Memaparkan catatan dengan label kasih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kasih. Papar semua catatan

Rabu, September 14, 2011

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menghadiri majlis perkahwinan anak kedua saya, Siti Zuraifah, 27, dengan Mohd Hisham Abu Hassan, di Pasir Gajah, Kemaman pada Sabtu, 10 September lalu.

Menantu kedua saya ini bekerja dengan Agensi Maritim, pilot helikopter berasal dari Parit Nibong, Bandar Baharu, Kulim, Kedah. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ADUN Air Putih, YB Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Cikgu Rohani Abdullah dan AJK Bahagian, Kamarizam Harun.

Juga kepada saudara mara dari Kedah, Kelantan, Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Lumpur yang sudi hadir. Juga kepada rakan-rakan dari Kelantan, Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Lumpur terutamanya Pak Lah, bekas jurugambar di ibupejabat UMNO yang sanggup datang dengan bas dari Kuala Lumpur dan bermalam di rumah saya selama dua malam. Juga kepada AJK Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Yazid Sharif yang sudi datang dari Kuala Lumpur pagi itu untuk menyumbangkan dua buah lagu.

Pendek kata majlis perkahwinan dari jam 11 pagi hingga 5.30 petang itu amat meriah walaupun ramai kawan-kawan yang sudah confirm mahu hadir tetapi tidak dapat hadir di saat-saat akhir. Juga terima kasih kepada Burn yang sudi menjadi dj karaoke dengan penyanyi-penyanyi hebat Pak Lah atau A. Ali, Zakaria, Fauzi, Nazri, Siti Zuhairatun, Zelah, Sulong Derahman dan Pak Din. Terima kasih buat semua.

Selasa, Ogos 16, 2011

TERIMA KASIH DATUK MOHAMAD AZIZ


Semalam saya sibuk hantar sms kepada rakan-rakan yang tidak sempat ditemui untuk menjemput mereka hadiri majlis perkahwinan anak peremupan saya, Siti Zuraifah pada 10 September ini di Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu.

Salah seorang yang response kepada sms saya ialah ahli parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz. Saya jemputnya hadiri majlis itu kerana kebetulan saudara-maranya ramai berada di Pasir Gajah. Beliau call saya pada jam 9.54 malam tadi beritahu tak dapat hadiri majlis perkahwinan anak saya kerana kebetulan pada hari yang sama Batu Pahat menjadi tuan rumah sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri Johor,. Walau bagaimanapun beliau kirim salam kepada saudara-maranya di Pasir Gajah.

Beliau tanya saya, siapa saya. Beliau ingatkan saya orang Jambi. Saya jawab saya berdarah campuran Kelantan dan Terengganu. Emak orang Pasir Gajah, ayah orang Kelantan.

Pada tahun 20an, Pasir Gajah dibuka oleh orang Jambi. Keturunan mereka lari dari Jambi, Sumatra ke Batu Pahat, Johor selepas kalah perang dengan orang Belanda. Dari Batu Pahat mereka lari ke Terengganu. Sewaktu di Batu Pahat, mereka dari keturunan Raja Jambi tidak gunakan nama Tengku kerana bimbang orang Batu Pahat tahu mereka adalah keturunan Raja Jambi.

Apabila sampai di Terengganu, Sultan Terengganu izinkan mereka menetap di Terengganu dan mengarahkan mereka guna semula nama Tengku. Mereka telah memilih Pasir Gajah di Kemaman untuk menetap dan bila mereka mudik ke hulu melalui Sungai Kemaman, mereka pilih Pasir Gajah. Kampung yang mereka singgah di tepi sungai itu dinamakan Kampung Laut.

Sebab itu menurut Datuk Mohamad Aziz, namanya tiada nama Tengku Mohamad Aziz tetapi saudara maranya di Terengganu bernama Tengku kerana diarahkan oleh Sultan Terengganu bila Baginda tahu mereka adalah dari keturunan Raja Jambi.

Masjid yang dibina di Kampung Laut penuh dengan ukiran Jambi. Pasir Gajah didiami oleh majoriti orang Jambi dan orang Kelantan. Moyang saya, Che Omar telah berhijrah ke Pasir Gajah dari Kelantan pada tahun 30an. Datuk saya, Haji Abdullah atau Awang Che Omar telah menetap di Pasir Gajah dari zaman mudanya. Datuk saya nikahi orang Paloh, Kuala Terengganu, Hajah Zaharah yang merupakan anak Cikgu Haji Yusof Kemasik.

Kalau tanya orang tua di Kemaman semua orang kenal siapa Cikgu Haji Yusof Kemasik seorang guru agama dan guru silat. Ketika beliau meninggal dunia pada tahun 1974, ribuan anak muridnya menghantar ke kubur sehingga jalanraya besar di Kemasik terpaksa ditutup.Salah seorang cucu Cikgu Haji Yusof iaitu sepupu saya, Cikgu Ghazali Mohd. Noor di Dungun (kini Pengerusi PEKIDA Terengganu).

Emak saya, Hajah Zainun dilahirkan di Pasir Gajah pada tahun 1940. Saya tidak dilahirkan di Pasir Gajah tetapi menganggap diri saya orang Pasir Gajah setelah menetap semula di kampong itu pada tahun 1978. Malah isteri saya, Zaitun orang Pasir Gajah juga. Sebab itu walaupun kami duduk di Chukai, anak saya Siti Zuraifah lebih suka mengadakan majlis perkahwinannya di rumah neneknya di Pasir Gajah kerana Pasir Gajah penuh nostalgia buat kami.

Malah Pengerusi Peremba, Tan Sri Razali Abdul Rahman pernah duduk di Pasir Gajah sewaktu kecilnya. Ayahnya orang Kelantan saudara datuk saya manakala ibunya orang Paloh saudara nenek saya.

Ikatan yang kuat antara orang Jambi dengan orang Kelantan di Pasir Gajah menyebabkan kampung itu sentiasa memenangi hadiah dalam pertandingan di peringkat daerah Kemaman. Oleh itu Pasir Gajah tetap kampungku walaupun saya dilahirkan di Jabor, Kemaman. Kebetulan ketika itu datuk saya, Haji Abdullah Omar menjadi Penghulu Mukim Jabor pada tahun 1959. Emak saya yang duduk bersama datuk saya melahirkan saya di Jabor pada tahun tersebut. Jika datuk saya tidak menjadi Penghulu, sudah tentu saya dilahirkan di Pasir Gajah pada 52 tahun lalu.