Rabu, Februari 06, 2019

MAKAN BESAR DI RUMAH PUSAKA ATAS LAUT

GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Sudah menjadi kelaziman menjelang malam Tahun Baharu Cina apabila semua anggota keluarga masyarakat Tionghua berkumpul bagi upacara makan besar.

Sama seperti keluarga lain, waris keturunan Chew di Jeti Chew, Pengkalan Weld di sini menjadikan rumah pusaka berusia hampir 60 tahun milik mendiang ibunya yang terletak di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) itu sebagai lokasi wajib untuk semua anggota keluarga berkumpul bagi upacara makan besar setiap tahun.

Anak bongsu daripada empat beradik itu, Chan Hua Hin, 49, berkata sudah menjadi kebiasaan semua anggota keluarga akan berkumpul di rumah mendiang ibunya yang terletak di atas laut itu untuk makan bersama pada malam tahun baharu setiap tahun dan sekali lagi berkumpul keesokan harinya bagi menyambut Tahun Baharu Cina.

Isnin, Februari 04, 2019

BERSATU MUNGKIN LETAK ORANG MUDA DI PRK SEMENYIH





SEMENYIH: Bersatu belum memilih calonnya bagi pilihan raya kecil Semenyih akan datang tetapi Rais Zulkifli dipercayai lebih berpeluang daripada enam nama yang dikemukakan kepada kepimpinan parti.

Sumber dari Bersatu berkata majoriti sayap pemuda parti itu di Hulu Langat menyokong ketua bahagiannya di sana yang berusia 38 tahun itu sebagai calon bertanding keusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu.

Semenyih berada di bawah bahagian Hulu Langat.

“Beliau anak tempatan di Hulu Langat dan orang tempatan mahukan seseorang dari kawasan itu yang memahami dan mampu memahami isu-isu setempat. Ramai orang termasuk dari kalangan sayap pemuda parti menyokongnya.

“Tetapi pada akhirnya, hal ini akan diputuskan kepimpinan parti,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu menjelaskan Rais memenuhi semua ciri-ciri seperti yang digariskan kepimpinan parti.


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan meletakkan calon yang muda, berpendidikan tinggi dan diterima oleh rakyat.

Pada minggu lalu, Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad menyatakan partinya sedang mencari seseorang yang cergas, cerdas dan mesra bersama rakyat.

Pada PRU14, Rais sepatutnya bertanding untuk kerusi DUN Semenyih tetapi beliau memberi laluan kepada Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Bakhtiar merebut kerusi itu daripada BN dalam pertarungan empat penjuru pada 9 Mei. PRK Semenyih diadakan selepas beliau meninggal bulan lalu.

Ketika dihubungi, Rais berkata beliau berharap dapat bertanding, namun akan menghormati apa jua keputusan kepimpinan parti.

“Belum tentu lagi. Saya salah seorang dari enam nama.

“Masing-masing ada kelebihan. Saya tak nak mendahului keputusan atasan. Saya hormati keputusan parti. Setakat ini kita hantar enam nama," katanya.

Rais tidak mendedahkan nama lain yang dikemukakan kepada kepimpinan.

Bagaimanapun sumber memberitahu, senarai nama calon termasuk Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Ulya Husamudin dan Faiz Na'aman, serta anggota Exco Pemuda Bersatu Selangor, Roszamri Bahari.

Rais berkata beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai aktivis untuk Deklarasi Rakyat, suatu pergerakan yang tidak berdaftar sebelum penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Kita minta pada Tun (Dr Mahathir) untuk tubuhkan parti atau NGO. Saya join Bersatu ketika mula ditubuhkan pada 2016 saya terus mendaftar. Saya pengasas Bersatu Hulu Langat.

“Masa saya jadi ketua pendaftar (ketika itu pada 2016 tidak wujud lagi organisasi bahagian) itu, Hulu Langat ini dapat ranking kedua tertinggi keahlian di Selangor.

“Tiada siapa yang suruh memberi laluan kepada Allahyarham Bakhtiar. Cuma saya lihat pada dia sebagai ketua bahagian, banyak berkorban dari segi kewangan, masa. Kemudian saya tengok usia dan kekuatan dia. Sebab PRU14 saya nampak peluang dia lebih cerah,” kata Rais yang kemudiannya dilantik menjadi pengerusi pilihan raya bagi kawasan Dusun Tua pda PRU14 lalu.

Ahad, Februari 03, 2019

KEADAAN POLITIK DI SEMENYIH TAK SAMA DI CAMERON HIGHLANDS

TANJONG KARANG, 2 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berharap kerjasama yang kini terjalin antara UMNO dan PAS akan membawa kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

"Kita harap kerjasama PAS dan UMNO pada PRK itu kelak dapat menolak calon Parti Pribumi Bersatu Maalysia (Bersatu) bagi menunjukkan referendum rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, walaupun ini merupakan PRK pertama calon kedua-dua parti berkenaan bertembung, namun pihaknya menerima hakikat keadaan politik di Selangor adalah berbeza berbanding PRK di Cameron Highlands baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan calon BN.

Sabtu, Februari 02, 2019

TIDAK MUSTAHIL KERAJAAN PH TUMBANG JIKA PEMIMPIN EGO

SHAH ALAM, 1 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak berasa selesa dan ego serta perlu mengambil iktibar atas kejatuhan kerajaan terdahulu jika tidak mahu mengalami nasib yang serupa.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata adalah tidak mustahil kerajaan PH yang menguasai Putrajaya dan beberapa negeri lain akan tumbang jika pemimpinnya enggan menerima teguran.

"Sejarah boleh berulang jika pemimpin kita mula berkeras dan tidak mendengar teguran rakyat, sejarah selalu berulang dan ia tidak mustahil berlaku.

Jumaat, Februari 01, 2019

CALON PRK SEMENYIH KENA SAMA KAEDAH DENGAN CALON CAMERON HIGHLANDS

MARANG, 27 Jan (Bernama) – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Mac diharap akan menggunakan kaedah yang sama seperti di Cameron Highlands, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, BN yang telah diberi tanggungjawab itu juga disaran mempertaruhkan calon yang mempunyai ketokohan sendiri dan mestilah anak tempatan kerana diyakini dua faktor itu mampu memberi kemenangan kepada BN dalam PRK tersebut.

"Pemilihan calon untuk PRK Semenyih belum ditentukan lagi setakat ini, dan perkara itu kita serahkan kepada BN untuk menentukan calon mereka. Ciri-ciri calon yang akan diketengahkan mestilah mengambil kira kemenangan BN di PRK Cameron Highlands semalam iaitu mengambil kira ketokohan dan mestilah anak tempatan.

Ahad, Januari 27, 2019

PAHANG KEKAL KUBU KUAT BN



TANAH RATA, 26 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Mohd Nor, memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 3,238 undi.



Beliau meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.



Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di pada jam 8.35 malam ini di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini.



BN mengekalkan penguasaannya di kerusi Parlimen Cameron Highlands buat kali penggal kelima berturut-turut sejak 2004 menerusi calon MIC.



PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytharkan kemenangan Datuk C. Sivaraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

-- BERNAMA

Selasa, Disember 25, 2018

AHLI KELAB ALUMNI KARANGKRAF (KAK) BERMUKIM DI KUALA SELANGOR



KUALA SELANGOR: Saya ucapkan tahniah kepada Kelab Alumni Karangkraf (KAK) kerana berjaya mengadakan perjumpaan ahli-ahli KAK di sebuah resort di sini malam tadi.

Perjumpaan dua hari itu bermula semalam di mana seramai 70 orang check in di resort tersebut pada pukul 2.30 petang. Pada malamnya mereka menikmati makan malam sambil mendengar ucapan ahli lembaga pengarah Kumpulan Karangkraf, Nasir Hamzah. Selepas itu mereka terhibur dengan persembahan karaoke ahli-ahli KAK.

Pagi ini mereka terlibat dalam sukaneka sebelum check out pada pukul 1 tengahari nanti. Tahniah kepada Rodly Dadly selaku Presiden KAK yang berjaya mengadakan majlis tersebut. Saya minta maaf kerana saya tak dapat hadiri majlis ini bersama Rahim Tahir di atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.Insya Allah saya akan hadir pada masa akan datang.

Isnin, Disember 24, 2018

DAIM BIMBANG PENGUNDI MUNGKIN TOLAK PH JIKA GAGAL TUNAIKAN JANJI



HULU SELANGOR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti mengulangi naratif tentang hutang negara dan mula menumpukan untuk menunaikan janji manifesto pilihan raya, kata Daim Zainuddin.

Bercakap kepada pemberita hari ini, bekas menteri kewangan itu berkata sesiapa saja akan jemu sekiranya mendengar tentang masalah yang dihadapi oleh kerajaan setiap hari.

Beliau juga mengingatkan PH bahawa pengundi mungkin menolak mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya gagal menunaikan janji kepada rakyat.

"Rakyat tak nak dengar pasal hutang, itu cerita lama. Tapi kerajaan perlu perbetulkan, itu soal pengurusan.

"Kalau kerajaan kata ada hutang, itu soal kerajaan (yang perlu diselesaikan). Kerajaan kena bayar. Rakyat hanya tahu harga mesti turun, pendapatan mesti meningkat. Ini tanggungjawab kerajaan," kata Daim ketika ditemui pada program bersama penduduk Felda di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor hari ini.

Daim, yang merupakan kenalan rapat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan, berkata, kini sudah tiba masanya PH menunaikan janji manifesto pilihan raya.

Katanya, manifesto itu merupakan sesuatu yang boleh dilaksanakan, namun ia memerlukan tumpuan kerajaan.

"Boleh buat bukan tak boleh buat. Tumpukan perhatian pada manifesto ini. Mungkin perlu sedikit masa tapi perhatian perlu diberikan.

"Menteri mesti selesaikan masalah. Semua tahu masalah, tapi kalau mahu cerita hari-hari kita pun jemu," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada program itu, Daim menyebutkan bahawa kerajaan PH perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

Sekiranya tidak, katanya, pembangkang akan menjuarai isu berkenaan.

Diminta mengulas lanjut, Daim berkata rakyat mungkin akan menolak PH sekiranya gabungan itu gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya.




"Mungkin. Jika tak tunai janji, mungkin (rakyat) tukar (kerajaan). Rakyat berhak tukar," katanya

Sabtu, Disember 22, 2018

TUJUH PEMIMPIN PKR HALANG ANWAR JADI PM KE LAPAN?

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berdepan zon 'kritikal' untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke-8.

Ini adalah kerana beberapa pemimpin parti sama ada di dalam PKR mahupun BERSATU kedua mereka berusaha keras menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Menurut sumber dalaman PKR, tidak kurang enam ataupun tujuh pemimpin parti berkenaan sedang berusaha dengan pelbagai cara menghalang Ahli Parlimen Port Dickson itu mengetuai kerajaan.

"Bukan sahaja orang PKR yang tidak mahukan DSAI jadi Perdana Menteri malahan orang (pemimpin) BERSATU juga sama," katanya.

Pemimpin yang enggan namanya disiarkan berkata beliau amat mengetahui perkara ini dan sedang memerhati pergerakan mereka sebelum buat keputusan untuk menasihati Anwar supaya lakukan sesuatu.

Oleh kerana itu beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha sedaya mungkin supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sepertimana dijanjikan iaitu dua tahun sahaja jadi Perdana Menteri.

Beliau menegaskan sekiranya Mahathir memungkiri janjinya sepertimana selalu beliau lafazkan dalam setiap majlis, yang rugi nanti bukan Mahathir ataupun Anwar, sebaliknya orang-orang Melayulah yang akan kerugiaan.

"Sebab apa saya kata begitu sebab politik orang kita ini tidak pernah habis.

"Percakaran sesama anggota parti akan berterusan sebab masing-masing tak puas hati apabila calon mereka tak dapat jadi pemimpin.

"Akhirnya nanti pemimpin yang tak dapat jawatan ini akan terus berpolitik demi mencatur masa depan tanpa memperduli nasib masa depan rakyat," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis bahawa Dr Mahathir akan mengotakan janji yang dibuatnya dulu apabila tiba masanya nanti.

"Di sini saya ingin merayu kepada semua pihak terutama sekali orang PKR supaya tidak membuat andaian yang bukan-bukan mengenai peralihan kuasa ini.

"Sebaliknya kita semua harus bersabar dan pada masa sama membuat pelbagai rancangan ataupun program yang boleh disertai oleh Mahathir dan Anwar," katanya.

Beliau yakin sekiranya program itu nanti boleh "menyedarkan" Tun M sehinggakan beliau terbuka hati menyerahkan jawatan kepada Anwar, itu lebih baik daripada berkata perkara yang belum tentu kebenarannya.

"Saya bagi contoh tayangan video yang memaparkan kisah anak-anak muda yang tidak dapat sesuatu akibat pergolakan dalam parti, antara cara yang boleh difikirkan sekiranya kita semua mahukan peralihan kuasa akan berjalan secara teratur," katanya.

Beliau percaya sedikit sebanyak Dr. Mahathir yang hadir dalam majlis itu nanti akan terfikir bahawa belia yang selama ini dipanggil pewaris negara akan ketinggalan dalam pelbagai perkara disebabkan perebutan kuasa.

ADAKAH MAT HASSAN AKAN DAPAT SOKONGAN PENUH?



 oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Jika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan ambil alih jawatan Presiden parti, adakah ahli-ahli UMNO menyokong beliau.

Andai kata ahli UMNO pada keseluruhannya tidak memberi sokongan penuh kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, lebih baik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Demikian diberitahu oleh Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Beliau memberikan kata-kata itu ketika bertemu dengan Zahid Hamidi minggu lepas.

Dalam pertemuan berlangsung di ibu pejabat parti di sini, Ahmad Zahid memberitahu Nik Dir bahawa tidak ada gunanya beliau menyerahkan jawatan kepada timbalannya sekiranya seluruh ahli UMNO tidak bersetuju terhadap Mohamad.

"Datuk Zahid beritahu saya sekiranya Mat Hassan disokong penuh oleh ahli UMNO semua peringkat beliau sedia berbuat demikian.

"Jika sekiranya apa yang hadapi sekarang sama sahaja bakal diterima oleh Datuk Mat Hassan, adalah baik beliau mengekalkan jawatan.

"Kerana apa sebab beliau dipilih oleh ahli melalui perhimpunan parti. Jadi beliau berpendapat adalah baik menyerahkan kepada parti dan bukan mendengar bekas pemimpin untuk untuk meletakkan jawatan, " ujar Nik Dir.

Dalam pertemu itu, Nik Dir ditemani beberapa rakan untuk bertanyakan khabar terhadap Ahmad Zahid.

Selain beliau bertanyakan khabar, Nik Dir juga memberikan pandangan dan pendapat beliau mengenai desakan beberapa pihak supaya meletakkan jawatan.

"Walaupun dapat berjumpa selama 15 minit banyak perkara kami bincangkan,"katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO menggesa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melepaskan jawatan Presiden UMNO.

Antara mereka ialah Datuk Hamzah Zainuddin. Selain Hamzah, Datuk Fasiah Mohd. Fakeh dan Datuk Rosol Wahid turut menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatan.

Hamzah yang mengetuai pada sidang media itu mahukan Ahmad Zahid segera mengosongkan kerusi atas alasan bekas timbalan perdana menteri itu tidak ada hala tuju untuk menerajui parti.

Kata Ahli Parlimen Larut itu lagi, Ahmad Zahid sedang menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah dan perlu memberikan tumpuan terhadap masalah tersebut.

Nik Dir menegaskan bahawa Hamzah tidak ada hak untuk berbuat demikian kerana beliau bukan lagi menjadi ahli UMNO selepas mengambil keputusan meninggalkan parti ini.

"Bagi saya soal UMNO biarlah orang parti ini yang uruskan. Beliau tak perlu sibuk-sibuk tentang parti ini sebab dah buat keputusan keluar," katanya.

Hamzah kata Nik Dir ibarat wakil rakyat yang tidak tahu mengenang budi dan sanggup melupakan jasa parti yang telah banyak memberi kemewahan kepada beliau.

"Apabila UMNO sudah hilang kuasa, tanpa segan silu kata macam-macam tentang parti. Tak ada yang baik tetang parti hanya yang buruk sahaja dicakapnya," katanya.

Nik Dir juga menegaskan sebahagian besar pemimpin UMNO di Sabah sudah tertipu oleh bekas Pengerusi UMNO negeri itu.

"Kebanyakkan ketua UMNO di Sabah tidak tahu apa tujuan Datuk Hajiji Noor suruh datang berjumpa beliau.

"Mereka ingat Hajiji mahu beritahu sesuatu tentang parti. Ruoa-rupanya sidang media itu untuk maklum bahawa kesemua yang hadir pada hari itu keluar UMNO.

"Saya dapat tahu bahawa Datuk Jainab iaitu Ketua Wanita Sabah tak tahu kenapa beliau dibabitkan dalam perkara ini. Beliau ingat ini sidang media biasa bukan pasal umum ketua bahagian Sabah keluar parti," ujar beliau.

Nik Dir berkata taktik dilakukan oleh bekas orang nombor satu parti UMNO Sabah itu ibarat orang terdesak dan cuba mengelirukan ahli parti yang sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan Pusat.

"Mereka sedar ramai ahli UMNO Sabah sayangkan parti ini. Oleh kerana mahu menidakkan kesetiaan orang UMNO Sabah terhadap parti tidak boleh dijual beli, mereka buat sidang media umum keluar parti, " jelas beliau.

Mengenai cakap-cakap banyak pihak bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerajaan lima tahun,
Nik Dir enggan mengulas.

Sebaliknya beliau meminta semua pihak supaya melihat dengan hati dan perasaan bagaimana kerajaan sekarang bekerja untuk rakyat.

"Setelah hampir lapan bulan memerintah, rakyat dapat menilai. Biarlah rakyat yang menjawab soalan yang mengatakan kerajaan sekarang kerajaan lima tahun," katanya.



Jumaat, Disember 21, 2018

GADIS 16 TAHUN BOLEH NIKAH DI TERENGGANU



KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Had umur minimum untuk berkahwin bagi orang Islam di Terengganu kekal pada 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata bagaimanapun pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya memberi kelulusan kepada permohonan untuk perkahwinan di bawah umur kecuali atas tiga faktor iaitu perempuan tersebut telah melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut telah terlanjur.

Beliau berkata pihaknya hanya menerima 444 permohonan untuk perkahwinan di bawah umur sejak 2013 hingga 2018 dan daripada jumlah itu, 397 permohonan diluluskan.

"Kelulusan diberi hanya untuk permohonan berdasarkan tiga faktor ini kerana ia mempunyai kesan kepada anak yang dikandung atau dilahirkan itu dari segi pewarisan harta, wali dan faraid. Selain itu, kita tidak terima apa juga alasan mereka walaupun kad jemputan kahwin telah diedarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak, Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu kali kedua 2018 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim di sini hari ini.

Mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, 444 permohonan untuk berkahwin bawah umur itu melibatkan seramai 522 kanak-kanak iaitu 155 pemohon berumur 17 tahun, 40 orang (16 tahun), 277 orang (15 tahun), 40 orang (14 tahun) dan 10 orang (13 tahun).

Wan Mohd Zakri berkata antara alasan yang sering diberi untuk permohonan perkahwinan bawah umur ini ialah suka sama suka, ingin berkahwin, meringankan beban keluarga dan mengelak maksiat.

"Daripada 444 permohonan itu, sebanyak 405 permohonan melibatkan seorang pemohon bawah umur (kebiasaannya perempuan) manakala 39 kes lagi melibatkan kedua-dua pemohon bawah umur.

"Di Terengganu, permohonan untuk perkahwinan bawah umur semakin menurun setiap tahun dan tidak membimbangkan. Adalah lebih baik mereka berkahwin pada usia yang selayaknya kecuali atas sebab tiga faktor tadi," katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Disember 20, 2018

ZAMAN RAHIM SUDAH BERLALU MAKA BERSATU PATUT TOLAK KEAHLIAN RAHIM



KUALA LUMPUR: Bagaimana Pakatan Harapan (PH) mahu bekerjasama dengan Abdul Rahim Thamby Chik yang meski pun belum diterima keanggotaannya ke dalam Bersatu tetapi telah mengancam ahli gabungan itu, soal Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Ramkarpal mengulas kenyataan bekas ketua menteri Melaka itu yang mempertimbangkan untuk menyaman MP Kota Melaka Khoo Poay Tiong kerana mendakwa Rahim seorang pemimpin yang terpalit dengan skandal dan menggesa Bersatu menolak permohonannya.

"Rahim Thamby Chik patut berfikir dua kali sebelum mengancam untuk menyaman wakil rakyat PH kerana menyuarakan kebimbangan mengenai permohonannya ke dalam Pakatan Harapan.

"Rahim tidak perlu mengancam untuk menyaman MP Kota Melaka Khoo Poay Tiong kerana ia dapat dilihat sebagai usaha untuk menghentikan kritikan mengenai bekas pemimpin Umno menyertai PH.

"Belum diterima masuk PH, beliau sudah mengancam ahlinya. Bagaimana mahu bekerja dengan orang seperti ini?" Soal beliau dalam suatu kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Rahim mengumumkan beliau keluar Umno dan menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat maklum balas ramai pihak yang tidak senang dengan perkembangan tersebut..

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata permohonan mereka yang berminat menjadi ahli parti, termasuk Rahim tertakhluk kepada proses tapisan yang ketat, melibatkan kerjasama polis dan SPRM.

Rahim, yang menjadi ketua menteri Melaka selama 12 tahun, disiasat bagi dakwaan rogol berstatutori terhadap seorang individu bawah umur pada 1994. Kes itu kemudian digugurkan kerana kekurangan bukti.

Lim Guan Eng - anggota parlimen Kota Melaka pada masa itu - dipenjara selama 18 bulan bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948 kerana mempersoalkan apa yang didakwanya sebagai "tiada tindakan".




Rahim yang bekas ketua pemuda Umno memfailkan saman terhadap DAP atas tuduhan rogol berstatutori itu. Parti itu kemudian menarik balik dakwaan itu selepas mengambil kira pihak yang membuat tuduhan telah menarik balik dakwaannya.

Rahim kemudian membatalkan saman terhadap DAP. Di sebalik tuduhan itu, Rahim tidak pernah disabitkan.

Beliau juga sebahagian daripada 'trio Datuk' yang menayangkan video seks terhadap sekumpulan wartawan pada 2011.

Mereka mendakwa video itu memaparkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama seorang pelacur. Anwar menafikan dakwaan itu.

Ulasan saya, Zaman Rahim Thamby Chik sudah berlalu. Maka Bersatu tak perlu layan permohonan Rahim untuk menyertai Parti Bersatu. Lagipun apa guna Rahim diterima menjadi ahli jika keputusan itu merenggangkan hubungan Bersatu dengan PKR dan DAP.

Orang PKR marah, orang DAP marah. Maka tak perlulah Dr Mahathir layan Rahim lagi. Apa untungnya Rahim masuk Bersatu? Dapatkah beliau menarik ahli Umno menyertai bersatu jika beliau berada dalam Bersatu?

Cukuplah Bersatu menyinggung perasaan bakal PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dahulu Dr Mahathir melantik orang yang memukul Anwar sebagai orang tengah dalam menyelesaikan krisis Selatan Thailand. Kini Bersatu nak terima Rahim pula yang juga terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Anwar sebagai TPM dahulu. Malah Lim Guan  Eng pun dipenjara kerana membela gadis bawah umur yang terlibat dalam skandal sex bekas Ketua Menteri Melaka.

Dr Mahathir berkata Bersatu akan tapis permohonan bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu. Maka jika kemasukan Rahim tidak menguntungkan Bersatu maka Bersatu tak payahlah terima permohonan Rahim.

 Lebih baik Rahim pergi ke masjid setiap petang bertaubat mengisi masa lapangnya sebelum mengadap Allah. Cukuplah Rahim aktif dalam politik kerana zaman beliau sudah berlalu. Bukannya beliau ada pengaruh lagi malah beliau tak pernah menang pun tanding jawatan naib presiden Umno.

Selasa, Disember 18, 2018

MUHAMMAD ADIB: PERGINYA WIRA NEGARA

ALOR SETAR, 18 Dis ( Bernama) -- “Muhammad Adib perlu dikenang sebagai wira negara”.

Itu pandangan Kasim Md Isa, bapa saudara anggota Bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, ketika ditemui di rumah ibu bapa Allahyarham di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Kasim, 61, menjelaskan, anggota keluarga sangat kecewa dengan kejadian yang menimpa Muhammad Adib kerana dia dibelasah ketika menjalankan tugas untuk memadamkan kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, dalam kejadian rusuhan pada 27 Nov lalu.

"Kami reda dengan pemergian Alalhyarham yang kami anggap wira kami dan wira negara. Saya harap pihak polis menggiatkan lagi siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Berikutan kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu, majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 Dis ini dibatalkan, kata Kasim.

"Dia sempat balik rumah bercuti lima hari membuat persiapan kenduri sebelum kembali bertugas semula. Hari pertama balik bertugas, dia dibelasah… kami sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung dan saudara-mara memenuhi pekarangan rumah anggota keluarga anggota bomba itu sejak 7 pagi tadi.

Muhammad Adib yang parah setelah dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada pukul 9.41 malam tadi.

Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah di sini, selepas solat Zuhur.

-- BERNAMA

LEBIH BAIK NURUL TAK PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN PKR BULAN LEPAS

KOTA BHARU, 17 Dis (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan mahu anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Pengerusi PKR Kelantan Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata rata-rata cabang parti di negeri itu mahu Nurul Izzah kekal sebagai Naib Presiden.

"Saya sudah menghubungi ketua-ketua cabang dan mereka memberikan mandat kepada saya untuk memohon kepada beliau (Nurul Izzah) menarik keputusannya meletakkan jawatan.

"Secara khususnya parti baik peringkat negeri mahupun pusat memerlukan khidmat kepimpinan muda seperti Nurul Izzah," katanya dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nurul Izzah hari ini membuat pengumuman mengejutkan apabila meletak jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Mohd Supardi berkata Nurul Izzah disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai kesungguhan memperjuangkan parti dan rakyat.

"Dia seorang pemimpin yang sudah lama berjuang untuk parti selain seorang yang berjiwa besar dalam pembentukan parti PKR," katanya.

Sementara itu, berhubung dengan pelantikan beliau sebagai pengerusi PKR Kelantan Mohd Supardi memohon cabang-cabang parti di negeri ini mempertingkatkan jumlah keanggotaan parti terutamanya golongan muda.

"Golongan muda penting kerana gologan ini akan menentukan sama ada menang atau kalah parti selain kekuatan golongan lama.

"Paling penting kita perlu ada istiqamah untuk berjuang dan bergerak dari sekarang untuk menawan Kelantan," katanya.

Ulasan saya, Nurul boleh letak jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang kerana tak mahu dituduh adanya amalan nepotisme dalam PKR seperti didakwa Lateefa Koya. Jawatan itu dilantik oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ayahnya. Tetapi jawatan Naib Presiden PKR tak patut dilepaskannya kerana ia dipilih oleh para perwakilan.

Kalau beliau tak nak jawatan Naib Presiden PKR, lebih baik beliau jangan pertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan PKR bulan lepas. Perletakan jawatan naib presiden PKR seolah-olah Nurul tidak menghargai para perwakilan yang memilihnya mengisi jawatan tersebut.

Nurul boleh buat come back selepas ayahnya bersara dari politik, tetapi meninggalkan jawatan parti sewaktu sekarang mungkin menimbulkan kemarahan para perwakilan yang telah ditipu Nurul. Perwakilan sanggup undinya tetapi bila dah menang Nurul pula lepaskan tanggungjawabgnya sebagai naib presiden PKR.

Isnin, Disember 17, 2018

WARISAN YAKIN MAHATHIR TIDAK MUNGKIR JANJI

PENAMPANG, 16 Dis (Bernama) -- Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus berpegang kepada janji untuk tidak melebarkan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah seperti dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan presidennya, Datuk Darell Leiking juga yakin dan percaya presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil pendekatan sama, sekali gus menghormati persefahaman itu meskipun ia dibuat tanpa hitam putih.

Dr Mahathir merupakan pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, persefahaman tu kekal menjadi asas hubungan baik antara Warisan dan Bersatu.

“Saya ingin menegaskan bahawa Warisan ada persefahaman dengan Bersatu meskpun ia secara tidak bertulis tetapi perkara itu telah disuarakan oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin sebelum pilihan raya lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Darell, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menghadiri majlis sambutan Hari Krismas anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas usul khas untuk membawa masuk Bersatu ke Sabah yang diluluskan pada Persidangan Agung Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) hari ini.

Mengulas lanjut, Darell mengakui sesiapa sahaja mempunyai hak bersuara untuk membawa Bersatu ke Sabah.

Bagaimanapun, katanya, usaha pemimpin pembangkang di negeri ini hanya mahu mempengaruhi Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk melanggar persefahaman dicapai dengan Warisan sebelum ini.

-- BERNAMA

Sabtu, Disember 15, 2018

KENAPA DAP TAKUT AHLI PARLIMEN UMNO MASUK BERSATU?

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya menerima bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meskipun ia dilihat kurang disenangi oleh rakan parti komponen Pakatan Harapan.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu, berkata permohonan mereka itu bagaimanapun dinilai terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

"Orang UMNO ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima la. Saya sendiri ahli UMNO.

"Dia orang terima saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang terima saya," katanya kepada wartawan selepas menghadiri sambutan 20 tahun Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin UMNO yang telah keluar parti dalam minggu ini.

Rabu lepas, lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua Senator UMNO Sabah telah mengisytiharkan keluar parti itu.

Hari ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam lagi Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu, iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Ditanya mengenai keputusan beliau itu yang dilihat kurang disenangi PKR dan DAP, Dr Mahathir berkata terdapat juga pihak pihak dalam Bersatu yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut, namun beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang 'personal'.

Tegasnya anggota Parlimen dan ADUN daripada UMNO yang ingin menyertai Bersatu mesti memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya ini termasuk keluar daripada parti sekarang dan menjadi wakil rakyat Bebas selain menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

"Selepas itu, kami akan menilai setiap individu, baru boleh masuk," katanya.

Beliau berkata mereka yang mahu menyertai Bersatu juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata setiausaha politiknya Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masih lagi berkhidmat memandangkan beliau belum lagi didapati bersalah.

Muhammad Zahid dikaitkan dalam sembilan daripada 10 pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap Mohd Isa, dinamakan sebagai orang tengah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Mohd Isa hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

-- BERNAMA

Jumaat, Disember 14, 2018

BERSATU BELUM BUAT KEPUTUSAN UNTUK KUTIP "SAMPAH" SABAH

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan muktamad sama ada mahu menerima atau menolak bekas pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti semalam.

Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Arif berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan parti prokerajaan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sebelum mengumumkan sebarang keputusan.

“Kita bagi sedikit waktu untuk pucuk pimpinan membuat keputusan, ada lagi beberapa fasa yang perlu kita lihat, kita akan maklum sejurus keputusan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan UMNO negeri Sabah termasuk pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Ditanya mengenai pandangan beberapa pemimpin PH yang tidak bersetuju dengan langkah mengambil bekas pemimpin UMNO ke dalam Bersatu, Rais berkata beliau menghormati pandangan tersebut.

“PH raikan diversiti dalam memberikan pandangan, ini demokrasi. Kami raikan perbezaan ini, akhirnya sebarang keputusan yang kita ambil adalah bagi menguatkan lagi PH,” katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Disember 13, 2018

LANGSKAP POLITIK MALAYSIA BERUBAH PUNCA KAMI TINGGALKAN UMNO

KOTA KINABALU, 12 Dis (Bernama) -- Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata beliau dan rakan seperjuangan hari ini mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO bagi membolehkan mereka dan kerajaan negeri dan persekutuan pada masa ini untuk menumpukan pertumbuhan dan pembangunan Sabah di masa hadapan.

Salleh yang juga bekas timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO Sabah dan bendahari UMNO berkata untuk kepentingan pertumbuhan dan pembangunan berterusan di negeri ini, Sabah perlu membina hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini adalah keutamaan kerana banyak perlu dibuat dan dengan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia, fokus menjadi lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang mengisytiharkan peletakan jawatannya daripada UMNO bersama kesemua jawatankuasa perhubungan dan hampir kesemua ketua bahagian.

Menurut Salleh kebanyakan mereka menyertai UMNO sewaktu ia mula datang ke Sabah dalam tahun 1991 supaya negeri ini tidak terasing dari Putrajaya dan ketinggalan sementara negeri-negeri lain melangkah ke depan dan membangun.

Bagaimanapun, beliau berkata Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas telah mengubah keseluruhan landskap politik Malaysia apabila Barisan Nasional yang diterajui UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan dan UMNO Sabah tidak lagi boleh mempengaruhi Putrajaya seperti dahulu.

“Mengambil kira realiti politik baharu, saya dan rakan seperjuangan mengambil keputusan meninggalkan UMNO supaya kami boleh menumpukan kepada masa hadapan Sabah dan memastikan pertumbuhan dan pembangunan Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

Rabu, Disember 12, 2018

RM24 BILION TANGGUNG 824,235 ORANG PENERIMA PENCEN

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Penstrukturan semula skim pencen penjawat awam hanya akan melibatkan pegawai lantikan baharu dan bukan penerima pencen sedia ada, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata kerajaan memberi jaminan segala bentuk penstrukturan dan kajian terhadap faedah persaraan dan skim pencen penjawat awam tidak akan memberi kesan kepada faedah persaraan dan kemudahan sedia ada walaupun kerajaan mengalami kekangan kewangan.

"Sehingga Oktober 2018, kerajaan menanggung seramai 824,235 penerima pencen dengan jumlah tanggungan dari Januari hingga Oktober 2018 adalah RM24 bilion.

"Sekiranya penstrukturan skim pencen dilaksanakan, ia hanya akan melibatkan pegawai lantikan baharu sahaja dan tidak melibatkan penjawat awam yang telah menerima pencen serta tidak akan menjejaskan segala kemudahan dan faedah yang mereka nikmati selama ini," katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menstrukturkan semula skim pencen penjawat awam.

Dr Md Farid berkata pada masa sekarang kajian penstrukturan belum dimuktamadkan namun kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan untuk mencari formula terbaik dalam menangani perkara dengan memastikan kebajikan penjawat awam terus dipelihara.

Bagi menjawab soalan tambahan Jamilah berhubung jangkaan tempoh kajian, beliau berkata kerajaan sedang menjalankan kajian bagi memperkasakan perkhidmatan awam yang penstrukturan semula skim pencen penjawat awam turut dijalankan secara bersekali dengan kajian tersebut dan dijangka mengambil masa dua tahun bermula 2019.

-- BERNAMA

Selasa, Disember 11, 2018

SAYA ORANG MISKIN KATA MOHAMADDIN KETAPI

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang aset untuk diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah menurutnya beliau orang miskin yang tidak mempunyai aset lain selain pendapatan bulanannya sebagai seorang menteri.

“Mana ada (aset lain) saya dah bagi semua. Apa nak saya isytiharkan kalau tidak ada harta. Saya tiada harta, saya orang miskin.

“Jika pada masa depan saya ada harta saya akan isytiharkan, tetapi buat masa sekarang saya tiada apa hendak diisytiharkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas paparan di Portal Pengisytiharan Harta SPRM yang menunjukkan namanya antara beberapa anggota Parlimen yang hanya mengisytiharkan pendapatan bulanan, bukan jumlah aset mereka.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata 13 anggota Parlimen kerajaan masih belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

-- BERNAMA