Selasa, September 15, 2009

MAIN CINTA MELALUI SMS


Seramai 39 peratus penduduk bandar di Malaysia pernah bermain cinta dengan pasangan mereka melalu sistem pesanan ringkas (SMS) manakala hampir 15 peratus pernah memutuskan hubungan melalui SMS dan 20 peratus telah meninggalkan pasangan mereka melalui SMS, kata syarikat penyelidikan global Synovate, dalam satu kajian baru-baru ini.

Synovate telah mengkaji selidik lebih 8,000 responden bandar daripada Malaysia, Kanada, Denmark, Perancis, Netherlands, Filipina, Russia, Singapura, Taiwan, United Kingdom dan Amerika Syarikat, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata kajian itu bertujuan mengenalpasti sikap lelaki dan wanita terhadap telefon bimbit mereka dan faktor-faktor yang menyumbang kepadanya.

Pengarah Urusan Synovate Malaysia Steve Murphy berkata adalah jelas masyarakat bandar di Malaysia memilih untuk tidak berkonfrontasi ketika menghadapi situasi yang rumit.

" Mereka mendapati lebih mudah untuk menyatakan perasaan menerusi pesanan ringkas berbanding komunikasi secara terus," katanya.

Kajian itu juga menunjukkan penduduk bandar di Malaysia memilih menggunakan telefon dengan papan kekunci berbanding skrin sentuh sementara aktiviti berkaitan telefon yang paling popular adalah mengambil gambar (61 peratus), bermain permainan video, memuat turun atau mendengar muzik (38 peratus) dan menonton klip video (22 peratus).

Sebanyak 57 peratus penduduk bandar berkata mereka tahu menggunakan semua fungsi telefon bimbit mereka.

Murphy berkata buat masa sekarang, menonton televisyen (tujuh peratus), menghantar e-mel (12 peratus), jaringan sosial (13 peratus) dan melayari internet (15 peratus) merupakan aktiviti-aktiviti yang paling tidak popular di kalangan pemilik telefon bimbit di Malaysia.

Beliau berkata permintaan dan keinginan untuk aktiviti tersebut bagaimanapun akan meningkat apabila pembekal di negara ini terus mengembangkan perkhidmatan yang ditawarkan.