Ahad, Januari 28, 2018

BUKAN SEMUA PERKARA BOLEH DIKONGSI



KUALA BERANG, 27 Jan (Bernama) --"Berkongsi ada hadnya, tidak semua perkara boleh kita boleh kongsi," kataTimbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.


Beliau berkata demikian bagi menegur sikap pengguna internet (netizen) yang gemar mendedahkan identiti di media sosial hingga mampu menjadi penyumbang kepada berlakunya jenayah siber dan rompakan seperti mana kejadian rompakan di Rantau Panjang, Kelantan dua hari lepas.

"Kita mempunyai niat sekadar untuk berkongsi gambar kenang-kenangan contohnya gambar hari jadi dengan keluarga kita...tetapi apabila kita tayang dalam media sosial, ia akan membuatkan orang lain mengenali kita.

Implikasi kita tidak pasti sama ada baik atau buruk tetapi ia akan mendedahkan diri kita kepada mereka di luar sana dan mungkin akan menyumbang kepada kes-kes penculikan. Sebagai contoh semalam artikel ada dikeluarkan di sebuah portal atas talian iaitu 'Kerap tayang kemewahan menyebabkan dia hampir hilang nyawa'...ini salah siapa? Salah dia atau salah orang lain," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar tempatan, seorang peniaga dalam talian di Kelantan parah, selepas ditembak sekumpulan perompak di pejabatnya.

Mangsa menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual kosmetik, barang kemas dan pakaian, selain aktif membuat siaran langsung di laman sosial, Facebook sambil menayangkan wang tunai yang banyak.

Selain itu, Johari yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu itu, penggunaan kad debit secara kerap untuk pembelian dalam talian untuk pembelian turut menjadi punca kepada pendedahan data seseorang.

"Lebih selamat kalau kita guna kad kredit daripada kad debit . Kerana melalui debit ia boleh dedahkan banyak perihal kita.

Orang di luar sana banyak mencari peluang...bersifat kedekut sedikit untuk mengisi data terutamanya bila isi sesuatu borang yang memerlukan kita isi pengenalan diri. Jangan isi semua," katanya.

-- BERNAMA