Khamis, Julai 29, 2010

PENULIS BLOG KENA GUNA KOD ETIKA


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penulis blog dan pengamal media sosial menggunapakai kod etika sendiri.

Katanya kod berkenaan hendaklah digunapakai secara sukarela supaya media baru berkenaan dihormati.

"Pastikan apa yang ditulis beralaskan kebenaran," katanya ketika menyampaikan ucap utama dalam persidangan penulis blog dan media baru Asian di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir ketua pegawai eksekutif (CEO) Air Asia Datuk Seri Tony Fernandes dan hartawan Vincent Tan.

Menurut Dr Mahathir, beliau mencadangkan perkara itu supaya kewibawaan media baru dipastikan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pihak media konvensional.

"Akhbar ini (ruangnya) terbatas, tidak semua apa yang kita cakap dilaporkan. Ini disebabkan masalah ruang, antaranya bagi menempatkan iklan," katanya.

Dr Mahathir menegaskan, penulis blog harus bertanggungjawab dalam laporannya dengan melaporkan "seperti yang sebenarnya" dan mengelakkan menggunakan pendekatan jahat hanya kerana tidak suka kepada sesuatu pihak.

Walaupun bertambah baik, beliau mengakui kebebasan media di negara ini masih dikawal, bukan sahaja oleh kerajaan tetapi pelbagai pihak termasuklah pengarang, pemilik akhbar dan agensi pengiklan.

Dalam nada mengeluh, beliau bercerita pernah menjadi mangsa black out (digelapkan) daripada media sebelum ini dan kenyataannya dilaporkan tidak tepat, malah bertentangan dengan apa yang diutarakan.

"Saya dulu (semasa menjadi perdana menteri) pun pernah black out (isu). Tetapi ia untuk tujuan yang baik," katanya berseloroh, disambut ketawa sebahagian besar hadirin.

Sementara itu, menyentuh soal penapisan internet, Dr Mahathir berkata walaupun pada mulanya beliau berpendapat internet tidak perlu ditapis, beliau kini mempunyai pandangan baru.

"Walaupun kita dulu berjanji tidak tapis internet, tetapi ada beberapa perkara perlu ditapis seperti akses pada pornografi," katanya yang memulakan blog sendiri selepas bersara sebagai perdana menteri.

"Macam-maca yang tidak pernah didengar sebelum ini, sampai ada bayi dan perempuan tua dirogol. Macam saya sudah tua, saya tidak teruja (dengan laman lucah) lagi."