Isnin, Ogos 13, 2018

TERIMA TEGURAN TUN MAHATHIR MENGENAI MARA

PETALING JAYA, 12 Ogos (Bernama) – Teguran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya jemaah menteri berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu diambil berat kerana badan itu begitu dekat dengan hati ramai pihak.

Ketika melontarkan pandangan itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau sendiri pernah mendapat manfaat daripada institusi berkenaan.

“Ramai yang pernah dibantu oleh Mara seperti saya sendiri dan anggota keluarga yang lain," katanya pada sidang media selepas melancarkan badan bukan kerajaan Pertubuhan Cintai Malaysia (PCM) dan inisiatif kutipan derma menerusi Tabung Harapan Negara yang diterajui PCM di sini, hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan membuat gesaan itu selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada Jumaat.

Syed Saddiq berkata apa yang perlu diperbaiki ialah soal urus tadbir Mara, badan yang telah berbakti kepada ramai anak bangsa.

Pada majlis itu, PCM mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Prisma) bagi mewujudkan Tabung Harapan berbentuk fizikal untuk memudahkan masyarakat menderma bagi membantu kerajaan melangsaikan hutang negara.