Selasa, Oktober 11, 2016

PFP GANTI GERAKAN DAN MCA DI PULAU PINANG?



BUTTERWORTH 10 Okt. – Penang Front Party (PFP) yang diluluskan pendaftarannya pada 9 September lalu akan berjuang membawa ‘suara’ rakyat negeri ini bagi menentang DAP yang disifatkan mereka hanya memiliki kepen­tingan peribadi.


Sehubungan itu, PFP yang men­dakwa mesra Barisan Nasio­nal (BN) berhasrat bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang bagi menentang DAP.

Penasihatnya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, bagi mengelak sebarang masalah, parti itu tidak akan bertanding di kerusi yang selama ini milik UMNO, namun menyasarkan kawasan pengundi Cina.

“PFP berasakan sudah tiba masanya untuk kami bertanding dalam pilihan raya untuk berjuang mempertahankan rakyat negeri ini yang selama ini diperalat oleh DAP untuk kepentingan peribadi mereka.

“Itulah sebabnya PFP ambil keputusan untuk meletakkan calon di 25 kerusi yang ditandingi DAP bagi menyaingi parti itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini hari ini.

Dakwa Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, PFP kini mendapat sokongan daripada 80 NGO di negeri ini terutama persatuan tokong-tokong dan NGO perniagaan Cina.

Tambahnya, rakyat negeri ini sudah muak dengan permainan politik DAP yang menindas rak­yat bawahan dan hanya memen­tingkan golongan kaya sehingga mengabaikan rakyat miskin.

Selain itu jelasnya, sudah mula timbul keresahan dalam kala­ngan rakyat yang terbeban dengan pelbagai cukai dan bayaran yang dikenakan Kerajaan DAP Pulau Pinang dan PFP bertekad me­ngu­bah perkara tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Pe­naja PFP, Lee Poh Kong berkata, pihaknya sedang menyusun stra­tegi untuk menyelamatkan negeri ini yang turut mendapat soko­ngan gerakan mahasiswa.

“Kami juga sudah miliki beberapa agenda yang akan dima­sukkan dalam manifesto pilihan raya umum akan datang yang pastinya akan memberi manfaat kepada penduduk negeri ini,” ujarnya.