Isnin, Ogos 13, 2018

LONDEH MELONDEH MENJELANG PEMILIHAN PKR



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak yang mendakwa terdapat usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penggantinya tampil mengemukakan bukti.

“Saya rasa pihak itu patut berikan bukti. Saya malah tidak pernah cakap dengan sesiapa pun berkaitan perkara ini.

“Saya menjarakkan diri. Saya tiada urusan dengan hal ehwal dalaman parti lain,” kata perdana menteri dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ini kali kedua Mahathir menjawab dakwaan hampir sama dalam 20 tahun.

Beliau berdepan soalan sama ketika di ambang krisis pertama kali beliau dengan Anwar pada 1998.

Anggota parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini mempertahankan dakwaannya berhubung rancangan menghalang Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir.

Abdullah berkata beliau benar-benar yakin Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat dengan Tun Daim Zainuddin - bekas menteri kewangan dan penasihat Mahathir - untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui Pakatan Harapan.

Ulasan saya, menjelang pemilihan PKR, pelbagai londeh melondeh akan berlaku di antara kem Azmin Ali dengan Rafizi Ramli.

Kenyataan ahli parlimen Kapar mengejutkan kerana beliau menuduh orang di luar PKR berpakat dengan Azmin Ali untuk menghalang Anwar menjadi PM dua tahun lagi.

Sebenarnya bukan salah Abdullah Sani tetapi kenyataan Dr Mahathir sekembalinya dari Tokyo Jun lalu yang mengatakan beliau akan terus kekal sebagai PM jika rakyat masih memerlukannya dua tahun lagi menyebabkan ramai ahli PKR sangsi dengan Dr Mahathir.

Menamakan Daim Zainuddin berpakat dengan Azmin Ali merupakan satu tuduhan yang perlu ada bukti. Memang Daim yang berkonspirasi dengan Rahim Thamby Chik menjatuhkan Anwar dari jawatan TPM pada tahun 1998 yang menyebabkan Anwar terkejut apabila Dr Mahathir melantik Daim sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Apatah lagi Dr Mahathir menarik Azmin dari jawatan MB ke jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang membuatkan Azmin lebih berkuasa dari Menteri Kewangan yang menimbulkan spekulasi Dr Mahathir mahu Azmin jadi penggantinya dan bukan Anwar.

Anwar terpaksa menukar strategi dengan menerima jawatan Presiden PKR supaya beliau turut berada dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan bersama Dr Mahathir, Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Muhyiddin Yasin.

PRK untuk memberi laluan kepada Anwar muncul semula dalam parlimen nampaknya akan diadakan selepas pemilihan PKR supaya suara Anwar lebih berkesan walaupun sebagai ahli back bencher. Sekarang beliau bukan ahli parlimen seolah olah pandangannya tidak dipedulikan lagi oleh para pemimpin DAP, Amanah dan Bersatu yang berkiblat kepada Dr Mahathir.

Maka untuk membantu Anwar sebagai Presiden PKR, perwakilan perlu memilih orang yang lebih setia kepada Anwar dan bukannya setia kepada Dr Mahathir. Atas asas inilah maka Rafizi menawarkan diri untuk menentang Azmin yang mungkin  menggunakan jentera kerajaan untuk ke sana ke mari sedangkan Rafizi bergerak sendiri tanpa menggunakan jentera kerajaan.

Menjelang pemilihan PKR November ini, lebih banyak londeh melondeh akan berlaku di antara kem Azmin dengan kem Rafizi yang menyebabkan PKR mungkin berpecah dua jika Anwar tidak menghalangnya.