Selasa, September 15, 2009

CONTOHI YAYASAN AL-BUKHARY


Badan kebajikan perlu mencontohi usaha Yayasan Al-Bukhary yang memberi bantuan kepada pelajar miskin hingga ke peringkat pengajian tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan usaha itu sebagai satu jihad dalam Islam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ia juga dapat merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar, di samping memberi akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yayasan Al-Bukhary di atas sumbangan bakti kepada umat Islam dalam meningkatkan tahap pendidikan ummah," katanya pada majlis berbuka puasa bersama 312 penuntut Universiti Islam Antarabangsa yang ditaja oleh yayasan itu di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur malam tadi.

Muhyiddin berkata kerajaan amat mengalu-alukan usaha murni yayasan itu yang tidak jemu-jemu menyokong sistem pendidikan di negara ini.

Beliau berkata bantuan itu memberi faedah berganda kepada ummah.

"Bulan Ramadan ini memberikan seribu satu peluang untuk umat Islam menyucikan diri dan mencari keredaan Allah s.w.t, dan penyucian itu boleh dilakukan dengan melipatgandakan ibadah dan amal jariah kepada insan-insan yang memerlukan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata bantuan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kecemerlangan pendidikan di luar bandar tetapi juga menambah bilangan pelajar bumiputera dan miskin ke peringkat pengajian tinggi.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi Yayasan Al-Bukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan isteri Muhyiddin Puan Sri Norainee Abd Rahman.