Ahad, Oktober 21, 2018

PEKA GESA KERAJAAN PULAU PINANG HENTIKAN PEMBANGUNAN DI LERENG BUKIT

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa kerajaan Pulau Pinang menghentikan segera semua pembangunan di kawasan lereng bukit susulan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa di Bukit Kukus, semalam.

Presidennya, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata walaupun punca sebenar di sebalik kejadian tanah runtuh itu masih belum dapat dipastikan, ternyata pembangunan berleluasa di kawasan lereng bukit dan cerun di Pulau Pinang sesuatu yang tidak wajar kerana boleh mengakibatkan insiden mengorbankan nyawa.

“Peka Malaysia, bersama-sama dengan banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, telah berulang kali menyuarakan isu tersebut kepada pihak berkuasa, tetapi perkara ini senyap dan baru-baru ini, disindir dan menjadi bahan cemuhan.

“Ketua Menteri Chow Kon Yeow mesti mengambil isu ini sebagai peluang menunjukkan kepada kita mereka (kerajaan negeri) boleh melihat kesilapan mereka dan boleh mendengar serta menerima nasihat, terutama apabila mereka tidak bersetuju dengan perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariffa Sabrina berkata badan-badan bukan kerajaan bukan bermusuh dengan kerajaan, sebaliknya mereka adalah masyarakat yang benar-benar mengambil berat dan mahukan terbaik kepada seluruh rakyat negara ini dan Malaysia.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus di Paya Terubong, mengakibatkan empat pekerja asing maut, tiga cedera dan lima lagi dilapor hilang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan itu yang berlaku pada 1.56 tengah hari semalam