Memaparkan catatan dengan label mrt. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mrt. Papar semua catatan

Rabu, Julai 19, 2017

TERNYATA MRT MENJIMATKAN MASA DAN KOS



KAJANG: Genap tujuh bulan lalu, Fasa Pertama Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) iaitu dari Sungai Buloh ke Semantan dilancarkan di Stesen Kwasa Damansara.

Kelmarin 17 Julai, sejarah tercipta apabila projek infra-rakyat bertaraf dunia Fasa Kedua SBK iaitu dari Semantan ke Kajang yang melengkapkan laluan itu menjadi realiti.

Komitmen itu direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mengungkapkan janji untuk membina jaringan sistem pengangkutan awam bersepadu tujuh tahun lalu selepas mengambil alih pentadbiran negara yang telah dikotakan kepada seluruh rakyat.

Lebih membanggakan, projek mega itu mampu disiapkan dua minggu lebih awal, malah lebih rendah daripada bajet yang telah dibentangkan kerajaan sebanyak RM2 bilion daripada sasaran kos asal berjumlah RM23 bilion.

Bermula Isnin lalu tepat pukul 4 petang, kesemua 31 stesen bagi sistem rel yang paling moden dan terbaharu di dunia itu akan membuka pintu kepada seluruh rakyat dan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.

Kira-kira 25,000 menjadi saksi pelancaran projek ‘dekat di hati’ Perdana Menteri itu iaitu satu lagi lonjakan berganda yang pas­tinya akan membawa perubahan kepada kehidupan warga kota dan keseluruhan rakyat Malaysia termasuk pelancong.

Laluan MRT SBK sepanjang 51 kilometer itu merangkumi 31 stesen bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia melibatkan 19 stesen dalam Fasa Kedua yang mana tujuh terletak di bawah tanah.

Kesemua 19 stesen berkenaan adalah Muzium Negara, Pasar Se­ni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman­ Midah, Taman Mutiara, Taman­ Connaught, Taman Suntex, Sri­ Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.

Setiap tren SBK mempunyai empat gerabak membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penum­pang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan seramai 400,000 orang.

Dianggarkan 160,000 ken­de­raan dijangka tidak lagi berada di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan 752,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun yang akan memberi impak positif kepada alam sekitar.

Tren ini akan bergerak pada frekuensi 3.5 minit pada waktu puncak.

Tempoh perjalanan pastinya lebih menjimatkan berbanding penggunaan bas dari Sungai Buloh ke Kajang yang akan memakan masa dua jam setengah tanpa kesesakan lalu lintas.

Ini bererti pengguna terpaksa menghabiskan masa pergi-balik selama lima jam berbanding naik MRT yang hanya mengambil masa 88 minit.

Kos sara hidup rakyat pastinya dapat dikurangkan.

Penggunaan kereta contoh­nya, dengan kos minyak, tol, penyelenggaraannya sehala dari Sungai Buloh ke Kajang, kosnya lebih kurang RM54.

Jika menggunakan MRT, pengguna cuma membayar RM6.40. Rakyat boleh jimat terlalu banyak.

Fasa pertama projek MRT te­lah dapat memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat apabila 130,000 peluang pekerjaan ditawarkan termasuk 70,000 secara langsung.

Setakat ini di 31 stesen, 41 peluang perniagaan dibuka dan dijangka akan ditambah.

Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek 'infra-rakyat' di negara ini.

Perdana Menteri berkata pelbagai lagi projek akan dilaksanakan termasuk MRT kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT3 Bandar Utama-Johan Setia; kereta api ke Pantai Timur; Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura; serta menaik taraf sistem monorail dan KTM.

"Ini semua akan dilaksanakan pihak kerajaan, apatah lagi apabila MRT3 atau MRT circle line siap, bererti menjelang tahun 2027 nanti, kita akan menyaksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita.

"Berdasarkan rekod prestasi, kita (kerajaan) akan dapat memenuhi objektif ini," katanya ketika merasmikan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen bawah tanah, Tun Razak Exchange di sini Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.




Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.


"Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalu lintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya.

"Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila keadaan hujan," tambahnya.

Katanya, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekaligus dapat memberikan manfaat kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan kos perjalanan ke sesuatu tempat, meningkatkan produktiviti dan semangat kerja selain membantu mengurangkan kos sara hidup.

Semalam, saya menaiki MRT dari Bandar Tun Hussein Onn ke Pasar Seni. Saya rasa kagum kerana menaiki MRT yang lebih cepat berbanding dengan menaiki kereta dari Semenyih ke Kuala Lumpur yang kadangkala makan masa hampir dua jam apabila jalan raya mengalami jem yang teruk,

Semoga dengan adanya MRT ini dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dari Kajang ke Kuala Lumpur. Ternyata menaiki pengangkutan awam seperti MRT ini menjimatkan kos.





Khamis, Julai 13, 2017

HASIL SENI YANG HEBAT DI TUJUH STESEN MRT



KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Tujuh buah stesen bawah tanah Aliran Transit Massa (MRT) bagi fasa kedua meliputi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang bakal dibuka Isnin depan kelihatan begitu unik dengan hiasan hasil seni yang hebat.

Ia dibuat sebegitu rupa untuk mengujakan para pengguna beserta reka bentuk arkitektur yang mengagumkan.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Datuk Najmuddin Abdullah, pengguna MRT akan dapat menikmati keindahan tujuh buah stesen daripada 19 buah stesen fasa kedua itu, yang reka bentuk setiap stesen adalah berbeza dengan stesen yang lain yang kesemuanya menggambarkan unsur kehidupan rakyat Malaysia.

Bermula dengan stesen Muzium Negara, diperlihatkan evolusi mode pengangkutan awam Malaysia daripada bas, teksi hingga keretapi selain nostalgia orang ramai menggunakan pengangkutan tersebut.






"Di stesen Muzium Negara berdekatan stesen KL Sentral, kita boleh melihat pada setiap tiang gambar teksi, bas dan keretapi dari generasi lama hingga sekarang," kata Najmuddin kepada Bernama.

Beliau berkata di stesen Pasar Seni pula yang menghubungkan laluan LRT Kelana Jaya, ia mempamerkan aspek kebudayaan, seni dan kraf bagi mempromosikan warisan budaya negara melalui visual.

Aspek patriotisme juga tidak dilupakan apabila elemennya diperlihatkan pada Stesen Merdeka yang terletak berhampiran Stadium Merdeka.






Najmuddin berkata di situ terdapat mural yang mempelihatkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangannya ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara.

"Kita tahu dinding itu akan menjadi popular dengan pengguna apabila stesennya dibuka. Setiap rakyat Malaysia pasti akan berselfie dan berwefi pada dinding itu," katanya.

Beliau berkata di Stesen Bukit Bintang, suasananya menggambarkan kedinamikan dan keceriaan kawasan persekitaran Bukit Bintang sebagai hab perniagaan utama.

Stesen itu direka bentuk dengan hasil seni berwarna merah bagi menggambarkan kedinamikan, katanya.

"Sebelum ini ia seolah-olah mimpi negeri untuk kita memasuki Bukit Bitang dari segenap arah, tapi kini MRT berada di tengah-tengahnya," tambahnya.

Najmuddin berkata konsep Perbadanan Islam pula diperlihatkan di Stesen Tun Razak Exchange yang menggambarkan suasana kontemporari, formal serta korporat selari dengan usaha kerajaan untuk mempromosi negara sebagai dunia korporat Islam.

Dua stesen terakhir iaitu Cochrane dan Maluri mewakili pula kehidupan bandar dan generasi baharu dengan nukilan seni kontemporari yang vibran, urban dan berisfat remaja, ujar beliau.

Namun setelah dihasi dengan karya-karya yang mengagumkan, MRT Corp tidak melupakan aspek keselamatan penumpang di stesen-stesen bawah tanah tersebut.

"Ia berada dalam kelas terbaik dan berteknologi paling canggih," kata Najmuddin.

Beliau berkata sistem keselamatannya membolehkan sebarang kecemasan ditangani dengan segera dan efisien yang kesemua stesen dilengkapi sistem memadam kebakaran automatik selain sistem siaraya untuk memudahkan penyuraian penumpang secara beramai-ramai.

Menurut Najmuddin, stesen bawah tanah bagi Laluan SBK mengutamakan peralatan teknologi hijau bagi menjana kecekapan tenaga di samping tidak melupai keselesaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

"Pintu tiketnya cukup luas hingga membolehkan penumpang berkerusi roda mudah melaluinya, terdapat juga elevator dari paras bawah hingga tingkat konkos dan platform, tanda huruf braille pada butang lif serta laluan tanpa bertangga," katanya.

Beliau berkata setiap stesen turut disediakan pembantu yang mencukupi, sistem kawalan keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon khas untuk mendapatkan bantuan.

Fasa pertama meliputi 21 kilometer daripada Sungai Buloh hingga Semantan yang merangkumi 12 buah stesen telah beroperasi Disember tahun lalu.

Laluan SBK yang bernilai 23 juta ringgit meliputi jajaran sejauh 51 kilometer daripada Sungai Buloh hingga Kajang bagi kegunaan 1.2 juta penduduk untuk menghubungi rumah mereka dengan destinasi di pusat bandar raya.

Setiap trennya mempunyai emat gerabak yang boleh membawa 1,200 penumpang bagi setiap perjalanan dengan anggaran kira-kira 400,000 penumpang sehari menerusi kekerapan tren setiap 3.5 minit.

Betapa bangga rakyat Malaysia terutama di ibu kota yang memiliki sistem MRT canggih dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 12, 2017

MRT SUNGAI BULOH-KAJANG BEROPERASI SEPENUHNYA MULAI 17 JULAI

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Laluan Pertama Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT-1), Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara tiga jaringan laluan rel bandar, akan beroperasi sepenuhnya dengan pembukaan fasa kedua laluan Semantan-Kajang minggu depan.

Laluan Semantan-Kajang akan melengkapkan Laluan SBK sepanjang 51km dengan melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni.

Fasa pertama laluan Sungai Buloh-Semantan, yang mempunyai 12 stesen mula beroperasi pada 16 Dis lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan Laluan Semantan-Kajang, 17 Julai ini.




Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah, fasa kedua Laluan SBK sejauh 30km itu, mempunyai 19 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah dengan majoriti stesen dibina di kawasan strategik yang tidak ada perkhidmatan rel bandar.

Daripada jumlah stesen itu, 14 stesen terletak di kawasan strategik dan berpopulasi tinggi bagi memudahkan orang awam berulang-alik ke pusat bandar, katanya kepada Bernama di sini.

Stesen berkenaan ialah Muzium Negara, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught, Taman Mutiara, Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11, Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih dan Merdeka.

Beliau berkata stesen MRT juga dibina bagi mengintegrasikan dengan stesen Komunter, Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen Monorel bagi meningkatkan kemudahan kesalinghubungan perjalanan untuk pengguna.

Misalnya, kata Najmuddin, pembinaan laluan pejalan kaki menghubungkan Stesen MRT Muzium Negara dengan KL Sentral adalah bagi tujuan mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan di pusat bandar.

"Kesalinghubungan dengan perkhidmatan pengangkutan lain adalah amat penting bagi pengguna dan setiap stesen MRT memainkan peranan penting antara satu sama lain," katanya.

Projek Laluan Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, dengan kos RM23 bilion, mula dibina pada 8 Julai 2011, dan akan memberi perkhidmatan di sepanjang koridor yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Setiap set tren untuk laluan berkenaan mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang dengan kekerapan 3.5 minit di antara setiap tren dan dianggarkan bilangan penumpang harian kira-kira 430,000 orang.

Laluan MRT Kedua (MRT-2) melibatkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP), sepanjang 52.5km, dijangka siap pada suku kedua 2022 manakala laluan terakhir, MRT-3, melibatkan kawasan pusat bandar masih di peringkat perancangan dan pembangunan.

-- BERNAMA

Jumaat, Disember 16, 2016

MRT BERMULA HARI INI PERCUMA SELAMA SEBULAN

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kira-kira RM2 bilion dapat dijimatkan daripada kos sasaran awal projek Transit Aliran Massa (MRT), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan kos kira-kira RM21 bilion berbanding kos sasaran RM23 bilion pada peringkat awalnya.

"Namun pada hari ini, di mana semua kontrak-kontrak telah dianugerahkan dan kerja-kerja sudahpun hampir siap bagi keseluruhan laluan, kos pembinaan sebenar bagi projek ini adalah lebih kurang RM21 bilion.

"Projek MRT ini ialah lebih rendah daripada bajet dan mengikut masa ditetapkan," katanya ketika berucap merasmikan fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen Kwasa Damansara dekat sini, hari ini.

Pada majlis pelancaran yang bersejarah itu, perdana menteri turut mengumumkan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan mulai esok hingga 16 Jan 2017 sebagai hadiah kepada rakyat bersempena sambutan Tahun Baharu.




"Ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien ini," katanya.

Menyifatkan projek MRT itu begitu dekat dengan hati beliau, Najib berkata ia mempunyai segala ciri yang menjadi teras kepada pentadbiran beliau iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Katanya, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, beliau mendengar keluh kesah rakyat dalam menangani permasalahan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

"Saya tidak mahu slogan ini menjadi retorik politik tanpa ada pengisian... sebab itu, kerajaan ingin menjadikan pengangkutan awam sebagai prioriti tertinggi," katanya.

Najib berkata projek MRT itu juga memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada kerja pembinaan, penjanaan peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah, produktiviti dan penjimatan masa rakyat.

Katanya, projek berkenaan juga berjaya menganugerahkan 50 peratus daripada jumlah nilai kontrak kepada syarikat Bumiputera, melebihi sasaran 43 peratus yang ditetapkan di peringkat awal.

Hadir sama pada pelancaran di stesen MRT Kwasa Damansara itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Walaupun sebilangan pakej-pakej kerja telah diperuntukkan untuk bidaan bagi syarikat-syarikat Bumiputera, projek ini turut menyaksikan syarikat-syarikat Bumiputera yang telah membida dan berjaya dalam tender bagi pakej-pakej kerja kategori terbuka," kata Najib.

Malah perdana menteri berkata usahawan Bumiputera turut diberikan sebanyak 50 peratus ruang niaga di stesen-stesen MRT dan jauh melebihi sasaran awal sebanyak 30 peratus.

"Ini perkongsian yang adil dan saksama antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera supaya mereka mendapat peluang perniagaan yang melibatkan penyertaan semua rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Najib yakin Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad sebagai pengendali perkhidmatan MRT sudah cukup bersedia memainkan peranan mereka berdasarkan pengalaman luas dalam mengendalikan perkhidmatan LRT, Monorel dan bas-bas di Lembah Klang dan lokasi lain di negara ini.

Mengakhiri ucapannya, Najib mempelawa para hadirin untuk menaiki MRT bersama-sama beliau dari stesen Kwasa Damansara ke Stesen Sungai Buloh bagi merasai sendiri pengalaman menaiki mod pengangkutan awam terbaharu itu.

Laluan fasa pertama MRT yang melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu akan mula beroperasi pada 6 pagi esok.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara and Semantan.

Fasa kedua sejauh 30 kilometer membabitkan 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 31 Julai 2017.



-- BERNAMA

Sabtu, Disember 10, 2016

MRT BEROPERASI MULAI 16 DISEMBER

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sejumlah 75 pegawai transit diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia memberi bantuan jika berlaku perkara tidak diingini untuk Fasa 1 perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) dari Sungai Buloh ke Semantan yang mula beroperasi pada 16 Dis.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman berkata apabila Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) dibuka sepenuhnya pada Julai 2017, sejumlah 31 pengurus stesen akan bertugas dengan dibantu oleh 257 Pegawai Stesen mengikut syif.

Beliau berkata 28 set tren telah diterima untuk beroperasi bagi Fasa 1 dan kesemua tren tersebut telah menjalani ujian statik di bengkel serta ujian di atas landasan.

"Ini untuk memastikan setiap tren beroperasi sejauh 21 km tanpa sebarang gangguan dan ia merupakan syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Beliau berkata empat set tren tanpa pemandu yang dibekalkan oleh Siemens direka khusus untuk beroperasi di bawah kondisi automasi sepenuhnya.

"Sistem tersebut tidak memerlukan bantuan manusia kerana semuanya diprogramkan melalui komputer.

"Bagaimanapun, jika berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diingini, pemandu perlu masuk ke dalam kabin dan mengambil alih kawalan demi memastikan operasi dalam keadaan selamat.

Prasarana akan memulakan operasi Fasa pertama 1 MRT dari Sungai Buloh ke Semantan pada 16 Dis membabitkan 12 stesen di Jajaran SBK meliputi jarak sejauh 21 kilometer.

Dalam pada itu, 19 stsen lagi dari KL Sentral (Stesen Muzium Negara) akan beroperasi pada Julai 2017 bagi fasa dua laluan penuh jajaran SBK sepanjang 51 km.

Zohari berkata selain menyediakan beberapa kemudahan "Park and Ride", Rapid Rail bersama MRT Corp akan menyediakan 112 bas pengangtara bagi perkhidmatan di 26 laluan bas untuk fasa pertama, merangkumi jarak sejauh 256.3 km.

"Tiga hingga lima buah bas akan beroperasi di setiap laluan dengan kekerapan setiap sepuluh minit. Bas tersebut dilengkapi tempat duduk yang selesa, mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan dipantau oleh kamera litar tertutup (CCTV).

"Setiap bas boleh memuatkan sehingga 62 penumpang dengan kadar tambang rata RM 1 setiap perjalanan tanpa had jarak," kata beliau.

Tambang tren untuk perjalanan selama 30 minit dari Sungai Buloh ke Semantan ditetapkan pada RM3.90 dan lebih murah bagi mereka yang menikmati pelbagai konsesi.

Semasa waktu puncak, penumpang tidak perlu menunggu selama lebih 3.3 minit untuk menaiki tren seterusnya dan di luar waktu puncak, kekerapan tren dikurangkan dari enam hingga lapan minit," kata beliau.

-- BERNAMA