Jumaat, Julai 22, 2016

PERKASA KEKAL SEBAGAI NGO

KUALA TERENGGANU, 21 Julai (Bernama) -- Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menegaskan bahawa persatuan itu akan terus menjadi badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.

Bagaimanapun katanya, pendirian itu boleh berubah suatu masa kelak kerana Perkasa masih tertakluk kepada keputusan persidangan agung tahunan.

"Sekarang tak timbul isu Perkasa akan jadi parti politik, tetapi ia terpulang kepada ahli Perkasa melalui persidangan agung tahunan.

"Katakanlah pada masa akan datang saya dah tak jadi presiden dan ada usul dalam kepimpinan supaya Perkasa ditukar jadi parti politik...kemungkinan akan jadi sebab keputusan tukar kepada parti politik bukanlah keputusan presiden dan ahli dewan tertinggi tetapi terletak pada keputusan persidangan agung tahunan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Perkasa di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Ibrahim turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebagai Yang Dipertua Perkasa Terengganu menggantikan Datuk Ismail Samah berkuat kuasa hari ini.

Ibrahim berkata Perkasa akan terlibat dengan parti politik atas kepentingan bangsa dan agama meskipun NGO itu bukanlah sebuah parti politik.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Ibrahim berkata pelantikannya dibuat atas keputusan sebulat suara Perkasa negeri yang mahukan Ahmad Said menerajui Perkasa di negeri ini.

"Beliau akan membuat sedikit rombakan bagi memperkukuh barisan kepimpinan dan Insya-Allah selepas ini saya percaya Perkasa negeri ini akan seiring ataupun akan lebih hebat daripada Perkasa negeri-negeri lain,"katanya.

-- BERNAMA