Memaparkan catatan dengan label subsidi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label subsidi. Papar semua catatan

Rabu, Julai 25, 2012

KERAJAAN MAHU STRUKTUR SEMULA SUBSIDI

Kerajaan sedang meneliti untuk menstruktur semula pemberian pelbagai bentuk subsidi terutama berkaitan minyak dan gas, agar dapat memenuhi matlamat membantu golongan berpendapatan rendah. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata setakat ini kerajaan belum memutuskan mekanisme terbaik mengenai perkara itu. "Kita mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan daripada mana-mana pihak untuk dimasukkan dalam pembentangan bajet tahun 2013," katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Perupuk, Bachok.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Pergerakan Pemuda Umno yang mahu kerajaan menstruktur semula pemberian subsidi kepada rakyat bagi membolehkannya disalur terus kepada golongan sasar. Ketuanya Khairy Jamaludin dilapor berkata langkah itu perlu memandangkan kaedah sedia ada dilihat tidak begitu proaktif kerana lebih memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi terutama subsidi petrol dan diesel. Mengulas lanjut, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata banyak pihak bersuara mengenai perkara itu namun tidak mengemukakan cadangan mereka. Katanya langkah kerajaan mengapungkan petrol RON97 dan mengekalkan subsidi bagi RON95 dengan harapan dapat membantu golongan berpendapatan rendah juga tidak banyak membantu. Ini kerana katanya sebilangan besar golongan berpendapatan tinggi turut menggunakan RON95 untuk kereta mewah mereka yang memerlukan petrol pada kuantiti besar. Akibatnya kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan besar kira-kira RM30 bilion setahun manakala RM20 bilion daripada itu bagi tujuan subsidi minyak dan gas, kata beliau.- Bernama

Selasa, Disember 01, 2009

KAJIAN SISTEM SUBSIDI DILAKSANA MEI DEPAN


Kajian semula sistem subsidi bahan api yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan serta menurunkan defisit bajet negara, dijangka sedia untuk pelaksanaan pada Mei tahun depan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Selasa.

"Kita akan menjimatkan lebih daripada RM2 bilion setahun," katanya.

"Ia merupakan sistem yang menggunakan Mykad," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Unjuran Ekonomi Nasional 2010-2011 di sini.

Dalam ucapannya sebelum itu, Husni berkata kerajaan membelanjakan RM8,000 per kapita setahun untuk pelbagai subsidi.

"Ia bukan sahaja membebankan perbelanjan mengurus kerajaan, malah mewujudkan gangguan dalam pasaran.

"Kami perlu menjajarkannya. Kami akan mengkaliberasi semula agihan subsidi. Kami mahu memastikan kejituan dalam pelaksanaannya," katanya.

Bagaimanapun, kerajaan akan memastikan ia tidak menjejaskan taraf hidup golongan kurang berkemampuan dan miskin, tanpa mengira kaum dan etnik, katanya.

Sabtu, November 14, 2009

SISTEM URUS SUBSIDI BERMULA MEI


Mekanisme baru sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat akan dimulakan Mei tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata pengumuman mengenai mekanisme itu akan dibuat selepas kajian terperinci mengenai cara pemberian subsidi dan golongan sasar dikenal pasti.

"Buat masa ini, saya tak dapat beritahu mekanisme pada keseluruhannya dengan terperinci sebab kerajaan masih dalam proses mengadakan rangkanya. Hanya pada Mei tahun depan kita akan mula mekanisme baru subsidi yang mana kumpulan sasar rakyat akan terima manfaatnya," katanya menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan mengenai sistem pengurusan subsidi minyak yang akan dilaksana tahun depan bagi memastikan hanya golongan sasar mendapat manfaatnya.

Mengenai jumlah subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sehingga September lepas, Chor berkata jumlahnya ialah RM3.54 bilion.

"Selain itu dianggarkan jumlah tanggungan subsidi bagi tahun 2010 ialah RM10 bilion sekiranya mekanisme sedia ada dikekalkan," katanya.

Isnin, Oktober 26, 2009

MEKANISMA SISTEM URUS SUBSIDI DIUMUM AWAL TAHUN DEPAN


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengumumkan mekanisma sistem pengurusan subsidi minyak selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman itu akan dibuat setelah kementerian selesai melakukan kajian mengenai cara pemberian subsidi yang betul serta menentukan dan mengenalpasti golongan sasar yang benar-benar memerlukan subsidi tersebut.

"Sasaran itu sedang ditentukan, siapa dan bagaimana akan kita umumkan tidak lama lagi, mungkin tahun depan, mungkin hujung tahun ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sistem pengurusan subsidi minyak yang akan dilaksanakan pada awal tahun depan bagi memastikan hanya golongan sasar mendapat manfaatnya ketika pembentangan Bajet 2010 Jumaat lepas.

Najib berkata pendekatan menyediakan subsidi hanya kepada kumpulan sasar juga akan digunakan untuk komoditi lain.

Ismail Sabri berkata pada masa ini subsidi dinikmati oleh hampir semua rakyat Malaysia tidak kira miskin atau kaya.

"Pada masa ini subsidi diberi kepada semua orang, orang Thailand pun dapat beli minyak pada harga yang murah di Rantau Panjang, sesiapa sahaja di Malaysia sama ada warga asing, orang kaya pun dapat subsidi.

"Jadi ini bermakna kerajaan berbelanja begitu banyak tapi bukan untuk kumpulan sasar yang sebenar yang dapat subsidi itu," katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2010, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan sistem pengurusan subsidi minyak pada awal tahun depan menggunakan MyKad dan infrastruktur sedia ada.