Jumaat, Oktober 20, 2017

RASUAH BERJEMAAH TIGA BERADIK




KOTA KINABALU 19 Okt. - Siasatan Suruhanjaya Pen­ce­­gahan Rasuah Malay­sia (SPRM) terhadap penyele­wengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015 memasuki episod baharu apabila agensi itu menahan Pre­siden Parti Warisan Sabah (Wa­risan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di pejabat SPRM negeri di sini hari ini.


Mohd. Shafie merupakan individu penting dalam membantu siasatan memandangkan beliau adalah Menteri KKLW selama tempoh tujuh tahun itu ketika penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion di dalam kementerian didakwa berlaku.


Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.


Beliau turut mengesahkan seorang jurutera yang juga ahli Wa­risan, Amarjit Singh, 47, ditahan di pejabat SPRM pada kira-kira 2.45 petang ini.

“Mohd. Shafie ditangkap pada pukul 9 malam ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu Mohd. Shafie yang tiba dari Kuala Lumpur hadir ke pejabat SPRM bersama pegu­amnya pada pukul 5.20 petang selepas dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang bermula 15 hari lalu di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, dua adik beliau iaitu Hamid Apdal, 52, ditahan pada 10 Oktober lalu manakala Datuk Mohd. Yusof Apdal, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datuk ditangkap kelmarin di pejabat sama.

Hamid bagaimanapun telah dibebaskan pagi ini selepas direman lapan hari manakala Mohd. Yusof masih direman sehingga Sabtu depan.

Siasatan SPRM terhadap kes penyelewengan itu bermula pada 4 Oktober lalu apabila sembilan akaun yang berisi RM150 juta dibekukan manakala sehari selepas itu, beberapa lagi akaun bernilai RM29 juta turut dibekukan.

Kesemua wang berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan peruntukan KKLW sebanyak RM1.5 bilion yang diseleweng daripada keseluruhan RM7.5 bilion dana untuk projek infrastruktur di negeri ini.

Sepanjang siasatan, SPRM turut menangkap tujuh individu membabitkan menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan, 37; Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, 46; bekas Timbalan Setiausaha Bahagian KKLW, Norhartarty Rahmat, 40; ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.