Memaparkan catatan dengan label naib ketua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label naib ketua. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 20, 2008

SEMPATKAH NAJIB JADI PM?


Minggu kedua pencalonan sudah berlalu. Najib nampak selesa kerana kini mendapat 65 pencalonan sedangkan Ku Li belum dapat sebarang pencalonan. Najib sudah layak bertanding kerana sudah penuhi kuota (58 pencalonan).

Berdasarkan trend yang ada, kemungkinan Najib menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO tidak boleh diketepikan. Soalnya, sempatkah Najib jadi Perdana Menteri Mac depan?

Berdasarkan isu semasa, dengan tersebarnya petikan penuh SMS beliau dengan seorang peguam terkenal mengenai kes Altantuya, nampaknya Najib belum tentu selamat kedudukannya. Seperti kata Dr. Mahathir, ada pihak tertentu cuba menggagalkan Najib jadi Presiden UMNO.

Najib mengakui sms itu dan dia berkata tidak ada penyalahgunaan kuasa. Memang tidak ada unsur salah guna kuasa di sini, yang dipersoalkan kenapa Najib berhubung dengan peguam Razak Baginda? Yang anehnya bagaimana kandungan sms boleh tersebar luas kalau bukan orang dalam yang buat kerja ini? Orang itu buat kerja atas arahan siapa? Ini yang menjadi tanda-tanya kepada kita,

Dr. Mahathir seringkali menyebut bahawa seorang pemimpin hendaklah kelihatan bersih. Dengan adanya isu ini, nama Najib tidak bersih lagi. Tambahan pula tender Eurocopter dilibatkan dengan beliau yang mana ketika itu beliau adalah Menteri Pertahanan.

Orang Najib sudah bersiap-sedia melihat Najib ke tampuk Perdana Menteri pada Mac 2009. Dr. Jamaluddin Jarjis orang kanan Najib telah memanggil orang Ku Li untuk berunding. JJ dikatakan memberitahu orang kanan Ku Li, “Marilah kita bekerjasama. Mintalah apa sahaja kecuali Petronas kerana Petronas itu I punya”.

Bayangkan banyak mana tender Petronas setiap tahun bila JJ mahu duduk di situ. Maknanya selepas Pak Lah berhenti, samunan tetap berlaku di zaman Najib nanti. Nasihat Dr. Mahathir supaya Najib ketepikan kroni dan keluarga selepas jadi Perdana menteri nanti nampaknya tinggal nasihat sahaja.

Jumaat, Oktober 17, 2008

PERTANDINGAN SENGIT DI KEMAMAN ESOK


Sehingga rencana ini ditulis, keputusan pertandingan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman di antara Hisham Zubir dengan Kamaruddin Ali belum diketahui lagi. Keputusan dijangka diketahui pada jam 4 atau 5 petang ini.

Tulisan saya semalam “Siapa pilihan pemuda Kemaman esok” menerima ulasan dari tiga orang pengunjung. Pengunjung pertama menulis bahawa saya buat persepsi jahat kepada Mukhriz. Sebenarnya apa yang saya tulis berpandukan sms kawan saya, Haji Khalid Karim kepada saya. Kalau dia bohong, maknanya Kamarudinlah yang bohong pasal Kamaruddin yang beritahu Haji Khalid begitu.

Walau bagaimana pun saya tidak percaya Mukhriz main duit kerana banyak kali dia pesan jangan amalkan politik wang. Ketika saya temui beliau di majllis buka puasa dengan media di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau kesal dengan politik wang kerana ada calon Ketua Pemuda beri RM100,000 kepada ketua pemuda bahagian di Sabah tetapi gagal dapat pencalonan. Ini bermakna pemuda matang. Wang diambil tapi undi orang lain. Atau barangkali wang yang diberi kepada ketua pemuda itu tidak sampai kepada perwakilan yang menyebabkan calon yang beri wang itu gagal dapat pencalonan.

Oleh itu saya tidak menuduh Mukhriz kerana saya tulis berdasarkan sms Haji Khalid itu.Saya juga dituduh oleh pengunjung bahawa saya dibayar. Maknanya saya dibayar oleh Kamaruddin Ali.. Cuba teliti tulisan itu. Saya tidak berpihak kepada sesiapa pun sama ada Hisham atau Kamaruddin. Cuma gambarnya yang tersiar. Pengunjung itu boleh tanya Kamaruddin banyak mana dia beri kepada saya. Saya tak pernah terima pun duit Kamaruddin kerana Kamaruddin bukannya suka beri duit kepada orang.

Esok bahagian Kemaman akan menyaksikan pertandingan Naib Ketua UMNO Bahagian di antara penyandang, Mohamed Rahim Husin dengan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Ketua bahagian, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar telah menang tanpa bertanding. Manakala timbalan turut dimenangi tanpa bertanding, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Penerangan.

Percubaan bekas pengerusi tetap bahagian, Tok Penghulu Mat Dalam Awang untuk mencabar Shabery tidak berjaya kerana dapat dua pencalonan sedangkan kuota ialah 18 pencalonan. Namun demikian Shabery sedang disiasat oleh jawatankuasa disiplin UMNO kerana memberi wang kepada setiap cawangan sebanyak RM2 ribu di mana RM500 untuk cawangan, RM500 untuk pemuda, RM500 untuk wanita dan RM500 untuk puteri.

Perkara ini disebut oleh setiausaha bahagian, Zahari Said dalam ucapannya di majlis perasmian mesyuarat agung berkelompok cawangan dalam DUN Kijal yang dirasmikan oleh Ahmad Said pada 17 Julai. Walaupun pemberian itu kepada jawatankuasa keselamatan kampong (JKKK) tetapi ia dipindahkan kepada cawangan UMNO kemudiannya kerana ia adalah untuk perbelanjaan mesyuarat agung. Terpulanglah kepada jawatankuasa disiplin UMNO untuk memutuskan sama ada ia adalah politik wang atau tidak.

Pertandingan naib ketua bahagian esok amat menarik kerana inilah kali keempat Rahim bertanding jawatan tersebut. Pada tahun 1993, Rahim, seorang kontraktor, bertanding jawatan ketua pemuda menentang Nazri Salleh. Turut sama dalam pertandingan itu ialah ADUN Kijal, Ahmad Said yang mana Ahmad Said menang dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Pada tahun yang sama Rahim bertanding naib ketua umuno bahagian menentang ADUN Air Putih, Haji Harun Hassan. Rahim tewas tipis kepada Haji Harun dalam percubaan sulung itu.

Pada tahun 1995, Rahim menang ahli jawatankuasa bahagian tetapi tewas pada tahun 1998. Pada tahun 2000, dalam pertandingan berakit antara pasukan Ahmad Said menentang pemangku ketua bahagian, ADUN Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali, Ahmad Said beregu dengan Shabery Cheek dan Rahim Husin untuk menentang Abu Bakar, Nazri Salleh dan Haji Shabudin Maidin.

Rahim menang dan dinobatkan sebagai naib ketua bahagian yang baru. Pada tahun 2004, Rahim menang tanpa bertanding. Ini adalah kali kedua beliau mempertahankan jawatan dan kali ini dicabar oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam.

Sejarah karier Wan Ahmad Nizam menarik juga kerana pada tahun 1995, beliau menang AJK pemuda bahagian. Pada tahun 1998, beliau menang naib ketua pemuda bahagian mengalahkan Suhaimi Hassan. Ketika itu ketua pemudanya ialah ahli parlimen Kemaman, Dr. Ramli Taib yang menewaskan Shabery Cheek yang baru masuk UMNO. Pada tahun 2000, Wan Ahmad Nizam menang ketua pemuda mengalahkan Shukri. Pada tahun 2004, Wan Ahmad Nizam selaku ADUN Air Putih menang tanpa bertanding dan usia pemudanya sudah habis kali ini. Jadi dia menurut kehendak akar umbi yang mahu dia bertanding jawatan naib ketua bahagian.

Sebagai setiausaha politik menteri besar, Wan Ahmad Nizam lebih banyak dapat pencalonan dari Rahim. Tetapi itu bukan gambaran sebenar pada hari pengundian. Terpulanglah kepada perwakilan UMNO Bahagian Kemaman sama ada mahu mengekalkan Rahim atau menerima Wan Ahmad Nizam.

Sepatutnya UMNO Bahagian Kemaman selaku bahagian Menteri Besar memberi contoh kepada bahagian lain supaya tiada pertandingan bagi jawatan ketua, timbalan dan naib. Tetapi oleh kerana itu kehendak akar umbi, maka Wan Ahmad Nizam terpaksa mencabar Rahim walaupun risikonya tetap ada. Kalau Wan Ahmad Nizam menang, sebagai setiausaha politik, memang wajarlah dia menang. Tetapi kalau dia kalah, sedikit sebanyak imej Menteri Besar akan tercemar. Oleh itu gunakanlah undi anda secara bijaksana.

Ahmad Said berkecuali dalam pertandingan ini. Ahmad Shabery menyokong Rahim kerana jika Wan Ahmad Nizam menang, ia akan menyulitkan Shabery pada tahun 2011. Sebab itu cawangan Gong Chengal yang diketuai oleh Shabery mencalonkan Rahim. Begitu juga ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera yang berucap di majlis perasmian berkelompok DUN Chukai pada 18 Julai lalu yang menyokong Rahim dikekalkan sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Terpulanglah kepada perwakilan untuk membuat keputusan.