Ahad, Oktober 21, 2018

PESARA GURU JADI IBU AYAM




KUALA TERENGGANU, 21 Okt (Bernama) -- Polis menahan sepasang suami isteri kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di satu kawasan perumahan di Jalan Cherung Lanjut, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman  (gambar) berkata pasangan tersebut ditahan bersama dua wanita warga Thailand dalam serbuan kira-kira pukul 10.40 malam tadi hasil maklumat orang awam dan intipan yang dijalankan selama dua minggu.

Beliau berkata polis percaya suspek lelaki dan isterinya yang juga pesara guru menjadikan rumah teres dua tingkat tersebut sebagai pusat operasi pelacuran dengan menggunakan aplikasi WeChat bagi menarik pelanggan.

"Suspek lelaki berusia 44 tahun yang juga peniaga alat ganti motosikal bertindak mencari pelanggan melalui aplikasi WeChat manakala isterinya berusia 48 tahun menguruskan tempat 'pelacuran' tersebut.

"Selain dua wanita Thailand berusia 21 dan 32 tahun itu, polis percaya ada dua lagi wanita tempatan yang turut bekerja dengan suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas kondom, minyak urut, buku log, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM3,000 dipercayai hasil aktiviti pelacurant.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua warga Thailand itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang sah dan mengenakan bayaran sebanyak RM250 untuk perkhidmatan seks selama sejam.

"Mereka mampu meraih pendapatan lumayan sehingga RM3,000 semalaman dan pelanggan terdiri daripada lelaki tempatan dan warga asing.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

-- BERNAMA