Selasa, Mei 06, 2014

PEMERGIAN AZIZ SATTAR SATU KEHILANGAN KEPADA DUNIA SENI

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pemergian bintang filem legenda Datuk Abdul Aziz Sattar merupakan kehilangan besar kepada dunia seni tanah air, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata Allahyarham adalah seniman terakhir yang seiring dengan seniman agung Tan Sri P. Ramlee. "Saya mengenali beliau secara peribadi, beliau banyak memberi idea kepada saya. "Saya berasa agak sedih kerana tiada di tanah air untuk menziarahi (jenazah Allahyarham), saya sekarang berada di Jeddah kerana menghadiri Sidang Kemuncak Media Asia 2014," katanya dalam kenyataan kepada Bernama dari Jeddah hari ini. Abdul Aziz, 89, meninggal dunia di Hospital Kajang awal hari ini setelah mengalami serangan jantung. Pelakon protagonis dan pelawak dalam siri filem Melayu Bujang Lapok itu meninggal dunia pada kira-kira pukul 2 pagi, menurut anak perempuannya Sandakiah. Pada zaman kegemilangannya, Allahyarham berlakon bersama-sama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham S. Shamsuddin, sebagai trio Bujang Lapok pada tahun 1950-an. -- BERNAMA AFY AFY RON