco pemuda Umno Malaysia.

Jika Muhyiddin, Shafie tidak dipecat atau digantung keahliannya mungkin cabaran 5M pada tahun 2018 menjadi sengit seperti mana pertandingan 1987.

Ahad, April 14, 2013

SHAFIE TOLAK SENATOR DAN TIMBALAN MENTERI

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilantik Senator dan Timbalan Menteri selepas pilihanraya umum nanti jika BN menang nanti. Beliau tetap berkeras mahu bertanding sebagai calon BN di Wangsa Maju. Ini yang memeningkan kepala Najib kerana sebelum ini kerusi parlimen itu adalah milik MCA walaupun seperti diakui oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerusi itu dipinjamkan kepada MCA. Pada tahun 2004, MCA memenangi kerusi Wang Maju tetapi tewas kepada PKR pada tahun 2008. MCA telah memberi amaran akan memboikot pilihanraya jika UMNO diberi bertanding di kerusi itu. Ketika Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan melawat bilik gerakan Wangsa Maju, Shafie telah membelasah MCA dalam ucapan aluannya yang menyebabkan MCA terkejut menerima hentaman Shafie di hadapan Timbalan Perdana Menteri.Pemerhati politik berpendapat jika Shafie bertanding, UMNO tetap kalah, kerana bukan sahaja MCA yang tak undi beliau, malah orang UMNO sendiri tidak akan memberi sokongan penuh kepada Shafie yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan. Ramai menganggap Shafie orang yang sombong dan tidak menolong orang. Dia hanya kayakan dirinya sendiri. Shafie dikatakan ketua umno yang berpenrauh di Wilayah Persekutuan yang banyak memonopoli projek-projek di Dewan Bandaraya. Beliau mahu jadi calon BN dan jika beliau menang, beliau mahu dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang menguasai Dewan Bandaraya.

Rabu, Julai 01, 2009

LUCU JUGA SHAFIE


Lucu juga mendengar ucapan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Mohd. Shafie Afdal yang menafikan beliau mahu menjadi Menteri Besar Kedah. Saya rasa tergelak membaca berita yang tersiar dalam akhbar tempatan ketika beliau berucap di majlis perasmian mesyuarat agung Mubarak Kedah yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Shafie bukan orang Kedah. Dia orang Sabah. Cuma dia menantu kepada bekas wakil rakyat Kedah, Datuk Shuib Lazim. Jadi takkan Shafie mahu bertanding di Sungai Petani pula pada pilihan raya umum 2012. Jadi kenyataan Shafie memanglah melucukan dan sepatutnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Shafie tetap bertanding di Sabah dan peluangnya jadi Ketua Menteri Sabah lebih cerah pada tahun 2012 menggantikan Musa Aman yang merupakan orang kuat Pak Lah. Shafie memang orang Najib. Maka Najib sudah pasti menghantar Shafie balik ke Sabah walaupun beliau adalah seorang Naib Presiden UMNO.

Oleh kerana semua Naib Presiden UMNO dilantik Pengerusi Perhubungan seperti Dr. Zahid Hamidi di Pulau Pinang dan Hishamuddin di Terengganu, maka Shafie turut dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah yang kebetulan isterinya berasal dari Kedah. Oleh itu beliau hendaklah menyusun strategi untuk menawan Kedah balik dari PAS dan beliau tak payahlah berangan jadi Menteri Besar Kedah.

Jika pengalaman BN menawan Sabah pada tahun 1994 tidak dapat digunakan oleh Shafie untuk menawan balik Kedah, alangkah ruginya Najib melantik Shafie mengetuai UMNO Kedah.Macam mana UMNO mahu menang di Kedah kerana para pemimpinnya masih bercakaran. Buktinya bila Dr. Mahathir rasmikan mesyuarat agung Mubarak, ahli parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom tidak menghadirinya sedangkan Dr Mahathir yang memberi laluan kepada Johari sebagai ahli parlimen.

Jumaat, Mac 27, 2009

SHAFIE AFDAL CATAT SEJARAH

Seperti dijangka, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin berjaya mengalahkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Muhammad Muhd. Taib bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. muhyiddin menang besar dengan majoriti 659 undi. Beliau mendapat 1,575 undi manakala Muhammad mendapat 916 undi.

Muhyiddin memang layak jadi pembantu kepada Presiden UMNO yang baru, Najib Razak memandangkan beliau yang mencetuskan peralihan kuasa yang lebih awal dari Pak Lah kepada Najib, Pada mulanya Pak Lah berhasrat untuk melepaskan jawatan Presiden UMNO pada tahun 2010 tetapi kerana asakan Muhyiddin, maka Pak Lah terpaksa mempercepatkan proses peralihan kuasa itu dalam UMNO. Maka Muhyiddin memang wajar duduk di situ.

Selepas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam begitu popular di kalangan para perwakilan UMNO, kem Muhyiddin agak cemas. Apabila Ali dikenakan tindakan dilarang bertanding, maka Muhyiddin yang dituduh kononnya cuba menyekat pengaruh Ali. Dikatakan para penyokong Ali akan memberi undi kepada Muhammad dan Muhammad dijangka menang kerana undi protes itu. Sebaliknya dengan kemenangan besar Muhyiddin itu membuktikan bahawa khabar-khabar angin itu tidak benar sama sekali.

Ternyata perwakilan telah membuat pilihan yang tepat iaitu mereka mahu Muhyiddin yang dikatakan lebih bersih dari Muhammad. Kebetulan mereka sama-sama menjadi Menteri Besar pada tahun 1986, Muhyiddin di Johor manakala Muhammad di Selangor.

Dalam pertandingan Naib Presiden UMNO pula, perwakilan telah meletakkan orang Sabah pertama sebagai Naib Presiden. Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Shafie Afdal mencatat sejarah kerana beliau muncul pemimpin pertama dari Sabah yang dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.

Dengan undi sebanyak 1,445 undi, Shafie mendapat tempat ketiga selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zahid Hamidi (1,592 undi) dan Hishamuddin Hussein (1,515 undi). Kemenangan Shafie menunjukkan bahawa undi Sabah solid kepadanya. Maka tidak benar cakap-cakap banyak pemimpin Sabah yang tidak mahu melihat kemenangan Shafie. Pada tahun 2000, Osu Sukam pernah bertanding Naib Presiden UMNO tetapi kalah. Kini Shafie telah menebus kekalahan Osu itu.

Sekali lagi pencalonan tidak menggambarkan keadaan sebenar. Hishamuddin paling banyak dapat pencalonan tetapi bila diundi beliau mendapat tempat kedua. Hishamuddin tidak dapat mengatasi pengaruh bekas ketuanya, Dr. Zahid Hamidi. Kebetulan mereka berdua adalah bekas ketua pemuda manakala seorang lagi calon dari bekas ketua pemuda, Rahim Thamby Chik mendapat tempat kelapan dengan 192 undi.

Pada tahun 2004, Isa Samad menang besar dikatakan faktor poliitik wang. Tanpa menggunakan wang Isa hanya mendapat 432 undi sahaja di tempat keenam. Tindakan Menteri Dalam Negeri, syed Hamid Albar menggantung permit harakah dan Suara Keadilan tidak menarik minat para perwakilan UMNO. Beliau mendapat tempat ketujuh dengan 410 undi.

Dr. Rais Yatim yang anti politik wang walaupun disokong oleh Dr. mahathir mendapat tempat kelima dengan 491 undi. Manakala seorang lagi calon dari Johor, Khaled Nordin hanya mendapat tempat keempat dengan 1397 undi.

Di kalangan 25 orang ahli majlis tertinggi UMNO, empat Menteri Besar kalah seperti Ghani Othman (Johor), Mohamad Hassan (Negeri Sembilan), Adnan Yaakob (Pahang) dan Dr. Isa Sabu (Perlis). Mereka tidak kesah kalah pun kerana sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri mereka akan dilantik dalam majlis tertinggi UMNO.

Kekalahan dua menteri iaitu Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Samad agak mengejutkan. Walaupun Shahrir berjaya menurunkan harga minyak, perwakilan menolaknya. Azalina pula mungkin kerana beliau sedang disiasat SPRM, maka perwakilan fikir tidak perlu beri kemenangan kepadanya.

Tujuh menteri yang menang ialah Mustapa Mohamed, Noh Omar, Ismail Sabri Yaacob, Shaziman Abu Mansor, Ahmad Shabery Cheek, Zulhasnan Rafique dan Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Enam timbalan menteri yang menang ialah Lajim Okin,Idris Harun, Dr. Abdul latif Ahmad, Saifuddin Abdullah, Ahmad Husni Hanazlah dan Hamzah Zainuddin. Hanya dua orang Pengerusi Perhubungan negeri yang menang iaitu Musa Aman (Sabah) dan Mahazir Khalid (kedah).

Empat orang ahli majlis tertinggi yang berjaya mengekalkan kerusi walaupun mereka bukan ada kedudukan dalam kerajaan ialah Dr. Jamaluddin jarjis, Dr. Noraesah Mohamad, Dr. Wang adek Husin dan Idris Jusoh.

Lima muka baru yang menang ialah Pengerusi SPNB, Azian Osman; Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman; Ahli Parlimen Kinabatangan,Bung Mokhtar: Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Fuad Zakarshi dan Pengerusi FELCRA, Tajuddin Rahman. Mereka bukan menteri tetapi mereka menang dan berjaya mengalahkan dua menteri dan empat menteri besar. Ini bermakna pengaruh mereka memang hebat.

Terpulang kepada Najib untuk melantik 10 orang lagi ahli majlis tertinggi. Semoga barisan baru majlis tertinggi ini dapat memacu UMNO ke arah yang lebih cemerlang.