Jumaat, Februari 06, 2009

JJ SINONIM DENGAN ANGKASAWAN


Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis atau JJ merupakan seorang lagi calon Naib Presiden UMNO yang tidak ada jawatan dalam kerajaan. Beliau merupakan ahli parlimen Rompin. Sebelum itu beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan yang mana bahagian itu diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.


Oleh kerana Najib kekal bertanding di parlimen Pekan, maka JJ dipindahkan bertanding di Rompin yang mana ketika itu ketua bahagian Rompin ialah Datuk Hassan Ariffin, Timbalan Menteri Besar Pahang.


Selepas beberapa penggal menjadi ahli parlimen, JJ mengejutkan semua orang apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Menteri Kewangan Kedua. Tetapi beliau tidak lama di kementerian tersebut apabila Pak Lah melantiknya sebagai Menteri Sains, Teknlogi dan Inovasi selepas pilihan raya umum 2004. Di kementerian inilah (MOSTI), nama JJ menjulang kerana beliau berjaya melancarkan angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muzafar. Selepas beliau tidak dilantik semula sebagai menteri selepas pilihan raya umum 2008, projek angkasawan di MOSTI kelihatan tidak bermaya dan lesu.


Adakah penggantinya, Datuk Dr. Maximus Ongkili tidak serius dengan projek ini kerana ia adalah idea Tun Dr. Mahathir Mohamad atau projek ini tidak menjadi keutamaan lagi di zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Ramai yang berpendapat jika JJ masih di MOSTI, banyak program yang berkaitan dengan angkasawan dapat dijayakannya. Kesian kepada Dr. Sheikh Muszaphar yang terpaksa menyusun ceramah sendiri sehingga beliau dituduh mengenakan bayaran yang mahal untuk setiap ceramah kerana MOSTI tidak ada perancangan langsung untuk angkasawan Malaysia ini.


Calon Naib Presiden UMNO ini bukanlah orang baru dalam politik. Beliau pernah menjadi ketua pemuda UMNO Bahagian Pekan. Beliau pernah jadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan beliau sudah dua penggal dalam majlis tertinggi UMNO.


Dengan pencalonan sebanyak 26 pencalonan, beliau merupakan calon tunggal dari Pahang yang akan merebut kerusi Naib Presiden UMNO ini. Pahang akan mempunyai Presiden UMNO yang baru pada akhir Mac ini. Adakah percubaan JJ dari Pahang sebagai Naib Presiden UMNO akan berjaya? Pada pemilihan 2004, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob cuba merebut kerusi Naib Presiden UMNO tetapi tewas kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yasin.


Dapatkah JJ mengikut jejak langkah Najib yang jadi Naib Presiden UMNO dari tahun 1993 hingga 2004? JJ tidak dapat dipisahkan dengan Najib. Apabila Najib jadi Perdana Menteri kelak, JJ dikatakan akan kembali ke dalam kabinet.


Malah ada khabar angin yang mengatakan bahawa beliau tidak berminat menjadi menteri sebaliknya mahu jadi Pengerusi Petronas.


Sebagai ahli parlimen Rompin, JJ telah membawa banyak perubahan kepada Rompin. Ketika beliau menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau membawa kampus cawangan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke kawasan Rompin. Berbanding dahulu dengan sekarang, JJ banyak membangunkan Rompin. Sebab itulah beliau kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Rompin walaupun beliau bukan lagi seorang menteri.


Ada yang mengatakan bahawa JJ akan tarik diri dari pertandingan ini kerana Najib mahu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Afdal yang menang dalam pertandingan naib presiden. Walaupun ia tidak dapat disahkan, kononnya JJ akan dilantik sebagai Bendahari UMNO Malaysia.