Khamis, Oktober 19, 2017

21 PEGAWAI TCS IKUTI MBA DI UNISZA



KUALA TERENGGANU 17 Okt. -Dalam usaha mempertingkatkan tahap profesionalisme para pegawai tadbir negeri, mereka akan diberi pendedahan keilmuan lebih mendalam melalui kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dengan institusi pengajian tersebut semalam, buat permulaan membuka laluan kepada seramai 21 pegawai mengikuti kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan selama setahun.


Setiausaha Kerajaan, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, program yang dirintis itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan strategik modal insan bagi memperkasakan perkhidmatan dan peranan mereka agar memberi impak lebih berkesan.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi peluang kepada kumpulan pelaksana yang menerajui jabatan-jabatan tertentu di peringkat negeri ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ini merupakan kolaborasi di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), dengan memanfaatkan kepakaran UniSZA untuk menjadikan pegawai kita pemimpin terhebat pada masa akan datang dan secara tidak langsung menjadi duta kepada UniSZA,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeterai MoU bersama Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi di Wisma Darul Iman, di sini.

Menurut Wan Nawawi, seramai 10 terbaik daripada mereka ini kelak akan ditawarkan untuk menyambung pengajian ke peringkat kedoktoran (PhD) termasuk tiga di luar negara.