Sabtu, September 26, 2009

SENIMAN PERLU TUBUH YAYASAN BANTU ARTIS


Pelawak terkenal, Ahmad Busu yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat strok minggu lalu susah hati memikirkan cara untuk menyara keluarga dan membiayai rawatan perubatannya.


Dia yang mengalami kesukaran berdiri, terpaksa menolak pelbagai tawaran termasuk rakaman rancangan Bersamamu di Pulau Pinang pada 3 Oktober ini dan pementasan bangsawan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama tiga hari bermula 9 Oktober ini.


Ekoran penyakitnya, Ahmad yang terkenal dengan watak Mat Deris dalam siri sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu terpaksa membatalkan persetujuan menjadi pengacara sebuah majlis perkahwinan di Ipoh, Perak yang bakal berlangsung pada 8 Oktober ini.


“Memang saya rasa susah hati sebab tawaran sebegitu adalah punca pendapatan saya sekeluarga,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Andalas di Kelang, semalam.


Dengan keadaannya itu, Ahmad juga tidak mampu membantu adiknya, Norgayah, 51, yang mengambil kontrak menyediakan makanan di kantin Sekolah Menengah Seri Andalas untuk menambah pendapatan mereka.


Apa yang merunsingkan, perbelanjaan rawatannya di klinik kini mencecah RM200 sehari.


Menurut Ahmad, minggu ini sahaja, dia perlu berulang-alik mendapatkan rawatan susulan termasuk penyakit kencing manis yang menjangkau hampir RM1,000 seminggu.


“Itu belum lagi kos yang diperlukan untuk rawatan terapi. Keadaan ini memakan masa yang lama untuk pulih kerana doktor mengatakan sekurang-kurangnya mengambil tempoh enam bulan.


“Saya kini tidak mampu melakukan pelbagai perkara sendirian kerana terpaksa bergantung kepada isteri dan anak-anak,” katanya.


Selain bekerja di Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), kerjaya seni yang diceburi sejak 1978 menjadi punca pendapatan utamanya bagi menyara empat anak iaitu Nur Hamizah, 25, Mohd. Afiq, 24, Muhammad Luqman, 17 dan Nur Hanis, 6.


Menurut isterinya, Seri Mohamad, 50, mujur sejak bersara daripada Lembaga Pelabuhan Klang pada 1992, suaminya itu memperoleh pencen RM800 sebulan yang digunakan untuk perbelanjaan rumah tangga.


Selama enam hari terlantar di wad Neurosains, PPUM sejak 13 Oktober lalu, Ahmad menjalani pelbagai rawatan termasuk imbasan sinar-X dan ujian elektrokardiogram (ECG).


Dia bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah pada 18 September lalu.


Pelawak terkenal itu ketika ditemui turut mengadu masih lagi mengalami pening kepala dan kebas di bahagian kaki.


Pada hemat saya, persatuan artis seperti SENIMAN perlu memikirkan cara mana mahu membantu artis yang sedang sakit. SENIMAN perlu tubuhkan satu yayasan untuk membantu kebajikan artis. Dahulu ada cadangan supaya beri elaun tetap bulanan kepada artis supaya masa depan mereka lebih terjamin tetapi cadangan itu sampai sekarang belum jadi kenyataan.


Malah cadangan kementerian untuk memotong satu peratus dari peruntukan membuat program televisyen untuk membantu artis masih di peringkat cadangan lagi. Oleh itu sesuatu yang lebih konkrit perlu dilaksanakan segera untuk menjamin masa depan artis di negara kita terutamanya mereka yang sedang terlantar sakit yang tidak dapat menyanyi, berlakon dan melawak. Itulah nasib artis yang mampu menghibur orang ramai tetapi nasib mereka sendiri tidak terhibur,