Isnin, Februari 16, 2009

ISMAIL SUFIAN CALON YANG POPULAR


Barisan Nasional (BN) telah memutuskan bahawa anak tempatan daripada UMNO akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, calon yang akan dipilih adalah daripada kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat.

''Nama calon tersebut akan ditentu dan diumumkan apabila sampai masanya. Kita masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat tinjauan dengan sebaik-baiknya.

''Justeru, sebarang spekulasi bahawa orang luar akan dipilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang tidak akan berlaku sama sekali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup BN Perak di sini semalam.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin menyatakan pihaknya mahukan calon tempatan dan tidak akan berkompromi dalam soal tersebut.

Katanya, ini kerana sudah 23 tahun UMNO Bukit Gantang bersabar dengan arahan pucuk pimpinan parti yang meletakkan calon luar termasuk pada pilihan raya umum lepas.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada Pas meninggal dunia pada Isnin lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang merupakan Bendahari UMNO Pusat dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang.

Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, calon kalangan orang tempatan akan memberi keyakinan bukan sahaja kepada parti, malah pengundi.

Jelas beliau, dalam keadaan sekarang, BN perlu menggambarkan bahawa parti itu sentiasa mengutamakan perpaduan dan segala tindakan yang diambil bukan untuk menjayakan kepentingan peribadi.

Katanya, apa yang perlu diutamakan pada masa ini ialah semangat, prinsip dan kepentingan parti bagi mencerminkan satu kekuatan baru yang diperoleh BN khususnya selepas berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Perak.

''Saya yakin dan percaya kerajaan negeri BN yang baru ditubuhkan ini akan dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat Perak yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

''Kita (BN) adalah kerajaan untuk semua kaum dan ini adalah dasar BN yang perlu diperjuangkan," katanya.

Menurut Najib, penilaian beberapa nama calon sedang dibuat dan tidak ada sebarang syarat yang ditetapkan bagi memilih calon kecuali mereka adalah orang tempatan.

''Apa yang penting, calon BN adalah anak tempatan yang boleh diterima dan disayangi pengundi di kawasan Bukit Gantang, yang lain bergantung kepada penilaian kita," katanya.

Di antara nama anak tempatan yang disebut sebagai calon ialah Ismail Sufian. Beliau adalah bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Gantang yang sudah lama aktif dalam politik. Baru-baru ini beliau kalah merebut kerusi Ketua UMNO Bahagian di tangan Rosli. beliau kalah kerana dikatakan tidak menggunakan politik wang.

Beliau agak popular di kalangan masyarakat Bukit Gantang. Jika beliau dipilih sebagai calon, Rosli tidak ada masalah untuk menyokongnya walaupun beliau adalah musuh politiknya. Yang penting BN mahu menang. Jadi Rosli kena tolong Ismail yang kini bekerja di Kuala Lumpur. Beliau dulu bekerja di Perak tetapi baru ditukarkan ke Kuala Lumpur.

Peluang BN untuk menang cerah jika meletakkanIsmail yang sudah banyak berjasa kepada masyarakat setempat ketika beliau menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Gantang. Ketika itu Ketua UMNO Bahagian ialah Datuk Mat Isa Ismail bekas Speaker Dewan Undangan negeri Perak yang juga bekas Setiausaha Sulit Datuk Najib.

Kalah bertanding Ketua Bahagian bukan bermakna tidak boleh jadi calon kerana majoriti perwakilan UMNO tidak menyokongnya kerana tidak dihulur wang oleh Ismail tetapi pengundi yang terdiri dari ahli UMNO dan bukan UMNO suka Ismail jadi calon kerana beliau adalah tokoh yang popular.