Selasa, Disember 18, 2018

LEBIH BAIK NURUL TAK PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN PKR BULAN LEPAS

KOTA BHARU, 17 Dis (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan mahu anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Pengerusi PKR Kelantan Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata rata-rata cabang parti di negeri itu mahu Nurul Izzah kekal sebagai Naib Presiden.

"Saya sudah menghubungi ketua-ketua cabang dan mereka memberikan mandat kepada saya untuk memohon kepada beliau (Nurul Izzah) menarik keputusannya meletakkan jawatan.

"Secara khususnya parti baik peringkat negeri mahupun pusat memerlukan khidmat kepimpinan muda seperti Nurul Izzah," katanya dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nurul Izzah hari ini membuat pengumuman mengejutkan apabila meletak jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Mohd Supardi berkata Nurul Izzah disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai kesungguhan memperjuangkan parti dan rakyat.

"Dia seorang pemimpin yang sudah lama berjuang untuk parti selain seorang yang berjiwa besar dalam pembentukan parti PKR," katanya.

Sementara itu, berhubung dengan pelantikan beliau sebagai pengerusi PKR Kelantan Mohd Supardi memohon cabang-cabang parti di negeri ini mempertingkatkan jumlah keanggotaan parti terutamanya golongan muda.

"Golongan muda penting kerana gologan ini akan menentukan sama ada menang atau kalah parti selain kekuatan golongan lama.

"Paling penting kita perlu ada istiqamah untuk berjuang dan bergerak dari sekarang untuk menawan Kelantan," katanya.

Ulasan saya, Nurul boleh letak jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang kerana tak mahu dituduh adanya amalan nepotisme dalam PKR seperti didakwa Lateefa Koya. Jawatan itu dilantik oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ayahnya. Tetapi jawatan Naib Presiden PKR tak patut dilepaskannya kerana ia dipilih oleh para perwakilan.

Kalau beliau tak nak jawatan Naib Presiden PKR, lebih baik beliau jangan pertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan PKR bulan lepas. Perletakan jawatan naib presiden PKR seolah-olah Nurul tidak menghargai para perwakilan yang memilihnya mengisi jawatan tersebut.

Nurul boleh buat come back selepas ayahnya bersara dari politik, tetapi meninggalkan jawatan parti sewaktu sekarang mungkin menimbulkan kemarahan para perwakilan yang telah ditipu Nurul. Perwakilan sanggup undinya tetapi bila dah menang Nurul pula lepaskan tanggungjawabgnya sebagai naib presiden PKR.