Jumaat, September 11, 2015

KENYATAAN AZMIN BUKTI PARTI AMANAH NEGARA TIADA PENGARUH

Timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali semalam menegaskan sekali lagi, kenyataannya yang menyokong penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat yang baharu bukan merupakan pandangan peribadinya.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam, menteri besar Selangor itu berkata, kenyataan itu berdasarkan pendirian yang diambil parti secara kolektif.
"Guan Eng sahabat lama kita. Dan DAP bersama dengan PKR dalam melakukan perubahan dalam negara. Sudah tentulah sumbangan DAP bagi kita merupakan penting dalam membawa perubahan.
"Apa yang dijelaskan ialah, kenyataan itu bukan kenyataan peribadi saya. Itu pendirian parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program "Beyond 3R: A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management" di Shah Alam semalam.
Kelmarin, Lim menuntut Azmin menjelaskan kepada penyokong parti pembangkang mengapa pihaknya memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS walaupun ia tidak dipersetujui DAP yang merupakan sekutu mereka.
Beliau juga tidak bercadang berjumpa dengan mana-mana pimpinan DAP kerana menyerang kenyataannya itu.
"Saya menerima baik dan menerimanya dengan hati terbuka. Saya terimanya dan kami adalah rakan seperjuangan. Kami sudah bersama selama bertahun-tahun.
"Menjadi rakan seperjuangan dalam membantu melakukan perubahan kepada rakyat dan sistem. Guan Eng umpama adik-beradik saya dan kami boleh bekerjasama," katanya.
Katanya, perkara itu juga sudah dijelaskan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang.
Beliau juga berharap agar semua pihak memahami dan menghargai kesulitan dalam berunding dengan rakan seperjuangan pakatan seperti itu.
"Tidak mudah. Tetapi ini tidak melemahkan semangat kita. Cuma, mengapa kata itu pendirian saya? (Sebaliknya,) Ini pendirian PKR," katanya.
Lim kelmarin meminta Azmin menjelaskan kepada penyokong parti pembangkang mengapa pihaknya memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS.
Katanya, Azmin dan PKR mungkin mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian, tetapi ia harus menerangkan kepada penyokong mereka mengenai keputusan untuk bekerjasama dengan parti Islam itu yang sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP. 
Kenyataan Azmin itu bukti PKR tidak berharap kepada parti baru, Parti Amanah Negara (Amanah yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PAS,Mohamad Sabu.

Amanah tidak ada pengaruh dan PKR nampak kehadiran Amanah pada PRU akan datang tidak akan membantu Pakatan Rakyat. Sehubungan dengan itu PKR masih memerlukan PAS kerana pengaruhnya terlalu kuat di akar umbi.

Amanah hanya mendapat sambutan dari golongan muda dan tidak maustahil Amanah tidak dapat sebarang kerusi dalam PRU akan datang kerana sejarah membuktikan bahawa parti serpihan PAS seperti Berjasa, Hamim akan hanyut ditelan masa.

Jadi tidak mustahil nasib Amanah akan sama seperti nasib Hamim dan Berjasa. Sehubungan dengan itu, PKR amat memerlukan PAS dalam menghadapi PRU akan datang. Sejarah PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 menunjukkan bahawa calon PKR menang kerana bantuan jentera pilihanraya PAS. Jentera pilihanraya PKR amat lemah. Kemenangan kerusi PKR ditunjangi oleh jentera pilihanraya PAS.Jadi jika PAS tidak ada dalam Pakatan Rakyat, bukan sahaja kerusi Amanah akan hanyut malah kerusi PKR turut hanyut.
Kemunculan Amanah
akan menguntungkan DAP dan BN sahaja. Sebab itu dalam suasana DAP tidak mahu PAS berada dalam Pakatan Rakyat, PAS mahu bertanding secara solo kerana sejarah sudah membuktikan bahawa PAS sudah lama diterima rakyat akar umbi sejak PRU 1955 lagi.

Khamis, September 10, 2015

TIDAK PECAT MUHYIDDIN BUKTI NAJIB BUKAN DIKTATOR

Keputusan mesyuarat majlis tertinggi Umno petang semalam tidak memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin Yasin, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir, Ahmad Said membuktikan bahawa Presiden Umno, Najib Razak bukannya seorang diktator.

Ini bermakna Najib seorang good listener yang mendengar suara akar umbi yang tidak mahu Umno menjadi seperti tahun 1998. Anda masih ingat apa diktator Dr Mahathir buat pada tahun 1998? Tidak cukup memecat Anwar Ibrahim dari jawatan TPM, Dr Mahathir memecat Anwar dari Umno sehingga Dr Mahathir terpaksa membayar harga yang mahal dengan kehilangan Kelantan dan Terengganu dalam PRU 1999.

Mujur ketika itu orang Cina masih setia menyokong BN menyebabkan BN kekal menang dengan majoriti dua pertiga. Jika orang Cina turut memberontak ketika itu, BN turut kehilangan majoriti dua pertiga.

Apa yang dapat kita pelajari dari peristiwa semalam bahawa Najib bukan mementingkan diri. Ke mana sahaja beliau pergi merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian, beliau tidak disambut seperti dahulu. Di Pasir Gudang, perwakilan Umno tidak bertepuk tangan ketika beliau berucap. Hanya di Kuala Nerus, beliau diberi sambutan yang luar biasa.

Di Langkawi, perwakilan Umno menuduh beliau kuat kencingkan ahli Umno. Siapa yang tidak sedih tetapi beliau tidak mengutamakan kepentingan diri dengan mempengaruhi majoriti ahli majlis tertinggi Umno yang majoritinya orang beliau memecat ketiga-tiga pemimpin yang lantang mengkritik kepimpinan beliau.

Ini bermakna najib berjiwa besar dan beliau mengutamakan parti dari kepentingan diri. Ikut hatinya, sudah tentu Najib mahu pemimpin yang buat onar dipecat tetapi beliau mementingkan parti yang akan menghadapi PRU dalam masa tiga tahun lagi.

Anina Saaduddin dipecat dari Umno bukan kerana Najib marahinya mengkritik beliau kuat kencing tetapi kerana kebodohan dirinya sendiri. Kononnya dia seorang pensyarah di sebuah universiti tetapi beliau tidak baca perlembagaan parti yang mengatakan sebarang isu tidak boleh dibawa ke mahkamah apabila beliau menyaman Najib di atas isu wang derma sebanyak RM2.6 billion.Jadi jangan salahkan Umno apabila Umno memecat Anina kerana akibat beliau terlalu cerdik.



Cuba bayangkan jika mesyuarat MKT semalam masih dipengerusikan oleh Dr Mahathir. Yang pastinya Muhyiddin dan Shafie sudah dipecat dari Umno kerana Dr Mahathir yang diktator dan bukannya Najib. Dr Mahathir tidak suka orang mengkritiknya. Malah tulis gosip pun dimarahinya. Kalau tidak percaya tanya taukeh Kumpulan Karangkraf, Hushamuddin Yaacob yang menerbitkan akhbar Watan pada tahun 1988 dahulu?

Jelas Umno tiada agenda memecat sesiapa. Jadi siapa yang cipta khabar khabar angin ini? Ini tidak lain tidak bukan berita pro portal pembangkang yang sengaja mahu melaga-lagakan pemimpin Umno dengan menimbulkan suasana resah gelisah di kalangan ahli Umno. Najib tiada agenda peribadi kerana beliau sudah berikrar akan menyelesaikan isu 1MDB dalam masa enam bulan.

Oleh itu ahli Umno cukuplah berpolitiking. Tibalah masanya semua pihak bersatu untuk menghadapi PRU yang tinggal 36 bulan lagi.

Rabu, September 09, 2015

JANGAN DOUBLE STANDARD, MALAYSIAKINI

Menjelang perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lalu, bagai nak rak portal pro pembangkang Malaysiakini mempromosi perhimpunan tersebut. Sekarang apabila NGO Melayu mahu membuat Kebangkitan Rakyat di Padang Merbok pada 16 September ini, Malaysiakini menyiarkan berita yang anti kepada perhimpunan Maruah Melayu itu.

Kenapa Malaysiakini bersikap double standard. Kalau Bersih 4 boleh dianjurkan, kenapa Baju Merah tidak boleh pula. Polis tidak beri permit kepada Bersih 4, tetapi Bersih 4 terus dibuat dengan memijak gambar PM, Najib Razak dan gambar Presiden PAS, Haji Hadi Awang.

Polis juga tidak beri permit kepada Baju Merah, tetapi Baju Merah mahu adakan juga. Jadi janganlah pula salahkan polis kerana Bersih 4 tetap buat maka Baju Merah tetap buat. Biar sama sama adil. Jangan salahkan Baju Merah, jika gambar Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dipijak kerana Baju Merah nak balas dendam.

Mengumpulkan 100,000 orang Melayu pada 16 September ini bukannya untuk berperang dengan sesiapa tetapi untuk menunjukkan soladiriti orang Melayu apabila orang Cina berani berhimpun dalam Bersih 4, maka orang Melayu juga berani berhimpun dalam Baju Merah.

Kalau mereka berhimpun di Petaling Street dan Bukit Bintang, mereka bukannya mahu mencabar sesiapa tetapi mahu menunjukkan bahawa orang Melayu mampu juga berkumpul ramai. Timbalan Menteri Kewangan, Chua Tee Yong  bimbang perhimpunan Baju Merah menakutkan pelabur.

Sebaliknya sewaktu Bersih 4 buat perhimpunan haram itu, Chua tidak bersuara pula.  pelik juga pemimpin MCA bersuara semasa orang Melayu mahu berhimpun. Malah Presiden MCA, Liow Tiong Lai berkata Bersih 4 bukannya perhimpunan rasis sedangkan majoriti adalah orang Cina yang hadir. Kalau TPM, Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menghalang ahli Umno menyertai Baju Merah apa salahnya kerana MCA pun tidak menghalang ahli MCA menyertai Bersih 4.

Jadi apa jadahnya Malaysiakini membesarkan isu ini seolah-olah Dr Zahid merestui Baju Merah. Kalau Bersih 4 boleh berjalan secara aman tanpa provokasi maka Baju Merah juga boleh berjalan secara aman tanpa sebarang provokasi.

Justru itu biar Baju Merah berhimpun. Lepas itu bolehlah polis mendakwa mereka berhimpun tanpa permit.


Selasa, September 08, 2015

JANGAN BONGKAK LIM GUAN ENG

Nampaknya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng begitu angkuh mencabar PAS bertanding di kerusi yang diwakilinya di Pulau Pinang, di DUN Air Putih.
Memanglah Presiden PAS,  Abdul Hadi Awang berkata PAS bercadang meletakkan ahli bukan Melayu dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kerusi yang ditandingi DAP dalam pilihan raya umum akan datang.
Tetapi PAS tidak sebodoh Lim Guan Eng meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DAP yang menang dengan majoriti besar. Lim Guan Eng menang besar pada PRU ke 13 dengan majoriti  7,744 undi mengalahkan calon BN, Tan Ken Keong yang hanya mendapat 1,882 undi. Lim Guan Eng mendapat 9,626 undi.
Oleh itu apa yang dimaksudkan dengan kenyataan Hadi ialah PAS akan meletakkan calon yang mana DAP menang dengan majoriti kecil mengalahkan calon MCA. Sekurang-kurangnya bila PAS masuk nanti, ia dapat menarik undi orang Melayu yang tidak suka kepada calon MCA dan ia juga boleh menarik undi orang Cina yang tidak suka kepada DAP dan MCA.
Justru itu buat apa PAS bunuh diri di kerusi DAP yang menang besar. Sebaliknya PAS akan memecahkan undi orang Cina yang mana calon DAP menang dengan majoriti yang tidak selesa. PAS akan mengenal pasti kerusi ini sebelum membuat keputusan untuk bertanding.
Oleh itu Lim tidak perlu mencabar PAS meletakkan calon menentangnya kerana jika PAS berbuat demikian, PAS hanya buang duit dan buang masa sahaja.
Oleh itu Lim Guan Eng tak perlu bongkak mencabar PAS menentangnya dalam PRU akan datang.
Lim berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Hadi itu, kerana pandangan ini seolah-olah selaras dengan dasar baru PAS terhadap DAP.
"Kenyataan Hadi sudah dijangka. Tetapi ini adalah demokrasi di mana semua pihak mempunyai hak untuk bertanding," kata Lim dalam sidang media di Komtar semalam.
"Jika PAS yakin, DAP akan menerima cabaran itu dengan rendah diri, kerana kita menjangka untuk meraih undi berdasarkan prestasi kami, urus tadbir yang baik dan pentadbiran yang bersih," katanya
"Kami tidak bankrap, seperti sesetengah negeri," kata ketua menteri Pulau Pinang itu.
Lim berpendapat PAS mungkin mempunyai rancangan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang menjelang 2018.
Bagaimanapun, Lim berkata, beliau tidak pasti sama ada PAS benar-benar mahu menang atau menjadi "pengacau" supaya BN dan Umno boleh menang dalam pilihan raya.
"Kami akan serahkan kepada rakyat menjadi hakim. Jika PAS benar-benar mahu bertanding di kerusi kami, saya mengalu-alukan mereka ke DUN saya di Air Putih, "katanya.
"Kita akan menghadapi mereka dengan rendah diri. Kami tidak akan ambil mudah," kata Lim. 

Isnin, September 07, 2015

RAMAI KECEWA PERKAHWINAN RAJA BAHRIN TIDAK TERBATAL

Ramai ahli PAS di Terengganu kecewa apabila ahli parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrn Shah Raja Ahmad tidak perlu mengupah cina buta untuk menikah semula isterinya Noryn Aziz kerana sumpah bai'ah di Terengganu berbeza dengan sumpah bai'ah di Kelantan.

Di Kelantan, mereka yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah)  secara automatik terbubar perkahwinan mereka kerana sumpah bai'ah yang melibatkan lafaz cerai talak tiga. Manakala di Terengganu perkahwinan Raja Bahrin dengan penyanyi jazz itu masih kekal.

Namun demikian Pas negeri mendesak  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad segera meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan juga ahli Pas ekoran tindakannya menyertai Amanah.
Malah Badan Perhubungan Pas negeri itu turut menyifatkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengkhianati parti terutama penyokongnya yang mengundi beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Raja Kamarul Bahrin perlu melepaskan jawatannya itu berdasarkan sumpah bai’ah yang dilafazkannya sejurus selepas dicalonkan sebagai wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dua tahun lalu.
Jelasnya, mengikut bai’ah itu, secara automatik keahlian Raja Kamarul Bahrin dalam Pas gugur dan Pengerusi Amanah Terengganu itu sepatutnya mengembalikan semula jawatan yang disandangnya sekarang sebagai wakil rakyat Pas kepada rakyat.
“Bagi pihak Perhubungan Pas Terengganu, kami menyokong penuh pendirian Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung,  Takiyuddin Hassan bahawa mereka yang menyertai parti lain kena letak jawatan dan serah semula kepada rakyat untuk buat pilihan,” katanya kepada pemberita di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai semalam.
Jumaat lalu, Raja Kamarul Bahrin secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Amanah Terengganu dalam majlis prapelancaran parti berkenaan di Jalan Balai Besar, Dungun dan pelantikan itu diumumkan oleh pengerusi parti tersebut, Mohamad Sabu.
Menurut Satiful Bahri, pihaknya mempunyai bukti jelas yang Raja Kamarul Bahrin telah melakukan bai’ah dengan bersumpah taat setia di hadapan Presiden Pas pada 18 April 2013 yang turut disaksikan kepemimpinan parti yang lain.
“Antara sumpah yang beliau lafaz itu adalah sedia letak jawatan sebagai ADUN atau wakil rakyat sekiranya keluar atau lompat parti lain,” jelasnya yang juga ADUN Paka.
Beliau seterusnya berharap supaya Raja Kamarul Bahrin beristiqamah dengan menyerahkan semula kuasanya sebagai ahli Parlimen kepada rakyat demi integriti dan menjaga maruah parti.
Satiful Bahri juga kesal dengan sikap dolak-dalik Raja Kamarul Bahrin yang sejak awal lagi enggan mengakui penglibatannya dalam parti baharu itu sehinggalah secara rasmi pengumuman pelantikannya pada malam prapelancaran parti berkenaan di Dungun kelmarin.
Sehubungan dengan itu Pas Terengganu perlu membawa kes Raja Kamarul Bahrin ke mahkamah. Biar mahkamah menentukan sama ada kedudukan ahli parlimen itu tergugur kedudukannya sebagai wakil rakyat atau perlu diadakan pilihanraya kecil (PRK).
Jika berlaku PRK parlimen Kuala Terengganu, mampukah Raja Bahrin mengekalkan kerusi itu di atas parti Amanah menentang calon PAS dan calon BN.  Dapatkah calon BN menangguk di air keruh di saat saat PAS  berpecah dengan Amanah. Adakah pengundi Kuala Terengganu berkiblatkan Haji Hadi atau Mat Sabu, Pengerusi Amanah yang kebetulan pula pernah kalah bertanding di kawasan parlimen tersebut pada PRU 2008.


Ahad, September 06, 2015

JANGAN DOUBLE STANDARD PEMBANGKANG

 Tindakan Kerajaan PKR Selangor menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) menjadikan isu paling panas di negeri itu berikutan syarikat bernilai RM2 tersebut didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Azmin Ali
Sebuah portal be­­ri­­ta baru-baru ini mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM1 DEIG itu didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Sela­ngor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminuddin.

Menurut portal tersebut, pe­gangan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI Se­langor.

Sebelum itu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini beberapa ADUN termasuk daripada DAP mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekaligus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seolah-olah tidak menghiraukan keputusan DUN Selangor yang meluluskan usul agar kerajaan negeri meneliti semula penubuhan DEIG.
Sebaliknya, beliau tetap mempertahankan langkah mewujudkan syarikat tersebut dan tindakan menggunakan dua individu bagi mendaftarkan DEIG sebelum di­serahkan kepada MBI Selangor.
Sambil menyatakan proses tersebut sebagai amalan biasa dalam pembentukan syarikat, beliau menjelaskan, kedua-dua individu terbabit berperanan dalam saham promoter yang dibenarkan dalam undang-undang.
“Kedua-dua individu ini adalah pemegang saham untuk membuka syarikat (DEIG),” katanya.
Mohamed Azmin memberitahu, walaupun kedua-dua individu berkenaan terlibat pada peringkat awal penubuhan syarikat itu, namun kini MBI Selangor memiliki­nya dengan pegangan 100 peratus sejak Julai lalu.
“DEIG masih belum lagi beroperasi dan dijangka (berope­rasi) pada tahun depan. Ketika ini syarikat sedang menjalankan penelitian undang-undang untuk memperkemaskan soal tadbir urus selain menyediakan penyata kewangan kepada kerajaan ne­geri,” katanya.

Sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 18 Ogos lalu kecoh seketika apabila bekas Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan negeri mewujudkan satu entiti baharu bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikatnya iaitu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).
Kekecohan bermula selepas Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan terhadap soalan tambahan Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai peranan DEIG yang bertanggungjawab dalam proses penggabungan pelaburan 12 anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini bagi mengelakkan pertindihan aktiviti.
Mohamed Azmin sebelum itu ketika menjawab soalan lisan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) memberitahu, DEIG ditubuhkan selepas MBI dilihat gagal mencapai nilai pelaburan mampan selain bertujuan mengurangkan risiko kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Abdul Khalid (Bebas-Pelabuhan Klang) mempertikaikan kewujudan DEIG yang didakwa ditubuhkan tanpa sebarang enakmen dan tidak mempunyai kelulusan DUN.
Abdul Khalid berkata, keadaan itu membuatkan DUN tidak dapat memantau dan mengetahui mengenai aktiviti yang dijalankan oleh DEIG yang disifatkan sebagai orang tengah.
“Adakah tatacara (penubuhan DEIG) ini dikira dengan baik? Walaupun entiti itu di bawah MBI, jika syarikat ini menandatangani perjanjian atau mengadakan usaha sama, risiko pelaburan itu tidak akan hilang dan akan kembali semula kepada MBI dan kerajaan negeri?" katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid yang ditemui di lobi DUN berkata, penubuhan DEIG akan menyebabkan masalah urus tadbir dan ketidaktelusan dalam hal kewangan serta pelaburan kerajaan negeri kerana entiti tersebut bebas audit.
“Sebagai contoh, Menteri Besar membangkitkan soal hutang dan pembayaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), namun semua itu kita boleh bincang di dewan tapi bila ada sebuah syarikat bawah MBI, ia akan mengurangkan ketelusan.
“Ini disebabkan DEIG bukan ditubuhkan di bawah Enakmen MBI 1994 dan diletakkan di bawah syarikat, ia tidak dapat dibincangkan dalam dewan,” katanya.
Yang menjadi masalah sekarang, kenapa pemimpin BN tidak selongkar isu DEIG. Hanya beberapa pemimpin yang menggunakan isu ini untuk hentam pembangkang. Sepatutnya apabila pemimpin pembangkang menghentam 1MDB, pemimpin BN hentam pembangkang dengan isu DEIG. Kalau tak ada fakta, lantik think tank untuk buat research mencari bahan tentang DEIG.

Naib Presiden UMNO,Hishammuddin  Hussein ketika menggesa kerajaan PKR memberi penjelasan tentang DEIG berkata, penjelasan itu perlu kerana melibatkan soal prinsip tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan.
Menurutnya, keraguan dan kebimbangan berhubung penubuhan DEIG timbul kerana entiti baharu itu dipertanggungjawabkan menguruskan aset Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai berbilion ringgit tetapi laporan kewangannya tidak boleh diaudit dan cara semak dan imbang ke atasnya tidak diperjelaskan kepada orang ramai.
“Hari ini giliran DEIG, sekiranya ada perkara tidak kena dan memerlukan penjelasan berhubung urus tadbir korporat, mereka perlu jelaskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam baru-baru ini.

 Hishammuddin ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan pula meminta pengamal media terutama media sosial bersikap adil dalam memberikan liputan berhubung isu DEIG sama seperti mereka lakukan terhadap 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menurut beliau, seperti mana mereka memberikan tumpuan terhadap isu 1MDB, perkara sama perlu dilakukan media dalam talian terhadap penubuhan DEIG di Selangor.
“Apa bezanya apa yang berlaku di Selangor sekarang ini, kini giliran mereka (kerajaan PKR Se­langor) untuk menjawab. Kenapa tumpu kepada kita sahaja,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyelar tindakan PKR yang didakwa tidak bersikap telus berhubung Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang ditubuhkan bagi mengambil alih peranan Menteri Besar Incorporated (MBI) menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu.
Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pembangkang hanya tahu menuding jari menuduh kononnya kerajaan Persekutuan tidak telus dan cuba menyembunyikan perkara sebenar terutama berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebaliknya mereka yang melakukan tindakan sedemikian.
"Nampak seolah-olah ada 'udang di sebalik batu' sebab dia (Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali) hanya buat penjelasan apabila pendedahan dibuat. Kalau pendedahan tak dibuat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor saya tak tahu beliau akan jelaskan ataupun tidak.
"Bagi kita (isu) 1MDB kita jelas. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata kita boleh siasat... siapa-siapa pun boleh siasat. Kita hantar kepada Parlimen, kita hantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Kita telus sebab tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan," katanya.
Tentu ada sebab kenapa wakil rakyat DAP yang menjadi tulang belakang kerajaan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan penubuhan DEIG. Oleh itu ini adalah peluang terbaik bagi pemimpin Umno menghentam penubuhan DEIG.

 Yang lucunya Azmin berkata DEIG belum beroperasi, tetapi kenapa DEIG sudah bayar zakat perniagaan. Yang peliknya kenapa dua pemimpin pembangkang, Rafizi Ramli dan Tony Pua yang bising tentang 1MDB membisu seribu bahasa tentang DEIG. Jangan double standard, Rafizi dan Tony Pua. Bila isu kena batang hidung sendiri, senyap membisu.


Sabtu, September 05, 2015

MALAYSIAKINI TIADA SEMANGAT PATRIOTIK?

Saya hairan macam mana portal berita utama di negara ini seperti Malaysiakini boleh menyiarkan berita menteri Singapura menghentam Malaysia? Adakah editor Malaysiakini tidak ada semangat patriotik sehingga sanggup menyiarkan berita seperti itu di saat-saat Malaysia baru sahaja menyambut hari kemerdekaan yang ke 58.

Apakah motif Malaysiakini menyiarkan berita menteri Singapura menghentam negara sendiri? Kalau hendak lariskan portal anda, masakan berita menghentam negara anda pun sanggup anda siarkan kecuali anda ada motif mahu menghancurkan negara sendiri.

Malaysiakini melaporkan Menteri Sumber Manusia Singapura Lim Swee Say mencetuskan kontroversi selepas berucap bahawa beliau berasa beruntung menjadi rakyat republik itu.
Dalam ucapan kempennya semalam, wakil Parti Tindakan Rakyat (PAM) untuk Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pantai Timur berkata beliau “beruntung tidak menjadi warga China atau Malaysia”.
Beliau juga mengenang kembali kedatangannya bapanya ke Singapura daripada tanah besar China.
“Kemudian bapa saya kenal emak saya, mereka berkahwin dan dapat enam anak.
“Jadi tahun ini kita sambut SG50 (ulang tahun ke-50 Singapura) dan saya fikir, jika bapa saya tidak naik bot ke Singapura, saya mungkin sekarang rakyat negara China,” tambahnya.
Lim juga percaya bahawa pemisahan Singapura dan Malaysia pada 1965 memberi keuntungan.
Jika tidak, katanya, rakyat negara itu sudah tentu sekarang sebahagian rakyat Malaysia.
“Kemudian pada 1965 Singapura dan Malaysia berpisah, kerana (perdana menteri pertama) Encik Lee Kuan Yew mahukan sebuah bangsa tidak mengira bahasa atau kaum – semuanya sama,” katanya.
Beliau juga berkata tidak boleh tinggal di Malaysia kerana ia “milik orang Melayu”.
“Jadi kita tiada pilihan, kita hanya boleh berpisah.
“Jadi saya fikir jika kita tidak berpisah pada 1965, hari ini kamu dan saya akan jadi rakyat Malaysia, heng (beruntung) ah,” katanya.
Ucapan itu dimuat naik dalam Facebook saluran 8 televisyen MediaCorp negara itu.
Pihak yang tidak selesa dengan tindakan itu menuntut beliau meminta maaf. Mengulas ucapan Lim Swee Say, teruk sangatkah Malaysia yang didakwanya negara ini milik orang Melayu.

Adakah kaum Cina di negara ini didera oleh kerajaan Malaysia? Siapa orang paling kaya di Malaysia? Adakah orang Melayu atau orang Cina? Kalau benar Malaysia adalah milik orang Melayu, kenapa kontraktor Melayu yang dapat projek tetapi subkontraktor Cina yang kaya.
Siapa yang terdera rakyat Cina di Malaysia atau rakyat Singapura yang majoritinya kaum Cina? Kononnya rakyat Singapura berdisiplin tetapi bila masuk negara ini, mereka memandu melebihi had laju.
Peraturan ketat di Singapura tidak berjaya melahirkan rakyat Singapura yang berdisiplin kerana di negara ini mereka bebas melanggar peraturan yang dikenakan di negara mereka.
Nampak sangat Lim tidak tahu keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia kerana dia seorang yang rasis. Mujur ada kerajaan milik orang Melayu yang sanggup membenarkan rakyat Cina di negara ini buka sekolah vernakular sedangkan Singapura menghapuskan sekolah Cina.
Sehingga ini belum ada menteri Malaysia yang berani menyanggah kenyataan Menteri Sumber Manusia Singapura itu. Jika ada menteri Malaysia buat kenyataan mempertahankan Malaysia, adakah Malaysiakini sanggup memberi keutamaan kepada berita ini. Jika tidak, memang benar anda ada motif mahu menghancurkan negara sendiri.



Jumaat, September 04, 2015

NAZRI TAK PAYAH SIBUK JADI MENTERI DALAM NEGERI

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,Nazri Abdul Aziz tak payah sibuk menjadi Menteri Dalam Negeri dengan menggesa polis supaya tidak membazirkan masa memanggil dan soal siasat  Dr Mahathir Mohamad kerana menyertai himpunan BERSIH 4.
"Jangan buang masa kamu. Tiada keperluan memanggil beliau kecuali jika beliau melakukan kesalahan" kata Nazri dalam sidang medianya di Kuala Lumpur petang semalam.
Nazri berkata bekas perdana menteri itu tidak pergi ke demonstrasi untuk melontar bom, memecahkan pintu atau tingkap, jadi tiada masalah beliau menyertai protes.
MP Padang Rengas itu menggesa pihak yang menyatakan Dr Mahathir menyertai perhimpunan itu salah, sebaliknya menukarkan pandangan bahawa tokoh itu hadir bagi mempromosikan kerajaan dan menunjukkan ia satu pentadbiran yang menjaga warga emas.
Hujung minggu lalu, Dr Mahathir bersama isterinya Tun Dr Hasmah Mohamad Ali mengejutkan pelabagai pihak kerana menyertai demonstrasi BERSIH 4 yang berlangsung di Dataran Merdeka selama 34 jam.
Inilah kelemahan Umno kerana menteri bercakap tidak sehati sejiwa. Maka ada menteri yang kesal dengan tindakan Dr Mahathir dan ada pula menteri yang marahi polis menyiasat Dr Mahathir.
Sepatutnya Nazri tak perlu campur urusan kementerian lain. Jagalah kementerian anda sendiri. Biar Dr Zahid Hamidi menjawab soalan ini. Ini yang susahnya menteri lain lebih senduk dari sudu.
Sementara itu Bernama melaporkan  Dr Mahathir Mohamad akan tetap dipanggil dan disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka di sini, hujung minggu lepas.

Ketua Polis Negara,  Khalid Abu Bakar berkata bekas perdana menteri itu akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana beliau mendakwa ada ketua UMNO bahagian menerima rasuah.

Bagaimanapun, katanya Dr Mahathir belum lagi dimaklumkan mengenai siasatan itu.

"Saya sendiri akan maklumkan kepada beliau (Tun Mahathir) untuk ambil keterangan beliau dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan rakam percakapan beliau dan perlu siasat kerana kita sudah menerima laporan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran berkaitan Teknologi Keselamatan Asia Tenggara (IFSEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir akan dipanggil untuk siasatan namun status beliau sebagai seorang negarawan akan tetap dihormati dengan menjalankan soal siasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan.

Dua hari lalu, Khalid berkata polis akan memanggil Dr Mahathir untuk diambil keterangan berhubung kenyataan yang dibuat di perhimpunan Bersih 4 itu.

Khamis, September 03, 2015

TUJUH ORANG CINA BUTA DIPERLUKAN SEGERA

Sesiapa yang menganggur di Kelantan sekarang boleh memohon jawatan cina buta kerana perkahwinan tujuh  bekas pemimpin PAS disahkan terbubar akibat  lafaz baiah dengan PAS.

 Ketua Hakim Syarie Kelantan,  Daud Muhammad  mengesahkan perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dengan isterinya gugur talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.

Pada masa sama, beliau berkata, perkahwinan itu tidak boleh dirujuk semula melainkan isteri kepada wakil rakyat tersebut berkahwin dengan mana-mana individu dan bercerai.

“Kalau tengok kandungan dalam bai’ah Kelantan, sah jatuh talak tiga (perkahwinan Mohd. Hatta). Kedua-dua pasangan itu juga tidak boleh lagi tinggal bersama kerana bukan lagi suami isteri.

“Bagi membolehkan pasangan itu rujuk, bekas isteri kepada wakil rakyat tersebut perlu berkahwin dengan sesiapa, bercerai dan baharulah boleh berkahwin semula dengan Mohd. Hatta,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi ahli parti itu sebaik sahaja mereka dilaporkan berada dalam barisan kepemimpinan Parti Pekerja.

Mohd. Hatta yang pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga merupakan satu-satunya wakil rakyat negeri ini yang terlibat dalam senarai itu.

Dalam bai’ah ter­­sebut, setiap wakil rakyat Pas di ne­geri ini yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri ini sejak 2004.

Pada masa sama, Mufti Kelantan,  Mohamad Shukri Mohamad turut menasihatkan mana-mana wakil rakyat yang melanggar ba’iah tersebut supaya merujuk status perkahwinan di Mahkamah Syariah berikutan terdapat bai’ah cerai talak tiga yang dilafazkan mereka sebelum ini.

Sementara itu, Daud berkata, setakat ini Mohd. Hatta masih belum mendaftar mengenai status perkahwinan ter­­sebut di Mahkamah Syariah.

“Mohd. Hatta masih belum datang merujuk mengenai status perkahwinannya di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Mursyidul Am Pas,  Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar menyeru kepada Mohd. Hatta supaya segera merujuk kepada Mahkamah Syariah mengenai status perkahwinannya.

Katanya, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dengan jelas telah melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya dengan menyertai parti lain tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

“Kita telah membuat keputusan dan menghantar surat berserta lampiran bai'ah yang pernah dilafazkannya kepada Mohd. Hatta.

“Dari segi hukum, lafaz taklik talak tiga telah terjatuh dan itu pandangan yang diberikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan,” katanya.

Namun demikian Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli menafikan dakwaan banyak pihak termasuk daripada Menteri Besar, Ahmad Yakob bahawa perkahwinannya terbubar dengan talak tiga kerana melanggar bai’ah yang pernah dilafazkannya sebelum menjadi calon Pas pada pilihan raya umum yang lalu.

Mohd. Hatta
Memetik laporan sebuah portal propembangkang di sini hari ini, Mohd. Hatta berkata, dakwaan tersebut tidak betul sama sekali, bagaimanapun beliau enggan memberi penjelasan lanjut.

“Tak betul semua tu. Dah banyak penulisan orang mengenai perkara itu (bai’ah). Biarlah, saya tak nak komen apa-apa,” katanya.

Pada masa sama, bekas Pengarah Pilihan Raya Pas itu menempelak Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas kerana mencampuri urusan keluarganya.

“Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun. Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya,” katanya.

Nampak sangat pemimpin PAS main-main dalam soal baiah ini. Kalau dah ikrar seperti itu, memang secara automatik perkahwinan mereka terbubar.

Justru itu jika Mohd Hatta mahu menikahi semula bininya maka beliau kena upah orang harapannya untuk menjadi cina buta. Kalau orang itu tidak mahu ceraikan janda Mohd Hatta, maka melepaslah Mohd Hatta. jadi orang harapannya itu kena ceraikan janda Dr Mohd Hatta selepas meniduri jandanya itu. Siapa yang mahu jadi cina buta, hubungi segera Dr Mohd Hatta.

JANGAN PILIH KASIH, NAJIB

Bangganya kita melihat PM, Najib  Razak  turun padang untuk melihat sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk di Perumahan Awam Seri Labuan, Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur semalam.

Menurut perdana menteri, tinjauan terhadap keadaan persekitaran di kawasan perumahan awam itu dibuat setelah pihaknya menerima laporan mengenai beberapa isu di kawasan itu.

"Setelah meninjau keadaan sekeliling dan masalah yang dihadapi, saya mahu beberapa perkara dilaksanakan," katanya dalam catatan terbaru di blognya, NajibRazak.com.

Menurut Najib, beliau mengarahkan kelengkapan awam di Madrasah Al-Aula seperti pendingin hawa, kipas siling serta sistem paip dan saliran diganti atau diperbaiki dengan kadar segera.

Beberapa unit pendingin hawa di Madrasah Al-Aula juga akan ditambah untuk keselesaan jemaah, katanya.

"Lantai gelanggang futsal serta jaring di keliling gelanggang dan tiang gol diperbaiki atau diganti, mengecat kembali Sekolah Rendah Agama Al-Farabi manakala perabot seperti kerusi dan meja pelajar di Sekolah Rendah Agama Al-Farabi diganti baharu selain pendingin hawa dipasang.

"Insya-Allah, semua ini akan membolehkan penduduk dan anak-anak kecil di Perumahan Awam Seri Labuan, Bandar Tun Razak hidup dalam keadaan lebih selesa," tambah beliau.

Kalau benar PM berjiwa rakyat, kita harap selepas ini Najib tidak pilih kasih kerana perumahan yang dilawati itu adalah terletak dalam cawangan Umno yang diketuai rakan karibnya sendiri, Zaharin Mohd Yasin. Sepatutnya beliau turun padang ke kawasan yang beliau tidak kenal siapa ketua cawangan Umno di situ. Baru ahli Umno tabik kepada Najib kerana presiden Umno turun padang secara mengejut tanpa memberitahu pegawai DBKL.

Najib sepatutnya mencontohi Saidina Umar Alkhatab yang meninjau keadaan rakyat di waktu malam tanpa membawa pegawainya dan rakyat sendiri tidak tahu bahawa yang memikul gandum itu adalah seorang khalifah sendiri.


Siapa yang tidak kenal dengan Zaharin bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu. Selepas bermasalah dengan ketua bahagian, Zaharin menjadi setiausaha kerja BN Bandar Tun Razak pula.

BN Bandar Tun Razak merupakan pejabat parlimen BN yang paing hebat di Malaysia kerana memiliki bangunan sendiri. Itu kerana inisiatif Zaharin yang menjadi Setiausaha Kerja BN yang mencari dana daripada PM selaku Pengerusi BN Malaysia.

Orang tak hairan kalau pejabat BN Bandar Tun Razak dapat hidup kerana keakraban Najib dengan Zaharin. Najib yang membantu dana pejabat tersebut. Mereka berkawan sejak Najib menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1978 lagi. Walaupun Zaharin bukan Exco pemuda Umno Malaysia tetapi beliau adalah ahli jawatankuasa biro buruh dan antarabangsa pemuda Umno Malaysia.

Sebut nama Zaharin, ketua bahagian mana yang tidak kenal Zaharin. Semua ahli parlimen kenal Zaharin. Semua menteri kenal zaharin. kalau orang politik itu tidak kenal Zaharin, itu bermakna orang politik itu masih berhingus dalam politik.

Surat sokongan Zaharin kepada Datuk Bandar memang laku. kalau rakyat nak minta rumah flet DBKL dengan Datuk Bandar, surat sokongannya laku asalkan pemohon itu adalah pengundi dalam parlimen bandar Tun razak. Zaharin tolong semua orang tidak kira orang itu orang melayu, cina atau India.

Sepatutnya sudah lama beliau dilantik senator mewakili Wilayah persekutuan. Beliau bekerja untuk rakyat dan tidak ada kepentingan peribadi. kalau beliau mahu kaya, sudah lama beliau jadi jutawan kerana semua menteri adalah kawan beliau. tetapi beliau selalu beritahu saya, "Zabidi, umur aku dah 63 tahun tapi aku tak ada penyakit kronik kerana aku tidak makan rasuah, tidak curi hak orang".

Itulah kelebihan Zaharin orang yang berani memaki menteri secara terbuka dan juga melalui Facebooknya. Beliau sudah biasa dipukul. Sebagai pejuang rakyat beliau tidak gentar dipukul kerana beliau tahu perjuangannya demi bangsa, agama dan negara tanpa memikirkan kepentingan peribadinya.