Sabtu, September 26, 2009

SYAZNA MINATI TUNGGANG KUDA


Anak gadis Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Syazna Leena Zulhasnan, memang minati menunggang kuda yang merupakan sukan yang mampu diamalkan oleh orang kaya sahaja.

Sebenarnya menunggang kuda adalah sunah Rasulullah. Oleh itu usaha orang kaya menceburi sukan ini merupakan usaha yang dialu-alukan oleh sunah Nabi.

Syazna bersama teman baiknya, Quzandria Nur Datuk Seri Muhamad Fathil, biasanya menunggang kuda di pusat ekuestrian milik bapa Quzandria, di 3Q Equestrian, Sungai Serai, Kuang, Selangor.

Menyentuh soal raya, kata Syazna, tahun ini merupakan tahun pertama dia akan beraya di luar negara.

Ini kerana dia bersama keluarganya telah terbang ke United Kingdom (UK) sebelum hari raya aidilfitri.

Menurut pelajar undang-undang di Universiti of Leicester, UK ini, walaupun telah tiga tahun menuntut di luar negara namun pada setiap kali raya dia akan menyambut bersama keluarga di tanah air.

Tetapi kali ini oleh disebabkan adiknya, Syara Leana akan mula menyambung pengajian peringkat pra universiti di Benenden School, UK dan dia juga akan memulakan kelas tidak lama selepas raya, maka terpaksalah mereka berhari raya di luar negara tahun ini.

“Keluarga saya akan berada di sana selama lima hari. Agar dapat juga merasai suasana raya di sana, kami bawa bekal kuih tat, serunding daging, nasi himpit, kuih baulu dan sebagainya,’’ kata Syazna yang menyukai rendang daging, pulut kuning, soto dan nasi dagang.

Tambahnya, jika beraya di Malaysia, di pagi raya, mereka sekeluarga akan menziarah pusara datuk kedua-dua belah pihak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Selepas itu, mereka akan ke rumah nenek sebelah mak di Wangsa Melawati dan sebelah ayah di Taman Tun Dr. Ismail.

Berbeza dengan kebanyakan gadis remaja sepertinya, Syazna yang menyukai rekaan Inai ini berkata, dia tidak banyak berbelanja mengenai persiapan baju raya. Ini kerana dia hanya menempah sepasang sahaja baju kurung untuk dipakai di pagi raya.

“Saya rasa hari raya paling indah semasa kecil-kecil dahulu. Sepupu-sepupu semua sebaya dengan saya dan kami akan bersama-sama bermain bunga api. Tetapi sekarang semua sudah dewasa dan masing-masing menuntut di luar negara. Kami dah jarang berjumpa dan sudah pasti suasana raya sekarang amat berbeza,’’ ujar anak sulung daripada tiga beradik ini.

Pemergian Syazna ke luar negara bermakna dia terpaksa meninggalkan kuda kesayangannya, Helu de Codard. Kuda jantan berusia 15 tahun ini akan ditinggalkan di pusat ekuestrian 3Q di Kuang.

Bercerita mengenai sukan berkuda, Syazna nampak begitu teruja sekali.

Katanya, Helu, kuda daripada Perancis ini merupakan hadiah daripada ayah selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Helu telah bersama saya selama empat tahun. Sebelum Helu, saya mempunyai kuda poni bernama Big Ben, hadiah ayah selepas Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Sekarang ini Helu ditunggang oleh adik bongsu saya, Muhammad Suhail, 14 tahun,’’ tambahnya.

Syazna berkata, dia mula berjinak-jinak dengan kuda semasa berumur tujuh tahun. Ketika itu, ayahnya yang meminati sukan polo meletakkannya di atas kuda.




“Mula-mula tu takut tetapi lama kelamaan sudah biasa. Setiap hari Ahad, saya bersama ayah ke Kelab Polo di Ampang untuk berlatih menunggang.

“Semasa berumur 14 tahun saya terfikir untuk serius dengan sukan berkuda dan bukan setakat main-main. Ayah pun belikan Big Ben dan sekarang ini saya memiliki Helu pula,’’ jelasnya.

Nampaknya minat Syazna dalam sukan berkuda tidak sia-sia kerana berjaya menempa beberapa kejayaan yang mengharumkan nama negara.

Di antaranya ialah pada tahun 2007, Syazna memenangi anugerah Young Rider Terbaik Malaysia, pingat emas di Sukan Sea, Korat, Thailand, Young Rider Kategori No. 4 di KL Grand Prix 2006 dan banyak lagi.

‘‘Tahun depan, saya hendak cuba menyertai Sukan Asia dan ini bermakna saya perlukan kuda lain yang sesuai untuk sukan itu,’’ katanya yang menganggap kuda merupakan haiwan yang paling cantik dan jinak di dunia.