Khamis, Oktober 16, 2008

SIAPA PILIHAN PEMUDA KEMAMAN ESOK?


Malam ini malam terakhir dua orang calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berkempen. Mereka ialah penolong setiausaha pemuda, Hisham Zubir dengan bekas naib ketua pemuda bahagian, Kamaruddin Ali.

Di atas kertas, Hisham yang dapat banyak pencalonan telah menang kerana dia mengatasi Kamaruddin tetapi pada hari esok, belum tentu Hisham yang menang kerana para perwakilan akan melihat siapa yang hulur lebih pada malam terakhir ini.

Malam tadi, kawan saya, Haji Khalid Karim sms dari Kedai Kopi Hai Peng bahawa ramainya para perwakilan pemuda di situ. Katanya, calon ketua pemuda, Kamaruddin ada di situ. Dia baru pulang dari Kuala Lumpur menemui seorang calon ketua pemuda umno malaysia. Pulang bukan dengan tangan kosong. Jadi malam ini siapa yang hulur lebih, dialah yang akan menang pada hari esok.

Kamaruddin seperti juga Hisham adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman. Pada tahun 2000, Kamaruddin adalah naib ketua pemuda. Pada tahun 2004, beliau tidak dapat bertanding naib ketua pemuda apabila dia tidak cukup kuota pencalonan. Ini menyebabkan penolong setiausaha pemuda, Rosli Ahmad menang tanpa bertanding sebagai naib ketua pemuda.

Pada tahun ini, Rosli tidak bertanding ketua pemuda walaupun usianya belum mencapai 40 tahun. Khabarnya beliau dijanjikan oleh ketua bahagian, Datuk Ahmad Said dengan jawatan setiausaha bahagian. Sebab itu Rosli pasang Hisham untuk melawan Kamaruddin walaupun Kamaruddin jaja nama Menteri Besar kononnya dia direstui oleh Menteri Besar. Tambahan pula Kamaruddin adalah wakil calon Menteri Besar pada pilihan raya umum pada Mac lalu.

Kelebihan Hisham, dia adalah anak Kemaman manakala Kamaruddin dilahirkan di Jerung, Marang. Tetapi kemenangan Hisham dibimbangi ADUN Chukai sekarang, Datuk Mohamed Awang Tera. Sebagai ketua pemuda, sudah tentu Hisham mahu tanding pada pilihan raya umum 2012 walaupun tidak semestinya ketua pemuda yang jadi calon. Bukan semua ketua pemuda bahagian jadi calon. Nazri Salleh menang ketua pemuda bahagian tetapi tidak pernah jadi calon. Jadi kemenangan Hisham sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan Datuk Mohamed Awang Tera.

Hisham disokong penuh oleh Ketua Pemuda yang sudah cukup umur, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar. Datuk Ahmad Said hanya membisu apabila ditanya siapa yang disokong di antara Hisham dengan Kamaruddin. Sebagai ketua bahagian, beliau mengambil sikap yang bijak tidak berpihak kepada sesiapa. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat penentuan.

Siapa yang menang ketua pemuda esok akan mempengaruhi keputusan pertandingan naib ketua bahagian pada hari Sabtu ini di antara Wan Ahmad Nizam dengan Rahim Hussein. Wan Ahmad Nizam menyokong Hisham manakala naib ketua bahagian sekarang, Rahim menyokong Kamaruddin. Oleh itu pertandingan di antara Kamaruddin dengan Hisham adalah pertandingan proksi Rahim dengan proksi Wan Ahmad Nizam.