Rabu, September 16, 2009

INDONESIA MINATI E BOOK TERENGGANU


Indonesia menunjukkan minat dengan e-Book yang dipelopori oleh Terengganu dan telah menyatakan hasrat untuk membeli komputer riba itu daripada kerajaan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata, kerajaan Indonesia telah meminta kerajaan negeri melalui Top IT iaitu kilang pengeluar komputer berkenaan untuk membekalkan komputer riba itu ke negara berkenaan.

"Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, selepas hari raya nanti kita akan tanda tangani perjanjanjian persefahaman dengan Kementerian Pelajaran Indonesia di Jakarta," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Selain Indonesia, Ahmad Razif berkata Brunei juga menunjukkan minat terhadap penggunaan kompter riba tersebut, tetapi ia masih dalam perbincangan.

Beliau berkata beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang dan Melaka juga menunjukkan minat untuk menggunakan komputer seberat tidak sampai satu kilogram itu.

"Terengganu kini boleh berbangga kerana e-Book bukan sahaja mendapat pengiktirafan di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Ahmad Razif untuk tahun depan, kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta untuk membekalkan 60,000 unit komputer kepada murid Tahun Empat dan Lima, berbanding RM30 juta untuk kira-kira 30,000 orang murid Tahun Lima tahun lepas.