Memaparkan catatan dengan label ngo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ngo. Papar semua catatan

Jumaat, April 06, 2018

SEMUA NGO DI CAMERON HIGHLANDS MAHU KAYVEAS WAKILI CALON BN



KUALA LUMPUR 6 April - Penduduk Cameron Highland daripada pelbagai lapisan masyarakat, mahukan wakil pilihan mereka diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Lebih 50 penduduk mewakili beberapa buah Persatuan Penduduk; Persatuan Kuil dan Tokong; Persatuan Peniaga dan Pekebun tempatan, menzahirkan solidariti dan mendesak supaya Tan Sri M. Kayveas dicalonkan bagi kerusi Parlimen P078 itu.


Wakil Pesatuan Pekebun Cameron Highland, Edwin Tang berkata, selain akan menyokong penuh, mereka turut menjamin setiap undi diberikan untuk Presiden myPPP itu, kerana jasa dan baktinya selama ini telah membantu kelancaran warga setempat.

Katanya, sebagai anak jati Blue Valley, Kayveas juga sudah pun memahami keperluan penduduk di sini yang amat inginkan seorang calon dekat di hati.

“Sebagai anak tempatan, beliau turut disenangi penduduk, termasuk orang Asli, peniaga serta persatuan di sini.

“Pelbagai bantuan berupa kewangan, teknikal dan peralatan turut diberikan kepada yang memerlukan tanpa kira masa, keprihatinan pemimpin begini kami mahukan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Santai Makan-Makan di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Hadir sama wakil Tok Batin Sungai Tiang, Wahab Mat; wakil Tok Batin Batin Sungai Ruil, Bahau Baghran dan Harvinder Singh, mewakili Gabungan Badan Bukan Kerajaan di Cameron Highlands.

Menurut Edwin, cara kepemimpinan Kayveas juga dihargai kerana beliau sering tampil membela nasib rakyat dan ada bersama dalam setiap situasi yang dilalui penduduk.

“Kami mahu Kayveas menjadi calon BN di sini kerana beliau komited dan sering turun padang dalam program dibuat sejak beberapa tahun ini, baik aspek bantuan, kebajikan dan aktiviti sukan diberikan perhatian,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN kerana melantik Kayveas berkhidmat di parlimen itu beberapa tahun yang lalu


Jumaat, Julai 22, 2016

PERKASA KEKAL SEBAGAI NGO

KUALA TERENGGANU, 21 Julai (Bernama) -- Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menegaskan bahawa persatuan itu akan terus menjadi badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.

Bagaimanapun katanya, pendirian itu boleh berubah suatu masa kelak kerana Perkasa masih tertakluk kepada keputusan persidangan agung tahunan.

"Sekarang tak timbul isu Perkasa akan jadi parti politik, tetapi ia terpulang kepada ahli Perkasa melalui persidangan agung tahunan.

"Katakanlah pada masa akan datang saya dah tak jadi presiden dan ada usul dalam kepimpinan supaya Perkasa ditukar jadi parti politik...kemungkinan akan jadi sebab keputusan tukar kepada parti politik bukanlah keputusan presiden dan ahli dewan tertinggi tetapi terletak pada keputusan persidangan agung tahunan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Perkasa di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Ibrahim turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebagai Yang Dipertua Perkasa Terengganu menggantikan Datuk Ismail Samah berkuat kuasa hari ini.

Ibrahim berkata Perkasa akan terlibat dengan parti politik atas kepentingan bangsa dan agama meskipun NGO itu bukanlah sebuah parti politik.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Ibrahim berkata pelantikannya dibuat atas keputusan sebulat suara Perkasa negeri yang mahukan Ahmad Said menerajui Perkasa di negeri ini.

"Beliau akan membuat sedikit rombakan bagi memperkukuh barisan kepimpinan dan Insya-Allah selepas ini saya percaya Perkasa negeri ini akan seiring ataupun akan lebih hebat daripada Perkasa negeri-negeri lain,"katanya.

-- BERNAMA

Ahad, April 08, 2012

AMANAH SEDIA KERJASAMA DENGAN SEMUA NGO

Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekiranya kedua-dua pertubuhan badan bukan kerajaan itu berkongsi matlamat yang sama. Beliau
yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li menegaskan, Amanah tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergabung dengan Bersih asalkan ada keinginan untuk bekerjasama antara kedua-dua belah pihak. “Atas benda-benda yang boleh difikirkan untuk perjuangan bersama, kita boleh bergabung dengan mereka (Bersih). “Amanah akan bergabung dengan mereka yang ada keinginan untuk bekerjasama,” katanya yang tidak menolak untuk menyertai perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih anjuran Bersih yang dijadualkan 28 April ini di Dataran Merdeka. “Selagi perkara itu selari dengan objektif kami, Amanah akan sertai,” katanya lagi ketika sidang media selepas perasmian Hari Keluarga Amanah Selangor di sini. Menurut veteran Umno itu, Amanah yang kini mempunyai sekitar 450 ahli di Selangor juga akan bekerjasama dengan NGO lain dan mencari persetujuan bagi mendapat perhatian kerajaan untuk membela nasib rakyat. “Amanah akan bekerjasama dengan mana-mana NGO, termasuk orang ramai, demi mendapatkan perhatian kerajaan serta menyumbang kepada kebaikan masyarakat yang selama ini terbiar dan tidak dipandang,” tegasnya. Jelas Ku Li, ketika ucapannya sebelum itu, NGO adalah penentu dasar kerajaan memerintah bagi menentukan corak kehidupan rakyat, sama seperti diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat. “Melalui penubuhan NGO, kerajaan akan dapat mendengar segala tuntutan rakyat di peringkat akar umbi. “Dengan itu kerajaan dapat mengemukakan dasar-dasar baru yang memberikan kesan kepada rakyat,” katanya lagi.

Khamis, Mac 31, 2011

MCA TERIMA, NGO CINA BANTAH INTERLOK


Yang peliknya presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek boleh terima novel Interlok, NGO Cina pula menolak Interlok sedangkan isu itu sudah selesai di kalangan masyarakat India.

Lepas satu, satu; novel kontroversi karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain Interlok hari ini diasak dengan isu pendatang dan ketuanan Melayu pula.

Sekumpulan NGO Cina dan India tampil bersama-sama mengaitkan novel setebal 426 halaman itu dengan agenda menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang.

NONE"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," kata Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean.

Dalam sidang media di pejabat KLSCAH di Kuala Lumpur tengah hari tadi, Cheng mendakwa beliau dan beberapa wakil NGO yang hadir sama mewakili 45 lagi pertubuhan Cina dan India di seluruh negara.

Bagaimanapun, sebelum inipun NGO Cina pernah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dalam media berbahasa Cina.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

Cheng juga mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang didakwa sebagai "pembasuhan minda" dan mempromosi perkauman dan perpecahan.

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," kata Cheng.



Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera untuk sekolah menengah, bukan dipinda atau ditapis mana-mana bahagian.

"Pendirian kami, kami hormat kebebasan bersuara untuk pengarangnya Abdullah Hussain dan kami tidak menentang buku ini dijual di kedai-kedai," kata Cheng yang juga timbalan ketua wanita bahagian wanita dewan itu.

NONE"Tetapi penyelesaiannya, Interlok tidak patut dijadikan buku teks di sekolah."

Ditanya tentang agenda ketuanan Melayu yang dimaksudkan memandangkan novel itu turut mengkritik bangsa itu, Uthayasoorian menjawab memang perkataan itu tidak disebut dalam Interlok.

Bagaimanapun, tambahnya, cerita tentang pendatang dalam buku itu menggambarkan idea itu.

Manakala Kishur pula mendakwa, walaupun terdapat kritikan pada orang Melayu, terdapat novel itu membawa mesej tersirat bahawa mereka mesti bangkit.

"Ini mesej ketuanan Melayu," katanya.

Sementara bagi Tang pula, karya yang ditulis untuk pertandingan sepuluh tahun merdeka lebih 40 tahun lalu itu cuba menggambarkan bahawa negara ini "tanah orang Melayu".

"Melayu sebagai tuan tanah, Cina dan India sebagai pendatang. Ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia," tambahnya.