Rabu, September 14, 2011

YUSOF MOHD AMIN DALAM KENANGAN



Pagi ini saya terima sms daripada sahabat lama di YPK, Nazri Yusof yang minta maaf tidak dapat hadiri majlis perkahwinan anak saya di Pasir Gajah, Kemaman pada 10 September lalu kerana ayhanya, Yusoff Mohd. Amin baru meninggal dunia pada 6 September lalu.

Ketika bertugas dengan YPK (1997-2001) saya banyak kali menemui Pak Yusoff di rumahnya di Kampong Calok Kedai. Salah seorang menantu beliau ialah Datuk Mahazan Mansor pemilik syarikat Mazateguh Sdn Bhd yang menyiapkan bangunan ITC di Pupuk Semangat, Teluk Kalong, Kemaman.

Ketika Datuk Mamat Ghazali Abdul Rahman menjadi ADUN Langkap, Pak Yusof pernah dilantik sebagai Setiausaha Penyelaras DUN Langkap. Adiknya DatukGhani Mat Amin pernah menjadi ADUN Setiu selama tiga penggal (1964-1974) dan beliau pernah dilantik Exco Kerajaan Terengganu.

Bekas calon Perikatan Dewan Undangan Negeri kawasan Setiu dalam Pilihan Raya Umum 1959, Yusoff Mohd. Amin, 74, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Calok Kedai di sini, kira-kira pukul 10 pagi 6 September lalu.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai Penyelia Kemas Parlimen Kuala Nerus dan Setiu dan mempunyai sembilan anak, 33 cucu dan 6 cicit itu meninggal akibat sakit tua.

Menurut anak ketujuhnya, Nazri, 44, semasa hayatnya, Allahyarham bukan sahaja terbabit dalam pelbagai kegiatan politik malah turut berkerjasama menjayakan pelbagai program Badan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Setiu.


Nazri yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai termasuk pemimpin masyarakat yang hadir menziarah jenazah dan mengucpakan takziah.

Katanya, jawatan terakhir bapanya ialah Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Setiu selain pernah diberi kepercayaan berkhidmat dalam Majlis Daerah Setiu, Pertubuhan Peladang Setiu serta beberapa pertubuhan belia semasa zaman mudanya.

"Susur galur perjalanannya dalam politik dan khidmat kepada masyarakat sangat panjang. Bermula apabila dia dipilih sebagai calon Perikatan pada usia 22 tahun.

"Walaupun tewas kepada calon PAS, Daud Samad yang dilantik sebagai Menteri Besar pada ketika itu, semangatnya terus kental untuk berbakti dengan mengasaskan UMNO Cawangan Gong Terap sebelum menyertai pergerakan pemuda UMNO Bahagian pada ketika itu," katanya ketika ditemui wartawan Teganukita di rumah arwah bapanya, petang semalam.

Kata Nazri, pemergiannya cukup menyentuh hati kerana sebelum itu adik kepada bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Allahyarham Dato' Abdul Ghani Mohd. Amin itu sempat melaksanakan impiannya mengumpul kaum keluarganya pada hari raya ketiga lalu.

Ujarnya, setelah tiga tahun arwah berusaha, buat pertama kalinya, hampir 1,500 ahli keluarga keturunan Tok Bilal Ali dari generasi ketiga hingga keenam berkumpul dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Terap Calok.

Tok Bilal Ali dikatakan hidup sekitar 1900-an yang dipercayai mengasaskan Kampung Bukit Calok, yang berkembang menjadi Kampung Penarik ketika itu.

Keturunan Tok Bilal Ali diteruskan oleh Mat Amin (Tok Bilal Mat Amin) yang akhirnya meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berusia lingkungan 80-an.

"Perjumpaan keluarga berkenaan bagi memberi pendedahan kepada generasi baru Tok Bilal Ali tentang susur galur keturunan keluarga agar jati diri dapat diterapkan di dalam jiwa mereka.

"Saya tidak sangka acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli keluarga dan amat gembira kerana ramai ahli keluarga Tok Bilal Ali berkumpul," katanya.

Kata Nazri, itulah kerja terakhir ayahnya sebelum pergi buat selama-lamanya.