Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) aliran Ampang yang dilaporkan mengalami gangguan sejak awal pagi ini, kini pulih seperti sediakala.
Jurucakap RapidKL memberitahu, perkhidmatan menghubungkan Stesen Sultan Ismail ke Sentul Timur itu kembali pulih pukul 11.04 pagi ini.
RapidKL turut memohon maaf kepada semua pengguna perkhidmatan itu di atas segala kesulitan yang dialami.
Apa nak jadi dengan LRT? Perkhidmatan yang lembab. Entah pagi ini berapa ramai kakitangan kerajaan dan swasta sampai lambat ke ofis dengan mendapat punch card berwarna merah gara-gara kelembapan LRT.
Kebetulan saya mahu pergi ke Menara PGRM, Cheras pada jam 9 pagi tadi. Saya naik LRT dari stesen Titiwangsa. Satu laluan ditutup kerana kerja-kerja membaikpulih landasan LRT. Yang lucunya saya kena pergi ke stesen Sentul Timur terlebih dahulu dari situ dan ia berakhir di stesen Sultan Ismail. Dari situ tukar ke LRT lain di laluan sebelah menghala ke stesen Maluri.
Ketika LRT kami sampai di Sentul Timur, saya nampak tren yang sedang servis landasan dengan beberapa orang pekerja. Yang lucunya ada juga empat orang pekerja tidur dalam tren servis itu. Ini yang peliknya. Tidak ada disiplin langsung pekerja LRT.
Kerajaan menggalakkan rakyat menaiki pengangkutan awam seperti LRT dan bas Rapid KL. Tetapi jika perkhidmatan lembab seperti ini siapa lagi yang mahu bergantung kepada LRT. Barangkali Pengerusi RapidKL Datuk Idrose Mohamed dan COOnya, Noor Hassan Ismail kena letak jawatan di atas kelembapan LRT ini.