Selasa, Oktober 21, 2008

SHAHIDAN SEDAR DIRINYA


Akhirnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Shahidan Kassim menarik diri dari pertandingan Naib Presiden UMNO. Baguslah beliau sedar bahawa beliau tidak layak merebut jawatan itu.

Apatah lagi beliau kini tiada jawatan dalam kerajaan. Kalau beliau masih Menteri Besar Perlis mungkin beliau mampu dapat kuota (20 pencalonan) yang cukup untuk bertanding.

Sehingga kini beliau mendapat enam pencalonan di tempat keenam selepas Hishamuddin (55), Dr. Zahid (38), Shafie (32), Khaled (32, Syed Hamid (12), Isa (7). Beliau berkongsi enam pencalonan dengan Dr. Rais. Shahidan akan mempertahankan kerusi MKTnya yang dimenangi sejak tahun 1996. Bagi kerusi MKT, beliau baru cukup kuota, 10 pencalonan. Beliau menang MKT sejak tahun 1996. Hanya sekali beliau tewas pada tahun 2000 dan 2004 beliau kembali menyertai MKT semula.

Inilah budaya UMNO. Bila tiada jawatan dalam kerajaan, bahagian tidak akan calonkan penyandang jawatan (ahli majlis tertinggi) sama ada mengekalkan jawatan atau bertanding jawatan yang lebih tinggi. Lihatlah senarai calon MKT sekarang siapa yang top. Semuanya yang ada jawatan dalam kerajaan.

Top ten ialah Ketua Menteri Sabah, Musa Aman (51), Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Noh Omar (51), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapa Mohamed (50), Pengerusi FELCRA, Tajuddin Abdul Rahman (47), Menteri Besar Johor, Ghani Othman (44), Timbalan Pengerusi Perhubungan Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman (44), Pengerusi SPNB, Azian Osman (43), Menteri Kerjaraya, Mohd. Zain Mohamed(42), Menteri Belia dan Sukan, Ismail Sabry Yaacob (41) dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Latif Ahmad (40).

Hanya seorang yang tiada jawatan dalam senarai top 10 iaitu Zainal Abidin Osman yang mewakili Pulau Pinang. Menteri Luar, Dr. Rais Yatim mendedahkan bahawa untuk dapatkan pencalonanNaib Presiden, beliau diminta sejumlah wang oleh Ketua Bahagian tetapi beliau tidak layan dengan permintaan itu.

“Kalau nak calon, calonlah,” katanya yang baru dapat enam pencalonan. Masih ada dua minggu. Mungkin beliau dapat mengejar kuota pada minggu terakhir.

Sehingga ini 47 orang dapat kuota yang cukup untuk bertanding merebut 25 kerusi MKT dan pada dua minggu terakhir ini mungkin lebih ramai yang layak bertanding.