Khamis, April 11, 2019

DATARAN RANTAU RIUH DENGAN AJAKAN BALIK MENGUNDI

SEREMBAN, 10 April (Bernama) — Pekan Rantau di sini hari ini ‘riuh’ apabila lebih 200 anggota jentera Pakatan Harapan berhimpun mengajak pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Sabtu ini.

“Moh balik Rantau”, “Vote for Hope” dan “Vote for Rantau” antara ungkapan yang tertera pada plakad Himpunan Flashmob Harapan “Moh balik mengundi N27 Rantau” yang diadakan di sekitar Dataran Rantau bermula jam 5.30 hingga 7 petang.

Sepanjang acara itu berlangsung, terdapat kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Anggota Jawatankuasa Penerangan Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata ‘flashmob’ itu diadakan bertujuan mengajak seluruh pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, bekas menteri besar Negeri Sembilan, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu.

Mahkamah Pilihan Raya itu mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA

Rabu, April 10, 2019

MALARVIZHI TAK KESAL KALAH

SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau R. Malarvizhi tidak menyesal sekalipun kalah bertanding.

Beliau berkata perkara itu (menyesal) sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Sebab ini adalah kali pertama dan terakhir saya bertanding, kalau menang saya akan teruskan, kalau kalah itu sahaja.

"Saya beritahu pada masyarakat Rantau saya mahu berkhidmat untuk kamu, kalau mahu terima saya terimalah, terpulang kepada pengundi," katanya ketika berkempen di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui sambutan pengundi terhadapnya walaupun baik, namun ia agak kurang memberangsangkan kerana ada yang takut untuk mendekatinya malah ada juga yang hanya memandang dari jauh.

Malah bekas penyampai radio di Toronto, Kanada selama 25 tahun itu berkata sehingga kini beliau tidak menerima langsung sumbangan daripada orang ramai sejak dari hari pertama mengedarkan kad nama yang mengandungi nombor akaun bank miliknya namun tidak kecewa dengan perkara itu.

"Saya berdikari bertanding dalam PRK ini, apa yang saya termampu saya buat, semua saya lakukan dengan kebolehan dan keupayaan saya, kalau nak bantu dialu-alukan, tak nak bantu tak apa," katanya.

Memasuki minggu kedua berkempen, tiada gegantung atau poster beliau kelihatan di jalan-jalan utama, sebaliknya Malarvizhi, yang bergerak secara solo dalam siri kempennya, hanya mengedarkan risalah yang memaparkan manifestonya kepada para pengundi.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional, Malarvizhi dan seorang lagi calon Bebas, bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Isnin, April 08, 2019

KEBERSAMAAN KEMPEN TENTUKAN KEJAYAAN PH

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kebersamaan yang ada dalam jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH), akan menentukan kejayaan kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata meskipun PRK ini dikatakan sukar apabila calon PH Dr S. Streram berhadapan dengan penyandang Datuk Seri Mohamad Hasan, namun pemuafakatan jentera parti yang bertugas dan tanggungjawab masing-masing, PH yakin menang.

“(Semasa Pilihan Raya Umum ke-14) kita tiada jentera, tiada kuasa media, tiada wang berbilion ringgit, tetapi apabila kita bersama, berniat ikhlas, bekerja keras bersama rakyat dan memperjuangkan masa depan mereka, itu sudah mencukupi.

Jumaat, April 05, 2019

DUA CALON BEBAS MASIH DINGIN BERKEMPEN

SEREMBAN, 4 April (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memasuki hari keenam hari ini menyaksikan hanya dua daripada empat calon yang bertanding lebih aktif mendekati pengundi.

Meskipun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, namun dua calon Bebas setakat ini didapati kurang menunjukkan kesungguhan untuk memenangi kerusi DUN berkenaan.

Ketika ini, liputan media lebih banyak tertumpu kepada aktiviti berkempen dua calon utama iaitu Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram, 60, yang mewakili PH dan calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, 63.

Khamis, April 04, 2019

MAT HASSAN BERHENTI MB TINGGALKAN RIZAB RM764 JUTA



REMBAU 1 April - Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan kenapa banyak projek di Negeri Sembilan dibatalkan, sedangkan beliau meninggalkan rizab yang besar berjumlah RM764 juta ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri.

Bekas Menteri Besar itu berkata, yang paling mengecewakan apabila perancangannya sebelum ini untuk memodenkan negeri ini bagi tempoh 30 tahun dari 2015 hingga 2045 tidak diteruskan kerajaan sedia ada.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, antara projek yang terbengkalai ialah pembinaan jalan pintasan Kuala Pilah dan kereta api Port Dickson-Seremban, manakala pembinaan tiga masjid di Jempol, Seremban dan Tampin yang diluluskan kerajaan BN sebelum ini dibatalkan.

“Projek kerajaan dibatalkan untuk menjimatkan kewa­ngan tetapi nampaknya kerajaan masih tak ada wang. Saya pergi ke Pekan Saga baru-baru ini ada beberapa wanita warga emas hampir menangis kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipotong atau dihentikan empat hingga lima bulan.

“Saya hairan, mengapa keadaan ini berlaku kerana dalam belanjawan yang dibentangkan tahun lalu menunjukkan rizab yang saya tinggalkan begitu tinggi sebanyak RM764 juta.

“Ini yang saya tak faham dan ramai amat kecewa. Ini menunjukkan bahawa memang kerajaan Pakatan Harapan tak ada harapan, tak boleh diharap,” katanya ketika berucap semasa berkempen di Kampung Sendayan di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sejak 2004 menegaskan bahawa perpaduan yang wujud antara orang Melayu dan kaum lain boleh menjadi kunci kepada kejayaan negara.


“Sudah terbukti apabila Melayu bersatu, kita boleh mendapatkan kemerdekaan, negara stabil dan kita berjaya memajukan negara. Sebab itu apabila saya mahu satukan orang Melayu adakah kami dianggap rasis? Jangan main sentimen perkauman, semua akan rugi kalau negara terjerumus dalam masalah perkauman yang tak terkawal,” katanya.

Rabu, April 03, 2019

MENANTU FADZIL NOOR DITAHAN TERIMA RASUAH



PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan setiausaha politiknya hari ini.

Dalam kenyataan malam ini, katanya, beliau dimaklumkan mengenai penahanan setiausaha politiknya.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya,” katanya.

Dalam pada itu setiausaha politik Salahuddin direman empat hari bermula hari ini berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000.

Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 47 itu sehingga 5 April ini.

Semalam, suspek tersebut ditahan pada kira-kira 5 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

Selasa, April 02, 2019

MAT HASSAN TAK AMBIL MUDAH PRK RANTAU

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK berkenaan di sebalik dakwaan dirinya dikenali ramai pengundi berbanding saingannya.

Bekas menteri besar tiga penggal itu berkata seperti mana calon lain, beliau juga akan meluangkan tempoh kempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

"Politik ini dinamik bukan statik, saya tak boleh rasa selesa dan tak boleh ambil mudah, saya akan cuba sebaik mungkin jumpa pengundi," katanya pada sidang media hari ketiga kempen PRK berkenaan, di sini hari ini.

Isnin, April 01, 2019

VAS AERO KERJASAMA DENGAN SYARIKAT UKRAINE DI LIMA



LANGKAWI:  Sebuah syarikat Bumiputera tempatan, Vas Aero Malaysia Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat Ukraine, Ukroboronservice untuk mendapatkan tender overhaul of component parts untuk kapalterbang Su-27, Su-30 dan MIG-29 di pameran Lima '19 Selasa lalu.

Majlis menandatangani kerjasama itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan wakil Duta Ukraine, Yevhenia Shynkarenko yang diadakan di booth Vas Aero Sdn Bhd. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Vas Aero, Datuk Nordin Ahmad.

Datuk Nordin ketika ditemui rasa terharu kerana syarikatnya dipilih syarikat antarabangsa untuk menjalin kerjasama tersebut.

"Ia adalah satu kejayaan bagi syarikat Bumiputera untuk sama sama terlibat dalam penyelenggaraan kapalterbang TUDM," katanya.

Ahad, Mac 31, 2019

KEAHLIAN CALON BEBAS AUTOMATIK GUGUR DARI AHLI AMANAH

KOTA BHARU, 30 Mac (Bernama) -- Keanggotaan Mohd Nor Yassin, 67, dalam Parti Amanah Negara (Amanah) gugur secara automatik susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata tindakan Mohd Nor adalah bersifat peribadi dan tidak membabitkan keputusan parti itu.

"Dia dah masuk (bertanding sebagai) calon bebas, dia dah tak jadi ahlilah. Mana-mana anggota parti politik yang ambil tindakan sendiri, keahliannya gugur (secara automatik dan) tidak boleh dikaitkan dengan AMANAH," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Gegar 2019 di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.

Khamis, Mac 28, 2019

KANAK KANAK LIMA TAHUN BERTUAH MASUK KE DALAM KAPAL SELAM

LANGKAWI, 28 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun menjadi antara lima pengunjung bertuah terpilih untuk masuk ke dalam kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) di Resort World Berhad (RWL) hari ini.

Zinedinne Ben Bahar bersama ibunya Nadia Hashim Kamil, 37, serta nenek saudaranya Hanita Haron diberi peluang lebih 30 minit di dalam kapal selam itu dan diberi penerangan mengenai teknologi, cara pengendalian serta kehidupan anggota krew kapal selam tersebut sekali gus menjadi orang awam pertama diberi peluang tersebut.

Hanita memenangi pertandingan swafoto segmen maritim anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu selepas dia menghantar sekeping gambar swafoto bersama Zinedinne dan Nadia semasa mengunjung booth pameran Pasukan Khas Laut (Paskal) semalam.

NPC ANJUR JAMUAN MAKAN MALAM AMAL

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) akan menganjurkan jamuan makan malam amal bagi mengutip dana untuk Tabung Kebajikan Wartawan pada 13 April ini.

Presidennya, Datuk Mokhtar Hussain berkata acara itu bertujuan mengumpul dana untuk membantu wartawan dan keluarga mereka sekiranya berlaku kematian semasa mereka sedang bertugas atau menghidapi penyakit.

“Banyak rakan-rakan kita yang ditimpa masalah namun tidak mendapat perhatian, dengan cara ini kita dapat membantu mereka,

"Sejak tabung ini diwujudkan, kita telah membantu lebih 100 wartawan di seluruh negara tanpa mengira sama ada mereka ahli kelab atau tidak,” katanya kepada Bernama pada majlis penyampaian ikrar sumbangan di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Antara yang menyampaikan ikrar penajaan kepada NPC hari ini ialah wakil-wakil penaja utama jamuan makan malam amal itu iaitu Kumpulan Sunway Berhad, Forest City, Kumpulan UEM Berhad, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat QI sebagai penaja platinum.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan QI, K. Krishna Kumar percaya acara itu adalah satu usaha untuk menghargai sumbangan wartawan dan jurugambar tempatan yang berdepan dengan pelbagai risiko sewaktu menjalankan tugas demi memyebarkan berita dan maklumat kepada masyarakat.

Pada majlis itu, NPC turut menyerahkan sumbangan kepada bekas koresponden New Straits Times (NST) Melaka Jason Gerald, 43, yang kakinya diamputasi baru-baru ini dan wartawan Bernama, Yai Ban King, 48, yang menghidap kanser paru-paru. Sumbangan dana itu diterima oleh wakil masing-masing.

Jamuan makan malam amal itu akan diadakan di Hotel Istana, yang akan turut menampilkan persembahan khas artis rock terkemuka Malaysia Datuk Nash Lefthanded dan pemain gitar, Mankidal.

Pembelian tiket dan tempahan meja boleh dibuat dengan menghubungi pengurus kelab Steven Foo di 019-2458073 atau setiausaha acara Siti Kadtijah Hamid di 019-6900517 atau e-mel nationalpressclub@gmail.com.

-- BERNAMA

Selasa, Mac 26, 2019

MAT SABU MINTA KAYVEAS BANTU PH DI PRK RANTAU

LANGKAWI: Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu meminta bekas Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas membantu calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram di PRK Rantau.

Menurut beliau, Kayveas sebagai pemimpin India yang berpengaruh dapat mempengaruhi pengundi India di dalam DUN Rantau.

"Pengundi India di DUN Rantau sekitar 40 peratus. Maka jika Kayveas datang berkempen maka sedikit sebanyak ia dapat memberi kelebihan kepada PH," katanya ketika bertemu dengan Kayveas di lapangan terbang antarabangsa Langkawi ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang semalam.


Ahad, Mac 24, 2019

SARAWAK NEGERI PERTAMA PERKENALKAN BAS HIDROGEN

KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang akan memperkenalkan bas hidrogen sekali gus menjadi tarikan baharu bagi pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan mempunyai tiga bas yang menggunakan kuasa hidrogen sebagai penggerak selewat-lewatnya pada bulan Mei ini.

“Kami sedia maklum, dua bulan lepas, kami telah mempunyai sebuah bas yang menggunakan kuasa elektrik sebagai tenaga, kalau tidak ada halangan tiga bas kuasa hidrogen pula bakal dinikmati oleh warga Sarawak,” katanya kepada media pada majlis Muda Hashim Garage Sale 4.0 anjuran pemuda N8 Satok di sini malam ini.

Sabtu, Mac 23, 2019

MAT HASSAN KEKAL CALON BN PRK RANTAU

SEREMBAN, 22 Mac (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi tersebut, 13 April ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengumumkan demikian pada majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi PRK DUN Rantau oleh MCA di sebuah dewan di Rantau, dekat sini, malam ini.

"Kita perlu kerjasama jentera pilihan raya yang baik antara UMNO, MCA dan MIC untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK ini," kata Mohamad, yang kini menjalankan tugas-tugas sebagai presiden UMNO.

Jumaat, Mac 22, 2019

RM50,000 DIPERLUKAN UNTUK BAIKI PIANO P RAMLEE

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Projek membaiki piano milik seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih memerlukan dana sebanyak RM50,000 lagi, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.

Beliau berkata projek “Getaran 88 Kekunci Hati” yang dilancarkan pada September 2018, bagi memastikan piano yang berusia kira-kira 60 tahun itu dapat dimainkan semula, telah mengutip sumbangan berjumlah RM25,000 pada peringkat pertama kutipan dana itu.

“Bagaimanapun keadaan piano ini masih belum boleh digunakan sepenuhnya. Bagi memastikan piano ini 100 peratus berada dalam keadaan baik, Arkib Negara memerlukan dana berjumlah RM50,000 lagi,” katanya.

Khamis, Mac 21, 2019

AJK AMANAH TANDING BEBAS DI RANTAU



SEREMBAN 20 Mac - Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui tidak mengetahui khabar angin bahawa seorang ahli Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.



Pengerusi Pakatan Harapan negeri itu berkata, bagaimanapun terpulang kepada individu berkenaan untuk menawarkan diri kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.


“Saya tak dapat maklumat lagi. Kalau betul, dia akan bertanding atas tiket bebas bukan Amanah. Biasalah, dia hendak bertanding kita serahkan kepada dia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas desas-desus bahawa seorang ahli jawatankuasa Amanah Kawasan Rasah akan bertanding dalam PRK DUN Rantau pada 13 April nanti.

Mengulas lanjut, Aminuddin menegaskan, calon yang dipilih oleh PH di Rantau ialah Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram.

“Calon lain itu bukan pilihan parti tetapi calon dia sendiri. Kalau ada yang tidak puas hati dengan calon parti itu perkara biasa, semua orang tak akan puas hati,” tambahnya


Rabu, Mac 20, 2019

DEWAN RAKYAT KECOH KETIKA TERIMA KUNJUNGAN SPEAKER PARLIMEN SINGAPURA

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof berkata rakan sejawatannya dari Singapura Tan Chuan Jin berada pada ‘waktu dan ketika yang tidak kena’ apabila menyaksikan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Ariff bagaimanapun memberi jaminan kepada Speaker Parlimen Singapura dan delegasinya itu bahawa kekecohan itu bukan sesuatu yang berlaku setiap hari semasa sesi persidangan Parlimen Malaysia.

"Saya beri jaminan kepada anda dan delegasi anda, bahawa ia (kekecohan) bukan berlaku setiap hari. Seperti apa yang sering disebut, anda berada “at the wrong place, at the wrong time” semasa di parlimen Malaysia hari ini. Namun ia (kekecohan) menunjukkan kepada anda rencam suasana yang boleh terjadi, yang boleh memberikan masalah kepada speaker,” katanya.

Selasa, Mac 19, 2019

11 DARIPADA 211 PENGHUNI PUSAT TAHFIZ AMAL ANAK YATIM



SUNGAI PETANI, 18 Mac (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menutup sebuah pusat tahfiz amal di sini yang dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang JKM Putrajaya Ahmad Rashid berkata tindakan lak atau mengunci premis itu mengikut Seksyen 16 A Akta Pusat Jagaan 1993.

Katanya seramai 60 anggota penguat kuasa termasuk daripada Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah (JHEIK), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam operasi yang bermula pada 10.30 pagi tadi.

“Premis ini kita dapati telah dikosongkan lebih awal dan memudahkan kita untuk mengunci dan pihak pengusaha akan dibawa ke mahkamah selepas ini untuk pertuduhan.

"Bagaimanapun, kita beri peluang 21 hari untuk mereka kemuka semua dokumen yang membolehkan pusat ini didaftarkan. Jika gagal tindakan undang-undang akan diteruskan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Ahmad berkata pihaknya akan terus memantau pusat-pusat tahfiz di seluruh negara dan tindakan sama akan dikenakan jika mana-mana pusat beroperasi tanpa mendapat perakuan pendaftaran daripada JKM.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata pusat tahfiz amal itu diarahkan ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran selain dipercayai memperguna kanak-kanak untuk mengutip derma.

Dr Ismail juga dilaporkan berkata hanya 11 daripada 211 penghuni pusat itu merupakan anak yatim.

-- BERNAMA

Isnin, Mac 18, 2019

MASJID TERAPUNG TARIKAN TERBAHARU DI BANDAR RAYA KUCHING



KUCHING, 17 Mac (Bernama) -- Masjid Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak, menjadi tarikan terbaharu di bandar raya ini selepas Jambatan Darul Hana.

Masjid, yang bernilai RM21 juta, itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac lepas.

Mampu menampung 1,600 jemaah pada satu-satu masa, selain mempunyai reka bentuk yang menarik ia menjadi simbol keagungan syiar Islam di sini.

Tatkala waktu senja, panaroma sekitar masjid bertambah mengasyikkan apabila ia dilimpahi dengan cahaya keemasan matahari terbenam yang menampakkan lagi seni binanya yang agung.

Di sebelah malam pula, Masjid Terapung yang dibina di atas tapak warisan jalan Kuching itu akan diterangi dengan lampu LED pelbagai warna bagi menaikkan lagi seri dan suasana di tebingan sungai itu.

Penduduk setempat, Nur Apriyani Abdul Razak, 18, berkata beliau terpesona dengan keindahan seni bina masjid itu sekali gus menjadi mercu tanda terbaharu umat Islam di Sarawak.

“Kemudahan tempat untuk berwuduk juga selesa, disediakan di luar dan dalam. Selain itu, kita berasa amat selamat ketika beribadah kerana masjid berkenaan turut disediakan dengan pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui.

Sementara itu, pengunjung dari Selangor, Hafizul Hakimi, 26, berkata beliau tidak menjangka tebingan Sungai Sarawak turut mempunyai Masjid Terapung seperti di Melaka dan Terengganu.

“Sebelum ini, saya hanya tahu mengenai jambatan Darul Hana, sekali berkunjung ke sini rupa-rupanya ada satu lagi mercu tanda terbaharu di Bumi Kenyalang ini.

“Panaromanya sungguh indah, apabila menyusuri tebingan sungai ini dengan Sarawak River Cruise pada waktu senja,” katanya.

Masjid, yang memiliki ciri rekaan dan binaan Timur Tengah, itu turut terbuka kepada orang awam yang bukan beragama Islam bagi memberi peluang melihat sendiri rekaan dalamannya.

Ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Terapung itu baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan masjid tersebut, hasil cetusan idea dari Abdul Taib, selari dengan usaha untuk memperindahkan kawasan tebingan Sungai Sarawak.

“Kami menjangkakan kerja menaik taraf kawasan tebingan ini, yang bermula dari Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung, siap dalam tempoh dua tahun dan seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan Kuching sebagai bandar raya cantik, bersih dan selamat.

“Kedudukannya yang strategik serta bersebelahan Kuching Waterfront telah mengubah landskap setempat, sekali gus berpotensi menjadikannya sebagai ikon terbaharu,” katanya.

-- BERNAMA

Ahad, Mac 17, 2019

JANGAN CEMAS TENGOK PESAWAT TUDM TERBANG RENDAH

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah di sekitar Kedah dan Pulau Pinang sejak semalam.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan hari ini berkata TUDM melaksanakan latihan penerbangan bagi pertunjukkan udara sempena acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan berlangsung bermula 26 sehingga 30 Mac ini di Langkawi, Kedah.

“Latihan terbang itu bagi menjayakan acara ini dijadualkan bermula semalam sehingga ke hari sebenar acara berkenaan yang melibatkan beberapa buah pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter di beberapa ruang udara sekitar Kedah dan Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.