Selasa, Julai 25, 2017

NAIB PRESIDEN UMNO: SIAPA GANTI ZAHID DAN SHAFIE?

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan bahagian Umno baru sahaja bermula di seluruh negara sambil bahagian masing masing mengadakan majlis rumah terbuka aidilfitri. Tahun ini semua ahli majlis tertinggi Umno bebas merasmikan mana mana bahagian kerana tahun ini tiada pemilihan di peringkat bahagian  dan pusat.

Peluang merasmikan persidangan bahagian digunakan oleh semua pemimpin Umno untuk berkempen merebut semua jawatan yang akan diadakan pada tahun hadapan. Sudah tentu jawatan nombor tiga parti menjadi tumpuan umum kerana seperti biasa jawatan presiden dan timbalan presiden menang tanpa bertanding.


Sekarang ada dua jawatan naib presiden Umno kosong iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno dan Shafie Apdal yang keluar dari Umno.

Pada pemilihan 2018, yang pastinya Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menang selesa kerana beliau adalah penyandang jawatan buat penggal ketiga. Manakala dua kerusi yang kosong dijangka menjadi rebutan empat orang menteri.

Setelah menjadi ketua pemuda Umno selama dua penggal, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dijangka menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno. Beliau agak ambitious untuk menjadi PM Malaysia di masa hadapan maka kekosongan yang ditinggalkan Dr Zahid dijangka diisi oleh KJ.

Seperti juga Dr Zahid dan Hishammuddin sebagai bekas ketua pemuda, maka peluang untuk KJ menjadi naib presiden Umno melalui tiket ketua pemuda agak cerah. Manakala kerusi yang ditinggalkan oleh Shafie Apdal dari Sabah dijangka diisi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan atau Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Rahman lebih senior dari Dr Salleh sebagai menteri tetapi Rahman selaku bekas setiausaha pemuda sudah tentu tidak mahu undi pemuda berpecah memandangkan bossnya, KJ turut bertanding. Jika Rahman bertanding maka peluang KJ untuk menang agak tipis maka Rahman terpaksa berkorban demi bossnya, KJ.

Maka Dr Salleh akan menjadi calon tunggal dari Sabah yang menawarkan diri sebagai naib presiden Umno. Jika Rahman dan Dr Salleh bertanding maka peluang orang Sabah untuk menang agak tipis maka Rahman bukan sahaja akan beri laluan kepada KJ malah kepada Dr Salleh menjadi calon tunggal dari Sabah. Laluan Rahman ini akan memudahkan kemenangan Salleh yang mendapat undi yang solid dari Sabah.

Kali terakhir Bendahari Umno menang naib presiden Umno pada 40 tahun lalu apabila Tengku Razaleigh Hamzah menang di tempat pertama diikuti oleh Tun Ghafar Baba dan Tun Musa Hitam pada tahun 1978.

Ada orang berpendapat bahawa Dr Salleh tidak perlu tanding naib presiden Umno kerana beliau sudah menjadi Bendahari Umno tetapi jika beliau tidak tanding maka rugi tiada orang Sabah yang menjadi naib presiden Umno walaupun tiga kerusi itu bebas ditandingi oleh sesiapa.

Bendahari Umno selepas Ku Li iaitu Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Husni Hanazlah tidak bercita cita tinggi tetapi Dr Salleh nampaknya berminat meninjau sokongan dari seluruh negara dengan menerima undangan merasmikan persidangan bahagian tidak seperti mantan Bendahari yang tidak berminat merasmikan persidangan bahagian. Tinjauan ini perlu sama ada beliau boleh menggantikan tempat Shapie Apdal pada tahun hadapan.





Dua orang lagi calon yang dikatakan berminat menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Mampukah Mahdzir meneruskan tradisi bekas menteri pelajaran memenangi jawatan naib presiden Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Sama samalah kita tunggu pemilihan 2018.