Ahad, September 27, 2009

BERILAH TAN SRI KEPADA RAHIM BAKAR


Sudah menjadi adat orang Melayu, orang yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara biasanya akan dikenang dan dihormati sehingga ke akhir hayat.

Bagi bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir, penghormatan diberi bagaimanapun tidak seharusnya terhenti setakat individu itu masih bernyawa, sebaliknya perlu diteruskan sehingga ke akhir upacara pengurusan jenazahnya.

Beliau tidak menafikan Islam menuntut kesederhanaan, namun katanya, kesederhanaan itu sewajarnya bersesuaian dengan jasa serta pengorbanan yang dilakukan seseorang pemimpin atau penjawat jawatan tertinggi kerajaan.

"Ada upacara pengkebumian pemimpin atau penjawat tinggi kerajaan, saya mendapati berlangsung dalam keadaan yang 'terlalu sederhana' seperti yang berlaku terhadap jenazah bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.

"Tidak dinafikan, kesederhanaan memang dituntut Islam, tetapi biarlah kesederhanaan itu berpada, sesuai dengan jasa serta pengorbanan pemimpin dan penjawat jawatan tinggi kerajaan itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, beliau percaya upacara pengkebumian Abdul Rahim akan menjadi lebih baik sekiranya ia dilakukan di kampung halamannya di Beserah, Pahang.

Menurutnya, ada kemungkinan ahli keluarga gagal memikirkan jalan terbaik untuk menguruskan jenazah disebabkan baru kehilangan orang tersayang, justeru kerajaan perlu memainkan peranan dengan memberi layanan terbaik kepada jenazah.

"Contohnya, di tanah perkuburan kalau boleh siapkan lah khemah, tidaklah cuma direntang kain untuk dibuat alas. Agensi-agensi tertentu mungkin boleh berusaha menyediakannya kerana keluarga si mati pastinya sukar berfikir dengan baik akibat kehilangan orang tersayang.

"Jenazah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, seorang yang banyak berjasa kepada negara sebelum ini diterbangkan dengan helikopter ke kampung halaman. Itulah penghormatan terbaik untuk individu berjasa," ujarnya.


Komen saya senang saja bila pemimpin sudah tidak ada kuasa, maka penghormatan tidak diberi lagi seperti kata Adam Kadir. Orang yang berjasa seperti Rahim Bakar sepatutnya sudah lama jadi Tan Sri tapi apa yang kerajaan buat kepada beliau. Beliau dilupakan begitu sahaja seperti kata bekas ADUN Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman bahawa politik tidak berlaku adil kepada Rahim Bakar.

Soal beliau mahu dikebumikan di Beserah atau Kuala Lumpur, terpulang kepada keluarga mereka. Seperti kata Adam, jika beliau dikebumikan di Beserah, sudah tentu beliau lebih dihargai kerana para pengundinya dapat datang menghantar jenazahnya ke kubur.

Oleh itu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajarlah menamakan mana-mana dewan yang ada di DBP sebagai Dewan Rahim Bakar sempena namanya atau mana-mana sekolah di DUN Beserah ditukar kepada Sekolah Menengah Datuk Rahim Bakar sebagai menghargai jasanya kepada negara. Malah DBP juga patut menerbitkan biografi beliau mengisahkan keberaniannya sepanjang menceburi bidang politik.